webnovel

Zhang Yang masuk semula ke dalam permainan video tepat-tepat pukul 5 petang. Dia berjalan-jalan seketika sebelum ahli pasukannya yang lain muncul serentak di sebelahnya.

"Wah, aku nak cerita ini! Selepas aku makan makanan yang lazat dan berendam dalam air mandian suam, aku berasa sangat tenang!" Drizzler kelihatan segar dan bertenaga. "Aku rasa macam aku boleh tumbuk seekor harimau kalau ia tiba-tiba datang menyerang!"

"Haha! Bagus, Pembunuh Harimau! Aku meletakkan harapan yang tinggi pada kau!" Zhang Yang tertawa. Drizzler merengus dan menjawab dengan bangga, "Hmph! Tengoklah nanti!"

Ahli pasukan itu berkumpul dan memasuki dungeon sekali lagi. Mereka sehingga terlupa berapa kali mereka telah masuk dan masuk lagi ke dalam dungeon tersebut. Memandangkan bos pertama telah ditewaskan sebelum ini, seluruh kawasan itu kosong. Raksasa yang tinggal dalam dungeon ini hanyalah bos tersebut sehinggalah dungeon itu dipulihkan kembali dan semua raksasa muncul semula menjelang tengah malam. 

"Baik, aku tak akan bazirkan nafas aku untuk menerangkan benda yang sama. Aku rasa semua dah tahu apa yang mereka perlu lakukan. Kita boleh menang kalau kita semua buat bahagian kita! Ingat! KITA YANG TERBAIK!"

"KITA YANG TERBAIK!"

"Ayuh!"

Shush!

Kedua-dua Zhang Yang dan Drizzler menggunakan <Serangan > pada masa yang sama. Zhang Yang kemudian mengaktifkan <Provokasi > dan menarik bos itu ke arahnya.

"Manusia kerdil! Matilah dan masuk ke neraka!" Hampir semua bos gemar menggunakan ucapan yang bongkak dan pencetus kemarahan seperti ini untuk memulakan pertarungan secara rasmi.

90%, 80%... HP bos tersebut terus berkurangan tanpa apa-apa masalah.

'Ding! Roh Air Ains telah menggunakan <Awan Diseru>!'

"Awas! Kentutnya akan keluar sekejap lagi!" Zhang Yang menjerit untuk memberi amaran kepada ahli pasukannya. Ratusan Tembakan, Han Gemuk, dan Si Salji serta-merta memberi perhatian penuh kepada kepulan awan tersebut dan mula menyerang.

'-282!'

'-381!

'-224!'

Kepulan awan yang hanya mempunyai 5,000 HP itu musnah dengan cepat disebabkan serangan tertumpu berterusan daripada tiga orang pemain tersebut.

"Bagus! Macam itulah caranya! Nampak tak betapa mudahnya!"

Zhang Yang bergerak di sekeliling kawasan itu sambil menarik bos dan mengelak <Bom Angin> pada masa yang sama. Malah, kelima-lima ahli pasukan itu tidak kekal di satu kedudukan. Mereka semua kerap bergerak. Bom tersebut bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana jika mereka terkena walaupun sedikit, mereka semua akan tewas sekali lagi!

70%, 60%, 50%...

Pertarungan kali ini berjalan lebih lancar daripada yang dijangka. Kelajuan tindak balas dan perhatian mereka meningkat selepas mereka berehat dan makan secukupnya. Bertarung dalam keadaan diri yang terbaik membolehkan mereka memusnahkan kepulan awan itu dengan cepat. Tiada seorang pun di antara mereka yang melupakan <Bom Angin> itu dan mereka semua menjalankan peranan masing-masing dengan baik. 

Ini merupakan cara sebenar untuk menyerang mana-mana dungeon. Setiap pemain perlu memainkan peranan mereka dengan baik. Setiap serangan perlu mempunyai kuasa merosakkan yang mencukupi. Seorang tank perlu cukup kuat untuk bertahan apabila diserang dan cukup berkemahiran dalam mengawal semua pihak. Seorang penyembuh perlu menjadi sistem sokongan yang baik dan mempunyai kuasa penyembuhan yang bagus. Pemain tambahan yang lain perlu menambah apa yang kurang dan tidak melakukan apa-apa kesilapan. Walau semudah manapun satu-satu strategi itu, menjalankannya dalam pertarungan sebenar bukan sesuatu yang mudah. Ia sesuatu yang sangat sukar untuk memastikan semua ahli memainkan peranan masing-masing dengan baik! 

Jika dilihat dari sudut pandangan teori tersebut, serangan dungeon dengan 5 orang sepasukan lebih mudah dilakukan berbanding serangan dungeon dengan 10 orang sepasukan yang juga lebih mudah dilakukan berbanding serangan dungeon dengan 20 orang sepasukan, dan serangan dungeon dengan 20 orang sepasukan pula lebih mudah dilakukan berbanding serangan dungeon dengan 50 orang sepasukan! Mudah bagi 5 orang sepasukan untuk memastikan tiada kesilapan yang dilakukan, tetapi ia sangat sukar untuk memastikan serangan dungeon dengan 50 orang sepasukan berjalan lancar! 

40%, 30%, 20%, 10%!

"Semua, kuat lagi! Kejayaan hanya tinggal selangkah lagi! Jaga leka dan terus berjaga-jaga! Pertarungan menjadi paling sukar dalam saat genting! Saat terakhir ini yang paling sukar dihadapi! Jangan khuatir!" Zhang Yang cuba menaikkan semangat ahli pasukannya. Mereka menjadi teruja dan tidak senang duduk.

8%!

5%!

3%!

2%!

1%!

0%!

Thud! Bos itu jatuh tewas!

'Ding! Anda dan pasukan anda telah membunuh Roh Angin Ains. Menerima 28,850 mata Nilai Pengalaman. (50 mata bonus pasukan)!'

'Ding! Pasukan anda telah berjaya menakluki Sarang Marzerway: Sayap Tengah (Mod Paling Sukar) dan menerima Pencapaian "Penyelesaian Pertama"! Pencapaian gemilang ini akan dicatatkan dalam Papan Pencapaian Penyelesaian Pertama Mod Paling Sukar. Sebagai ketua pasukan, sila namakan pasukan anda!'

Tanpa bertanya pendapat sesiapa, Zhang Yang terus menaip "Asap Gurun Terpinggir" dalam kotak pengesahan dan saluran pelayan sekali lagi dipenuhi warna merah.

'Pengumuman Pelayan: Pasukan Asap Gurun Terpinggir telah menerima Pencapaian Penyelesaian Pertama: Sarang Marzerway, Sayap Tengah (Mod Paling Sukar). Pencapaian gemilang ini akan dicatatkan dalam Papan Pencapaian Penyelesaian Pertama Mod Paling Sukar (Pelayan China)!'

'Pengumuman Pelayan: Pemain Zhan Yu (Ketua Pasukan) telah menerima Pencapaian Penyelesaian Pertama: Sarang Marzerway, Sayap Tengah (Mod Paling Sukar). Menerima 10 kepingan emas, 1 mata Kemahiran, dan peningkatan 500 mata Reputasi untuk semua kaum daripada ganjaran sistem!'

'Pengumuman Pelayan: Pemain …'

"KITA BERJAYA!" Suara Han Gemuk yang lantang boleh didengar jelas di kalangan suara empat lagi ahli pasukan tersebut. Mereka akhirnya dapat meluahkan tekanan terpendam yang terkumpul setelah lebih kurang 4 jam bertarung dengan bos yang sama.

Saluran persatuan juga turut gamat. Semua orang berasa sangat gembira dan melompat kegirangan. Mereka semua sedang meraikan saat yang penuh kegembiraan dengan tercatatnya nama persatuan mereka di segenap saluran! Bayangkan betapa bangga dan bergayanya mereka apabila mereka berjalan di khalayak ramai dengan tanda nama persatuan tersebut di atas kepala mereka.

'Hei, hei! Tengok pemain itu! Kau tahu tak? Persatuan inilah yang berjaya memperolehi dua Pencapaian "Penyelesaian Pertama" berturut-turut! Apa? Kau tak pernah dengar nama mereka? Hah, kau ni betul-betul ketinggalan!'

"Hahaha!" Han Gemuk tidak boleh menahan dirinya daripada ketawa tanpa henti. "Yang Kecil! Apa kata kalau kita takluki Sayap Utama terus malam ini juga?!"

"Alahai! Orang yang tak ambil tahu ini memang merbahaya!" Zhang Yang menggeleng kepalanya dalam kekecewaan.

"Huh? Apa yang tak kena?" Han Gemuk pusing dan memandang Ratusan Tembakan untuk meminta penjelasan. Mereka berdua adalah Pemburu dan dengan beberapa persamaan lain, mereka menjadi rapat dengan cepat. 

"Sayap Utama itu dungeon untuk 20 orang sepasukan! Kita tak boleh lakukan sendiri!" Kawan baiknya itu menerangkan.

"Jahanam! Kenapa ia tiba-tiba bertukar kepada dungeon dengan 20 orang sepasukan!?" Han Gemuk mula berang.

"Hahaha!" Zhang Yang tertawa. "Sebab Sayap Utama itu akan memberi satu set peralatan!"

"Satu set peralatan?"

"Satu set peralatan akan memberi kesan tambahan jika digunakan bersama. Daripada 5 peralatan, akan ada Kepala, Dada, Tangan, Pinggang, dan Kaki. Jika kita mempunyai 3 daripada 5 peralatan itu, kita akan memperolehi kesan tambahan tersebut! Kesan satu-satu set peralatan sangat kuat dan sama seperti kita menggunakan satu peralatan baru. Mempunyai dua kesan sama seperti memakai dua peralatan tambahan! Sangat OP!"

Zhang Yang menepuk bahu Drizzler dan apabila Drizzler menoleh ke arahnya, dia menunjuk ke arah bangkai tersebut dan memberi isyarat untuk menyuruh Drizzler mengambil hasil rampasan daripada bangkai itu.

"Macam mana dengan kesan set peralatan Pemburu?" Fatty Han bertanya.

Zhang Yang tidak dapat mengingati apa-apa lagi. Peralatan Tahap 20 hanyalah peralatan sementara yang akan digantikan dengan cepat. Lagipun, dia tidak pernah menjadi Pemburu dan Tahap 20 telah bertahun lamanya dia lupakan!

Dia menggeleng kepala dan berkata, "Maaf! Aku dah tak ingat! Apa yang aku ingat cuma setiap kali kau mengalami kerosakan, kau ada peluang untuk membuat penghadang yang boleh menyerap sehingga 500 mata kerosakan. Kesan set peralatan tersebut adalah peningkatan kuasa merosakkan sebanyak 10%." Sementara Zhang Yang menerangkannya kepada Han Gemuk, Drizzler mengambil hasil rampasan.

[Pedang Roh Angin] (Tembaga Hijau, Pedang Sebelah Tangan)

Serangan senjata: 88-104

Sela masa serangan: 2.4 saat

DPS: 40

Keperluan Tahap: 20

Satu-satunya pemain yang boleh menggunakan pedang ini adalah Zhang Yang. Namun, memandangkan dia telah mempunyai pedang Perak Kelabu, dia tidak memerlukan pedang bergred rendah!

"Bawa ia ke rumah lelong! Kita akan kongsi hasil jualan!" ujar Zhang Yang. Ahli pasukan yang lain serentak mengangguk dan peralatan itu diambil oleh Si Salji. Hanya Si Salji dan Drizzler yang gilakan emas itu yang ada kemungkinan untuk mengambil peralatan tersebut. Jika Perompak, Pelindung, dan Pembela lain tahu tentang apa yang mereka akan lakukan dengan pedang tersebut, mereka pasti meraung kesedihan! Situasi bagaimana yang boleh menyebabkan apa-apa peralatan tidak diingini sesiapa!?

"Yang Kecil, bila kita boleh serang Sayap Utama?" Han Gemuk sibuk memikirkan set peralatan tersebut.

"Hm. Kita cuba begini. Malam ini, kita akan berpecah dan cuba tubuhkan dua pasukan untuk menyerang Makam Bangar dalam Mod Paling Sukar. Kita cuba untuk memilih 20 pemain yang mempunyai peralatan yang lebih daripada sederhana dan juga kuat." Zhang Yang mula menerangkan apa yang difikirkannya. Selapas dia menjadi ketua persatuan, dia dengan cepat memainkan peranan itu dengan baik. Tanggungjawabnya yang meningkat membuatkan cara dia berfikir lebih berkembang.

Si Salji, Drizzler, Ratusan Tembakan, dan Han Gemuk berada pada Tahap 20 pada ketika ini. Terdapat kemungkinan yang mereka akan menguasai Mod Paling Sukar dengan hanya tahap dan peralatan mereka.

[Resepi Kejuruteraan: Bom Gas] (Resepi Kejuruteraan)

Kegunaan: Mengajar anda untuk membuat sebuah [Bom Gas]

Keperluan: Kejuruteraan.

Bos ini agak kedekut. Selain daripada pedang tadi, ia hanya memberi sebuah resepi dan sebuah buku kemahiran.

Ratusan Tembakan menerima resepi terbabit memandangkan hanya dia seorang yang mempelajari Kejuruteraan.

"Itu boleh mengambil masa berhari-hari! Yang Kecil, macam mana kalau orang lain telah memperolehi Pencapaian "Penyelesaian Pertama" Sayap Utama sebelum kita?" Han Gemuk telah ketagih dengan kepuasan memperolehi pencapaian. Dalam mindanya, pencapaian tersebut milik mereka!

Zhang Yang ketawa. "Jika sesiapa mampu dan telah mengambilnya, tiada apa lagi yang boleh dilakukan! Tetapi, kau mesti faham yang dungeon untuk 20 orang sepasukan sangat sukar diselesaikan. Jika ia dalam Mod Normal, ia mudah dilakukan. Tetapi, Mod Sukar dan Paling Sukar lain ceritanya!"

Terdapat satu fakta yang tidak dikongsi oleh Zhang Yang. Jika ada sesiapa yang ingin menakluki Sarang Marzerway sebelum mencapai Tahap 30, mereka perlu bergantung kepada [Posyen Anti Bayangan Pemula] untuk mencapainya! Ditambah pula dengan sukarnya mendapatkan resepi tersebut, Zhang Yang benar-benar yakin yang hanya beberapa orang sahaja di China yang mempunyai resepi itu! 

Selagi dia tidak memasukkan posyen itu ke dalam pasaran, ia hampir mustahil bagi sesiapa untuk melepasi tahap kelima sarang tersebut!

[Buku kemahiran: Perisai Suci]

Kegunaan: Mengajar anda kemahiran <Perisai Suci>.

Keperluan: Paderi.

"Hah! Betul-betul dapat!" Zhang Yang tiba-tiba menjerit. Kini, Si Salji dapat memberi sokongan kepada pasukan itu dengan lebih baik!

Buku kemahiran <Perisai Suci> dianggap sesuatu yang boleh didapati di mana-mana di seluruh dunia. Jadi, hampir semua raksasa mempunyai kemungkinan untuk memberi buku kemahiran ini dan bukan hanya Roh Angin Ains sahaja.

Selepas semua hasil rampasan diagihkan, pasukan itu meninggalkan dungeon tersebut dan berjumpa dengan NPC elf untuk melengkapkan cabaran tersebut. Elf itu tersenyum lega dan memberi ganjaran dalam bentuk mata pengalaman yang banyak dan kebenaran untuk memasuki dungeon terakhir iaitu Sarang Marzerway: Sayap Utama.

"Terima kasih semua atas usaha bersama kerana kita dah capai apa yang kita rancang. Sekarang kita boleh berpecah dan buat apa yang perlu! Ingat! Malam ini, kita mesti berada atas talian! Buat yang terbaik untuk membentuk pasukan dengan 20 orang!" Zhang Yang tersenyum girang.

"Okey!" Mereka semua mengangguk. Walaupun mereka telah berehat seketika, masih ada yang agak letih dan memilih untuk log keluar untuk sambung berehat. Zhang Yang salah seorangnya.

Zhang Yang benar-benar berubah dengan mengejut. Dia kini mempunyai lebih banyak aspek dan perkara yang perlu dipertimbangkan.

Dia sekurang-kurangnya naib ketua persatuan Air Jernih dalam kehidupannya yang lepas. Dia seorang yang mempunyai kewibawaan dalam kepimpinan yang kini membantu dirinya dalam menggalas jawatan ketua persatuan Asap Gurun Terpinggir. Tiada satu pun yang janggal baginya. 

Permainan video ini sendiri menggalakkan pemain untuk menyertai mana-mana persatuan. Sistem ini memberi beberapa kelebihan kepada pemain yang menyertai mana-mana persatuan seperti mata pengalaman tambahan, sokongan Tahap 35, dan potongan harga untuk memperbaiki atau membeli peralatan. Walaupun khidmat tambahan ini tidak membantu dalam meningkatkan keupayaan bertarung pemain, tetapi ia tetap ada kelebihannya. 

Dalam 'Keajaiban Tuhan", persatuan terbahagi kepada 10 kedudukan. Untuk meningkatkan kedudukan persatuan masing-masing, persatuan tersebut perlu menuruti [Urutan Peningkatan Persatuan] yang bersesuaian. Semakin tinggi kedudukan persatuan tersebut, semakin banyak kelebihan yang boleh ahlinya perolehi. Namun, selain berpandukan pada [Urutan Peningkatan Persatuan], persatuan juga perlu mengumpul jumlah mata pengalaman persatuan yang ditetapkan. 

Zhang Yang masih ingat yang cebisan pertama [Urutan Peningkatan Persatuan] itu boleh didapati di dungeon Tahap 30, Istana Bayangan Rembulan. Namun, jumlah mata pengalaman terkumpul persatuannya setakat ini hanya 16%!

Ahli persatuan perlu menyelesaikan cabaran persatuan untuk memperolehi mata pengalaman persatuan! Zhang Yang kemudian mengambil keputusan yang perkara pertama yang dia perlu lakukan nanti ialah memberi arahan supaya mereka semua melengkapkan cabaran tersebut!

Next chapter