webnovel

Aku Dah Beri Amaran

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Enam buah kereta kini mengepung mereka. Puan Tang tiada jalan untuk melarikan diri dan dia dan anak-anak buahnya terus ditangkap.

"Mana dia?" Ketua dalam kalangan pemandu kereta itu bertanya dengan kuat.

Puan Tang ketawa sinis. "Siapa? Aku tak faham apa yang kau tanya."

"Bos, ada darah di sini," jerit seseorang. "Kami tak jumpa Puan Li."

Darah kelihatan di atas tanah tetapi tiada sesiapa di situ yang cedera. Ketua tadi yang merupakan ahli keluarga Li melihat sekeliling sebelum terfikirkan sesuatu dan menjerit, "Cari di dalam sungai."

Maybach hitam itu melanggar penghadang jalan. Li Sicheng pengsan dan hanya sedarkan diri setelah beberapa minit kemudian. Dia melihat polis trafik dan orang ramai mengerumuninya, kemudian menyedari cermin hadapan keretanya telah pecah. Dia bergerak dan cuba menghidupkan keretanya tetapi gagal. Li Sicheng mengambil telefon bimbitnya lalu membuka pintu. Kepalanya merasakan kesakitan yang teramat dan darah mengalir keluar dari dahinya. Li Sicheng mengelap darah itu lalu rebah terduduk di atas jalan.

Dah hampir sampai, hampir…

Dia melihat telefonnya dan terus ternampak video yang dihantar oleh Puan Tang. Kemudian dia bangun dan berlari sambil menekan video itu untuk memuat turunnya. Walau bagaimanapun, kepalanya terlalu sakit sehingga dia terjatuh beberapa kali. Beberapa orang dan beberapa buah kereta mengikutinya tetapi Li Sicheng yang dalam keadaan separa sedar tidak dapat mendengar apa yang dikatakan mereka. Setelah berlari dan rebah beberapa kali, akhirnya dia melihat kereta-kereta kepunyaan keluarga Li. Sebaik dia menghampiri kereta-kereta itu, video itu siap dimuat turun.

Jeritan Su Qianci kedengaran dari video itu dan membuatkan jantung Li Sicheng seakan terhenti. Semua orang yang sedang berdiri di atas jambatan menoleh ke arahnya. Sebaik menyedari kehadiran Li Sicheng dengan keadaannya yang teruk, saudara-saudaranya terkejut dan segera memapahnya. "Sicheng?"

Hati Li Sicheng remuk apabila menonton video itu. "Mana isteri saya?"

Tiada sesiapa menjawab, tetapi ketika itu juga, kedengaran jeritan dari arah sungai, "Kami tak jumpa dia!"

Lampu hadapan kereta-kereta itu masih bernyala. Li Sicheng dapat melihat darah yang banyak di atas tanah.

"Kau cari apa? Dia dah mati." Puan Tang ketawa. "Li Sicheng, kau yang paksa aku lakukannya! Kau dah musnahkan keluarga Tang dan kesucian anak aku. Kau memang hebat kan? Sekarang tengoklah semua ini."

Li Sicheng merenung darah di atas tanah itu dan hampir kehilangan akalnya. Nafasnya berderu kencang dan telinganya terasa berdesing.

"Apa yang kau tengok? Aku tembak dia tepat pada jantung. Tiada doktor akan dapat selamatkan dia. Kalau kau nak cari dia, cari di dalam sungai. Dia ada di situ. Kau beranikah?" Puan Tang terus membuat provokasi. Suaranya yang nyaring berdering di telinga Li Sicheng.

Dua orang lagi terjun ke dalam sungai untuk membantu. Mendengar bunyi percikan air, Li Sicheng yang sudah hampir gila turut cuba terjun ke dalam sungai itu.

Beberapa orang di sekelilingnya terkejut lalu terus menahannya dan berkata, "Dah ramai yang cari di bawah sana."

Li Sicheng kelihatan cuba bertenang.

Lelaki di sebelahnya bercakap dengan lembut kepadanya, "Dah empat orang terjun. Kamu tak akan dapat apa-apa dan hanya akan bunuh diri sendiri kalau terjun dengan keadaan kamu yang sebegini. Kamu nak Su Qianci hanya lihat mayat kamu apabila dia kembali?"

Mendengar kata-kata itu, Li Sicheng menenangkan dirinya. Tetapi sebaik sahaja lelaki itu menarik nafas lega dan melepaskannya, dia terus berjalan ke arah Puan Tang yang sedang dipegang seseorang. Kemudian tumbukannya hinggap tepat pada muka wanita itu. Puan Tang menjerit lalu terjatuh ke atas tanah sebelum dipegang kembali oleh ahli keluarga Li.

"Aku dah beri amaran pada kau supaya jangan sentuh dia!!"

Nächstes Kapitel