76 Pulang ke Rumah (Bahagian 2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Dalam rumah puak Baruch, Hogg sedang berbaring di atas kerusi sambil membaca buku yang sangat tebal.

"Tuan Hogg, makan malam sudah sedia." Seorang pembantu wanita berkata dengan penuh hormat.

Sejak Pak Cik Hiri menemani Wharton ke Empayar O'Brien, puak Baruch tiada lagi pekerja untuk menguruskan rumah. Hogg merupakan pemimpin puak Pahlawan Berdarah Naga. Dia seorang tidak mampu membuat semua kerja pembantu rumah, bukan? Jadi dia memaksa dirinya menggaji seorang pembantu wanita.

"Oh." Hogg menutup bukunya dan melirik ke arah pembantu wanita itu. Dalam hatinya, dia mengeluh. 'Nasib baik golongan bangsawan lain sudah tahu anak lelaki aku seorang ahli sihir genius di Institut Ernst, jadi mereka sanggup memberi aku pinjaman. Kalau tak, hidup kami pasti lebih susah.'

Disebabkan cukai yang dikenakan di pekan Wushan rendah, Hogg hanya mampu membayar gaji pengawal peribadinya dan juga zakat tahunan kepada kerajaan. Hogg berasa tidak gembira apabila memikirkannya. Ketika dia dilantik sebagai pemimpin puak Baruch, hampir semua barangan berharga sudah habis dijual.

Mujurlah…

Dia, Hogg mempunyai dua orang anak lelaki. Dua orang anak lelaki yang membanggakan.

'Linley sudah menjadi ahli sihir tahap lima. Dia akan menamatkan pengajiannya tak lama lagi. Ketika itu, aku boleh menyerahkan kedudukan pemimpin puak Baruch kepadanya. Selepas itu, aku boleh lakukan perkara yang telah lama saya ingin lakukan.'

Hogg berdiri, bersedia untuk menuju ke ruang makan, tiba-tiba…

"Tuan Hogg, Tuan Hogg!" Suara Hillman memanggil kedengaran dari jauh.

Hogg memandang penuh tanda tanya ke arah pintu utama. Tidak lama selepas itu, Hillman berlari ke dalam. Di sebelah Hillman berdiri seorang pemuda yang tinggi dan berbadan tegap.

Sebaik saja melihat pemuda itu, senyuman mekar di bibir Hogg. Dia berjalan menghampirinya sambil ketawa kuat. "Linley, kamu sudah pulang. Haha.. Baguslah. Ini merupakan kejutan yang besar!"

"Agatha, tolong sediakan juadah makan malam yang lebih enak." Dengan mesra, Hogg menepuk lembut bahu Linley. "Wah, bagus. Kamu sudah sama tinggi dengan ayah. Oh, ya. Ayah ingatkan kamu hanya dibenarkan untuk pulang pada setiap hujung tahun. Kali ini…?"

Senyuman Linley mengulum rahsia. "Ayah, saya akan cerita kemudian sewaktu kita makan malam."

"Misteri sungguh." Hogg sengaja mengerutkan dahinya sambil memandang Linley.

Hillman yang berada di sebelah mereka ketawa. "Tuan Hogg, Linley pun tak mahu beritahu saya. Tapi dia telah menyediakan hadiah misteri untuk Tuan. Saya tanya hadiah apa, tapi dia enggan beritahu saya."

"Pak Cik Hillman!" Linley berkerut memandang Hillman.

"Baiklah, Pak cik diam. Pak cik diam." Hillman ketawa dengan kuat.

Kegelapan menyelubungi dunia, menyelimuti bumi dengan bebayang tetapi ruang makan di dalam manor puak Baruch cerah diterangi lantera. Selepas menjamu selera, Agatha, pembantu rumah mereka membersihkan meja. Kemudian dia meninggalkan Linley dan Hogg di ruang tersebut. Kini barulah Linley meletakkan beg galasnya di hadapan bapanya.

"Apakah ini?" Hogg memandang Linley penuh curiga.

"Kita akan buka sebentar lagi." Linley berdiri dan menutup pintu bilik. Hogg tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa kecil. "Besar sungguh rahsia ini? Kamu siap bangun untuk tutup pintu bilik."

Linley duduk dengan penuh yakin. "Ayah boleh buka beg galas itu."

"Hum, biar Ayah tengok apa yang kamu simpan dalam beg ini." Hogg membuka beg galas itu dengan penuh curiga. Dia terkejut apabila menemui karung lain di dalam beg galas itu. Karung itu diikat ketat dan membusung dengan teras Magicite yang tersembunyi di dalamnya.

Sambil meraba bahagian luar karung itu, Hogg berkata dengan penuh curiga, "Besar sungguh karung ini. Tak rasa seperti syiling emas di dalamnya. Mungkinkah batu kerikil?" Hogg tidak faham apa yang sedang berlaku. Dia membuka karung itu sambil bercakap.

Sebaik sahaja dia membuka karung itu…

Teras Magicite mewah, cantik, pelbagai warna bergemerlapan membiaskan cahaya pelangi. Hogg tidak dapat menahan dirinya daripada terpegun melihat semuanya itu. Karung ini dipenuhi dengan teras Magicite. Sepanjang hidupnya, Hogg tidak pernah melihat teras Magicite sebanyak ini.

"Ini teras Magicite, bukan?" Mata Hogg terbeliak. Dia memandang ke arah Linley dengan pandangan kehairanan. Kemudian, perlahan-lahan dia menelan air liur. Hogg pernah melihat teras Magicite sebelum ini tetapi dia tidak pernah melihat sebanyak ini dalam satu-satu masa. Teras Magicite sebanyak ini yang dikumpulkan di dalam satu karung benar-benar mampu membuat sesiapa yang melihatnya berasa takjub.

Linley mengangguk. "Benar. Hampir semua yang berada di dalam beg ini ialah teras Magicite. Terdapat beberapa permata sakti di dalamnya. Berdasarkan pembacaan saya, semua teras Magicite ini bernilai sekitar 70,000 syiling emas."

"Tujuh puluh ribu syiling emas?" Hogg merasakan jantungnya berdegup kencang.

Selama bertahun-tahun, Hogg sentiasa kesempitan wang. Sekarang pun, jika seseorang meminta Hogg untuk mengumpul setakat 500 syiling emas, Hogg tetap perlu meminjam. Ini menggambarkan kesusahan puak mereka.

70,000 syiling emas!

Kekayaan jenis apakah ini? 70,000 syiling emas dapat memberi makan seluruh puak Baruch selama seratus tahun.

"Tapi, 70, 000 syiling emas hanya anggaran buku. Lagipun itu harga lama. Saya jangkakan ia mungkin mencecah sehingga 80,000 syiling emas." Linley berkata dengan jujur.

Melihat ke arah teras Magicite berwarna terang itu, Hogg berasa seperti di alam mimpi. Badannya terasa seperti terapung.

*Haaaaah. Haaaaaah.*

Hogg menarik nafas dalam-dalam. Akhirnya berjaya menenangkan dirinya.

"Linley, dari mana kamu dapat semua teras Magicite ini?" Hogg akhirnya terfikirkan perkara ini. Dia memandang Linley dengan pandangan maut. "Adakah kamu pergi ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib?"

Linley mengangguk. "Benar, Ayah. Saya dapat semua ini di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib."

"Kamu…kamu…" Hogg naik angin. "Banjaran Gunung Makhluk Ajaib ialah antara tempat yang paling berbahaya di seluruh benua. Memasukinya memerlukan ikhtiar hidup yang sangat tinggi. Kenapa kamu tidak berbincang dahulu dengan Ayah sebelum masuk ke dalamya? Tahukah kamu betapa bahayanya tempat itu?"

Sebaik sahaja dia selesai bercakap, Hogg mula ketawa kepada dirinya.

Linley pernah masuk ke dalamnya. Sudah tentu dia tahu betapa bahayanya tempat itu.

Hogg merendahkan pandangannya dan senyap seketika. Apabila melihat wajah Linley yang menerima saja segala leterannya, Hogg menggelengkan kepala dan mengeluh. "Linley, Ayah, orang tua kamu ini tak berniat untuk menengking kamu. Tapi kamu mesti tahu bahawa kamu seorang ahli sihir genius yang sedang belajar di Institut Ernst. Pada masa akan datang, potensi kamu tak terbatas. Berat beban yang ditanggung oleh puak Baruch akan digalas pada bahu kamu. Lagipun, adik kamu masih kecil lagi. Siapa tahu berapa lama yang dia perlukan untuk menjadi Pahlawan Berdarah Naga yang sebenar? Semua harapan Ayah terletak di bahu kamu. Begitu juga dengan harapan puak Baruch. Sebab itulah kamu tak boleh bermain-main dengan nyawa kamu."

Linley tidak berani untuk bersuara.

"Buka baju kamu. Biar Ayah tengok jika kamu ada sebarang kecederaan." Hogg tiba-tiba berkata.

Membuka bajunya?

Linley teragak-agak. Orang lain tidak tahu apabila dia memakai baju tetapi Linley sedar keadaan badannya yang penuh dengan parut silang-menyilang yang mengerikan.

Hogg berkerut. "Buka baju kamu."

Setelah teragak-agak seketika, akhirnya, Linley membuka bajunya dan mendedahkan bahagian atas badannya. Di dadanya yang bidang, terdapat banyak parut dan beberapa luka itu kelihatan seperti kecederaan yang boleh membawa maut!

Apabila melihat parut mengerikan di badan Linley, Hogg merasakan hatinya pedih.

Hogg menyentuh dada Linley dengan tangan yang menggigil. Melihatkan kecederaan yang boleh membawa maut itu, hati Hogg berasa sayu. Berapa banyak kesakitan yang dihadapi oleh anaknya, berapa kali anaknya itu hampir digenggam maut? Hogg tidak mahu memikirkannya.

"Linley, kamu…" Hogg sebak.

"Ayah, tengok. Saya tak apa-apa." Linley berkata dengan nada yang lembut.

Hogg merenung timbunan teras Magicite itu. Ia mewakili sejumlah wang yang banyak. Kemudian dia menoleh dan sekali lagi melihat parut yang mengerikan di badan Linley. Seluruh badan Hogg menggigil.

Dia dipenuhi dengan kebencian!

Benci akan dirinya yang tidak berguna, yang tidak berdaya!

Hogg menarik nafas dalam. Dia terdiam dan merenung langit. Akhirnya, beliau berkata dengan suara perlahan, "Linley, kamu telah menghabiskan masa di atas jalan. Kamu mesti penat. Pergilah berehat."

"Baik, Ayah."

Linley senyap-senyap meninggalkan bapanya bersendirian. Duduk diam seorang diri di ruang makan yang hanya diterangi cahaya lilin…

avataravatar
Next chapter