47 Sekolah Pahat Lurus

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Beberapa hari kemudian, di Institut Ernst.

Masih awal pagi. Linley telah pun bersarapan, dan sekarang sedang menuju ke belakang gunung, bersedia untuk memulakan latihan.

Semasa berjalan keluar dari Institut, Tikus Bebayang duduk di bahu Linley dan memerhati kawasan sekeliling. Ada beberapa orang di Institut Ernst yang memiliki makhluk ajaib sebagai teman, jadi tiada siapa yang peduli Linley memiliki Tikus Bebayang kecil itu sebagai teman. Namun, pada ketika itu…

"Lelaki itulah Linley, ahli sihir nombor satu dalam kalangan kita pelajar gred satu." Satu suara jelas kedengaran tidak jauh dari situ.

Linley tidak dapat menahan diri daripada mencari arah datangnya suara itu. Dia nampak dua gadis comel sedang berbual sesama sendiri sambil merenung dirinya. Apabila Linley memandang mereka, kedua gadis itu ketawa berdekit-dekit.

'Aku sudah jadi terkenal.' Linley mengejek diri sendiri.

Kebelakangan ini, dia selalu terserempak dengan orang yang sedang berbincang tentang dirinya. Semenjak dia mengalahkan Rand, pemenang kejohanan pelajar gred satu, mereka sebulat suara bersetuju bahawa dia pakar nombor satu di antara semua pelajar gred satu.

'Oh, siapa di depan?' Tiba-tiba Linley terlihat seseorang bertubuh kurus dan kecil di hadapannya.

Berambut pendek keemasan, dengan tubuh yang langsing seperti Reynolds. Aura dingin menyelubungi dirinya yang sedang berjalan dengan tenang.

'Dixie?' Mata Linley mengecil.

Dixie juga berumur sembilan tahun, dan sebenarnya sebulan lebih muda dari Linley. Akan tetapi, budak berusia sembilan tahun itu telah menjadi ahli sihir tahap ketiga. Walaupun semakin susah untuk maju ke tahap seterusnya, budak berusia sembilan tahun berjaya menjadi ahli sihir tahap ketiga tetap sesuatu yang mengagumkan.

"Itu Dixie. Saya dengar semasa ujian penilaian tahunan ahli sihir semalam, keputusan Dixie menunjukkan bahawa dia telah memenuhi keperluan untuk menjadi ahli sihir tahap keempat." Beberapa gadis berusia tujuh belas dan lapan belas tahun berkata dari tepi.

Kebanyakan pelajar gred tiga berusia lebih enam belas tahun, kecuali Dixie yang genius!

'Seorang ahli sihir di tahap keempat!'

Jantung Linley berdegup kencang. Mereka berdua berusia sembilan tahun, dan Dixie sebulan lebih muda daripadanya. Tapi dia telah pun menjadi ahli sihir di tahap empat, sementara Linley masih di tahap kedua.

Dengan sikap yang dingin seperti ais, Dixie berjalan melewati Linley.

Dixie, seorang yang sangat genius. Tiada seorang pun pelajar sebaya dengannya mampu menandingi lelaki ini.

Satu cahaya putih keluar dari cincin Naga Pusar, dan Doehring Cowart muncul di sisi Linley sambil tersenyum. "Linley, sebenarnya tak banyak beza antara kamu berdua. Semasa Dixie mendaftar, intipati spiritual dia 68 kali ganda lebih kuat dari rakan sebayanya. Ini bermakna, sebelum dia mula berlatih, intipati spiritual dia telah pun mencapai ahli sihir tahap ketiga. Sebab itu dalam tahun pertamanya, dia hanya perlu mengumpul daya sihir yang mencukupi untuk menjadi ahli sihir tahap ketiga. Kini, dia telah berada di Institusi Ernst selama hampir dua tahun, jadi adalah sesuatu yang sangat normal jika dia telah mencapai ahli sihir tahap keempat."

Linley faham perkara ini dalam hatinya.

Lelaki ini memiliki bakat semulajadi yang amat tinggi. Dia dilahirkan dengan intipati spiritual yang banyak, dan daya tarikan unsurnya juga luar biasa. Jelas sekali, dia juga telah mengumpul daya sihir dengan cepat.

"Walaupun perkembangannya dalam latihan sekarang sangat cepat, Atuk jangka dia memerlukan lebih kurang tiga hingga empat tahun untuk maju dari tahap keempat ke tahap kelima. Kemudian, untuk maju dari tahap kelima ke tahap keenam, dia perlukan empat hingga lima tahun."

"Sekarang, kamu ahli sihir tahap kedua, sementara dia di tahap keempat. Tapi Atuk yakin dalam sepuluh tahun, kamu akan berjaya menyaingi dia," kata Doehring Cowart dengan begitu yakin.

Tapi Linley tidak percaya.

"Atuk Doehring, lebih banyak bakat semulajadi seseorang, lebih cepat perkembangannya. Dia ada lebih berbakat daripada saya, dan dua tahap lebih tinggi. Bagaimana saya boleh menyaingi dia hanya dalam tempoh sepuluh tahun yang singkat?" Linley bukannya bodoh. Pengajian dia di Institut Ernst telah mengajarnya tentang kepayahan seseorang ahli sihir untuk maju dari satu tahap ke tahap seterusnya.

Dulu, Doehring Cowart pernah memberitahu Linley yang dia akan menjadi ahli sihir tahap keenam dalam masa sepuluh tahun, tapi dia sentiasa berasa ragu dengan pernyataan itu. Lagipun, sehingga ke hari ini, jelas sekali kemajuannya sangat perlahan.

Sambil bercakap, Linley sudah pun keluar dari pintu pagar Institut Ernst dan memasuki kawasan belakang gunung. Sebaik sahaja dia melewati hutan gunung, tiba-tiba Doehring Cowart berkata, "Linley, pergi ke satu tempat di lereng gunung."

"Pergi ke lereng gunung?" Linley keliru.

"Jangan banyak tanya. Bila kamu sudah sampai nanti, Atuk jelaskan." Doehring Cowart ketawa.

Kebanyakan kawasan belakang gunung dilitupi rumput liar dan terdapat pelbagai jenis pokok besar. Namun, setelah beberapa lama, Linley menjumpai satu kawasan yang menepati kehendak Doehring Cowart. Kawasan itu ialah puncak gunung yang menjulang beberapa ratus meter ke udara. Linley kini berdiri di kaki puncak itu.

"Atuk Doehring, apa yang Atuk mahu saya buat di sini?" tanya Linley.

Sambil ketawa, Doehring Cowart menjawab, "Linley, kamu tak percaya dengan dakwaan Atuk yang Atuk boleh bantu kamu menyaingi Dixie dalam tempoh sepuluh tahun yang singkat? Haha… Linley, sebagai Ahli sihir Agung tahap Dewa yang handal, Atuk sebenarnya tahu satu kaedah untuk meningkatkan intipati spiritual seseorang."

"Satu kaedah untuk meningkatkan intipati spiritual seseorang? Bukankah tafakur sawai sudah memadai?" Linley merenung Doehring dengan tanda tanya.

Doehring Cowart tersenyum tenang. "Linley, Atuk mengaku yang tafakur sawai sangat berkesan. Akan tetapi, selepas bertafakur, seseorang akan berasa sangat penat."

"Sudah tentu saya akan berasa penat. Tafakur sawai memerlukan saya menggunakan intipati spiritual saya tanpa henti. Selepas menghabiskan semua intipati spiritual saya, barulah saya berpeluang membenarkannya untuk pulih. Pelik kalau ia tak memenatkan." Linley berkerut.

Doehring Cowart dengan bangga berkata, "Tapi kaedah Atuk berbeza. Ia langsung tak memerlukan penggunaan intipati spiritual. Malah, ia satu bentuk hiburan."

"Hiburan?" Linley termangu-mangu.

"Betul. Bentuk hiburan ini ialah mengukir batu!" Wajah Doehring Cowart dipenuhi riak bangga.

"Mengukir batu?" kata Linley, terkejut. "Seperti arca dalam Galeri Proulx?"

Doehring Cowart tersenyum dan membalas, "Betul. Apabila seseorang mengukir batu, mereka akan menggunakan banyak tenaga yang membuat mereka letih. Akan tetapi, kaedah mengukir batu Atuk berbeza. Walaupun ia juga memenatkan apabila kamu mula-mula berlatih melakukannya, di akhir nanti, ia akan membuahkan hasil yang bagus."

"Atuk serius?" Linley masih lagi tidak percaya.

Doehring Cowart merenung anak muda itu. "Linley, kamu tak percaya pada Atuk? Sebagai seorang ahli sihir Agung tahap Dewa Empayar Pouant yang dihormati, suatu ketika dahulu, ada beberapa arca hasil ukiran Atuk yang mahu dibeli oleh orang bangsawan dengan harga sejuta syiling emas. Sungguhpun begitu, mana mungkin Atuk, seorang ahli sihir Agung tahap Dewa sanggup melepaskan arca kebanggaan Atuk kepada orang lain."

"Atuk sehebat itu? Jadi kenapa saya tak pernah dengar nama Atuk dalam kalangan pakar ukir Agung yang lain, Atuk Doehring?" tanya Linley dengan curiga.

Doehring Cowart dengan serba salah menjawab, "Sebenarnya, Atuk telah sorokkan semua hasil kerja Atuk dalam peti besi bawah tanah tanpa pengetahuan sesiapa. Selepas lima ribu tahun, Atuk tak pasti di mana lokasinya sekarang." Lima ribu tahun sudah cukup untuk laut bertukar menjadi tanah ladang. Seluruh Empayar Pouant telah dihapuskan. Siapa tahu di mana peti besi itu sekarang?

"Oh ho, jadi tak ada siapa pernah mendengar nama Atuk?" Linley ketawa kecil.

"Kamu tak percaya?" Doehring Cowart merenung Linley. "Dahulu, semasa Proulx masih budak, dia telah datang kepada Atuk dan merayu dengan bersungguh-sungguh untuk melihat arca Atuk. Selepas meneliti arca Atuk, budak Proulx itu telah mendapat ilham yang membenarkan dia menjadi pakar ukir Agung. Sebenarnya, dia boleh dianggap sebagai anak murid Atuk."

Linley terpana.

"Proulx?" Linley benar-benar gerun sekarang.

Proulx, lelaki yang disanjung sepanjang zaman sebagai pengukir terbaik dalam sejarah, boleh dianggap sebagai anak murid Doehring Cowart.

"Sudah tentu, jika orang menganggap hasil seni Proulx sebagai mengejar kesempurnaan, hasil kerja Atuk pula berada di spektrum yang bertentangan. Atuk namakan kaedah mengukir Atuk sebagai 'Sekolah Pahat Lurus'. Sekolah Pahat Lurus berbeza sepenuhnya daripada semua teknik ukiran lain. Ia mengejar sesuatu yang sangat berbeza. Kaedah ini, pada awalnya, sangat memenatkan. Namun, selepas seseorang itu menguasainya, dia akan nampak hasil usahanya yang sebenar." Rupa yang sangat yakin menghiasi wajah Doehring Cowart.

Doehring Cowart menoleh sekilas ke arah Linley, bibirnya menguntum senyum. "Tapi sudah tentu, sebelum ini, Atuk satu-satunya ahli Sekolah Pahat Lurus. Mulai hari ini, kamu akan menjadi ahli kedua."

Dalam hatinya, Linley menaruh sepenuh kepercayaannya kepada Atuk Doehring. Sudah tentulah dia memutuskan untuk belajar mengukir dengannya.

Dan tambahan pula…

Jika kata-kata Atuk Doehring itu benar, dia boleh meningkatkan kekuatannya dan pada masa yang sama, menjadi pakar ukir. Dengan kemahiran mengukir sahaja, dia boleh menanggung pengajian adiknya.

"Sejarah yang tertulis hanya merekodkan maklumat beberapa puluh ribu tahun yang lalu. Pada zaman sebelum itu, sebelum sistem tulisan dicipta, pengukiran batu telah pun wujud," kata Doehring Cowart sambil mengeluh. "Ratusan ribu tahun sebelum itu, atau mungkin jutaan tahun lalu, nenek moyang kita telah merekod memori dan pandangan mereka dalam ukiran. Ini kaedah paling kuno untuk merakam budaya dan sejarah."

Linley ikut sama mengangguk.

Tiada budaya yang lebih lama daripada mengukir batu.

"Berzaman-zaman lamanya, mengukir sentiasa dianggap sebagai sesuatu yang sangat sukar untuk dilakukan. Dan mencipta ukiran yang unik jauh lebih susah. Lebih sukar sesuatu perkara untuk dikerjakan, lebih bernilai kejayaan yang dikecapi nanti." Doehring Cowart mengeluh penuh emosi.

Linley setuju dalam hatinya.

Jika seseorang mahu melukis satu coret dakwat, dengan mudah dia boleh berbuat demikian. Namun begitu, mengukir satu coretan dakwat ialah sangat susah kerana batu sangat keras.

"Rupa, kualiti, ira dan warna batu bukan sahaja memberi impak kepada penampilannya, malah terhadap seluruh potensi dan bentuk sebenar ukiran itu. Kita guna pahat untuk membuang bahagian lebihan dan menyerlahkan kecantikan sebenarnya. Inilah mengukir batu yang sebenar."

"Cara mengukir batu sebenarnya ialah cara mengawal ruang dan penampilan. Semasa mengukir batu, seseorang perlu mengukir dari luar ke dalam, selangkah demi selangkah, dengan perlahan menyerlahkan sesuatu 'bentuk' dari dalam. Dan kemudian, dengan perlahan, dia akan membuang bahagian lebihan, membenarkan bentuk itu untuk tampak lebih jelas. Ini membolehkan pengukir untuk merasakan seolah-olah karya seninya 'berkembang' dengan cantik.

Sebaik sahaja dia bermula, Doehring Cowart tidak boleh berhenti bercakap mengenai mengukir.

Akan tetapi, Linley dapat merasakan dengan jelas betapa Doehring Cowart menghormati seni ini.

"Kebanyakan kaedah mengukir batu menggunakan banyak alatan, seperti pahat rama-rama, pahat lurus, pahat condong, pahat segi tiga, pisau mangkuk jed, tukul, gergaji dan banyak lagi. Sebab mengapa terlalu banyak alatan yang perlu digunakan ialah kerana batu terlalu teguh dan keras. Oleh sebab itu, mereka akan menggunakan pahat rama-rama untuk melakar bentuk, pahat lurus untuk potongan permulaan, pahat segi tiga untuk…"

Mendengar penjelasannya, Linley mula memahami asas untuk mengukir batu.

Doehring Cowart tiba-tiba ketawa. "Tapi kaedah mengukir batu Atuk berbeza sepenuhnya dengan kaedah lain. Sebabnya kaedah mengukir batu Atuk hanya menggunakan satu alat - pahat lurus! Sebab itu Atuk namakan kaedah mengukir Atuk, 'Sekolah Pahat Lurus'!"

"Biar betul? Atuk hanya mengukir menggunakan pahat lurus?" Linley terus mempertikai. "Atuk baru saja cakap banyak alatan yang diperlukan. Contohnya, sisik seekor ikan. Bagaimana Atuk mahu mengukir bentuk itu hanya dengan menggunakan pahat lurus? Bukankah itu mustahil?"

"Salah. Walaupun orang lain tak boleh, tapi kita ahli sihir unsur tanah boleh!"

Doehring Cowart berkata penuh yakin, "Ahli sihir unsur tanah boleh mengesan bentuk batu secara menyeluruh. Dengan kekuatan pergelangan tangan yang mencukupi, kita boleh mengukir batu dengan hanya menggunakan pahat lurus. Tapi sudah tentu, bukan senang-senang kamu boleh masuk ke 'Sekolah Pahat Lurus' ini. Hari ini, misi kamu ialah membeli pahat lurus yang cukup tajam. Mulai hari ini, setiap hari, Atuk akan luangkan masa tiga jam untuk mengajar kamu cara mengukir batu."

avataravatar
Next chapter