27 Sex Sells?

''Penat! Tertekannya aku! Rasa seperti pergi berperang pula!" dengan suaraku yang agak reedy, aku separa menjerit. Aku seperti hendak gila apabila menerima e-mel dari Daniel yang mahukan aku menukar beberapa perkara di dalam artikel yang telah aku tulis untuknya.

Aku berada di Dr Love ketika itu, sedang cuba memilih gambar yang bersesuaian untuk kolum 'Santai'. Tiba-tiba sahaja, aku menerima e-mel dari Daniel yang menginginkan supaya ianya diubah.

Sejurus selepas perbincangan mengenai isu terbaru Hey tamat, kami mula sibuk mencari dan menyusun bahan-bahan yang bersesuaian. Ianya sepuluh hari yang cukup sibuk dan penuh dengan kejutan. Dalam tempoh itu juga, Daniel berkali-kali mengadakan mesyuarat dan berbincang mengenai perkembangan isu itu. Apa yang membuatkan kami mengeluh sebaik sahaja mesyuarat diadakan adalah perubahan yang sentiasa dimahukan oleh Daniel. Sebagai contoh, pada hari sebelumnya Daniel hampir-hampir bergaduh dengan Dee. Suasana menjadi sedikit tegang apabila Dee diminta mengubah sebuah artikel yang telah pun diubah sebanyak tujuh kali!

"Kenapa dengan dia Gina?" tanya Michelle yang kebetulan berada di Dr Love.

"Cuba kau tanya dia sendiri." kata Gina.

Sebaik sahaja Michelle bertanyakan soalan itu kepadaku, aku mula bercerita mengenai Daniel dan drama yang sedang kami hadapi di Hey.

"Daniel asyik menukar fikirannya. Sudah banyak kali Daniel menolak hasil-hasil kerja aku. Dari artikel, topik dan gambar. Hampir keseluruhannya ditolak! Buat kali pertama aku tidak faham apa yang Daniel mahukan. Sering kali dia menyuruh kami mengubah hasil kerja-kerja kami"

"Daniel itu bos dia bukan?" bisik Michelle kepada Gina yang sedang duduk disebelahnya.

"Mmmm..hmmmmmm.." Gina mengangguk.

"Dan cuba teka, kami cuma ada beberapa belas hari sahaja lagi sebelum ianya dicetak!" tambahku lagi dengan aksi penuh dramatik. Michelle melayan ceritaku yang sudah berkali-kali aku ceritakan kepada Gina dan Ally. Aku berterusan bercerita mengenai kesukaranku untuk tidur malam. Mimpi burukku tentang Daniel dan macam-macam lagi. Aku juga bercerita tentang apa yang berlaku antara aku dan Daniel sebelum dan selepas apa yang berlaku di Asia Cafe.

"Jadi apa yang kau hendak lakukan sekarang Marina? Kau ada apa-apa rancangan?" tanya Michelle.

"Rancangan?" tanyaku kehairanan. Kurang faham dengan apa yang ingin Michelle sampaikan.

"Ya. Kau tidak mahu buat apa-apa?" jawab Michelle sambil tersenyum.

Aku hanya memandang Michelle. Soalan Michelle itu tidakku jawab. Namun, ianya membuatkan aku terfikirkan sesuatu.

******************

Malam itu, aku terjaga dari tidurku. Aku terganggu dengan bayangan-bayangan di Hey. Aku menenangkan diri dan cuba untuk kembali tidur. Aku berpusing ke kiri dan ke kanan. Cuba untuk memejamkan mataku tetapi gagal. Aku gelisah memikirkan hari esok.

"Ah! Bilakah semua ini akan berakhir?" aku mengeluh sendirian. "Mungkin aku perlu melarikan diri" kataku lagi. Dan apabila bercakap mengenai 'melarikan diri', aku mula mengingati kisah lalu. Sesuatu yang pernah aku lakukan semasa di sekolah dahulu. Untuk mengelakkan diri dari menyertai aktiviti perkhemahan, aku pernah berpura-pura sakit perut sehingga doktor mengambil keputusan untuk memasukkan aku ke dalam wad. Aku memikirkan kemungkinan untuk aku melakukan perkara yang sama. Berpura-pura sakit perut, pengsan di pintu utama hospital dan kemudian dimasukkan ke dalam wad untuk beberapa hari.

"Mungkin aku perlu pergi mendapatkan Susan yang sedang dikuarantin dan mendekatkan diri kepadanya?" kataku sendirian. Memberi cadangan untuk digunapakai. "Tidak! Itu sama seperti membunuh diri sendiri. H1N1 bukan perkara main-main. Mungkin juga aku perlu mencium Gina yang kebetulan sedang dijangkiti selesema ketika itu supaya aku dijangkiti dan dikuarantin seperti yang lain? Ah! Mengarut!" aku menolak kesemua rancangan yang aku fikirkan. Namun, selepas beberapa ketika, aku berfikir semula. 'Mengarut? Fikirkan sekali lagi. Salah satu daripada cadangan-cadanganku itu sebenarnya agak bernas'

Dengan rancangan untuk mengulangi apa yang aku lakukan di sekolah pada satu masa dahulu, aku pergi ke Hospital Assunta pada keesokan harinya tepat pada pukul tujuh pagi. Awal-awal pagi lagi, aku menghubungi Daniel untuk memberitahunya yang aku berasa tidak sihat dan memerlukan sedikit rehat.

Aku mengambil nombor giliran dan duduk di tempat menunggu. Semasa menunggu giliranku tiba, aku mula memikirkan kembali rancanganku itu. Aku menyoal kembali apa yang cuba aku lakukan. Apabila aku fikirkan dalam-dalam, aku mula sedar bahawa melarikan diri dari semua itu hanya akan merugikan diriku sendiri. Mungkin dahulu aku boleh mengelakkan diri dari menyertai aktiviti perkhemahan yang membosankan. Tetapi aku berhadapan dengan realiti hidup yang sebenar. Tindakan yang aku ambil pasti akan memberi kesan kepada yang lain.

'Bagaimana jika sesuatu seperti ini timbul di masa akan datang? Perlukah aku melarikan diri lagi? Bagaimana pula dengan Daniel? Walaupun dia nampak keterlaluan sejak timbulnya masalah di Hey, aku tahu dia sebenarnya mengharapkan aku untuk berada di Hey dan terus menerus memberi sokongan hingga selesainya isu Hey yang terbaru. Tidakkah kau rasa penting bagi Daniel pada ketika ini? Kau akan menoleh ke belakang dan berbangga kerana berjaya melepasi semua ini.' Segala macam soalan aku tanyakan kepada diriku sendiri.

'Aku tidak boleh melakukannya kepada Hey. Aku tidak boleh melakukannya kepada Terry Lee dan aku tidak boleh melakukannya kepada Daniel. Tidak! Aku tidak mampu melakukannya. Masa sudah berubah. Aku bukan lagi budak sekolah belasan tahun. Mungkin dramanya masih ada tetapi aku perlu lebih berani menghadapinya.'

"Aku tidak boleh melakukannya Michelle. Tidak boleh!" Aku terus menghubungi Michelle selepas aku membuat keputusan yang aku rasakan tepat untuk diriku.

''Nampaknya kau masih runsing memikirkan tentang Daniel. Walaupun selepas apa yang berlaku antara kamu berdua'' kata Michelle.

''Ya. Tetapi kau jangan salah anggap pula. Aku tidak melakukannya hanya kerana Daniel. Ya. Aku akui yang aku kecewa dengan Daniel selepas apa yang berlaku di Asia Cafe dan keputusannya untuk kembali menjalin hubungan dengan Jennifer. Tetapi aku tidak boleh membiarkan perasaan aku ini merosakkan diri aku sendiri. Aku tidak boleh membiarkan perasaan ini merosakkan sesiapa pun!" terangku kepada Michelle. "Apabila difikirkan semula, aku berasa yang mungkin juga aku hampir melakukannya kerana perasaan marahku kepada Daniel. Aku ingin membalas dendam kerana Daniel menyakiti hati aku. Tetapi sekarang aku sedar yang aku perlu bersikap lebih profesional. Aku tidak boleh mencampur adukkan soal peribadi dengan kerja"

"Baguslah kalau kau fikir begitu Marina. Mungkin ada baiknya kau hubungi Daniel. Atau pun kau pergi terus ke pejabat hari ini!"

"Betul juga. Aku rasa bersalah pula bila tidak datang ke pejabat hari ini. Mereka pasti sedang bertungkus lumus di sana"

Beberapa minit kemudian, selepas perbualanku dengan Michelle tamat, tanpa aku duga, Daniel menghubungiku. Aku teragak-agak untuk menjawab panggilannya. Namun, aku memberanikan diri untuk menekan butang jawab.

''Marina...'' perlahan suara Daniel memanggil namaku.

"Ya Daniel..."

"Awak okey?"

"Ya. Saya baik-baik sahaja. Kenapa awak hubungi saya Daniel? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?"

''Marina. Saya hendak cakap sedikit dengan awak''

Aku sejujurnya kurang senang dengan kata-kata itu. Tidak kiralah dari sesiapa pun. Setiap kali aku mendengarnya, ia akan membuatkan aku berasa gementar.

"Awak... Awak sedikit berubah sejak akhir-akhir ini..." kata Daniel.

"Maksud awak?"

"Awak dan saya. Kita. Ada perubahan antara kita. Kita tidak lagi seperti dahulu"

'Ah Daniel. Berhati-hati dengan kata-katamu. Jangan bermain-main dengan perasaanku' Aku menjerit-jerit di dalam hati.

"Marina. Ianya hanya perkataan. Dia mempersoalkan tentang hubungan profesional kamu berdua. Jangan meromantiskan apa-apa pun yang terkeluar dari mulut Daniel!" wajah Gina muncul memberi amaran kepadaku.

"Mungkin tugasan ini membuatkan saya sedikit bercelaru. Sedikit tertekan. Seorang pembantu sertai tim editorial Hey. Huh! Saya tidak pernah membayangkannya sebelum ini. Mungkin juga saya masih terkejut dengan tragedi ini" jawabku penuh berhati-hati.

"Awak panggil ini tragedi? Lucu betullah awak ini Marina" Daniel mentertawakanku. "Mungkin juga apa yang awak katakan itu betul. Ini semua satu kejutan untuk awak dan juga saya..."

Aku tahu, dari caranya berkata-kata, Daniel seperti dapat merasa apa yang aku katakan itu bukanlah jawapan yang sebenar.

Sejujurnya, selepas apa yang berlaku,aku rasa dikhianati. Aku rasa kehilangan seorang kawan. Aku terfikir, jika aku tiada apa-apa perasaan terhadap Daniel, mungkin aku tidak akan bertindak sedemikian. Aku tahu aku tiada hak untuk menyalahkan Daniel. Dia tidak pernah mengatakan yang dia menyimpan apa-apa perasaan terhadapku. Jadi mengapa perlu aku beremosi seolah-olah Daniel itu teman istimewa aku?

"Betul tiada sebab lain?" tanya Daniel inginkan kepastian.

"Betul. Awak tidak perlu risau. Cuma saya hanya bimbang..."

"Bimbang tentang apa? Isu ini?'' tanya Daniel. Mendengar suaraku yang seperti tidak selesa dengan soalan-soalannya, dia seolah-olah memberikan aku satu idea untuk menukar tajuk perbualan kami.

"Ya Daniel... Saya bimbang tentang isu Hey yang terbaru ini..."

"Kalau awak bimbang. Saya apatah lagi... Saya ini ketua editor. Baik dan buruknya Hey terpikul di bahu saya. Tetapi saya tahu, awak bukanlah jenis orang yang mudah terganggu hanya kerana 'tragedi H1N1' ini. Sepatutnya ianya menjadi satu pesta bagi awak"Daniel mengujiku sekali lagi.

''Apa yang awak cuba katakan sebenarnya Daniel? Hanya itu sahaja yang ada di dalam fikiran saya. Saya bimbangkan Hey. Tetapi saya pegang apa yang awak katakan kepada kami tempohari, apa yg boleh kita lakukan? Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kita perlu teruskan apa yang sudah kita buat. Tamatkan apa yang kita mulakan'' jawabku dengan jawapan yang aku rasakan selamat.

"Hmmm... " Daniel mengelus kecil. Ianya juga membawa maksud yang dia tidak berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan. "Baiklah. Beritahu saya apa yang merunsingkan awak sebenarnya tentang Hey?"

"Saya cuma terfikir tentang isu yang sedang kita fokuskan ini. Ada banyak majalah yang bincangkan isu yang sama" aku mengumpul isi-isi yang telah aku fikirkan untuk sekian lama. "Kebanyakkan orang tahu Hey mampu mengubah sesuatu yang secara konvensionalnya 'bosan' kepada sesuatu yang 'menarik' dan nampak cool untuk beberapa ketika. Hey boleh jadikan sesuatu yang disifatkan sebagai underground kepada mainstream.

"Apa yang awak hendak cuba katakan?" tanya Daniel keliru.

"Isu ini teruk. Kita perlukan sesuatu untuk menaikkan isu ini"

"Awak ada apa-apa idea?" tanya Daniel. Nada suaranya berubah apabila mendengar kejujuranku.

"No but I believe sex and controversy sell" 'Oh tidak! Adakah aku baru sahaja mengatakan seks and kontroversi kepada Daniel? Seks dan kontroversi?!' kataku di dalam hati sebaik sahaja aku menghabiskan kata-kataku.

"I know..." Daniel cuba menahan ketawanya. Aku tahu dia tidak menyangka yang aku akan mencadangkannya untuk menggunakan seks dan kontrovesi. "But I don't know how those two fit into this"

"Oh.....mmmm....." aku hilang kata-kata.

''Take a rest Marina. Think about it and ready to attack later okay?''

"Okay Daniel"

avataravatar
Next chapter