10 Tarian Ular Berapi (Bahagian 1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Aum!" Api yang dihembus dari mulut naga Veloci menyelubungi puluhan meter kawasan sekitarnya. Ia kelihatan seperti lautan berapi.

"Hiss…"

Api naga Veloci menari di sekeliling tubuh empat pahlawan itu. Namun mereka dilindungi oleh Perisai Karapas Berais dan Qi-tempur mereka. Mereka berempat mampu untuk menahan bahang api itu.

Pemanah pada waktu itu, telah menunggang Griffin dan terbang ke langit bersma busurnya.

Lembu Besi Penghisap Darah pula berdiri teguh seperti tembok besi, melindungi dua orang ahli sihir wanita itu.

* Swish! Swish! Swish! *

Mata pemanah yang garang bersinar keemasan. Tangannya pula kukuh bak batu. Pemanah yang menunggang Griffin itu melepaskan tiga anak panah berturut-turut. Sasarannya ialah ahli sihir misteri yang berada di belakang naga Veloci itu!

"Woosh!" Ekor naga Veloci melibas dengan pantas seperti kilat, malah lebih pantas daripada anak panah. Dalam sekelip mata, ketiga-tiga anak panah yang dilepaskan pemanah itu berkecai. Ekor naga itu kemudiannya melibas ke arah empat pahlawan itu. Bunyi lolongan yang terhasil daripada ekornya yang dilibas ke udara terus mengubah wajah semua pahlawan itu. Mereka segera melompat ke belakang lagak seekor monyet yang tangkas.

Tetapi ekor naga itu tidak bergerak dalam corak tertentu. Sebaliknya ia bergerak secara rawak dan melengkung secara aneh.

* Dentum! *

Salah seorang daripada empat pahlawan itu tidak sempat mengelak. Libasan ekor naga itu terkena pinggangnya. Kedua-dua perisai karapas berais dan Qi-tempurnya hancur dalam sekelip mata. Dengan sekali sentapan, ekor naga itu membelit badannya dengan erat.

"Luke!" teriak pahlawan berambut merah itu dengan kuat sekali. Matanya dipenuhi dengan kepedihan.

"Jangan!" Luke juga menjerit kuat.

Dengan pantas, ekor drakonik naga itu melempar Luke terus ke mulutnya. Naga tersebut membuka rahang, mendedahkan mulutnya yang dipenuhi darah. Ia lalu mula mengunyah dan menghasilkan bunyi derapan yang mengerikan. Perkara terakhir yang keluar dari mulut Luke ialah jeritan kesakitan.

Selepas dikunyah gigi gergasi naga Veloci, badan Luke bertukar menjadi daging cincang. Sebelah kakinya yang terkeluar dari mulut naga itu jatuh ke bawah. Tulang putih dapat dilihat daripada kaki Luke yang dipenuhi dengan darah itu.

"Jangan tengok," kata Hilman sambil menutup mata Linley.

Situasi di hadapan mereka terlalu dahsyat. Lelaki dewasa yang melihat kejadian mengerikan itu buat pertama kali akan turut panik. Inikan pula Linley yang baru berusia lapan tahun.

Tetapi sudah terlambat. Linley sudah melihat segala-galanya.

'Huf, huf.' Jantung Linley rasa seperti dihimpit batu besar. Dia semakin sukar untuk bernafas dan mula tercungap-cungap. Kejadian yang berlaku kepada Luke belayar di matanya berulang kali.

Perutnya dirobek manakala ususnya berkecai. Tempurung kepalanya hancur dan sebahagian kakinya jatuh ke tanah!

Bayangan itu membuat Linley sukar bernafas dan dia berasa pening.

Ini kali pertama Linley melihat pertarungan yang ganas dan kejam. Ini juga kali pertama Linley melihat seseorang dimakan hidup-hidup oleh seekor naga Veloci. Bayangan sebahagian kaki lelaki itu itu terpahat dalam ingatan Linley.

Hilman, Roger dan Lori bertukar pandangan cemas sewaktu melihat keadaan Linley.

Apakah kesan buruk kejadian itu ke atas minda kanak-kanak berusia lapan tahun ini? Adakah ia akan menjadi trauma berpanjangan? Jika seorang anak muda mengalami trauma disebabkan pertempuran, ia akan memberi kesan terhadap pencapaian masa depannya.

'Membunuh seseorang. Bukan perkara besar. Tidak besar.' Linley berulang kali memaksa dirinya berfikir sebegitu. 'Apabila aku sudah dewasa dan berkhidmat dalam tentera, aku juga akan membunuh orang. Aku perlu bertahan.'

Linley seorang yang bijak. Dia telah membaca banyak buku dan tahu apa yang perlu dilaluinya pada masa akan datang.

Dalam benua Yulan, semua lelaki dewasa akan menempuhi pengalaman hidup dan mati. Namun disebabkan Linley masih budak dan belum pernah melaluinya, dia harus mengingatkan dirinya berulang kali supaya bertenang. Perlahan-lahan, perasaan ngeri di dalam hatinya beransur-ansur pudar.

Sebaliknya, dalam masa yang singkat itu, sebenarnya darah Linley mula meluap-luap.

'Pertarungan ini benar-benar sengit. Ia sangat mengujakan.' Entah mengapa, pertarungan berdarah itu membuatkan Linley berasa teruja, mengisi hatinya dengan keinginan. Keinginan untuk bertarung dan membunuh!

'Adakah ini disebabkan darah naga yang mengalir di dalam badannya?' Linley tidak tahu.

Linley tiba-tiba mendapati dirinya sangat bersemangat untuk menyertai pertarungan berdarah seperti itu. Linley segera melangkah ke tepi, menjauhi lengan Hilman yang melindunginya. Dia terus menonton pertarungan yang masih berlangsung seratus meter daripada mereka.

"Linley, jangan tengok." Hilman terkejut melihat Linley yang berniat untuk terus melihat pertarungan itu.

"Pak Cik Hilman, saya tak takut," ujar Linley memandang Hilman sekilas.

Tiba-tiba, Hilman menyedari anak mata Linley penuh dengan keterujaan. Dia tidak lagi menghalang Linley daripada melihat pertarungan itu. Linley yang melihat pertarungan itu dari jauh mula menyedari pertarungan itu mula mencapai klimaks yang lebih dahsyat.

"Aum!" Dengan lolongan yang kuat, naga Veloci itu memaling kepalanya dan menggigit-gigit ke arah pahlawan itu, sementara kuku tajamnya mula menyambar pahlawan yang lain. Sepantas kilat ia melibas-libaskan ekornya menyasarkan pahlawan ketiga.

Para pahlawan itu diasak sehingga mereka tidak mampu menyerang sebaliknya berundur.

Ahli sihir misteri di belakang naga itu langsung tidak bergerak. Dia hanya membiarkan naga Veloci bertarung dengan musuhnya. Bibirnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

"Tarian Ular Berapi!"

Tiba-tiba suara dingin ahli sihir misteri itu kedengaran. Dalam sekelip mata, tujuh ekor ular berapi yang panjangnya mencecah puluhan meter muncul. Ular-ular itu menderu keluar daripada ahli sihir dari semua arah. Setiap ular berapi ini nampak seperti makhluk hidup sebenar. Sisiknya jelas kelihatan dan mempunyai badan yang besar mencambahkan rasa takut kepada sesiapa yang melihatnya.

Semua orang yang melihat terpempan..

Mantera Elemen Api tahap kelapan – Tarian Ular Berapi!

Jelaslah selama ini ahli sihir misteri itu membaca mantera ajaib. Dia sedang menyiapkan mantera Elemen Api tahap kelapan, iaitu Tarian Ular Berapi! Manteranya menghasilkan tujuh ekor ular berapi. Setiap satu daripadanya mempunyai kuasa serangan yang menakjubkan. Kemahiran pertahanan naga Veloci yang hebat juga tidak mampu menangkisnya. Jika terkena serangannya, walaupun ia terselamat, ia tetap akan mengalami kecederaan parah.

Jika berhadapan dengan ahli sihir tahap ketujuh, skuad kecil masih mampu lagi bertahan buat seketika. Tetapi jika berhadapan dengan ahli sihir tahap kelapan dan seekor naga Veloci? Mereka tidak mempunyai kuasa untuk melawan.

Kini barulah mereka tahu ahli sihir misteri itu pakar tahap kelapan!

"Itu tarian Ular Berapi. Cepat lari selamatkan diri!" jerit ketua berambut merah itu. Wajahnya berubah.

Enam ahli skuad kecil yang masih hidup kini diselubungi ketakutan.

"Sudah terlambat. Rasakan kematian yang mengerikan ini!" Ahli sihir misteri itu berkata dengan suara yang dingin dan kejam. Kata-katanya seakan-akan pisau belati ditusuk tepat ke dada ahli skuad kecil itu.

avataravatar
Next chapter