webnovel

Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapa

Editor: EndlessFantasy Translation

Ling Lan membaca pilihan yang tertera pada skrin. Benar-benar terdapat pelbagai kursus, daripada mempelajari alat muzik hap, catur,dan pelbagai kursus seni dan kesusasteraan. Kursus sulaman juga ada. Sudah tentu, terdapat juga pelbagai kemahiran pertempuran tentera. Malahan terdapat juga beberapa kursus yang pelik dan tidak pernah didengarinya sebelum ini. Mata kehormatan untuk menebus kursus-kursus ini bermula dengan satu mata hingga beberapa ratus mata. Ada juga kursus yang memerlukan sehingga satu atau dua ribu mata dan mungkin lebih lagi.

Pilihan permainan dan rekreasi ternyata lebih mahal, bermula daripada jumlah penebusan sebanyak 50 mata sehingga mencapai 5000 mata dan 10000 mata bagi pilihan yang lebih mahal. Sudah tentulah bahagian ini juga mempunyai pelbagai pilihan. Contohnya pilihan kategori permainan termasuklah permainan tradisional dengan reka bentuk retro, permainan magik dan ilmu sihir, permainan malapetaka futuristik, permainan mecha galaksi, dan permainan tempur tentera. Terdapat juga permainan simulasi janji temu ...

Bagi pilihan rekreasi pula, apa sahaja yang boleh difikirkan sebagai rekreasi ada di situ. Apabila dia klik kategori tersebut, Ling Lan tidak tahu hendak bermula di mana.Terlalu banyak pilihan.

Adakah ini yang dikatakan ruang pembelajaran untuk memupuk bakat muda? Kenapa dia merasakan terdapat pengaruh yang merosakkan dari pilihan-pilihan yang ada ini?

Ling Lan memutuskan untuk keluar daripada kategori rekreasi, dan membuka kursus pembelajaran. Masa semakin suntuk, jadi dia tidak boleh membuang masa. Oleh kerana dia perlu menebus sesuatu, dia boleh menggunakan mata kehormatan yang dia ada untuk menebus sesuatu yang paling diperlukannya buat masa sekarang.

Dengan gambaran yang kasar tentang apa yang dia mahukan, Ling Lan klik pada kategori pertempuran dan memilih subkategori pertahanan.

Teknik dan kemahiran pertempuran pertahanan yang tak terhitung jumlahnya tertera pada skrin. Ling Lan klik pada pilihan untuk menyenaraikan kemahiran dan teknik mengikut keperluan mata kehormatan dalam turutan menaik, dari yang paling rendah hingga yang tertinggi.

Kemahiran pertama hanya bernilai 1 mata kehormatan - Kulit Besi. Penerangan di bawahnya menjelaskan yang kemahiran ini boleh mengubah kulit pada seluruh badan seseorang menjadi besi yang mampu menahan pukulan yang kuat. Apabila berjaya menguasai kemahiran ini, kulit pengamal akan bertukar kepada warna metalik. Tanpa teragak-agak, Ling Lan segera menutup pilihan ini. Bagaimana gadis yang lemah lembut sepertinya dapat membiarkan kulitnya menjadi warna metalik? Bukannya dia mahu menjadi Wanita Besi.

Seterusnya ialah kemahiran yang memerlukan 10 mata kehormatan. Kategori ini mempunyai lebih banyak pilihan daripada kategori 1 mata, tetapi apabila dia membuat kiraan, terdapat hanya 10 pilihan. Ling Lan hairan. Ada satu kemahiran yang memerlukan 1 mata kehormatan, dan sepuluh kemahiran yang memerlukan 10 mata kehormatan. Adakah ini bermakna ada lima puluh kemahiran yang memerlukan 50 mata kehormatan?

Sudah tentu Ling Lan tidak serius memikirkannya. Dia sedang menumpukan perhatiannya pada sepuluh pilihan di depannya. Dia hanya ada sepuluh minit, dia tidak boleh membuang masa.

Cakar Burung Helang? Apa? Penguasaan ini akan memberinya kuku yang tajam? Tidak mahu.

Kepala Besi? Dia perlu menghentak kepalanya pada objek keras setiap hari? Menyakitkan dan membuatnya menderita sahaja. Tidak mahu.

Jari Emas? Berlatih dengan mencucuk jari-jarinya pada pokok setiap hari? Tidak masuk akal. Abaikan.

Kaki Pelumpuh? Penguasaan kemahiran ini menjadikan urat kakinya terdedah? Ya Tuhan. Menakutkannya. Tidak mahu.

Lengan Panjang? Apa? Penguasaan menjadikan lengan menjadi panjang seperti lengan kera? Habislah. Walaupun dia terpaksa menyamar sebagai lelaki, dia masih tidak mahu hidup sebagai kera. Terlalu tragis, tidak mungkin.

...

Kenapa semua kemahiran ini sama ada menukar penampilan seseorang atau perlu mencacatkan diri untuk menguasainya? Ling Lan mengadu dalam hati. Apabila Ling Lan hampir berputus asa untuk menebus mana-mana kemahiran dalam kategori 10 mata, dia ternampak kemahiran terakhir dalam senarai tersebut, Lompatan Tinggi Arnab.

Lompatan Tinggi Arnab: Kemahiran bersyarat. Memerlukan badan yang sangat fleksibel. Keperluan minimum ialah kelenturan peringkat B, tetapi kelenturan peringkat A dan yang lebih tinggi disyorkan.

Kemahiran ini tidak mengubah penampilan seseorang selepas dikuasai, tetapi akan meningkatkan kekuatan secara keseluruhan sebanyak tiga kali atau lebih. Peningkatan yang tepat bergantung pada kelenturan pengamalnya serta berapa kuat latihan yang dilakukan. Sila perhatikan perubahan dan membuat penyesuaian sewajarnya.

Kaedah latihan: ...

Ling Lan terus tertarik dengan kemahiran Lompatan Tinggi Arnab ini. Nampaknya kemahiran ini normal, tiada seksaan atau kecacatan disebut dalam kaedah latihannya. Selain itu, syaratnya sesuai dengan Ling Lan. Sembilan posisi asas yang dia telah amalkan ditumpukan khusus untuk meningkatkan kelenturan badan. Jurulatih Nombor Sembilan telah menyatakan dengan jelas, sebaik sahaja dia menguasai sembilan kedudukan, kelenturan badannya berada pada peringkat A.

Secara umum, bayi dilahirkan dengan kelenturan peringkat B, tetapi jika mereka tidak mengamalkan latihan kemahiran fizikal seperti sembilan kedudukan, kelenturan badan mereka akan menurun apabila mereka semakin tua. Orang dewasa biasanya mempunyai kelenturan di antara peringkat D hingga peringkat F.

Jika seseorang berlatih kemahiran menyerang, kelenturan badannya akan menurun lebih banyak, mungkin lebih rendah daripada peringkat D. Sementara itu, seorang pengamal Siri Seimbang kemahiran fizikal boleh mengekalkan kelenturan pada peringkat C, dengan kes luar biasa dapat mencapai peringkat B.

Bagi Siri Pertahanan pula, terdapat dua cabang dalam set tersebut iaitu Siri Daya Ketahanan dan Siri Kelenturan. Fokus Siri Daya Ketahanan ialah menjadikan badan lebih tahan lasak, menguatkan badan untuk meningkatkan kebolehan pertahanan. Ini akan mengurangkan kelenturan, menyebabkan kelenturan badan menjadi sama seperti pengamal Siri Seimbang. Hanya Siri Kelenturan, seperti namanya, ditumpukan untuk melatih kelenturan badan dan membolehkan pengamalnya mencapai kelenturan peringkat A dan ke atas.

Sembilan kedudukan asas yang Ling Lan pelajari ialah daripada Siri Kelenturan. Secara automatik, ruang belajar telah memberikan Siri Kelenturan kepada Ling Lan kerana dia adalah seorang perempuan, dan kerana secara semula jadinya kelenturan badannya sangat tinggi.

Nampaknya ruang belajar juga dapat mengesan jantina, dan tidak ingin menghasilkan wanita berotot besar.

Pada ketika ini, Ling Lan telah membuat keputusannya, tetapi dia masih lagi, dengan berhati-hati, melihat-lihat kemahiran yang memerlukan 50 mata kehormatan. Kualiti kemahiran sudah tentu semakin meningkat, seiring peningkatan kosnya, tetapi sekatan dan syaratnya juga semakin sukar. Kebanyakan kemahiran memerlukan tahap kekuatan, daya tahanan, atau kelenturan badan tertentu. Tahap kemahiran fizikal tertentu juga dperlukan. Ling Lan tahu walaupun dia menebus kemahiran ini sekarang, dia masih tidak dapat memulakan latihan sehingga tiga ke lima tahun kemudian. Lagipun, badannya belum sampai pada peringkat itu. Masih banyak latihan yang perlu dilakukannya terlebih dahulu.

Ketika itu Nombor Satu mengingatkannya, "Tidak banyak masa lagi. Kamu sudah membuat pilihan?"

Ling Lan senyum dan berkata, "Ya, saya memilih Lompatan Tinggi Arnab."

Nombor Satu memberi amaran padanya, "Lompatan Tinggi Arnab cuma memerlukan 10 mata kehormatan. Kamu masih mempunyai 139 mata, apa lagi yang akan kamu pilih? Sila pilih dengan serta-merta. "

Ling Lan menggelengkan kepalanya. "Saya hanya mahu yang ini. Saya tidak memerlukan apa-apa lagi sekarang ini. "

Nombor Satu menarik nafas. "Kamu masih mempunyai banyak mata kehormatan. Kamu mahu buang kesemuanya?"

Ling Lan tersenyum sinis. "Benarkah semua mata kehormatan akan dibuang?"

Nombor Satu hanya memandangnya dengan tenang. Renungannya tenang tanpa perasaan, seolah-olah menyatakan jika Ling Lan benar-benar hanya memilih Lompatan Tinggi Arnab, semua mata kehormatan yang lain akan dibuang.

Ketegasan Ling Lan menjadi goyah akibat renungan daripada Nombor Satu. Patutkah dia menebus semua mata kehormatannya sekarang, dan tunggu sahaj untuk belajar kemahiran tersebut setelah memenuhi syarat-syarat yang diperlukan?

Tetapi itu juga boleh jadi masalah. Memandangkan dia tidak tahu tugasan apa yang akan diberikan oleh ruang belajar selepas ini, jika dia menebus mata itu sekarang dan memilih sesuatu yang tidak sesuai untuknya nanti, semuanya akan jadi sia-sia.

Patutkah dia mengambil risiko sekarang? Atau mengambil risiko untuk masa depan? Ling Lan bergelut untuk membuat keputusan. Dia mengangkat kepalanya untuk memandang Nombor Satu, dengan harapan akan mendapat petunjuk daripadanya. Lagipun, tujuan dia ingin menyimpan mata kehormatannya ialah kerana kata-kata Nombor Satu sebelum ini. Adakah dia salah faham dengan kata-kata itu?