webnovel

Lagund Katapila

Lagund Katapila memang menjadi tumpuan orang ramai tidak kira sama ada pada waktu siang ataupun malam. Ramai orang berkunjung ke kawasan ini bagi meredakan penat lelah bekerja. Ada yang pergi bersama-sama keluarga, kawan-kawan, kekasih dan tak kurang juga yang datang bersendirian. Ia adalah antara tarikan utama di Laguna Selatan.

Bagi Marina, dia sudah biasa dengan suasana bandaraya ini kerana setiap tahun dia akan pulang ke rumah datuk dan neneknya yang terletak di Teratak Usang. Dia juga mempunyai ramai karib-karib di sini. Jadi, dia tahu serba sedikit selok belok jalan di bandaraya ini.

Siasatan mereka masih lagi diteruskan dan kali ini mereka meneruskannya di Laguna Selatan. Oleh kerana Marina lebih tahu tentang selok-belok jalan di sini, Inspektor David menyuruh Marina memandu kereta pacuan empat rodanya. Lagipun, dia berasa amat penat sekali memandu berjam-jam lamanya malam tadi. Sesekali, dia terfikir tentang mereka yang bekerja sebagai pemandu bas ataupun teksi. Tentu sekali mereka berasa lebih letih lagi dalam melakukan tugas seharian mereka.

"David, tunjukkan saya peta itu" suara Marina mengejutkan Inspektor David dari lamunan. Dia dengan pantas mengambil peta yang menunjukkan laluan menuju ke Jeroro tempat di mana terletaknya rumah yang ditujui mereka. Marina mengambil peta dari tangan Inspektor David dengan teliti mengkaji peta itu.

"Bagaimana Marina?" soal Inspektor David. "Rasanya kita hampir sampai ke Jeroro" jawab Marina ringkas.

"Betulkah?" Inspektor David mahukan kepastian.

"Ya. Daripada peta ini, kita perlu melepasi dua lampu isyarat dan kemudian kita hanya perlu belok ke kanan dan satu setengah kilometer ke hadapan kita akan sampai ke Jeroro"

"Jeroro tu kawasan perumahan ke?" Profesor Kardiff yang sedari tadi mendiamkan diri tiba-tiba bersuara.

"Eh.. saya ingatkan prof tidur tadi" Inspektor David bercanda. Tidak sedar yang Profesor Kardiff sudah lama terjaga dari lenanya. "Setahu saya ianya kawasan perumahan. Tapi ia terletak agak jauh dari pusat bandar" terang Inspektor David.

"Alah…macam Gasso Heights" Marina tiba-tiba menyampuk.

"Wah! Nampaknya kawasan-kawasan perumahan terpencil ni menyimpan seribu satu rahsia" Profesor Kardiff berseloroh. Inspektor David dan Marina ketawa kecil mendengar kata-katanya.

Seloroh Profesor Kardiff sekurang-kurangnya mengurangkan sedikit tekanan yang mereka rasakan sekarang.

MEREKA sudah pun melepasi dua lampu isyarat yang perlu dilalui sebelum memasuki jalan ke Jeroro. Marina kini hanya perlu memandu lima ratus meter ke hadapan sebelum berjumpa dengan laluan masuk ke dalam kawasan Jeroro. Dari tempat pemanduannya, Marina sudah dapat melihat pintu gerbang besar yang tertulis nama 'Jeroro'.

Suasana di Jeroro begitu tenang sekali. Ianya jauh dari hiruk pikuk kota. Kawasan yang berkeluasan lebih kurang seratus ekar itu amat sesuai sekali bagi mereka yang sukakan ketenangan dan kedamaian. Kebanyakkan rumah-rumah di sini bersaiz besar dan reka bentuknya amat menarik. Pelbagai kemudahan disediakan untuk penduduk-penduduk di sini seperti kolam renang, pusat sukan dan rekreasi dan juga dewan serbaguna. Kawalan keselamatan pula amat ketat di sini. Ianya mengingatkan mereka kepada Gasso Heights.

Marina memberhentikan kereta di hadapan sebuah banglo berwarna putih. Dia menoleh ke arah Inspektor David dan Profesor Kardiff.

"Inilah rumahnya" kata Marina kepada mereka berdua.

"Sunyi...….macam tak ada orang aje….." kata Profesor Kardiff. Dia menurunkan tingkap cermin kereta.

"Kita picit locengnya. Mungkin penghuninya berada di belakang" cadang Inspektor David. Dia keluar dari kereta dan dengan perlahan berjalan menghampiri pagar rumah banglo itu. Namun, belum sempat lagi dia menekan loceng, seorang lelaki tua keluar dari rumah itu. Melihat dari segi penampilannya, Inspektor David mengagak yang lelaki itu berusia dalam lingkungan enam puluhan.

"Anak ni cari siapa?" tanya lelaki tua itu.

"Betul ke ini alamat rumah pak cik?" Inspektor David menghulurkan kertas yang tertulis alamat rumah yang mereka cari. Marina dan Profesor Kadiff keluar dari kereta sebaik sahaja lelaki tua itu muncul. Marina seolah-olah pernah melihat lelaki itu tetapi dia tidak berapa ingat tentangnya. Ingatannya tentang lelaki itu agak samar.

"Ya. Kenapa?" jawab lelaki tua itu setelah dia membaca alamatnya yang tertulis pada kertas yang dihulurkan. Selepas itu, dia menyoal kembali Inspektor David.

"Emm… pak cik kenal siapa Adam Raufal?"

"Ya saya kenal dia tapi…" wajahnya lelaki tua itu berubah. Dia seperti cuba menyembunyikan perasaannya.

"...... dia dah tak ada nak. Dia dah meninggal dunia pak cik pun tak sempat nak pergi melawat dia. Kenapa anak tanya pasal dia?" tanya lelaki tua itu. Marina memandang Inspektor David. Tangannya memegang surat yang bertajuk 'Arheb FvF' itu.

"Begini pak cik. Ayah saya menulis surat ini kepada saya. Dia menyuruh saya pergi ke sini" Marina menunjukkan surat yang dipegangnya itu kepada lelaki itu.

"Siapa ayah kamu?" lelaki tua itu menyoal.

"Adam Raufal. Saya anak kepada Adam Raufal" jawab Marina.

"Adam Raufal! K…K… Kamu anak kepada Adam Raufal!" lelaki itu jelas terkejut apabila Marina memperkenalkan dirinya. "Jadi… kamu ni M…Marina" perasaan lelaki tua itu bercampur baur.

"Ya. Macam mana pak cik boleh kenal dengan ayah saya dan juga nama saya?"

"Mestilah. Dia tu sepupu saya."

"Siapa nama pak cik?" Marina terkejut mendengar pengakuan lelaki itu. Patutlah wajah lelaki itu dirasakan pernah dia lihat. Rupa-rupanya, dia adalah bapa saudara sepupunya.

"Fadhil Ikran. Panggil sahaja saya Pak Cik Fadhil" ujar Pak Cik Fadhil sambil tersenyum. Inspektor David dan Profesor Kardiff berdiri bersahaja memerhatikan mereka.

"Dah lama rasanya kita tak berjumpa. Tak sangka pula ini alamat rumah pak cik" kata Marina. Dia merenung dalam muka Pak Cik Fadhil.

"Betul tu. Pak Cik jumpa Marina pun masa tu Marina berumur dua tahun" Pak Cik Fadhil tersenyum. Dia masih lagi mengingati perkara itu. Ingatannya masih kuat.

"Eh.. apa lagi. Jemputlah semua" Pak Cik Fadhil menjemput Marina, Inspektor David dan Profesor Kardiff masuk ke rumahnya.

Pak Cik Fadhil mempersilakan mereka duduk di ruang tamu. Keadaan rumahnya kelihatan begitu kemas dan bersih. Dia ke dapur menyiapkan satu jag air teh untuk mereka.

"Jemputlah minum." persila Pak Cik Fadhil dengan mesra.

"Terima kasih" ucap mereka kepada Pak Cik Fadhil. Kebetulan pula mereka memang haus.

"Emm…Pak Cik tahu kenapa ayah saya suruh saya datang ke sini?" tanya Marina kepada Pak Cik Fadhil. Dia kemudian menghirup air teh itu sedikit demi sedikit.

"Entah. Pak cik pun tak tahu. Dia ada datang ke sini dua bulan lepas, tapi dia tak beritahu apa-apa pun" jawab Pak Cik Fadhil.

Marina mula teringatkan apa yang dikatakan oleh Doktor Adam dua bulan lalu. Menurut Doktor Adam, dia akan pergi ke Laguna Selatan. Tetapi tidak pula dia nyatakan bahagian negeri itu. Kini, barulah Marina tahu destinasi Doktor Adam.

"Tapi...…" tiba-tiba Pak Cik Fadhil seperti teringatkan sesuatu.

"Tapi apa pakcik?" soal Inspektor David. Dia tidak sabar-sabar lagi mendengar jawapan orang tua itu.

"Ada satu bilik bawah tanah di sini. Pak Cik memang khaskan bilik ini untuk dia."

"Bilik apa tu?" soal Inspektor David. Sifat ingin tahunya bergelora.

"Mari pak cik tunjukkan….." Mereka mengekori Pak Cik Fadhil ke bahagian bawah tanah rumah itu dan menemui sebuah bilik di situ. Dia cuba memutar tombol pintu itu tetapi gagal. Dia mencubanya berulang kali. Kemudian, dia menepuk dahinya sendiri. Satu keluhan kedengaran dari Pak Cik Fadhil. Dia memandang mereka bertiga.

"Bilik ini berkunci dan ia tak boleh dibuka dengan sendirinya tanpa kata kunci:

"Kata kunci?" kata Profesor Kardiff dengan nada hairan.

"Ya. Cuba lihat ni" Pak Cik Fadhil menunjuk ke arah papan kekunci yang berada di pintu bilik rahsia itu dia menekan butang 'on' pada papan kekunci itu. Skrin itu memaparkan sepuluh ruang kosong untuk diisi dengan kata kunci yang dapat membuka pintu itu.

Masukkan kata kekunci

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _

"Apa kata kuncinya? Pak cik tahu?" Marina bertanya. Dia bingung, dia sendiri tidak tahu apa-apa mengenai kata kunci yang perlu dimasukkan.

"Tak. Bagaimana pula dengan kamu?" Pak Cik Fadhil menoleh ke arah Inspektor David. Inspektor David tidak menjawab. Dia terpandang surat yang dipegang oleh Marina.

"Marina beri saya lihat surat tu" pinta Inspektor David. Profesor Kardiff memerhatikan sahaja gelagat mereka.

"Berapa banyak tempat kosong yang ada?" Inspektor David bertanya. Dia dan Marina mengiranya bersama-sama.

"Sepuluh" kata Marina perlahan.

"Ya sepuluh dan bapa kamu tulis. 'Kamu' adalah kata kunci untuk membuka pintu ini" Inspektor David merujuk kepada apa yang tercatit di dalam surat itu.

"Apa maksudnya tu?" Marina tertanya-tanya.

"Saya kurang pasti tapi 'kamu' ada empat huruf. Marina cuba kamu tulis nama kamu" gesa Inspektor David. Dia seolah-olah mendapat idea.

M.A.R.I.N.A.A.D.A.M

"Marina Adam. Ya ada sepuluh huruf pada nama penuh kamu. Sekarang cuba masukkan nama penuh kamu ke dalam tempat-tempat kosong itu."

Marina dengan segera memasukkan namanya. Begitu teliti sekali dia memasukkannya. Kemudian dia menunggu dengan penuh sabar. Selang beberapa saat kemudian pintu itu terbuka dengan luas sekali. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Inspektor David menarik nafas lega kerana andaiannya tepat. Dengan langkah yang penuh berhati-hati, mereka melangkah masuk ke bilik itu. Daripada apa yang mereka lihat, bilik itu kosong. Yang ada hanyalah sebuah peti bersaiz sederhana yang terletak di tengah-tengahnya. Peti itu diperbuat daripada besi. Ia berwarna perak dan kelihatan berkilat seolah-olah baru sahaja digilap.

"Eh..ada peti di sini" Profesor Kardiff menunjuk ke arah peti itu.

"Lihat. Ada skrin di atasnya dan ada butang berwarna merah" Pak Cik Fadhil menekan butang 'on' berwarna merah di tepi skrin di atas kotak itu.

"Oh not again!" Marina mengeluh.

"Kenapa?" tanya Inspektor David.

"Tengok tu" Marina menunjuk kea rah tempat-tempat kosong yang terdapat di dalam skrin itu. Sekali lagi, mereka perlu memikirkan kata kunci lain untuk membuka peti itu.

masukkan kata kekunci: … … … …

"Kata kekunci lagi. Tapi sekarang ada empat tempat kosong di sini." Inspektor David mengira tempat-tempat kosong tersebut.

"Saya tahu mungkin klon adalah kata kekuncinya. Tengok ni ada empat huruf yang terdapat dalam perkataan klon." Marina segera memasukkan huruf 'k','l','o', dan 'n'. Namun,

maaf kata kekunci tidak tepat. Cuba lagi.

Jawapan yang diterima amat mengecewakan.

"Tak mungkin. Marina beri saya surat tu" Inspektor David mengambil surat itu di tangan Marina. Dia meneliti surat itu semula. Dia memerhatikan jadual dua puluh enam hurf-huruf roman yang disusun di bahagian bawah surat itu.

"Apa maksud semua ini" Inspektor David menyoal mereka tentang jadual itu. Manalah tahu mereka faham dengan maksud susunan jadual huruf roman itu. "Inspektor, boleh saya tengok surat tu" pinta Profesor Kardiff. Dia seperti mendapat satu gambaran jelas tentang jadual itu. Dia menelitinya.

"Saya rasa saya tahu apa maksud surat ini. Ketika saya kecil saya selalu bermain permainan yang digelar 'THE INVERSE LETTER'" kata Profesor Kardiff setelah selang beberapa saat dia meneliti surat itu.

"THE INVERSE LETTER? Apa tu?" soal Inspektor David.

"Ia satu bahasa tulisan rahsia. Contohnya begini. Jika saya mahu tulis nama Marina dalam 'THE INVERSE LETTER', saya perlu membariskan tiga belas huruf pertama roman dan kemudian saya perlu membariskan tiga belas huruf terakhirnya di bawahnya. Kemudian jika saya mahu huruf 'M', saya perlu tulis huruf 'z'. Jika saya mahu huruf 'A', saya perlu tulis huruf 'N' dan begitulah seterusnya.

A B C D E F G H I J K L M

N O P Q R S T U V W X Y Z

Jadi, 'Marina' dalam tulisan THE INVERSE LETTER adalah…. ZNEVAN" terang Profesor Kardiff dengan panjang lebar.

"Okey. Jadi jika KLON ditulis dalam tulisan THE INVERSE LETTER, ia akan menjadi….. XYBAR" Inspektor David menulisnya di atas kertas. Marina dengan cepat memasukkan kata kunci itu.

masukkan kata kunci : X-Y-B-A-R

Mereka semua menungggu dengan sabar dan kemudian.

kata kunci diterima

Mereka berasa amat lega sekali. Namun muncul lagi sesuatu di skrin.

Masukkan kata kunci : …. …. …. …. …. …. …. ….

"Kata kunci lagi" Marina mengeluh berat.

"Saya tahu apa yang perlu diisi. Sebenarnya ada lima kata kunci yang perlu kita lepasi untuk membuka peti ini. Sekarang ada sepuluh tempat kosong yang perlu diisi. Saya rasa ianya untuk Kentofes dan jika kita ubah kepada menjadi ............…. XRAGBSRF" Inspektor David mula menulis lagi.

"Begitu juga dengan Pemburu Emas, Derof dan i-chip. Kita perlu tukarkan semua istilah-istilah ini kepada THE INVERSE LETTER. Kemudian, barulah kita boleh buka semua kata-kata kunci ni" kata Marina.

"Betul tu. Wow, apa agaknya yang ada dalam peti ini ya!" Inspektor David mula berasa kagum dan bersemangat.

"Okey David. Biar saya tolong kamu tukarkan semua istilah-istilah ini" Marina menawarkan diri.

Mereka menghabiskan kesemua kod-kod yang ada dan akhirnya pintu besi itu terbuka. Di dalamnya, terdapat sebuah fail yang bertanda i-CHIP dan sekeping cakera padat yang diletakkan di dalam kotak lutsinar.

Marina mengambil fail itu dan terus membukanya. Di dalamnya terkandung beberapa gambar dan catitan mengenai projek yang dibuat oleh bapanya.

"Pak Cik Fadhil. Ada computer di rumah ini?" tanya Marina.

"Ada dalam bilik Pak Cik di tingkat atas"

"Boleh saya gunakan. Saya nak lihat apa isi kandungan cakera padat ini"

"Okey. Mari ikut saya"

Mereka bertiga mengikut Pak Cik Fadhil ke tingkat dua rumahnya. Dia membawa mereka ke biliknya dan terus menghidupkan komputer peribadinya yang terletak bersebelahan dengan katil tempat tidurnya.

"Beri saya cakera padat tu" pinta Pak Cik Fadhil. Inspektor David memberikannya kepada Pak Cik Fadhil. Kemudiannya memeriksa format cakera padat itu. Dengan menggunakan Window Media Player cakera padat itu dimainkan. Beberapa gambar muncul. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Memikirkan apa yang sebenarnya terkandung di sebalik gambar-gambar itu.