25 Kaedah Janggal (Bahagian 1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

'Linley, jangan mengalah. Atuk hanya bermaksud tiada cara untuk memaksanya tunduk kepada kamu. Atuk tidak mengatakan ia mustahil untuk menjinakkannya.' Doehring Cowart ketawa kuat. 'Jika makhluk ajaib itu merupakan Tikus Bebayang dewasa, Atuk sendiri tidak dapat membantu kamu, tetapi... ia hanya bayi Tikus Bebayang. Sebagai seorang Ahli sihir Agung tahap Dewa, Atuk mempunyai cara yang berkesan untuk menangkap bayi Tikus Bebayang. Di samping itu, kamu tidak perlu menggunakan formasi sihir pengikat jiwa.'

Fikiran Linley yang baru tenang gelisah semula. Dia menoleh ke arah Doehring Cowart dan memandangnya dengan mata bersinar.

'Atuk Doehring, cepatlah beritahu saya, apakah rancangan Atuk?' Linley yang teruja bercakap di dalam kepalanya.

Doehring Cowart berkata dengan senyuman puas, 'Mudah sahaja. Teknik 'pengikat jiwa' yang digunakan oleh formasi ajaib pengikat jiwa menghasilkan ikatan tuan dan hamba. Sewajarnya, jika seseorang dapat menundukkan makhluk ajaib, dia layak menjadi tuannya. Buat masa sekarang, tiada jalan untuk kita memulakan 'ikatan tuan dan hamba', jadi kita hanya boleh berundur selangkah... dan memulakan 'ikatan setaraf' dengan Tikus Bebayang itu. '

'Ikatan setaraf?' Linley bertanya ingin tahu. 'Apa tu? Tidak pernah saya mendengarnya.'

'Ia perkara biasa jika kamu tidak pernah dengar mengenainya. Malah, lima ribu tahun lalu, semasa zaman saya masih hidup, hanya segelintir yang mengetahui tentang 'ikatan setaraf' ini.' Mata Doehring Cowart berkedut sambil tersenyum. 'Membina 'ikatan setaraf' bermakna kamu dan makhluk ajaib tersebut berkongsi status yang sama dalam perhubungan, iaitu tiada sesiapa yang menjadi tuan dan tiada sesiapa yang menjadi hamba. Sebenarnya, 'ikatan setaraf' ini memberi kamu hubungan yang lebih akrab dengan makhluk ajaib kamu dan mereka akan lebih senang membantu kamu, memberikan kerjasama yang baik.'

Linley kini semakin faham.

'Oh, Atuk Doehring, daripada apa yang Atuk katakan, lebih banyak manfaat yang diperoleh daripada 'ikatan setaraf'. Mengapa tidak ramai orang menggunakan cara ini?' tanya Linley.

Doehring Cowart ketawa dengan kuat. 'Kerana, 'ikatan setaraf' ini tidak dimulakan oleh manusia tetapi dimulakan oleh makhluk ajaib itu sendiri.'

'Dimulakan oleh makhluk ajaib?' Linley tergamam.

Patutlah formasi ajaib pengikat jiwa tidak diperlukan. Ikatan ini dimula oleh makhluk ajaib itu sendiri. Doehring Cowart menyambung, 'Setiap makhluk ajaib, sewaktu lahirnya mempunyai kebolehan untuk memulakan 'ikatan setaraf' tetapi sepanjang hidup mereka, makhluk ajaib dapat memasuki ikatan ini sekali sahaja. Ia bukanlah seperti pengikat jiwa tuan dan hamba, di mana jika tuan itu memutuskan hubungan tersebut, maka orang lain boleh menggunakan teknik pengikat jiwa untuk menjinakkan makhluk ajaib itu semula.'

Linley mengangguk.

'Akan tetapi meyakinkan makhluk ajaib untuk memulakan 'ikatan setaraf' sesuatu yang sukar,' Doehring Cowart meneruskan lagi dengan nada yang serius. 'Kamu perlu meyakinkan makhluk ajaib itu kamu seperti keluarganya dan buat ia percaya ia tak akan sanggup untuk berpisah dengan kamu. Hanya dengan cara itu ia akan memasuki 'ikatan setaraf' dengan kamu secara sukarela.'

Linley mengangguk.

'Makhuk ajaib dewasa mempunyai kepintaran yang tinggi, jadi jika meyakinkan makhluk ajaib itu untuk percaya kamu seperti keluarganya ialah agak mustahil.' Doehring Cowart mengeluh. 'Tetapi bayi sangat berbeza. Ia seperti bayi manusia yang memiliki kepintaran yang rendah dan dalam masa yang singkat boleh menyukai kamu seperti apabila kamu memberinya makan. Kepintaran bayi makhluk ajaib sangatlah rendah. Semakin kerap kamu memberinya makan, semakin ia suka kepada kamu. Kemudian, peruntukkan masa untuk bermain bersamanya. Dalam masa yang singkat, makhluk ajaib ini akan sayang kepada kamu. Terutamanya bagi bayi makhluk ajaib yang telah terpisah daripada komunitinya, ia lebih mudah untuk dijinakkan.'

Mendengarkan kata-kata Doehring Cowart, Linley merasakan seolah-olah beban berat telah diangkat daripada bahunya.

'Bagaikan memujuk anak kecil.' Linley ketawa.

Dia sememangnya mempunyai pengalaman dalam hal ini. Sejak kecil, dia sering menemani adiknya, Wharton, bermain bersama dan memujuknya. Linley sememangnya pakar dalam hal ini.

'Linley, jangan terlalu yakin. Jika kamu mahu memujuk bayi makhluk ajaib, kamu perlu memberi perhatian kepada banyak perkara. Jika kamu tidak berhati-hati, si kecil Tikus Bebayang ini boleh menggigit kamu.' Doehring Cowart mengingatkan Linley.

'Menggigit saya?'

Linley melihat dari jauh Tikus Bebayang itu. Bunyi dia sedang menghancurkan batu dapat didengar dari jauh. Tikus Bebayang itu mengunyah batu itu dengan mudah sekali seperti Linley biasanya mengunyah roti. Linley tidak sedikit pun mempersoalkan ketajaman gigi Tikus Bebayang ini.

'Jadi apa yang patut saya lakukan?' Keyakinan Linley perlahan-lahan hilang.

'Tenang. Berdasarkan cara Atuk, kamu tidak akan mempunyai masalah. Berdasarkan 'idea janggal' yang Atuk, kamu hanya perlukan masa dan kesabaran. Jangan mudah marah dan hilang sabar.' Doehring Cowart mula menerangkan tentang 'idea janggalnya'. 'Linley, Tikus Bebayang ini merupakan haiwan omnivor. Ia akan makan apa saja. Tulang, batu, daging. Tetapi makanan kegemarannya tetap daging terutamanya daging panggang. Ini berdasarkan pengalaman serta pemerhatian nenek moyang.'

'Oleh itu, pergi ke Gunung Wushan dan bunuh beberapa haiwan dan kemudian letakkan daging yang telah dimasak itu di atas lantai jauh sedikit daripadanya. Ingat, jangan cuba untuk menghampirinya. Setiap kali ia makan, tunggu sehingga ia datang kepada kamu.' Doehring Cowart ketawa. 'Jika kamu cuba menghampirinya, ia mungkin akan menyerang kamu kerana takut! Tetapi jika dia datang sendiri kepada kamu, kamu tak akan berdepan dengan bahaya.'

'Kaedah ini agak janggal tetapi selamat,' Doehring Cowart berkata sambil tersenyum.

Linley faham.

Kaedah ini mungkin sedikit janggal tetapi ia ringkas dan mudah.

'Atuk Doehring, tidakkah Tikus Bebayang ini akan merayau-rayau?' Linley bimbang sekembalinyanya dia daripada mendapatkan daging panggang, dia akan mendapati Tikus Bebayang itu sudah tiada. Dia tidak akan boleh untuk berbuat apa-apa.

'Siapa tahu? Ia bergantung kepada tuah kamu. Tetapi Atuk percaya dalam tempoh masa singkat ini, ia tidak akan ke mana-mana,' kata Doehring Cowart.

'Baiklah, saya akan dapatkan daging.' Linley mengangguk kemudian berlari ke Gunung Wushan. Langkahnya kuat tetapi anehnya, tiada satu pun bunyi yang terhasil. Ini membuktikan keupayaan seseorang sebagai ahli sihir unsur tanah.

Selepas keluar dari pagar manor, Linley berlari pada kadar biasa dan kedengaran langkahnya.

"Tuan Muda Linley, kamu mahu ke gunung semula?" tanya Pak Cik Hiri dengan penyapu di tangan, sedang menyapu lantai. Dia ternampak Linley dan melemparkan senyuman kepadanya.

"Ya." Linley menjawab ringkas lalu mempercepatkan langkahnya.

Sepanjang setengah tahun ini, Linley pergi ke Gunung Wushan untuk berlatih seni sihir hampir setiap waktu tengah hari. Tiada siapa yang tahu apa yang dilakukannya. Tetapi mereka semua tahu pada waktu tengah hari, Linley suka menghabiskan masanya bermain di gunung.

Musim luruh. Banyak pokok menggugurkan daunnya tetapi masih banyak lagi pokok menghijau, dan beberapa pokok maple dipenuhi dengan daunnya yang berwarna merah.

Bayang-bayang pantas dan lincah dapat dilihat merentasi hutan di pergunungan. Linley berlari dengan senyap tetapi lincah dan pantas. Selepas menyerap intipati tanah selama enam bulan, Linley bukan sahaja memiliki daya sihir, kekuatan fizikalnya juga telah meningkat.

Pada ketika ini, tubuh badan Linley menyamai tubuh badan remaja berusia 15 ke 16 tahun di pekan Wushan dan memiliki kekuatan pahlawan tahap satu.

Terdapat banyak tupai dan arnab di kawasan pergunungan Wushan, dan tidak banyak binatang liar. Inilah sebab mengapa kebanyakan orang dewasa tidak bimbang jika anak-anak mereka bermain di kawasan pergunungan. Lagipun, pergunungan Wushan hanyalah bukit kecil, tidak banyak binatang besar dan apatah lagi makhluk ajaib di sini.

Langkah Linley tiba-tiba terhenti sewaktu dia melihat seekor arnab berwarna kuning sedang memakan rumput.

Arnab liar yang sangat peka juga langsung tidak dapat mengesan Linley.

'Arnab liar mempunyai tindak balas yang cepat dan pergerakannya juga sangat pantas. Lebih baik saya menggunakan sihir.' Linley segera membaca mantera ajaib.

Linley merasakan di tengah-tengah dadanya, ledakan kecil daya sihir unsur tanah mula bergetar. Kebanyakan pahlawan menyimpan qi-tempur mereka kira-kira 10 sentimeter di bawah pusat mereka tetapi ahli sihir menyimpan daya sihir mereka di tengah-tengah dada. Tenaga spiritual tentulah tersimpan di dalam kepala mereka.

Tidak banyak beza jika mantera ajaib dibaca perlahan ataupun dijeritkan. Apa yang penting sekarang, memastikan tenaga spiritual seseorang itu dipandu oleh tenaga yang dilepas oleh mantera.

Dalam beberapa saat, Linley selesai membaca mantera dan matanya bersinar ketika dia merenung arnab itu.

Unsur tanah, sihir tahap pertama, Pancang Bumi!

Poof!

Pancang yang tajam keluar tepat dari bawah di mana arab liar itu berada, menusuk tepat ke dadanya. Darah merah mengalir mewarnai bulunya. Terkejut dengan serangan hendap itu, arnab liar itu berusaha untuk melepaskan dirinya tetapi itu hanya membuatkan ia kehilangan darah dengan lebih cepat.

avataravatar
Next chapter