Ayame,
Hari ini, aku berjalan-jalan di taman permainan yang terletak berdekatan dengan rumahku. Aku ingin mengambil angin. Bosan tinggal di rumah sendirian. Ibu pergi ke rumah kawannya. Pak Cik Lan pula entah ke mana hilangnya. Tak ramai yang berada di taman. Hanya beberapa orang kanak-kanak sahaja yang kelihatan bermain-main di kawasan itu. Gelak tawa mereka memecah kesunyian.
Sedang aku berjalan, aku ternampak seorang lelaki yang sedang duduk di salah sebuah bangku di taman itu. Kalau melihat dari gayanya, dia ku kira berusia dalam lingkungan lewat dua puluhan. Aku rasa, mungkin dia berusia dalam dua puluh lapan atau dua puluh sembilan tahun.
Dia duduk sambil membaca buku. Aku tak pernah nampak kelibatnya dia di sini. Dia tentu orang luar. Datang ke sini untuk melarikan diri dari dunianya yang gila dan penuh dengan ilusi.
Aku mahu menegurnya tapi aku segan untuk memulakan langkah. Aku mula memerah keringat otakku. Memikirkan apa yang harus aku lakukan untuk menarik perhatiannya. Setelah berfikir selama beberapa minit, aku membuat satu rancangan bijak iaitu berpura-pura jatuh di hadapannya.
Aku pun mula beraksi. Nasib baik segalanya berjalan seperti mana yang aku rancangkan. Ianya terbukti satu rancangan yang berjaya. Syabas aku ucapkan kepada diriku!
Melihat keadaanku yang sebegitu rupa, dia segera membantuku. Dia memapahku ke bangku yang didudukinya tadi dan segera berlari menuju ke arah keretanya yang terletak tidak jauh daripada situ. Aku lihat dia membawa sebuah peti pertolongan cemas. Ketika itu berdebar juga aku. Yalah, aku bukannya cedera pun. Semuanya hanya satu lakonan. Aku segera menggaru betis kiriku dengan kuku. Nasib baik ianya masih panjang. Kalau tidak, pasti helahku tidak menjadi.
Ternyata, dia adalah seorang lelaki yang baik. Aku rasa bersalah pula kerana menipunya dengan cara begini. Dia memberitahu yang namanya adalah Shahril. Bila aku tanya nak panggil pak cik atau pun abang. Dia menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Aku bertanya juga, lucu ke pertanyaan aku tadi. Kemudian, dia menyuruhku agar tidak memanggilnya dengan panggilan abang atau pun pak cik. Dia menyuruh aku menggunakan sahaja nama pendeknya itu Shahril.
Selepas dia selesai membalut lukaku yang tak seberapa itu, kami berbual-bual. Panjang juga kami berbual. Banyak tentang dirinya yang diceritakan kepadaku. Aku juga begitu.
Dia memberiku kad namanya kepadaku. Barulah aku tahu yang dia merupakan seorang ahli psikologi. Aku benar-benar gembira berjumpa dengan Shahril. Dia menghantar aku pulang ke rumah dan memberikan buku berkenaan Sigmund Freud dan sebuah buku bertajuk 'Semesta 5'. Aku tak pernah dengar tentang semua itu sebelum ini. Tetapi aku akan membacanya tak lama lagi. Menarik juga! Terima kasih Shahril!