webnovel

Chu Qiao yang berasa sungguh terperanjat itu terus merenung doktor berusia itu sebelum bertanya dengan penuh ketidakpercayaan, "Apa yang awak cakap? Boleh ulang balik tak?"

"Cik Puan, Cik Puan ini cuai sangatlah. Bagaimanalah Cik Puan boleh tak tahu yang Cik Puan ini sedang mengandung walaupun selepas kandungan ini berusia tiga bulan? Lagipun, tubuh badan Cik Puan bukanlah dalam keadaan yang begitu baik dan nadi Cik Puan juga lemah. Kalau Cik Puan tak berehat, nyawa kandungan Cik Puan boleh terjejas."

Tiga bulan? Chu Qiao bertanya sendirian semasa dia menjatuhkan pandangannya untuk memandang perutnya yang masih kempis dan ramping. Bagaimana mungkin dia boleh mengandung? Setelah beberapa lamanya wanita ini menunggu saat-saat perkahwinan mereka dan menyertai peperangan, berendam di dalam air sungai yang sejuk dan menunggang kudanya sewaktu bertempur di medan perang, wanita ini sebenarnya sedang membawa kandungannya bersama?

"Saya akan berikan ubat tambahan untuk menambahkan kadar nutrien dalam badan Cik Puan. Cik Puan makanlah ubat ini mengikut prosedurnya, kemudian berehatlah dengan cukup. Jangan mengembara ke destinasi yang terlalu jauh dan sekaligus memenatkan lagi tubuh Cik Puan itu." Doktor berusia itu memujuk Chu Qiao sebelum melangkah keluar bersama He Xiao.

Chu Qiao terduduk di atas katil dengan perasaan yang masih terpana. Dalam beberapa hari yang lalu, wanita ini telah dikejutkan dengan pelbagai jenis berita yang kebanyakannya berunsur buruk dari setiap pelosok kawasan disebabkan peperangan yang sedang berlaku. Ombakan besar berita-berita yang tersebar di rongga telinganya kedengaran seperti ombak tsunami yang menghentam jiwa raganya. Perkara terakhir yang dijangkakan daripada segala situasi yang sedang berlaku kini ialah menjadi seorang ibu mengandung. Dia lantas menggerakkan tangannya yang menggeletar teruk itu ke atas abdomennya. Buat seketika, dia telah tersalah anggap yang dia dapat merasai degupan jantung samar-samar milik janin dalam badannya itu.

Sealiran air mata lantas meluncur dari matanya manakala bibir bawahnya pula diketap kuat, berasa sebak yang teramat sangat.

'Zhuge Yue, saya tengah mengandungkan anak awak. Kita akan menjadi ibu bapa tak lama lagi.'

Semasa malam semakin larut, He Xiao menyalakan lilin yang berada di dalam kamar tidur Chu Qiao setelah meletakkan ubat-ubat tambahan, semangkuk nasi, sayur dan juga sup di atas mejanya. Dia berdiri di sebelah Chu Qiao yang sedang berehat di atas katil itu dan bertanya lembut, "Cik Puan, kita masih akan teruskan perjalanan kita ke Tang Jing ke? Bukan ke lebih baik kalau kita berpatah balik ke Qinghai?" Chu Qiao lantas meraih pandangannya dan memandang He Xiao dengan sebuah pandangan yang tidak dapat diungkapkan, namun masih terdiam.

"Cik Puan, kesihatan fizikal Cik Puan tak membenarkan Cik Puan untuk terus memimpin pasukan-pasukan tentera. Walaupun Cik Puan tak kisahkan tentang kesihatan Cik Puan, tapi Cik Puan harus fikirkan tentang Tuan Zhuge dan juga anak yang berada dalam kandungan Cik Puan itu."

Chu Qiao mengekalkan kebisuannya sementara masih merenung perutnya yang ramping itu. Setelah beberapa lama, dia memandang ke atas dan membalas lembut, "Saya dah kecewakan dia sekali, He Xiao."

He Xiao tidak memahami maksud yang tersirat di sebalik ungkapan Cik Puannya itu, lalu dia bertanya, "Apa yang Cik Puan cakapkan ini?"

"Saya dah kecewakan dia sekali." Pandangan mata Chu Qiao segera beralih ke arah lilin yang berkelip. "Saya dah berjanji yang saya akan berada di samping dia dan lindungi dia terhadap penjenayah, tapi saya dah kecewakan dia. Dia dah kehilangan ibu bapanya. Kalau saya menjaga anak ini, siapa yang akan menjaga dia?"

Setelah menyedari yang wanita ini sedang bercakap mengenai Maharaja Dinasti Tang, Li Xiuyi, He Xiao lantas berkerut, "Cik Puan, Cik Puan tak boleh tukar seluruh dunia ini seorang diri. Walaupun kalau Cik Puan tinggal di Tang Jing dari mula lagi, mungkin Cik Puan tak boleh tukar apa yang bakal terjadi pada masa depan. Cik Puan tak berapa sihat dan tak elok kalau Cik Puan terus berfikir dengan terlalu banyak. Cik Puan tak boleh salahkan diri Cik Puan atas segala perkara yang berlaku."

Chu Qiao mengangkat kepalanya dan mengambil nafas panjang. "He Xiao, ada beberapa tanggungjawab dalam dunia ini yang kita tak boleh lari," Chu Qiao membalas tenang, "Lagipun, inilah masanya untuk membalas budi Li Ce dan Empayar Tang yang telah mereka berikan kepada saya. Keturunan saya pasti tak akan berasa bangga dengan salah-silah keluarga mereka kalau mereka mendapat tahu yang saya dah tinggalkan seorang anak kecil yang memerlukan bantuan saya." Dia berdiri dan memakai kasutnya sebelum berjalan ke arah meja makan untuk menjamah makanannya. Selepas itu, Chu Qiao menelan beberapa ubat tambahan. Tubuh badannya yang kusut masai dan lemah itu langsung tidak ternampak seperti seorang wanita yang sedang mengandungkan seorang bayi.

"Bertenanglah, semuanya akan baik-baik sahaja."

He Xiao memandang wajah wanita itu, tidak pasti akan maksud kata-katanya. Adakah dia sedang bercakap tentang dirinya? Anak yang berada dalam kandungannya? Ataupun Mahajara Tang kini?

Angin malam yang bertiup telah melambai-lambaikan batang-batang pokok yang terletak di luar jendela. Pemandangan di Tang ini kelihatan sama saja sepanjang tahun, namun jejak langkah peperangan terasa semakin mendekati tanah ini. Pada masa yang sama, di dalam salah sebuah khemah terbesar yang didirikan di Sempadan Baizhi, Yan Xun sedang memakai jubah hitam dan sedang mengambil tempat di atas kerusi. Di bawahnya terdapat pilihan wanita yang telah dihantar oleh para bangsawan kaya-raya di dalam kawasan yang berdekatan dengan sempadan itu. Semua wanita-wanita muda itu sedang memperagakan pakaian-pakaian yang memukau, membuatkan setiap seorang daripada mereka kelihatan lembut dan juga elegen. Buat beberapa ketika, beberapa orang wanita yang lebih berani bakal mencuri pandangan mereka ke arah Yan Xun yang terduduk tinggi dan megah di atas takhtanya. Namun, perhatian lelaki itu bagaikan telah diragut oleh sesuatu yang lain.

"Tuanku, kami dah sediakan pasukan tentera kami dan dah bersedia untuk memerangkap Pasukan Tentera Xiuli di Sempadan Hanshui."

"Salah seorang dari kamu, ke sini!" Yan Xun tiba-tiba memberi perintah sebelum salah-seorang pengawalnya tergesa-gesa berlari ke arah pemuda itu. "Heret dia ke sini dan berikan dia 20 libasan!" Serta-merta, pengawal tersebut terus merentap lengan pakar strategi itu sebelum melangkah keluar. Lelaki itu yang masih tidak menyedari kesalahan dalam kata-katanya terus merayu bersalah kepada Yan Xun dan meminta belas kasihan daripadanya. Tidak lama kemudian, bunyi lolongan keperitan bergema kuat di seluruh kawasan perkarangan, memeranjatkan para wanita yang sedang patut melutut di atas lantai sepanjang masa ini.

"Untuk mengelilingi dan memerangkap mereka semua." Gumam Yan Xun. Kata-katanya kedengaran santai, namun masih boleh didengari emosi yang terkandung di dalam ayatnya itu. Dia bersandar di atas sofa anjung itu, terlelap sambil wanita-wanita di hadapannya itu masih lagi melutut di hadapannya. Walaupun jarak di antara mereka berdua beribu-ribu batu jauhnya, namun mereka masih mengungkap ayat yang sama, "Harap-harap kita tak akan bertemu di medan perang."

Yan Xun bagaikan telah dikembalikan dek arus masa. Di dalam rumah usangnya, seorang gadis muda yang memakai gaun merah jambu muda sedang terduduk di bawah cahaya lilin. Gadis itu sedang menjahit bajunya dan berkata, "Dalam medan perang, ikatan kekeluargaan pun sudah tak penting lagi. Walaupun kalau kau akan berlawan dengan keluarga kau, kau tak boleh berundur dari medan perang. Itulah sejarah asal Dinasti Tang, bukannya berdasarkan lakonan teater itu. Dengar baik-baik."

"Sejarah? Kenapa aku tak pernah mendengar mengenainya?"

"Tak penting pun. Apa yang penting, kau dah belajar benda itu."

"Kalau kau jadi Li Shiming, kau akan bunuh abang kau juga ke?"

"Mestilah aku akan bunuh dia. Kalau tidak, apa yang akan terjadi? Kau mahu aku tunggu masa sehingga dia yang bunuh aku? Bukan ke aku dah beritahu kau yang hubungan mereka akan terjejas juga? Kau pula bagaimana? Kau akan bunuh dia ke?"

Budak lelaki tersebut terdiam buat seketika sebelum membalas, "Kalau aku jadi dia, aku akan bunuh dia semasa pertempuran dengan Liu Wuzhou itu."

Terpana, gadis itu hanya mampu mengangkat ibu jarinya ke atas. "Kau ini memang lain dari yang lain."

....

Kegelapan lama-kelamaan menyelubungi setiap penjuru tanah kawasan tersebut sementara perasaan dan kenangan lalu yang mengganggu-gugat jiwa itu berlalu pergi…

Pada keesokan harinya, sebuah angkatan tentera berkuda rahsia telah digerakkan dari Sempadan Baizhi untuk menuju ke Hanshui. Dari situ, Yan Bei telah mengumpul lebih 100,000 orang ahli tentera elit Cik Puan Jingan di Han Shui, di mana mereka mampu membantu wanita itu dan juga melindungi pasukan bahagian hadapan mereka untuk sebarang perunduran.

Pada hari yang sama, Chu Qiao bakal mengetuai Pasukan Tentera Xiulinya dan juga Pasukan Tentera Serigala untuk bergerak keluar dari daerah Nanli. Lebih 40,000 orang askar akan berkumpul di dataran tersebut dengan pedang-pedang mereka yang diraih tinggi bagaikan sebuah hutan yang diperbuat daripada besi.

"Sesiapa yang ingin menuju ke ibu negara Tang mesti akan mengambil jalan di Hanshui. Kalau kita berniat untuk membantu ibu negara, kita mesti takluki Hanshui." Jari-jemarinya yang pucat ditudingkan ke peta sebelum wanita itu membulatkan kawasan di sekitar Sempadan Hanshui, menjelaskan, "Pertempuran terakhir akan menjemput kita tak lama lagi."

Awanan kelabu di langit bagaikan telah membuka pintu langit dan lantas menimpa bumi dengan air hujan yang sungguh lebat dan tidak berpenghujung. Dataran rumput yang berada di sekitar Hanshui mempunyai ketinggian yang lebih kurang sama dengan ketinggian manusia, membolehkan seseorang bersembunyi di sebalik rumput-rumput. Ribut petir yang melanda bumi telah membawa bersama hujan lebat bersamanya, menjadikan air sungai yang mengalir dari barat ke timur untuk bergerak dengan sungguh deras. Ia telah berjaya menumbangkan pokok-pokok yang berusia lebih dari 100 tahun dan juga mencederakan dua orang pengawal peronda Yan Bei. Seisi keluarga yang seramai tujuh orang telah dihempap sehingga mati oleh atap bumbung di bahagian timur bandar. Angka korban pertama dalam Pertempuran Sempadan Hanshui itu telah terjadi tanpa sebarang pertempuran pun, sekaligus menjatuhkan semangat juang setiap ahli tentera di sana. Para rakyat jelata tergesa-gesa pulang ke rumah mereka. Tidak lama kemudian, air hujan yang lebat itu hanya telah mendarat pada daun-daun kering yang telah diterbangkan dek angin kencang.

Hujan telah turun menimpa bumi selama 11 hari berterusan, secara langsung menaikkan paras air sungai Hanshui. Cuaca yang mengerikan itu telah digerunkan lagi semasa malam hari apabila lolongan sang serigala kedengaran. Penghijrahan para burung ke arah utara juga bagaikan sebuah ramalan tentang kehancuran yang bakal menimpa kawasan ini. Pengalaman ini sudah semestinya telah mengingatkan semua orang tentang kejatuhan pemerintahan Maharaja Xiaozong selama tujuh tahun. Pada tahun itu, Jeneral Xue Li telah memimpin seangkatan tentera Tang yang seramai 40,000 orang untuk melewati Sempadan Hanshui dalam situasi yang sama seperti mereka kini. Mereka juga sedang bergerak ke utara untuk menyelinap masuk ke Sempadan Baizhi untuk bertempur jauh ke dalam kawasan Xia. Namun, apabila rasa kemenangan baru terdetik dalam hati para pemimpin Dinasti Tang di mana mereka dapat menakluki kembali Empayar Xia, Raja Singa Yan Bei telah melepaskan kemurkaannya dan mengalahkan Pasukan Tentera Tang. Raja Singa itu sendiri telah membunuh Jeneral Xue Li, sekali lagi menghancurkan cita-cita Empayar Tang.

Darah telah banyak mencemari Sungai Chishui pada tahun itu di mana mayat-mayat yang terapung boleh kelihatan di sepanjang sungai untuk berbatu-batu jauhnya. Anjing-anjing liar juga boleh dilihat berkeliaran di sekitar kawasan sungai untuk memakan tubuh mayat-mayat. Walaupun Raja Singa itu telah lama mangkat dan lalang sudah pun mula tumbuh pada kubur Jeneral Xue Li, namun kenangan-kenangan mengenai pertempuran dahsyat itu masih segar dalam ingatan para saksi. Dengan kelemahan askar Empayar Tang dan juga konflik dalaman yang sering menimpa Empayar Xia, bendera dan panji Yan Bei berkibar megah di atas tembok Sempadan Baizhi buat pemandangan rakyat jelata bandar itu.

Pada 7 Mei, di bawah permintaan Cik Puan Jingan, Yan Xun telah memimpin angkatan tenteranya untuk mengawal Sempadan Hanshui supaya dapat memberatkan dacing kemenangan ke arah mereka dengan menghalang pencerobohan Pasukan Tentera Xiuli. Beberapa hari kemudian, Pasukan Tentera Xiuli di bawah pimpinan Chu Qiao telah mula memasuki daerah Weiliao, sebuah kawasan yang terletak di bahagian rusuk barat Sempadan Baizhi. Pekan kecil itu serta-merta telah menjadi tumpuan perhatian kesemua rakyat yang menetap di dalam Empayar Tang dan lebih lagi. Bendera putih yang dihiasi dengan warna merah itu lantas dinaikkan ke atas menara pekan yang kecil itu. Pada masa yang sama, Chu Qiao sendirinya telah memeriksa setiap seorang daripada perarakan tenteranya itu. Pasukan-pasukan Tentera Tang yang telah dibubarkan di sekitar daerah Weilio segera berkumpul di sana untuk menjadi pasukan bantuan wanita itu. Sementara itu, parti-parti yang setia dengan Maharaja telah menghantar bekalan makanan dan kelengkapan yang lain juga. Dalam masa tiga hari, Pasukan Tentera Xiuli telah bertambah angka jumlahnya yang kini seramai 90,000 orang dan angka jumlah itu hanya akan bertambah hari demi hari.

Ini merupakan bendera pertempuran pertama yang telah dinaikkan semenjak pembelotan Cik Puan Jingan. Di belakang bendera yang baru sahaja dinaikkan itu terletaknya bendera sekutu Cik Puan Jingan iaitu Pasukan Tentera Yan Bei. Sebuah pertempuran besar menanti mereka sementara semua penyertanya berasa tidak senang duduk.

Hujan lebat berhenti dari terus menimpa bumi pada 14 Mei, namun paras air di Sungai Hanshui telahpun mencecah tahap bahaya. Enam hari berikutannya yang dipenuhi dengan kebuntuan telah membuatkan kedua-dua belah pihak hilang sabar setelah mengetahui yang mereka harus bertempur juga. Penugasan ratusan ribu tentera di hadapan ratusan ribu pihak musuh tanpa bertindak itu merupakan sebuah taktik perang yang sangat merbahaya. Suasana di sempadan itu terasa sungguh tegang dengan setiap seorang dari ahli tentera yang bersedia menunggu akan arahan seterusnya.

Walaupun kedua-dua Chu Qiao dan Yan Xun telah membuat rancangan peperangan, namun ribuan informasi yang baru didapati daripada para peninjau telah menukar segala rancangan asal mereka. Akan tetapi, mereka berdua juga sedar akan kesan kepada pertembungan ini, membuatkan mereka berasa gelisah yang teramat.

Pada tengahari 14 Mei, Mo Xu, seorang pengawal dari daerah Wu Ling bergerak ke arah Pangkalan Wei Liao milik Chu Qiao dengan membawa bersama 50 tan bijian dan bekalan makanan untuk melepasi dataran bersungai. Dia telah melakukan tugasnya dengan sungguh berhati-hati, iaitu untuk mengelak daripada sebarang pertembungan dengan pihak musuh.

Nenek moyang Mo Xu yang juga anak jati Tang ini pernah bertempur bersama nenek moyang Maharaja suatu ketika dahulu, sekaligus menaikkan darjat keluarga itu dalam empayar tersebut. Kini, generasi bersilih generasi, begitu juga dengan kemegahan dan juga pengaruh kuasa keluarga Mo. Namun, setelah melihat negaranya yang semakin merudum ke dalam gaung kemusnahan, Mo Xu yang sudah melebihi 70 tahun, sendirinya telah memimpin pasukan bekalan makanan dan keperluan yang lain. Dia bertujuan untuk menyumbang dan membantu usaha yang telah diberikan oleh Chu Qiao dalam peperangan ini.

Akan tetapi, sesampainya mereka di sungai Teixian, mereka terserempak dengan kumpulan jurutera kecil milik Yan Bei. Empangan yang telah dibina di sungai Teixian telah menjadi semakin goyah disebabkan cuaca dan juga limpahan air yang mengalir ke dalam sungai itu. Yan Bei telah mengerahkan 3,000 orang tentera untuk memperbaiki empangan itu dengan segera kerana empangan yang pecah itu pasti akan dapat memusnahkan pangkalan tentera Yan Bei yang terletak di hilir sungai. Sebuah pertempuran kecil yang segera tercetus itu serta-merta mendapat perhatian para peninjau dan pengawal sentri yang berdekatan. Dalam masa kurang dari setengah jam, kawasan itu menjunam ke dalam kehuru-haraan di mana kedua-dua belah pihak telah mengarahkan ramai pasukan tenteranya ke dalam pertempuran tersebut.