19 Roh Naga Pusar (Bahagian 2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Empayar Pouant wujud agak lama dan telah diasaskan lebih daripada lapan ribu tahun yang lalu. Keseluruhan empayar tersebut bertahan selama tiga ribu tahun tetapi akhirnya, ia tetap dimusnahkan. Kawasan pemerintahan empayar itu ialah sempadan Kesatuan Suci dan Kesatuan Gelap.

Dengan kata lain…

Keseluruhan Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, dua belas kerajaan dan tiga puluh dua duci semuanya milik Empayar Pouant sebelum ini. Daripada penerangan itu sahaja, kita dapat mengetahui betapa luasnya empayar itu.

Tetapi Empayar Pouant telah lama dimusnahkan!

"Lebih lima ribu tahun yang lalu?" Lelaki tua berambut putih itu terkejut sebentar dan mengeluh. "Tidak ada cara bagi Atuk untuk mengetahui masa yang lalu. Atuk tidak menyangka apabila Atuk meninggalkan cincin Alam, lebih lima ribu tahun telah berlalu semenjak negara Atuk dimusnahkan."

"Apa yang Atuk katakan ini? Saya keliru."

Linley rasa mindanya bercelaru bagai diselaputi lumpur. Lelaki tua ini tiba-tiba muncul entah dari mana dan mendakwa dirinya sebagai Ahli sihir Agung dari Empayar Pouant yang telah musnah lima ribu tahun yang lalu. Tiada apa yang lebih mengelirukan daripada situasi ini.

Linley tertanya-tanya adakah dia masih berada di alam mimpi!

"Nak." Lelaki berambut putih itu melihat Linley. Dia berkata sambil tersenyum, "Cincin yang tersemat di dada kamu itu merupakan salah satu artifak Suci yang pernah saya gunakan, cincin Alam!"

"Sekejap, sekejap, sekejap!"

Linley dengan segera memandang ke arahnya seraya berkata, "Maksud Atuk ini cincin Alam? Cincin ini ditinggalkan oleh nenek moyang puak saya. Nama cincin ini cincin Naga Pusar!"

"Cincin Naga Pusar? Nama asalnya cincin Naga Pusar?" Lelaki tua itu terkejut.

Linley terpempan.

"Nama asal? Apa maksud Atuk, nama asal?" Linley melihat lelaki tua itu dengan penuh tanda tanya.

Sekarang barulah lelaki tua itu ketawa. "Oh, pasti cincin Naga Pusar nama yang kamu berikan padanya. Ataupun mungkin moyang kamu berikan nama tersebut. Ketika Atuk menjumpai cincin ini, Atuk mencari dalam seluruh dokumen tetapi tidak mendapat satu pun maklumat mengenainya. Oleh itu, Atuk berikan nama cincin itu cincin Alam. Tetapi nama asalnya Atuk sendiri tidak tahu."

"Oh, Atuk juga namakan cincin ini sendiri. Memandangkan cincin ini sudah menjadi milik saya, jadi saya namakan cincin ini cincin Naga Pusar." Linley sedikit berdegil.

"Baiklah, baiklah. Namakan sahaja cincin itu cincin Naga Pusar seperti yang kamu mahukan." Lelaki tua itu melepaskan tawa kecil dan tidak mahu bertengkar dengan Linley.

"Boleh Atuk beritahu saya kenapa Atuk muncul dari dalam cincin ini?" tanya Linley.

Lelaki tua itu tersenyum. "Pada tahun 4280 kalendar Yulan, Atuk…"

Mendengarkannya, Linley berasa terkejut. "Tahun 4280? Sekarang sudah tahun 9990!"

"Pada tahun 4280 kalendar Yulan, Atuk telah bertemu dengan musuh lama Atuk yang juga seorang Ahli sihir Agung bernama Hamelin dan kami berdua mula bertempur. Atuk tidak sangka seorang pahlawan tahap Dewa kedua akan menyerang hendap dan tiba-tiba menyerang Atuk. Akhirnya, Atuk tewas dan badan Atuk dimusnahkan. Atuk tak mahu roh Atuk ditangkap dan diseksa oleh musuh, Hamelin jadi Atuk mengunci diri Atuk dalam cincin Ala… Ehem, cincin Naga Pusar." Lelaki tua itu menjelaskan apa yang berlaku pada masa lalu.

"Cincin Naga Pusar ini merupakan objek yang luar biasa. Cincin ini kelihatannya tidak memancarkan aura magik tetapi apabila diperlukan, kekuatannya boleh bersaing dengan artifak Suci. Apabila Atuk mengunci roh Atuk di dalam cincin ini, Hamelin dan lelaki lain menghabiskan masa mencari Atuk namun tidak ketemu. Ini juga disebabkan cincin Naga Pusar." Lelaki tua itu tersenyum apabila dia bercerita.

Linley mengangguk dalam diam.

Dari segi penampilannya, cincin ini nampak kosong. Sebagai ahli puak Baruch, Linley memiliki mata yang agak cekap dalam menilai.

Lazimnya, barang berharga sekurang-kurangnya mempunyai aura daripada sesuatu unsur. Tetapi cincin Naga Pusar ini kelihatan seperti kayu lengai biasa.

"Atuk kata pada lima ribu tahun yang lalu, Atuk telah diserang hendap oleh Ahli sihir Agung tahap Dewa dan seorang pahlawan tahap Dewa dan Atuk telah mengunci diri Atuk dalam cincin ini? Serta kuasa cincin ini merupakan artifak yang boleh disamakan dengan artifak Suci?" tanya Linley.

"Benar." Melihatkan Linley mulai faham, lelaki tua itu melemparkan senyuman dan mengangguk.

"Jadi, bagaimana Atuk boleh muncul daripada dalam cincin ini?" Linley melihat lelaki tua itu dengan perasaan ragu-ragu.

Sambil ketawa, lelaki tua itu menjelaskan. "Sebenarnya, sewaktu Atuk mengunci roh dalam cincin Naga Pusar ini, Atuk menjalinkan kewujudan Atuk dalam cincin ini. Hanya apabila seseorang menjadi pemilik baru cincin ini, barulah Atuk dibenarkan untuk meninggalkannya."

"Menjadi pemilik baru cincin ini?"

"Benar. Melalui titisan darah ke atas cincin Naga Pusar tersebut." Lelaki tua itu ketawa.

Linley berkerut sambil menggumam. "Menitiskan darah ke atas cincin?" Linley berkerut sambil cuba mengingat kembali apa yang berlaku. Dia tiba-tiba teringat akan batu yang mencederakan dahinya serta darahnya terkena pada baju dan dadanya. Tentu darahnya menitis ke cincin itu ketika itu.

"Oh, jadi titisan darah itu menjadikan saya pemilik cincin Naga Pusar." Linley mengangguk.

"Benar. Hanya selepas kamu menjadi pemilik baru cincin Naga Pusar, barulah Atuk dibenarkan untuk meninggalkan cincin itu dan sekali lagi berpeluang menghirup udara di benua Yulan." Senyuman nipis terbit di wajah lelaki tua itu. "Baiklah. Nak, Atuk sudah beritahu nama Atuk. Siapakah nama kamu?"

Linley tersenyum ceria. "Nama saya Linley! Linley Baruch!"

"Linley, nama yang baik." Lelaki tua itu tersenyum.

"Adakah Atuk akan terikat dengan cincin buat selamanya? Atuk tidak boleh membebaskan diri?" Linley berasa kasihan dengan lelaki tua itu.

Lelaki tua itu senyum dan mengangguk. "Linley, kamu harus tahu apabila seseorang mati, rohnya akan memasuki Alam Kubur! Tetapi disebabkan Atuk adalah Ahli sihir Agung tahap Dewa sewaktu kematian, kuasa mental Atuk menjadi bentuk fizikal. Disebabkan itulah Atuk dapat mengelak daripada panggilan Alam Kubur buat sementara dan mengunci diri Atuk di dalam cincin Naga Pusar ini. Kini, hanya satu sahaja cara untuk Atuk boleh meninggalkan cincin ini iaitu menghabiskan semua tenaga mental Atuk."

"Menghabiskan kesemua tenaga mental?" Linley kurang faham.

"Manusia memanggilnya tenaga mental manakala hantu pula menggelarnya tenaga spiritual. Apabila tenaga mental seseorang telah habis digunakan, rohnya akan hilang secara semula jadi. Dalam kata lain, ia akan meninggalkan cincin Naga Pusar ini," kata lelaki tua itu dengan tenang. "Tetapi situasi sekarang pun sudah cukup baik. Walaupun Atuk terkurung dalam cincin Naga Pusar yang menghalang Atuk berada melebihi tiga meter daripadanya, keadaan ini tidaklah seteruk mana."

Jantung Linley bergetar.

Di sudut hatinya, dia berasa kasihan dengan lelaki tua itu.

"Hei, Linley, Atuk sudah cukup berpuas hati. Kamu tidak tahu tentangnya, tetapi jika roh Atuk ditangkap oleh Hamelin, nasib Atuk pasti lebih buruk daripada mati." Lelaki tua itu mengeluh.

"Nama atuk Doehring Cowart, bukan? Boleh saya panggil Atuk Doehring?" Tiba-tiba Linley bertanya.

Doehring Cowart merupakan Ahli sihir Agung Empayar Pouant maka dia memiliki status peribadi yang paling tinggi. Dahulu, dia merupakan antara lima orang ternama di benua Yulan. Kejatuhannya hanya disebabkan dia diserang hendap oleh Ahli sihir Agung bernama Hamelin dan seorang pahlawan tahap Dewa.

Walau bagaimanapun…

Doehring Cowart tidak mempunyai anak ataupun cucu. Apabila mendengarkan Linley memanggilnya Atuk Doehring, hatinya yang sunyi sejak beribu tahun yang lalu tersentuh dan berasa hangat.

"Boleh, boleh." Doehring Cowart sangat gembira.

Keterujaan tiba-tiba terbit dalam mata Linley. "Atuk Doehring kata Atuk Ahli sihir Agung tahap Dewa. Bolehkan Atuk mengajar saya cara menggunakan sihir?" Jantung Linley berdegup kencang. Lelaki di hadapannya seorang Ahli sihir Agung tahap Dewa yang berusia lima ribu tahun.

Di minda Linley, bayangan badan naga Veloci yang besar, Tarian Ular api yang menggerunkan, hujan bongkah batu, bermain secara berulang-ulang termasuklah bayangan lelaki angkuh yang berdiri di belakang Naga Hitam.

Dia mengimpikan memiliki semua itu suatu hari nanti…

Dia juga akan berdiri di atas kepala Naga Hitam dan menggoncangkan langit.

Doehring Cowart mengurut janggutnya. Matanya bersinar lalu dia berkata, "Sudah tentu boleh! Atuk Doehring Cowart kamu ini merupakan seorang Ahli sihir Agung berunsur tanah. Di antara semua unsur, unsur tanah yang paling berkuasa!" Sebaik sahaja dia mula bercakap tentang magik, Doehring Cowart mula teruja.

avataravatar
Next chapter