webnovel

Menghadapi raksasa dari kelas Ahli Sihir agak sukar jika pemain tidak mempunyai kemahiran pasif atau automatik dalam pengurangan kerosakan. Zhang Yang bersyukur yang dia dapat mempelajari kemahiran tertentu itu semasa dia mencapai Tahap 30. <Tembok Perisai> ialah satu kemahiran aktif yang boleh mengurangkan 75% daripada semua serangan yang dihadapi selama 10 saat. Sebelum mempelajarinya, dia hanya mampu berharap yang tuah menyebelahinya!

Zhang Yang berhenti memikirkan perkara ini dan menjerit, "Si Salji, pulihkan aku!"

Si Salji tiba-tiba mendapat satu firasat. "Wah, aku tak sangka mata pengalaman boleh setinggi ini walaupun cuma ada beberapa pemain yang masih hidup! Hehehe… Mungkin lain kali aku akan biarkan saja kau semua mati bila bos itu hampir tewas!"

"Hei, hei, hei. Kau tak rasakah itu melampau sangat?!"

"Apa pendapat kau?" Si Salji mengenyit mata manja ke arah Zhang Yang sambil dia membaca jampi penyembuhan.

"Suri rumah paling merbahaya!" Zhang Yang menggeleng kepalanya kerana kecewa.

"Apa kau kata?" Drizzler bengang sejurus selepas dia pulih. Zhang Yang berjalan mendekati Drizzler dan menepuk kepalanya dengan perlahan-lahan. "Ini tiada kaitan dengan kau, budak kecil. Kau masih jauh lagi daripada menjadi seorang suri rumah!"

Si Salji pula tersenyum menggoda. "Hei, hei! Sepupu yang tua sedikit ini bukan seorang suri rumah ya!"

'Dia ini bukannya seorang yang sangat cantik, tetapi dia masih boleh bermimpi untuk berperangai seperti seorang model terkenal?!'

Zhang Yang tidak mahu membazir masa lagi dan cepat-cepat memberi arahan, "Ambil hasil rampasan daripada bangkai!"

"Ah hah! Aku punya!" Drizzler berlari dan mengambil peluang ini untuk mengambil hasil rampasan daripada bangkai tersebut.

Han Gemuk telah hilang semua peluangnya untuk mengambil hasil rampasan daripada bangkai sejak Drizzler dan sepupunya menyertai pasukan mereka. Budak manja itu seperti biasa akan mengumpul semua syiling emas terlebih dahulu sebelum mendapatkan peralatan.

[Busur Panjang Berapi] (Tembaga Hijau, Senjata Jarak Jauh)

Serangan senjata: 99-117

Sela masa serangan: 2.7 saat

DPS: 40

Kesan didapati: Senjata yang ditempa dengan api membara membuatkan setiap serangan mempunyai 5% kemungkinan untuk menyebabkan 50-70 kerosakan api tambahan.

Keperluan tahap: 20

"Tangan kau bertuah, Drizzler! Sangat bagus!" Zhang Yang ketawa. "Ini busur yang sangat hebat!" Drizzler merupakan seorang gadis yang masih muda, belum matang sepenuhnya, dan gemar bergurau. Dia menjadi gembira dan teruja selepas dipuji.

Ratusan Tembakan, 79 mata.

Han Gemuk, 77 mata.

"Gemuk, aku tak akan berlemah lembut!" Ratusan Tembakan menukar peralatannya sejurus selepas dia memperolehi senjata baru tersebut. Ratusan Tembakan merasakan ia sesuatu yang memalukan apabila dia mempunyai output kerosakan yang paling rendah dan ia mencemarkan harga dirinya. Dia tidak mahu sesiapa antara mereka memikirkan yangdia menyusahkan pasukan tersebut!

Han Gemuk tersenyum dan melambai tangannya, "Jangan risau! Kita kan kawan!"

Zhang Yang tiba-tiba terkedu lalu dia memaksa dirinya untuk berkata-kata. "Setakat ini, pembentukan pasukan kita ini tidak masuk akal. Jika kita mendapat peralatan Kesatria, Pencuri, ataupun Ahli Sihir, kita tiada pilihan lain selain melelongnya! Kita kena cepat tubuhkan satu lagi pasukan dan mengutamakan kelas pemain supaya kita tak lagi membazir peralatan! Dengan pasukan yang mempunyai 10 orang pemain sebagai asas, kita boleh menyertai Liga Profesional. Kita juga boleh menyerang dungeon dengan 10 orang pemain sepasukan atau dungeon dengan 20 orang pemain sepasukan!"

[Plat Dada Membakar] (Tembaga Hijau, Baju Perisai Kulit)

Pertahanan: +4

Vitality: +22

Kekuatan: +4

Ketangkasan: +14

Keperluan tahap: 20

"Peralatan Pemburu lagi!"

"Gemuk, baik kau ambil yang ini. Aku sudah dapat busur tadi!" Ratusan Tembakan tersenyum.

Han Gemuk mengambil peralatan itu dengan gembira. Kuasa kerosakan mana-mana watak itu sangat bergantung kepada senjatanya dan memang jelas kuasa kerosakan Ratusan Tembakan telah meningkat ke satu tahap tertentu selepas dia menerima senjata baru tersebut. Han Gemuk sebaliknya memerlukan baju perisai baru memandangkan HPnya yang terendah dalam pasukan mereka.

Drizzler mula mencemuh bangkai bos tersebut, "Ish! Bos kedekut. Cakap banyak, tapi peralatannya sedikit. Ptui! Aku sumpah bangkai kau!"

"Ha! Drizzler, bos ini mungkin ingat apa yang kau buat dan akan balas dendam bila kita berdepan dengannya lain kali!" Cubaan Zhang Yang untuk menakut-nakutkan Drizzler menjadi. 'Bagaimana kalau mereka perlu bertarung dengan bos ini lagi esok dan bos ini memanggilnya "rata" buat kali kedua? Apa yang dia boleh buat waktu itu?!'

Apabila semuanya kembali tenang, pintu di belakang bangkai bos tersebut terbuka secara automatik dan menunjukkan laluan yang membawa mereka ke bos terakhir iaitu Roh Angin Ains. Mereka terus menewaskan makhluk suruhan sepanjang perjalanan mereka dan tiba ke penghujung laluan tersebut.

[Makhluk Unsur Angin yang Berang] (Elit)

Tahap: 23

HP: 50,000

Hampir semua makhluk unsur tersebut mempunyai penampilan yang sama dengan satu-satunya perbezaan iaitu warna mereka. Unsur Air berwarna biru, Tanah berwarna perang, Api berwarna merah, dan Angin berwarna putih. Raksasa di sepanjang laluan tadi kecil dan hanya dalam bilangan 3 hingga 4 ekor raksasa. Namun, bilangan mereka itu bersesuaian dengan HP mereka kerana setiap seekor raksasa itu mempunyai HP setinggi HP bos! 

"Dengar sini, raksasa jenis ini selalunya dipanggil Pembunuh Tank. Mereka sangat kuat!" Zhang Yang mengeluarkan pedangnya. "Baik, aku mulakan!"

Zhang Yang menggunakan <Serangan > dan memulakan pertarungan.

'Elak!'

'Elak!'

'<Hadangan >!'

'Elak!'

Zhang Yang bergerak seperti seekor ikan di dalam air. Dia mengelak semua serangan raksasa itu dengan mudah dan tidak terkena langsung dengan mana-mana serangan. Melihat Zhang Yang tidak mengalami sebarang kerosakan, Drizzler mencebik bibirnya dan mengadu, "Hei! Kenapa kau cakap mereka ini Pembunuh Tank? Mereka ini nampak seperti mudah saja untuk dibunuh!"

Pada ketika itu, Zhang Yang mengambil keputusan untuk mengusik Drizzler dan tersenyum sinis, "Apa kata kau cuba guna <Provokasi >."

Keinginan Drizzler untuk membuktikan yang Zhang Yang boleh melakukan kesilapan membuatkan dia tidak berfikir masak. Dia menggunakan <Provokasi >.

'-783!'

'-832!'

'Ding! Pemain Drizzler telah mati!'

"@#$%! Tank noob tak guna! Aku sumpah kita tidak akan berbaik-baik!" Drizzler memaki hamun dalam saluran pasukan.

"Haha! Aku rasa kau ini seekor semut yang mahu mengangkat seekor gajah, tapi kau hanya akan tahu jika kau sendiri cuba!" Zhang Yang memjelaskan perbuatannya sambil menetak raksasa tersebut.

"Bedebah! Kau akan dapat balasannya!" Drizzler mendengus kemarahan sambil menangis teresak-esak.

"Kakak sepupu! Bila HP raksasa itu tinggal 5%, biarkan tank noob itu mati!"

"Haha, okey!" Si Salji menurutinya.

Tidak lama selepas itu, HP raksasa itu menurun ke 5% dan Si Salji serta-merta menghentikan penyembuhannya ke atas Zhang Yang dan menyenandungkan sebuah lagu secara rambang. Namun, seorang Pelindung tiada masalah dalam mengelak dan membatalkan serangan apabila berdepan dengan serangan fizikal mana-mana raksasa. Lagipun, raksasa tersebut hanyalah Elit dan serangannya tidak sepantas atau semerbahaya bos, jadi, Zhang Yang dapat mengelak serangan mereka dengan mudah. Raksasa itu tewas sebelum sempat dia kehilangan semua HPnya.

"Pfft…" Zhang Yang menahan gelaknya. "P-Pulihkan dia!" dia tertawa.

Drizzler berdiri serta-merta. Dia memang benar-benar marah sehinggakan ada nafas panas yang keluar dari lubang hidungnya dan matanya terjegil besar ke arah Zhang Yang sehinggakan ternampak jelas iris dan skleranya.

Mereka berdepan dengan lebih banyak makhluk suruhan sambil mereka terus bergerak melalui laluan tadi. Mereka memang kuat, tetapi pasukan Zhang Yang juga tidaklah lemah. Walaupun raksasa itu menyusahkan, laluan itu akhirnya berjaya diselesaikan dan mereka tiba di ruang bos tersebut 30 minit kemudian. 

[Roh Angin Ains] (Tembaha Hijau)

Tahap: 24

HP: 144K

Bos itu setinggi 20 meter. Tangan kanannya menggenggam lembing berat yang lebih tinggi daripada dirinya sendiri dan keadaan itu membuatkan mereka berasa pelik melihat ia masih boleh terapung di atas tanah. Pertarungan ini sama seperti pertarungan sebelum ini dan satu-satunya perbezaannya ialah bos ini tidak mempunyai makhluk suruhan. 

"Ahem!" Zhang Yang berdeham dengan kuat bagi memberi isyarat untuknya memberi ucapan.

"Bos ini jenis menyerang secara fizikal dan serangannya hebat! Kemahiran pertamanya adalah <Tusukan Sonik>. Kemahiran ini akan dijampi kepada pemain dengan aggro tertinggi. Satu serangan akan menyebabkan lebih kurang 1,500 mata kerosakan, jadi Si Salji perlu sentiasa pastikan HP aku melebihi 1,200 HP. Aku juga akan cuba kurang gunakan <Hadangan > kerana kemahiran ini hanya akan menyusahkan tank dan penyembuh." Zhang Yang terhenti sejenak. "Semua orang okey setakat ini?"

"Ya!"

"Ingat, kemahiran kedua dan ketiga mesti diingati semua orang. Sebaik sahaja pertarungan bermula, bos ini akan mengeluarkan 10 bom gas. Bom itu akan dilancar dengan pandu tuju dan akan meletup sebaik sahaja terkena pada sesiapa serta boleh menyebabkan 1,200 kerosakan kuasa ajaib kepada semua. Satu berita baik ialah bom itu bergerak agak perlahan, jadi kita boleh mengelaknya dengan mudah!"

"Kemahiran ketiganya mungkin yang paling menjengkelkan iaitu <Awan Diseru>. Awak yang diseru itu akan mengejar kau dengan sangat laju. Kepulan awan itu sendiri tidak akan menyerang, tetapi sebaik sahaja terkena sesiapa, ia akan menyebabkan kesan pegunan selama 10 saat dan memberi masa cukup bagi bom tadi untuk mengejar kau! 

Kepulan awan tersebut boleh dimusnahkan! Mereka ada lebih kurang 5,000 HP dan mudah dibuang. Jadi, apabila bos itu melepaskan kepulan awan kecil tersebut, Han Gemuk dan Ratusan Tembakan perlu cepat-cepat menembaknya. Kau berdua kena pastikan kepulan awan itu tidak terkena sesiapa!"

"Pertarungan ini melibatkan kelajuan dan pergerakan. Kita tak boleh menang pertarungan ini dengan sambil lewa atau dengan hanya menyerang bos itu!"

"Hoho! Ini menarik. Kita mulakan!" Drizzler bernafas kencang kerana dia begitu teruja untuk bertarung dengan bos tersebut.

"Baik, kita mulakan pertarungan dan biasakan diri dengan taktik ini!" Mereka berlima memasuki medan pertempuran bersama-sama.

"Aku mulakan!" Zhang Yang memulakan pertarungan dengan <Serangan >.

"Melihat kalian yang dapat sampai ke pertarungan ini membuktikan kalian mempunyai potensi! Namun, pertarungan kalian akan berakhir di sini, aku sendiri akan hapuskan kamu semua!" Roh Angin Ains menghayun dan menghunus lembingnya ke arah Zhang Yang.

'Elak!'

Zhang Yang bergerak mengelilingi kawasan. Serangan bos itu pantas, tetapi selagi ia tidak menyerang dengan serangan kemahiran, dia masih boleh mengelaknya.

Selepas memperolehi busur baru, kuasa serangan Ratusan Tembakan telah menyamai kuasa Drizzler dan melepasi kuasa serangan Han Gemuk! Selain daripada Si Salji, seorang Penyembuh, kuasa serangan mereka yang lain boleh dianggap lebih daripada sederhana. Dalam masa kurang daripada 10 minit, bos itu telah kehilangan 10% HP!

"Makhluk tak guna! Matilah!" Roh Angin Ains menggeram dan mengeluarkan 10 bulatan gas berwarna putih dengan kelebaran 1 meter daripada jasadnya. Ia mula terapung di segenap medan pertempuran dan mengejar mereka semua. 

'Ding! Roh Angin Ains telah melepaskan <Bom Angin>!'

"Bom itu dah dilepaskan, semua! Gerak dengan berhati-hati!" Zhang Yang menarik bos itu dan mengubah kedudukannya untuk mengelak daripada <Bom Angin> yang menghampirinya.

"Manusia kerdil! Aku akan musnahkan kamu semua!" Satu cahaya merah bersinar daripada jasad bos tersebut. Ia kemudian mengangkat lembingnya.

'Ding! Roh Angin Ains telah menggunakan <Tusukan Sonik>!'

Kelincahan Zhang Yang terus bertindak balas dan dia mengaktifkan <Hadangan > pada saat genting tersebut.

'<Hadangan >!'

'-117!' <Hadangan > menunjukkan kerosakan.

'-234!' <Hentaman Perisai>.

"Bagus!"

Kemahiran bos tersebut mempunyai pergerakan awal yang menunjukkan serangan yang akan dibuatnya. Namun, ia hanya memberi sepuluh bahagian dalam masa sesaat bagi pemain mengaktifkan <Hadangan > untuk membatalkan serangan tersebut. Kebolehan dalam bertindak balas dalam masa yang singkat tidak mampu dicapai semua orang! Mereka bersorak kekaguman melihat Zhang Yang. 

"Kau semua, awas! Jangan hanya berdiri di sana dan memandang!" Zhang Yang cepat-cepat mengingatkan pasukannya apabila dia menyedari mereka asyik memandangnya.

"Serangga tak guna! Aku akan berseronok dalam menghancurkan kalian!" Roh Angin Ains mengangkat punggungnya dan mengeluarkan beberapa kepulan awan sebesar penumbuk. Kepulan gas kentut tersebut terapung perlahan-lahan di udara dan melayang dengan laju secara mengejut ke arah Drizzler.

'Ding! Roh Angin Ains telah menggunakan <Awan Diseru>!'

"Eww…" Selain Zhang Yang, wajah mereka yang lain berkerut kerana berasa jijik.

Bos ini memang makhluk yang jijik.

Next chapter