webnovel

S.H.E

Kehidupan seorang anak yatim yang kehilangan keluarganya sejak kecil lagi bukanlah suatu yang mudah. Dia terpaksa menagih kasih daripada keluarga mak ciknya yang tidak pernah dia kenal sebelum ini. Terpaksa belajar apa itu peritnya kehidupan dan mengenal realiti hidup yang tidak pernah dia tempuhi selama ini. Hidup yang ibu bapanya berikan merupakan satu kehidupan yang sempurna, sempurna dari segi kasih sayang dan sempurna dari semua segi keperluan. Kini, sempurna itu tidak lagi wujud dalam hidupnya. Sempurna itu hanya ada di dalam cerita dongeng yang selalu papanya ceritakan dahulu. Kehadiran seorang lelaki membuatkannya menaruh harapan kembali. Mungkin deritanya akan berakhir tidak lama lagi, mungkin hidupnya akan menjadi sempurna semula. Lelaki yang berjaya mencuri hati dan perhatiannya itu mungkin lelaki yang akan membawakan kesempurnaan itu datang kembali. Namun, benar kata pepatah panas tidak akan berterusan hingga ke petang. Sekali lagi, kebahagiaan yang sepatutnya menjadi miliknya diragut oleh sepupunya sendiri. Membuatkan dia semakin jauh terjatuh dan akhirnya tidak lagi mahu menaruh harapan kepada kesempurnaan. Dia berserah kepada takdir yang membimbingnya. Takdir hidupnya bersama lelaki yang tidak mengenal erti kasih dan sayang, lelaki yang menganggap hidup adalah satu permainan. Sheena Heather Edward - Sempurna itu tidak pernah wujud dalam hidup manusia. Sempurna hanya wujud dalam hidup syaitan bertopengkan manusia. Mike Jacob - Jangan menaruh harapan untuk dibahagiakan oleh orang lain kerana setiap orang terlalu sibuk untuk membahagiakan diri sendiri. Adam Daniel - Hidup ditentukan oleh pilihan manusia dan cinta tidak menjanjikan kebahagiaan kerana cinta tanpa wang membawa kepada derita selamanya.

TheWhiteButterfly · Urban
Not enough ratings
15 Chs

Bab 1

Rembulan yang ditemani sang bintang menyinar terang menerangi alam. Sheena mengesat peluh yang mengalir membasahi dahinya. Kain yang menimbun seakan tidak mahu berkurang, sudah hampir sejam dia membasuh pakaian-pakaian tersebut tapi dia masih lagi tersekat di situ. Bayu malam yang dingin tidak menghilangkan lelahnya, malahan semakin menambahkan lagi penat yang dia rasakan. Matanya sesekali melilau memandang sekeliling, almaklumlah tadi dia keluar dari dalam rumah lebih kurang jam7.00 malam, keadaan masih agak terang sedikit. Sekarang, pastinya sudah jam8.00 malam atau lebih, keadaan sedikit menyeramkan. Perutnya juga sudah mulai berkeroncong, hidangan terakhir yang dia jamah adalah pagi tadi. Itupun hanyalah beberapa keping roti sahaja dan secawan milo panas. Kemudian dia sibuk menyiapkan pelbagai kerja-kerja rumah. Sheena, basuh cadar saya! Sheena, basuh tuala saya! Sheena sapu rumah! Sheena, sapu halaman rumah! Sheena, mop lantai! Sheena, sental dinding bilik mandi! Kemudian banyak lagi arahan-arahan lain. Menolak untuk melakukan kerja-kerja tersebut? Memang sengaja mahu mencari masalah masuk ke dalam mulut buaya.

"Sheena, lama lagi ke siap? Awak mesti sengajakan lambat-lambat kat luar! Piring-piring kat atas meja makan awak basuh nanti."

Kedengaran suara auntie-nya, Pn.Biba dari dalam rumah.

"Sekejap lagi, auntie..."

Dia menjawab pantas, pantang Pn.Biba kata-katanya tidak disahut. At least 'okay' atau 'baik auntie' atau 'iya auntie', kalau senyap sahaja memang alamatnya makan seliparlah selepas itu atau makan pelempanglah gamaknya.

Tangan Sheena semakin pantas membasuh pakaian-pakaian di dalam baldi. Mahu membasuhnya ala kadar kang tidak pasal-pasal pula nanti auntie dan juga sepupunya Kayla akan memarahinya lagi, mahu membasuhnya sebersih-bersih yang boleh nanti sehingga tengah malam dia masih tersekat di depan paip membasuh baju. Kalau setakat masuk angin tidak apa, masih boleh sembuh tapi kalau tiba-tiba ada yang datang 'menemaninya' tiba-tiba, boleh sakit berbulan-bulan keteguran.

"Sheena! Cepatlah! Sisa makanan yang belum dibuang tue sudah semakin busuk awak tau tak!"

Sekali lagi kedengaran suara nyaring mengalahkan penyanyi soprano Pn.Biba kedengaran. Kemudian kedengaran juga suara Kayla menambah perisa, sudah pasti perempuan itu sedang bersenang lenang di hadapan televisyen, menonton telenovela melayu kegemarannya.

Sheena mencebik geram tiba-tiba, kenapalah dia dilahirkan untuk melalui semua kesusahan itu. Siang tenaganya dikerah, malam juga dikerah, tidurnya hanya beberapa jam selepas itu dia akan memulakan kembali rutin hariannya. Sedih bukan. Kalau dulu dia masih bersekolah, dia akan menghargai beberapa minit waktu rehat untuk tidur dan juga beberapa minit sebelum guru seterusnya masuk ke dalam kelas untuk melelapkan matanya.

Walaupun hidupnya agak susah tapi tidak ada masalah baginya untuk sentiasa mengungguli tempat pertama setiap semester. Sejak dari bangku sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah. Tapi sayang, niatnya untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat yang lebih tinggi musnah apabila Pn.Biba tidak mahu menanggung wang perbelanjaannya sepanjang pengajian. Kini, dia menjadi pembantu rumah sepenuh masa di rumah auntie-nya sendiri. Pembantu rumah yang tidak bergaji.

Hanya seorang sahaja yang mengambil berat tentang diri Sheena di rumah itu iaitu suami Pn.Biba, En.Martin. Dia seorang sahaja tempat Sheena bermanja semenjak kecil lagi tapi lelaki itu juga tidak mampu untuk melakukan apa-apa yang besar untuk Sheena kerana dikongkong oleh isterinya. Apa yang mampu dia lakukan adalah membelikan Sheena baju-baju baru (dari bundle) dan juga menyediakan serba-serbi keperluan sekolahnya dahulu walaupun tidak lengkap. Walaupun mereka tidak mempunyai pertalian darah, Sheena sudah menganggap En.Martin sebagai ayahnya.

"Sheena! Kalau awak tak siap-siap dalam 5minit lagi, saya kunci awak kat luar! Biar awak tidur di reban ayam sahaja!"

Pantas Sheena menyudahkan tugasannya itu dan bergegas masuk ke dalam rumah. Tidak kisahlah, pakaian yang dia basuh itu bersih atau tidak yang penting, dia tidak mahu lagi dibiarkan tidur di luar rumah sehingg pagi (Yes, dia pernah melaluinya! Nasib baik sahaja dia tidak mati kerana kesejukan dan takut yang melampau-lampau).

"Awak basuh baju kitorang bersih ke tue? Kalau nanti masih ada sisa kotoran, awas awak saya kerjakan!"

Kayla yang melihat sepupunya itu sudah masuk ke dalam rumah meluat. Dia benci dengan Sheena yang memiliki wajah lebih cantik darinya, tubuh yang langsing darinya, kulit yang flawless darinya, lebih cerah tona kulitnya dari dia dan lebih pandai daripadanya. Semua tentang diri Sheena adalah nightmare Kayla yang nyata.

"Saya sudah basuh semua pakaian-pakaian awak dan auntie sebersih-bersihnya."

Sheena cuba untuk mengulum senyum manis. Dia sebenarnya tidak faham, kenapa mereka mahu dia mencuci semua pakaian mereka menggunakan tangan padahal mesin basuh tersimpan rapi di dalam bilik dobi khas. Namun, siapalah dia untuk mahu mempersoalkan itu semua? Kadang dia menangisi nasib dirinya dan kadang-kadang dia juga mensyukuri apa yang dia ada. At least, dia mempunyai keluarga untuk tempat bergantung dan tidak dihantar ke rumah anak-anak yatim.

"Tak payah nak mengada senyum-senyum kat saya. I hate your simile!" Kayla memarahi Sheena dengan yakin.

Terpaksa Sheena mengetap bibirnya agar dia tidak terlepas ketawa atau tersengih mendengar kata-kata Kayla. 'Simile' sangat. Dia mengejek di dalam hati. Mahu sahaja dia membetulkan sepupunya itu tapi memikirkan akibatnya nanti, dia membatalkan niatnya. Bukan tidak mahu berkongsi ilmu cuma kadang-kadang diam itu lebih baik. Ciaciacia.

"So, tunggu apa lagi? Jangan nak curi tulang pula. Banyak lagi kerja yang awak belum siapkan! Jangan nak makan dulu sebelum semuanya clear!"

Pantas Sheena berlalu ke dapur mendengar herdikan Pn.Biba, terbuai sekejap dengan lawak 'simile' Kayla. Kemudian kedengaran Pn.Biba dan anaknya itu membebel lagi sebelum senyap fokus kepada drama telenovela mereka.

Keadaan dapur yang tadinya tunggang-langgang seperti tongkang pecah beransur kemas dan teratur. Tiada lagi piring yang bertempiaran dan periuk yang kotor belum di cuci. Hampir tengah malam barulah Sheena dapat melabuhkan punggungnya di kerusi, tapi baru sahaja dia mahu memulakan makannya kedengaran pula suara Pn.Biba dari dalam bilik memanggil namanya. Sheena menarik nafas dalam-dalam, geram tapi dia tahu tiada apa yang boleh dia lakukan saat itu kecuali menurut sahaja.

"Teruskan makan, Sheena. Uncle pergi tengok apa yang dia mahu."

En. Martin yang baru keluar dari dalam bilik mandi menahannya.

"Thank you, uncle."

En.Martin tersengih kemudian cepat-cepat mendapatkan isterinya. Dari dulu sehingga kini, dia berasa kasihan dengan anak buahnya itu. Walaupun tidak ada pertalian darah dengannya tapi dia menganggap Sheena sebagai anaknya sendiri. Anak gadis tersebut dihantar ke rumah mereka 18 tahun yang lalu selepas keluarganya terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Hanya dia yang terselamat daripada tragedi tersebut. Namun, tidak terselamat daripada tragedi layanan isterinya yang agak dingin dan kuku besi terhadap Sheena.

Hubungan yang renggang antara bapa Sheena dan isterinya menjadi punca kepada layanan yang teruk kepada Sheena. Tidak pernah walau sekali, isterinya tersenyum terhadap anak kecil itu dan jauh sekali mahu memujinya dalam apa-apa perkara sekalipun. Setiap hari, pasti ada sahaja yang menjadi isu dan alasan untuknya merotan atau memukulnya. Kadang, dia sendiri tidak mampu untuk melindungi anak kecil tersebut.

Selepas beberapa minit, En.Martin keluar lagi. Dia berhenti sebentar memerhati rak cawan dengan teliti seperti sedang mencari sesuatu. Sheena melirik memandang uncle-nya itu kemudian meneruskan makannya.

"Uncle cari cawan kegemaran auntie ke tue? Cawan pink, corak bunga-bunga."

Ujarnya tenang tanpa menunggu jawapan dari uncle-nya, dia faham sungguh kerenah Pn.Biba. Dia tidak akan mahu minum kecuali dari cawan kegemaran miliknya.

"Oh, terima kasih Sheena!"

Pantas En.Martin membacuh kopi secukup rasa kemudian berlari anak bersama secawan kopi mendapatkan Pn.Biba di dalam bilik. Sheena tersenyum sendiri, bertuah auntie-nya kerana mendapat seorang suami yang baik seperti uncle Martin.

Keadaan menjadi sunyi senyap, Sheena melirik kearah jam dinding, jam sudah menunjukkan 10.30pm. Ada beberapa jam lagi sebelum dia perlu bangun lagi nanti jam4.00am jadi dia perlu cepat. Tiada lagi lampu di dalam bilik Kayla, mungkin sudah lena diulit mimpi atau sengaja bergelap tapi masih giat bermain telefon bimbit. Alangkah seronoknya jika dia juga dapat melakukan semua hal yang dilakukan oleh Kayla. Sheena cemburu. Life is unfair.

Kemudian hari itu berlalu lagi sama seperti hari-hari yang sebelumnya dan esok pasti akan datang seperti hari kemarin. Tidak ada yang berubah. Sebelum lena dibuai mimpi, Sheena sempat berangan-angan yang hidupnya akan berubah suatu hari nanti. Ada seseorang yang akan menyayanginya sama seperti orang lain, menjaga dan melindunginya setiap hari. Dia tersenyum sendiri.