webnovel

Hilang

Gina masih lagi berada di rumah. Dia berjalan ke hulur hilir di ruang tamu menunggu rakannya Marina yang masih tidak pulang ke rumah. Dia sudah cuba untuk menghubungi Marina beberapa kali. Namun, teman baiknya itu tidak menjawab panggilannya. Lantas, dia membuat keputusan untuk menghubungi teman lelakinya, Hans.

"Hai Gina!" kata Hans sebaik sahaja menjawab panggilan dari teman wanitanya itu.

"Hans! Hans kat mana sekarang ni?" tanya Gina. Suaranya menunjukkan fikirannya yang runsing.

"Taman Bunga Utama Pasadianka" jawab Hans.

"Buat apa di sana?"

"Ada tugasan. Kenapa macam risau je ni?" Hans seperti dapat membaca fikiran teman wanitanya itu.

"Marina!"

"Kenapa dengan Marina?"

"Dia hilang. Dia tak pulang ke rumah semalam."

"Dah cuba call dia?"

"Dah. Tapi tak dapat. Tak ada jawapan."

"Dah berapa lama dia hilang?"

"Taklah lama sangat. Tapi yang merisaukan Gina, dia tak dapat dihubungi. Entah apalah yang terjadi agaknya. Tahu-tahu jelah apa yang baru berlaku hari tu di PRASASTI.

"Dia tak beritahu ke mana dia pergi sebelum ni?"

"Dia cakap yang dia ke rumah keluarganya di Brechala dan dia berjanji untuk pulang ke rumah pada malam itu juga. Tapi sampai sekarang tak muncul-muncul."

"Apa kata kalau Gina pergi ke Brechala dahulu. Mana tahu dia ada di sana. Mungkin dia pengsan ke… Siapa tahu? Kalau betul, pasti tiada siapa yang boleh menolong dia. Yalah, dia pergi seorang diri sahaja kan…"

"Mungkin juga!" kata Gina menyokong

"Bila Gina nak pergi?"

"Sekarang! Okey Hans, Gina pergi dulu. Bye"

*****************************************************

Gina segera memandu keretanya menuju ke Brechala. Dia merancang untuk mencari Marina terlebih dahulu sebelum menemui Hans. Dalam masa empat puluh lima minit, kereta yang dipandu sudah pun memasuki kawasan perumahan Brechala.

"Selamat datang. Boleh saya bantu?" sapa salah seorang daripada pengawal keselamatan yang berkawal di pondok kawalan perumahan Brechala.

"Saya nak pergi ke rumah Adam Raufal. Nombor rumah 369."

"Sekejap ya, cik." Lelaki itu cuba menghubungi penghuni rumah bernombor 369.

"Nombor 369, pemilik rumah bernama Adam Raufal?" lelaki itu bertanya. Gina mengangguk.

"Maaf, cik. Tiada sesiapa di kediaman pada ketika ini." Pengawal keselamatan itu memberitahu. "Tapi malam semalam anaknya Cik Marina Adam ada ke sini. Tapi tak tahulah di mana dia sekarang. Rasanya dia belum keluar dari rumah tu." Tambah pengawal keselamatan itu lagi.

Nampaknya tiada cara lain, Gina terpaksa menceritakan masalah yang dihadapinya kepada mereka. Dia perlu memeriksa rumah itu. Jika benar seperti apa yang Hans katakan tadi, dia perlu segera ke sana untuk membantu Marina.

"Boleh salah seorang daripada kamu temankan saya ke sana?" pinta Gina setelah mereka bersetuju untuk memberi kebenaran kepada Gina untuk memasuki kawasan perumahan elit itu.

"Saya akan ikut kamu." Lelaki yang menyambut Gina itu tadi menawarkan diri. Tanpa berlengah lagi, Gina bergerak menuju ke rumah bernombor 369 itu.

Sejurus sahaja tiba di perkarangan rumah itu, Gina mendapati lampu halaman rumah itu bernyala. Dia segera menutup suis lampu halaman rumah yang berada bersebelahan dengan pintu utama ke ruang tamu rumah itu.

"Helo! Ada sesiapa di dalam?" jerit Gina setelah beberapa kali menekan loceng. Namun, tiada jawapan yang diberi.

"Tak boleh ke kita masuk je?" tanya Gina.

"Tak boleh cik. Takut dikatakan menceroboh pula." Jelas pengawal keselamatan itu. Gina menekan lagi loceng. Namun, keadaan masih lagi sama.

"Awak bawa kunci rumah ni?: soal Gina kepada lelaki itu.

"Cuba awak buka. Tak mengapa. Kalau ada apa-apa yang berlaku, Saya akan menanggungnya" Gina memberi jaminan.

"Baiklah cik…" Pengawal keselamatan itu cuba memusing tombol pintu itu. Dia memandang ke arah Gina.

"Kenapa?" soal Gina kehairanan.

"Pintu rumah itu rupanya tidak berkunci." Jawab pengawal keselamatan itu.

Gina mula merasakan sesuatu yang tidak kena. Hatinya merasakan ada sesuatu yang tidak baik telah berlaku pada Marina.

"Biar saya masuk" kata Gina. Dia membuka pintu itu perlahan-lahan. Dia melangkah masuk ke dalam. Pengawal keselamatan itu mengikutinya dari belakang.

"Kosong sahaja….." kata pengawal keselamatan itu. Matanya memerhati ke setiap sudut yang terdapat di dalam rumah itu.

Gina menaiki tangga rumah itu perlahan-lahan. Dia ingin memeriksa tingkat atas rumah itu di mana terletaknya bilik Marina. Tiba-tiba, matanya terpandang sesuatu bersepah di atas tangga. 'Itu beg galas Marina' Gina berkata-kata di dalam hati. Tanpa melengahkan masa, dia membuka beg itu dan memeriksa isi kandungannya.

Dia meneliti setiap keratin-keratan yang terdapat pada buku catitan yang dijumpainya itu. Dia termenung seketika, seperti mana Marina, dia juga memikirkan perkara yang sama. Persoalan mengenai keratin-keratan yang baru sahaja dibacanya itu. Tetapi apa yang penting sekarang adalah mencari Marina. Dia perlu mencari Marina terlebih dahulu. Tapi di mana? Mungkin Marina ada di tempat yang selalu ditujuinya apabila dia ditimpa masalah.

************************************************

Setelah mengucapkan terima kasih kepada pengawal keselamatan itu, Gina pun segera beransur. 'Ke mana Marina pergi sebenarnya?' soalan itu tidak henti-henti bermain dalam fikiran Gina. Kehilangan Marina benar-benar membuatkan dia berasa bimbang. Namun… daripada apa yang dijumpainya seketika tadi, ada kemungkinan yang Marina… Tidak! Dia tidak mahu memikirkan sebarang kemungkinan yang buruk. Dia perlu menjejaki rakannya itu dahulu.

Gina memberhentikan keretanya di tepi jalan. Dia duduk seketika memikirkan sesuatu. 'Suraya' nama itu tiba-tiba muncul dalam fikiran Gina. Telefon bimbitnya dicapai. Dia cuba untuk menghubungi pejabat Marina. Dia pasti Suraya ada di situ.

"Helo" suara Suraya kedengaran.

"Helo, Suraya. Gina bercakap ni" kata Gina. Dia sudah dapat mengecam suara wanita itu. Suraya tidak sempat untuk memperkenalkan nama syarikat milik Marina itu.

"Oh Gina. Kenapa?" tanya Suraya. Dia hairan apabila Gina menghubungi telefon pejabat.

"Tak ada apa-apa. Aku cuma nak tanya, ada Marina datang ke pejabat hari ni?"

"Tak. Dia tak datang pejabat hari ni" jawab Suraya ringkas.

"Dia ada call kau beritahu yang dia tak datang?"

"Tak. Dia tak call pun. Kenapa Gina?" tanya Suraya.

"Entahlah, Suraya. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana." Kedengaran suara Gina mengeluh.

"Lain macam je bunyinya. Ada yang tak kena ke?"

"Marina hilang Suraya. Dia tak balik rumah semalam. Aku dah call banyak kali tapi masih tak dapat" jelas Gina.

"Ke mana pula dia menghilang?" Suraya juga merasa terkejut dengan apa yang dikatakan oleh Gina.

"Itulah yang merisaukan aku sekarang ni!"

"Mungkin dia mencari sesuatu atau pun dia cuba menyiasat tentang kematian ayahnya dengan caranya sendiri. Kau pun faham-faham je lah Marina tu." Suraya menyatakan pandangannya.

"Mungkin juga. Tapi ke mana? Do you have any idea?" Gina bertanya semula.

"Entahlah…." Jawab Suraya. "Mmm… Bila kali terakhir kau jumpa dia?" Suraya bertanya pula kepada Gina.

"Pagi semalam. Tapi dia hantar mesej pada aku pada sebelah malam. Dia kata dia pulang lewat sebab dia nak pergi ke rumah keluarganya di Brechala."

"Semalam dia keluar dari pejabat awal. Tapi bukan sebab nak ke Brechala"

"Kau tahu kenapa?"

"Nak jumpa seseorang katanya. Tetapi siapa dan di mana mereka berjumpa tu aku tak tahu. Oh ya! Apa kata kalau kau ke Brechala." Suraya memberi cadangan.

"Aku sebenarnya baru sahaja keluar dari Brechala."

"Jadi bagaimana? Apa yang kau jumpa?"

"Aku syak ada sesuatu yang terjadilah… Masa aku sampai, lampu halaman terbuka, pintu rumah tak berkunci dan bila aku masuk, aku jumpa beg galas dia bersepah atas tangga."

"Really?" Suraya bagaikan tidak percaya dengan apa yang diberitahu oleh Gina.

"Betul. Aku baru sahaja keluar dari rumah dia"

"Apa lagi yang kau jumpa?"

"Aku jumpa beg galas Marina bersepah di atas tangga"

"Beg galas?"

"Yup! Tapi yang buat aku musykil sekarang ni adalah isi beg tu"

"Apa isinya?"

"Buku catitan Doktor Adam Raufal"

"Buku catitan je? Apa yang peliknya?"

"Keratan-keratan akhbar yang terdapat dalam buku catitan tu yang membuatkan aku pelik sebab rata-rata bercakap mengenai orang hilang dan penyeludupan manusia."

"Oh my God! Mungkin semua yang terjadi dan dilaporkan ada kaitan dengan….."

"Pembunuhan Doktor Adam!" mereka bercakap serentak.

"But it's too early to make a conclusion. Oh ya! Aku rasa, mungkin Marina pergi ke Menara Pelangi semalam. Selalunya kalau ada temu janji, Menara Pelangilah yang menjadi pilihan. " kata Suraya. Dia cuba memberi andaian.

"Betul juga tu. Mungkin ada sesiapa yang nampak dia semalam. Okeylah Suraya. Aku pergi dulu. Terima kasih!" Gina memutuskan talian.

Gina menghidupkan enjin kereta. Dengan kelajuan yang sederhana, dia memandu menuju ke Menara Pelangi. Jalan raya diredahinya dengan lancar. Mujur jalan tidak sesak pada ketika itu. Jika tidak, pasti lambat dia sampai ke Menara Pelangi.

Sejurus sahaja sampai di tempat tujuannya, dia memarkir kereta, dia segera keluar dan memasuki bangunan pencakar langit itu. Seluruh pelusuk tempat itu ditinjaunya. Dia juga bertanya dengan mereka yang bekerja di tempat yang selalu dikunjungi Marina. Namun, jawapan yang diterima menghampakan.

************************************************

Gina duduk berehat di sebuah bangku yang terletak di sebuah kedai buku. Fikirannya masih memikirkan mengenai perkara yang sama. Marina. Dia bimbang sesuatu berlaku ke atas rakannya itu. Dia khuatir Marina menjadi sasaran selepas Doktor Adam dan tidak mustahil dirinya juga berpotensi menjadi sasaran. Bermacam-macam kemungkinan boleh terjadi dalam situasi ini.

Mungkin, dia sepatutnya menyerahkan sahaja perkara ini kepada pihak polis. Lagi pun segala bukti—bukti yang dijumpainya tadi sudah cukup kuat untuk membuktikan kehilangan Marina.

Gina segera melangkah, tergesa-gesa berjalan menghala ke pintu keluar. Tatkala Gina hendak memasuki perut kereta, dia teringatkan sesuatu. Rakannya Alya bekerja di salah sebuah kedai cenderamata di situ. Gina segera menukar arah dan bergegas ke tingkat enam banggunan itu.

Kedai cenderamata yang bernama Happy Days itu nampak lengang hari ini. Gina melangkah masuk. Dia menunjukkan wajah yang ceria, menyembunyikan kerisauan dalam hatinya.

"Hai Gina! Apa khabar!" Alya, rakan mereka yang bekerja di kedai cenderamata itu menyambut Gina sebaik sahaja dia ternampak rakannya itu.

"Baik…" jawab Gina lemah.

"Lama dah kau tak datang. Kenapa?" tanya Alya.

"Sibuk sikitla Alya… macam-macam berlaku sejak akhir-akhir ini"

"Bagaimana dengan Marina?"

"Tu lah yang merisaukan aku. Dia hilang…"

"Hilang! Eh! Betul ke ni…? Kau dah cuba hubungi dia?" tanya Alya. Matanya terbeliak besar apabila mendengar khabar mengenai Marina itu.

"Sudah… Sudah banyak kali aku hubungi dia. Tapi telefonnya dimatikan" jawab Gina. Nafasnya kedengaran agak berat.

"Bagaimana dia boleh hilang?"

"Tak tahulah. Dah puas aku cari…"

"Hari tu dia baru saja datang ke sini..."

"Bila?"

"Kelmarin tak silap aku…"

"Buat apa dia datang ke sini?"

"Dia beritahu aku dia baru sahaja berjumpa dengan seseorang…"

"Ada dia beritahu kau siapa orang yang dia jumpa?"

"Tak pula. Aku ada tanya juga tapi dia hanya cakap 'orang penting'"

" 'orang penting'…?"

"Ya… itulah yang dia beritahu aku."

"Apa lagi yang dia beritahu?"

"Tak ada apa-apa. Tapi dia tertinggal beg kertas ni" Alya menunjukkan beg kertas Marina yang berwarna hitam itu kepada Gina.

"Eh! Itu memang beg kertas dia. Macam mana pula dia boleh tertinggal?"

"Cuba kau tengok isi dalamnya. Aku tak berani nak buka" Alya menghulurkan beg kertas itu kepada Gina.

"Nanti kejap aku tengok." Gina melihat isi dalam beg kertas itu. Satu persatu dikeluarkan dan diperiksa. "Semuanya barang-barang biasa aje….. Cuma… kertas ni…" Gina membaca surat yang bertajuk Arheb FvF itu.

"Kertas apa ni?" Alya kehairanan.

"Macam surat..tapi kenapa begini?"

"Apa itu Kentofes, Pemburu Emas dan Derof? Kenapa pula ada alamat dan dua puluh enam abjad-abjad roman disusun di bawahnya?"

"Entahlah Alya. Tapi aku pasti 'orang penting' yang Marina jumpa itulah yang memberi surat ini kepada Marina"

"Boleh jadi. Tapi siapa?" tanya Alya. Gina hanya mengangkat kedua belah bahunya. Dia sememangnya tidak tahu siapa 'orang penting' yang dimaksudkan oleh Marina.