webnovel

Ditembak

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Pendirian Monyet mula goyah. Walaupun wanita ini cantik, dia akan dapat mana-mana wanita dengan mudah jika mempunyai wang. Lima juta. Dia tidak pernah melihat wang sebanyak itu sepanjang hidupnya.

Puan Tang naik darah dan menjerit, "Monyet, apa kau tunggu lagi? Aku masih Puan Tang. Setakat lima juta, aku sendiri boleh berikan kepada kau. Lakukan kerja kau sekarang! Bila Li Sicheng tiba, kau tak akan ada peluang lagi merasa perempuan cantik ini."

Dua lelaki yang dipukul Rong Haiyue tadi kembali bangun dan menerkam Rong Haiyue.

"Jangan percayakan dia. Keluarga Tang dah bankrap. Bisnes mereka dah diambilalih oleh Syarikat Li. Dia cuma bercakap saja. Kalau dia ada wang, kenapa dia tak upah orang yang lebih mahal daripada kamu?" jerit Su Qianci dengan kuat.

Pada masa yang sama, dua lelaki di belakang Rong Haiyue telah memulakan serangan mereka. Seorang mencekik leher Rong Haiyue manakala seorang lagi menumbuk perutnya.

Puan Tang berasa amat marah. Dia berpaling dan berjalan ke arah Su Qianci. Dia menarik rambut Su Qianci dengan tangan gemuknya lalu menghantukkan kepala itu ke besi penghadang jambatan. "Perempuan jalang!"

Kepala Su Qianci dihantuk kuat pada besi penghadang itu.

Rong Haiyue ditumbuk dengan kuat. Tetapi sebaik sahaja Puan Tang berpaling ke arah lain, dia menanduk perut lelaki di hadapannya. Kemudian dia menarik lengan lelaki di belakangnya dan menolak lelaki itu ke arah lelaki yang seorang lagi. Puan Tang yang menyedari situasi itu segera berpaling. Walau bagaimanapun, Rong Haiyue telah hampir menerkamnya.

Puan Tang berundur dengan panik lalu menggerakkan jarinya…

Bang!

Kedengaran bunyi tembakan pistol yang kuat.

"Ah!!" Su Qianci mendengar tembakan itu dan merasakan kepalanya teramat pening. Sebaik sahaja ternampak darah, dia terus pengsan.

Puan Tang terkejut lalu menolak Rong Haiyue dan melihat darah di tangannya. Selepas mencampakkan pistol itu, tangannya tidak henti menggeletar.

"Aku dah bunuh seseorang…?" Matanya terbeliak memandang Rong Haiyue.

Rong Haiyue rebah terduduk. Wajahnya pucat dan tangannya memegang bahagian lengannya yang berdarah. Tetapi dia tidak kelihatan seperti seseorang yang baru ditembak. Dia mengutip pistol yang dicampakkan Puan Tang dan berkata, "Lepaskan dia."

"Jahanam kau!" Seseorang menjerit di belakangnya lalu menendangnya sehingga jatuh.

Rong Haiyue terbaring di atas tanah dan tangannya terlepas pistol itu.

Tiba-tiba beberapa buah kereta datang ke arah mereka dan mengejutkan Puan Tang. "Ada orang lain tiba."

Wajah Puan Tang semakin pucat. "Pasti Li Sicheng yang hantar mereka. Tak guna budak sial itu!"

Dia terus berlari dan menarik Su Qianci yang pengsan.

"Aku suruh dia datang seorang, tetapi dia bawa ramai. Dia cuba buat aku bunuh isterinya!"

Disebabkan tubuhnya besar, Puan Tang mempunyai kekuatan yang luar biasa. Dia dengan mudah mengangkat Su Qianci ke atas bahunya sebelum meletakkannya di atas besi penghadang jambatan.

Rong Haiyue tidak dapat melawan lelaki yang berada di atasnya dan terus menerima tumbukan bertubi-tubi. Sebaik melihat Puan Tang meletakkan Su Qianci di atas penghadang itu, dia terus memekik, "Apa kau buat?"

"Pergi ke neraka!" Puan Tang mencampakkan Su Qianci ke dalam sungai. Sesaat kemudian mereka mendengar bunyi percikan air yang kuat.

Sebaik melihat Su Qianci jatuh ke dalam sungai itu, Rong Haiyue lupa segala kesakitannya. Satu-satunya yang berada dalam fikirannya adalah untuk menyelamatkan Su Qianci. Dia bergelut melepaskan diri daripada lelaki yang menghempapnya sebelum berlari dan terus terjun ke dalam sungai itu tanpa berfikir apa-apa lagi…

Nächstes Kapitel