13 Kehendak Sang Perkasa (Bahagian 2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Sewaktu makan malam, ketiga-tiga ahli puak Baruch bersama dengan penjaga rumah mereka, Hiri makan bersama-sama. Si kecil Wharton menimbulkan kekecohan di meja makan menyebabkan suasana dipenuhi dengan gelak tawa. Setelah selesai makan malam, penjaga rumah yang sudah tua itu menggendong Wharton ke dalam biliknya manakala Linley dan bapanya, Hogg mula berbual.

"Ayah, siapa yang lebih kuat? Ahli sihir ataupun pahlawan?" Linley ingin tahu.

Hogg melirik ke arah Linley. Tertawa kecil, beliau menggelengkan kepalanya sambil berkata, "Linley, ahli sihir dan pahlawan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. Pada tahap yang sama, seorang ahli sihir mungkin lebih kuat sedikit berbanding seorang pahlawan. Tetapi perkara yang utama merupakan status ahli sihir satu peringkat yang lebih tinggi daripada pahlawan yang setara dengannya. Sebagai contoh, ahli sihir dua elemen tahap kelapan, dari segi kedudukan sosial, mungkin sedikit lebih tinggi berbanding pahlawan tahap kesembilan."

"Jika hanya sedikit sahaja perbezaan kuasa mereka, mengapa terdapat perbezaan yang besar dalam status mereka?" Linley ingin tahu.

Hogg ketawa. "Sebelum kita bincangkan perkara ini dengan lebih lanjut, pertama kamu perlu memahami sistem pangkat seorang ahli sihir. Terdapat sembilan tahap. Tahap pertama dan kedua ahli sihir dianggap ahli sihir muda. Tahap ketiga dan keempat pula dianggap sebagai ahli sihir pangkat pertengahan. Tahap kelima dan keenam pula dianggap sebagai ahli sihir senior. Tiga tahap iaitu tahap ketujuh, kelapan dan kesembilan? Ketiga-tiga tahap ini merupakan mereka yang mempunyai kekuatan yang menakjubkan. Dan sudah tentu tahap paling tinggi merupakan tahap Dewa!"

"Ahli sihir mempunyai kedudukan sosial sebegini kerana potensi mantera kemusnahan mereka sangat dahsyat." Hogg mengambil segelas jus. Dia terus bercakap sambil menghirup jus tersebut.

"Potensi kemusnahan?" Linley memandang bapanya.

Hogg meletakkan gelas berisi jus itu lalu menganggukkan kepalanya. "Seorang pahlawan tunggal, malah Pahlawan Berdarah Naga mampu membunuh sehingga 100 orang dengan sekali libasan pedang. Apabila berhadapan dengan angkatan tentera dengan sejuta anggota, dia hanya boleh membunuh pemimpin mereka. Namun pemimpin yang mati boleh diganti dengan mudah. Ahli sihir tahap Dewa pula? Jika dia memilih untuk menggunakan mantera larangan yang kuat, dia berupaya memusnahkan seluruh pekan ataupun membunuh beratus ribu tentera. Dengan kematian keseluruhan angkatan tentera, walaupun pemimpinnya masih hidup, apa gunanya? Bagi sebuah kerajaan pula, seorang ahli sihir tahap tertinggi lebih menakutkan daripada keseluruhan tentera musuh."

Linley segera memahami.

"Kita lupakan dahulu tentang ahli sihir tahap Dewa buat masa sekarang. Ahli sihir tahap kelapan ataupun kesembilan berupaya menggunakan mantera yang mengandungi kuasa yang sangat mengejutkan dan mampu mengubah haluan pertempuran. Oleh sebab itu, ahli sihir mempunyai kedudukan sosial yang tinggi," Hogg berkata sambil tertawa kecil.

Linley diam-diam mengangguk.

Bagi negara yang hancur akibat peperangan di benua Yulan, mereka dapat membayangkan betapa pentingnya kehadiran ahli sihir dalam sesebuah kerajaan.

"Oh, benar. Ayah, saya ada membaca salah sebuah buku yang menyatakan kekuatan fizikal seorang ahli sihir lemah berbanding seorang pahlawan. Tetapi sewaktu ahli sihir misteri tadi melompat turun dari belakang naga Veloci itu, saya melihat dia melakukannya dengan mudah sekali. Bagaimana mungkin fizikalnya lemah?" Linley bertanya.

Hogg membalas, "Kita akan bincangkan perkara ini kemudian. Linley, kamu perlu tahu di benua Yulan, jangka hayat orang biasa rata-rata 120 hingga 130 tahun. Ahli sihir yang berkuasa dan pahlawan mampu hidup lebih lama. Lazimnya mencecah 200 ke 300 tahun malah ada yang hidup sehingga 400 tahun. Had mutlak jangka hayat seseorang adalah 500 tahun. Hanya mereka yang mencapai kekuatan seorang pahlawan tahap Dewa yang terkenal mampu hidup tanpa dibatasi waktu."

Linley mengangguk.

Dia telah membaca fakta tersebut di dalam buku-bukunya.

"Tetapi Linley, kamu tahu mengapa pahlawan perkasa dan ahli sihir boleh hidup lama?" Kenyataan Hogg diikuti dengan persoalan.

Linley terkejut.

Linley sering menganggap pahlawan perkasa dan ahli sihir mampu hidup sehingga 300 ke 400 tahun ialah hakikat kehidupan. Dia tidak pernah pula memikirkan sebabnya.

Melihatkan ekspresi wajah Linley, Hogg tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa. "Linley, pertama sekali Ayah mahu kamu tahu dalam dunia ini terdapat beberapa unsur kuasa. Kuasa berunsurkan api, air, angin, tanah, kilat, cahaya dan juga kuasa berunsurkan kegelapan. Pahlawan dan ahli sihir bergantung pada penyerapan unsur-unsur dari alam semula jadi ini sebagai sebahagian daripada latihan mereka. Kedua mantera sihir dan Qi-tempur didorong dan ditentukan oleh unsur-unsur tertentu. Jika kamu perhatikan dengan teliti, kamu dapat lihat semasa pertempuran yang berlaku pada petang tadi, daripada empat orang pahlawan, ketua mereka yang berambut merah itu mempunyai Qi-tempur unsur api. Tiga orang pahlawan yang lain itu mempunyai Qi-tempur unsur angin ataupun air. Seperti Qi-tempur, mantera sihir yang digunakan oleh ahli sihir juga mempunyai unsur-unsur tersendiri!"

Itu merupakan kali pertama Linley mendengar perkara sedemikian. Kini barulah dia mengerti kedua-dua ahli sihir dan pahlawan bergantung pada penyerapan tenaga semula jadi daripada unsur-unsur tersebut.

"Seorang ahli sihir mampu hidup lama kerana mereka menyerap unsur tenaga semula jadi ke dalam badan untuk menjana kuasa sihir asli. Apabila tenaga tersebut mengalir ke dalam badan mereka, secara semula jadi akan memperbaiki seluruh liang, sendi dan juga daging mereka, menjadikan badan mereka semakin kuat dan perkasa. Apabila mereka memiliki tubuh yang kuat, jangka hayat mereka juga akan lebih lama. Dengan logik yang sama, apabila pahlawan berlatih membina Qi-tempur mereka, mereka juga menyerap tenaga semula jadi ke dalam badan yang membuat badan mereka gagah. Semakin berkuasa seorang pahlawan, semakin kuat tubuh badannya. Sudah tentu jangka hayatnya akan lebih panjang," Hogg menjelaskan dengan lebih terperinci.

Kini semuanya semakin jelas buat Linley.

Berdasarkan penerangan bapanya, tubuh badan seorang ahli sihir akan turut diperkukuh dengan kuasa unsur semula jadi. Sewajarnya, tubuh mereka sangat kuat.

"Tetapi Ayah, kenapa orang kata ahli sihir memiliki fizikal yang lemah?" Linley keliru.

Hogg menggelengkan kepalanya. "Tidak bolehkah kamu memikirkannya sendiri? Ahli sihir mempunyai fizikal badan yang lemah jika dibandingkan dengan pahlawan yang sama tahap tetapi itu tidak semestinya berlaku. Sebagai contoh, seorang ahli sihir tahap kelapan mungkin mempunyai kekuatan fizikal sama seperti kekuatan pahlawan tahap kedua atau ketiga sekalipun dia tidak terlibat dalam mana-mana latihan fizikal. Tetapi jika kamu bandingkan dengan pahlawan tahap kelapan, pastilah fizikal badannya lemah!"

Linley mengetuk kepalanya dan kemudian tertawa malu.

Bagaimana dia boleh tidak terfikir logik mudah ini? Fikirannya terlalu sempit.

"Walaupun seorang ahli sihir agak lemah dalam pertempuran jarak dekat, namun mereka mempunyai cara tersendiri untuk mengatasinya. Salah satunya, menggunakan mantera perlindungan ajaib seperti perisai bumi, perisai ais, perisai angin ataupun perisai cahaya. Pertama, mereka akan menggunakan sihir untuk mempertahankan diri dan kemudian mereka akan menggunakan sihir untuk melawan semula!"

"Seorang ahli sihir yang berkuasa juga mempunyai kaedah lain iaitu dengan menggunakan makhluk ajaib!"

Mata Linley bercahaya apabila mendengar makhluk ajaib.

Linley juga mahu mempunyai makhluk ajaibnya sendiri, yang kuat seperti naga Veloci.

"Makhluk ajaib yang kuat mampu melindungi badan ahli sihir serta menghalang musuh daripada mendekatinya. Dengan cara ini, ahli sihir berupaya mengelak serangan musuh dan menyerang musuh dengan mantera sihirnya." Hogg tersenyum sewaktu menerangkannya.

Linley segera bertanya. "Ayah, bagaimana seseorang dapat memiliki makhluk ajaib?"

Melihatkan ekspresi wajah Linley, Hogg tertawa. "Hanya terdapat dua cara untuk memiliki makhluk ajaib. Pertama, membuatkan makhluk tersebut dengan rela menundukkan dirinya dan berkhidmat untuk kamu. Cara kedua pula menggunakan sihir pengikat jiwa supaya makhluk ajaib itu tunduk kepada kamu."

"Cara pertama sukar untuk dicapai. Seekor makhluk ajaib hanya akan tunduk jika kamu mengalahkan makhluk tersebut dalam pertempuran langsung. Selepas itu barulah ia akan ikut arahan kamu. Contohnya, jika kamu mahu naga Veloci tunduk kepada kamu, kamu perlu mengalahkannya terlebih dahulu." Linley terdiam mendengar kata-kata ayahnya.

Dia mahukan naga Veloci itu tetapi bagaimana mungkin dia dapat mengalahkannya?

"Cara kedua pula sangat rumit. Kamu memerlukan sihir pengikat jiwa. Hanya ahli sihir tahap ketujuh mampu menyediakan sihir ini." Hogg berkata dengan suara yang tegas.

Linley tergamam. "Ayah, maksud Ayah hanya ahli sihir tahap ketujuh atau lebih mampu memiliki makhluk ajaib?"

"Tidak, tidak semestinya. Jika kamu punyai duit yang banyak, kamu boleh membeli skrol pengikat jiwa. Apabila masanya tiba, kamu hanya perlu mengoyakkannya dan secara automatik ia akan menghasilkan sihir pengikat jiwa. Tetapi skrol ini sangat mahal harganya," Hogg berkata seolah-olah mentertawakan dirinya.

"Berapa mahal harganya?" Linley bertanya ayahnya.

"Terakhir Ayah dengar, harganya sekitar sepuluh ribu syiling emas. Jika kamu punya wang sekalipun, ia sangat jarang dijual kerana sangat sukar diperoleh." Kata-kata Hogg itu memaksa Linley tertawa pahit.

Bahagian paling sukar untuk mendapatkan makhluk ajaib itu ialah mengalahkannya.

Sudah tentu kamu mampu memiliki seekor makhluk ajaib lemah sebagai teman tetapi untuk apa? Untuk memiliki makhluk ajaib yang berkuasa, adakah kamu memiliki kuasa untuk menundukkannya? Jika kamu gunakan perangkap dan muslihat, adakah makhluk ajaib itu akan tunduk dan berkhidmat kepada kamu?

Meyakinkan seseorang untuk tunduk kepada kamu dengan sepenuh hati bukanlah perkara yang mudah.

Kaedah kedua menggunakan sihir pengikat jiwa. Jelas sekali pilihan itu hanya untuk ahli sihir yang kuat ataupun golongan hartawan. Tidak banyak puak bangsawan yang sanggup membelanjakan sepuluh ribu syiling emas untuk satu skrol pengikat jiwa.

Kening Linley berkerut memikirkan perkara itu sambil menggigit bibirnya.

'Berdasarkan keadaan ekonomi keluarga ini, aku perlu menjadi ahli sihir tahap ketujuh jika aku mahu memiliki makhluk ajaib. Itu sahaja caranya.' Diam-diam Linley menanam azam walaupun dia tahu perkara itu sukar untuk dicapai.

Halangan pertama dalam rancangan itu? Persoalan adakah dia mempunyai bakat semula jadi untuk menggunakan sihir?!

Lagipun dia hanya mempunyai kebarangkalian satu daripada sepuluh ribu. Tanpa bakat semula jadi, dia tidak mungkin boleh menjadi seorang ahli sihir.

avataravatar
Next chapter