webnovel

"Inilah apa yang istana Sheng Jin mahukan. Anak, kamu boleh pergi sekarang. Kamu tak perlu tahu sebabnya. Selagi kamu tahu yang segala yang kamu lakukan untuk keluarga Wei, untuk kemasyhuran keluarga Wei selama tiga ratus tahun ini, itu sudah cukup."

Perlahan-lahan anak kecil itu berundur lalu beredar. Cahaya mentari menyinari bilik anak muda itu melalui pintu bilik yang terbuka luas, lantas memberikan bayangan kemerahan di sekitar bilik itu.

Wei Jing muncul dari belakang dewan dan melangkah ke sisi Wei Guang. Wei Jing sedang memakai jubah berwarna hijau gelap dan anak matanya yang dingin dan membeku merenung tajam lelaki yang telah lanjut usia itu dan menabiknya bersahaja, "Pak cik."

"Kamu sudah sediakan semuanya?"

"Pak cik jangan risau. Semuanya sudah disediakan dengan sempurna."

"Okay." Wei Guang memusingkan badannya dan lantas mendepani batu bersurat milik nenek-moyangnya untuk membakar setanggi. Dengan jubah yang mahal dan labuh itu mengheret di tanah, ia sekaligus telah menyapu abu setanggi yang telah habis dibakar tadi.

Wei Jing yang melihat Wei Guang yang kelihatan seperti dia akan bangun dari kerusinya itu terus menolong pak ciknya itu dengan memberikan sokongan kepadanya. Dengan suara yang perlahan, seolah-olah sedang memberitahu suatu rahsia, dia berkata, "Pak cik, pada pendapat pak cik, apa kemungkinan Raja Yan Shicheng untuk berjaya?"

"Ah…" Lelaki yang telah lanjut usia itu lantas tertawa kecil dan membalas, "Langsung tiada."

Wei Jing mengerutkan mukanya dan berkata dengan penuh curiga, "Daerah Yan Bei sangat luas dan besar. Walaupun kawasan di sana agak dingin, rangkaian perdagangan mereka dengan wilayah barat masih lagi bermanfaat. Semenjak pilihan raya, lebih ramai orang yang berbakat berada di pihak mereka. Walaupun Raja Yan Bei itu tidak mempunyai bakat yang besar, dia sangat baik dengan rakyatnya. Dia sudah memenangi hati rakyat, jadi rasanya dia ada peluang untuk berjaya."

Wajah Wei Guang bertambah kerut setelah dia menghela sebuah keluhan dan berkata, "Bukan dia yang bersalah, tapi apa yang dia miliki itu yang membawa kemusnahan diri dia. Kenapa kamu rasa tuan besar istana Sheng Jin itu bersungguh-sungguh nak hapuskan Raja Yan Bei? Kalau seseorang tak buat kesilapan, itu pun suatu kesilapan. Rahsia untuk meraih kuasa adalah dengan mengimbangkan kejayaan dan kegagala supaya kita dapat kekalkan suatu kitaran. Satu-satunya sebab mengapa mereka berniat nak bunuh dia adalah kerana Yan Shicheng itu sangat beruntung sebab dikurniakan dengan lokasi dan juga sumber semula jadi yang mengagumkan. Lagipun," Wei Guang mengukir senyuman dan menyambung, "Bagaimana sebuah pokok boleh hasilkan perlbagai jenis buah? Yan Bei membangun disebabkan Da Tong tapi ia akan musnah disebabkan Da Tong juga."

Wei Guang memalingkan kepalanya dan melihat budak kecil yang paling menenangkan hatinya ini dan lantas berkata, "Jing, buah mulut orang kata yang Presbyterian akan meraih kuasa. Ketujuh-tujuh keluarga ternama itu akan dipanggil orang bawahan walaupun mereka keluarga diraja. Tapi, pak cik ada bagitahu kamu yang hanya pemegang takhta di istana Sheng Jin itu ialah pemerintah sebenar Dinasti Xia yang Agung ini. Kamu kena sentiasa ingat tu."

Jarang sekali Wei Jing melihat pak ciknya itu bercakap mengenai sesuatu dengan sebegitu serius, jadi dia terus tertunduk hormat dan lantas mengangguk faham.

Wei Guang mengambil nafas yang dalam dan menyambung, "Sebab mengapa Raja Yan takkan ada peluang untuk bertahan kerana dia tak pernah terfikir untuk memberontak. Jadi, walaupun mereka tak membuat apa-apa kesalahan sekalipun, selagi tuan besar istana Sheng Jin nak mereka mati...mereka akan mati."

Langit senja pada hari itu kelihatan semerah darah dan diterangkan lagi dengan lampu-lampu jalan di bandar Zhen Huang. Beberapa orang yang menyedari keadaan langit yang lain dari yang lain itu berhenti sejenak dan lantas memberi amaran kepada orang-orang sekeliling mereka dan tidak lama selepas itu, semua mata tertumpu pada sebuah bintang merah luar biasa yang sedang berkelip-kelip di langit yang semakin gelap, sekaligus mengerikan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Di luar pintu gerbang Kediaman Zhuge, Zhu Shun, yang menyedari kesilapan yang telah dilakukannya, sedang diheret keluar. Dia terus melupakan kesakitan yang sedang dialaminya setelah melihat Zhuge Yue di atas kudanya dengan anak mata yang bersinar-sinar dengan kehendak untuk membunuh. Dia berlari ke arah tuan mudanya itu dan lantas merayu dengan terdesak, "Tuan Muda keempat, tolong dengar penjelasan saya. Ini semua salah faham!"

"Swoosh!" Satu deret darah pekat terpercik di udara, dan hanya teriakan simpati dari lelaki ini sahaja yang dapat didengari sebelum dia jatuh ke tanah dengan telinga montelnya yang dipenuhi darah.

"Tunggu di sini. Aku akan datang balik untuk tuntut nyawa kau!" Tuan muda itu berwajah muram dan walaupun nadanya tenang, semua orang yang berada di situ dapat mendengari kesuraman dalam suaranya. Renungan Zhuge Yue dingin apabila dia berpusing, dan para pengawal melihat Zhu Shun dengan penuh simpati sebelum mengekori belakang Zhuge Yue dengan patuh.

Zhu Shun baru sahaja kehilangan sebelah tangannya beberapa hari yang lalu. Dia terbaring di atas tanah dan lantas menangis teresak-esak sambil berguling sedih. Namun, tiada seorang pun rakannya yang mara untuk menolongnya.

Langit mula dituruni salji semasa waktu makan malam, menimbusi Chu Qiao. Yan Xun sedang memakai kot jaket panjang berwarna putih yang diperbuat daripada bulu musang hutan bersama penutup kepala, dan sedang berdiri di tepi tasik sambil memegang seekor kuda. Pemuda tersebut yang memakai pakaian mewah itu mempunyai raut wajah yang sangat kacak, matanya bertenanga, dan bayangnya pada tasik beku itu kelihatan bergaya, dan namun megah pada masa yang sama.

Apabila langit telah menjemput malam, pelita minyak ikan paus yang tidak pernah terpadam terpacak teguh di istana Sheng Jin itu berkelip-kelip, jelas menunjukkan laluan ke arah istana tersebut, dan dengan perlahan Yan Xun memalingkan kepalanya ke arah pintu gerbang istana itu.

"Putera!" Feng Mian memecut ke arah puteranya dan lantas berkata dengan tercungap-cungap, "Sesuatu yang penting sudah berlaku!"

Yan Xun meraih keningnya dan bertanya, "Apa yang terjadi?"

"Ada khabar angin yang mengatakan Xing Er sudah ditangkap oleh Tuan Besar Kedua keluarga Zhuge dan sudah diheret pergi ke kediaman di jalan Ba Xing."

"Apa?" Kening Yan Xun terus meloncat tinggi akibat terpana setelah mendengar berita buruk itu dan lantas berkata dengan serius, "Bila semua ini terjadi dan dari mana kamu dengar benda ini? Kamu pasti ini semua betul?"

"Ya, saya dengar daripada pencuci Kediaman Zhuge. Sama ada betul atau tak, itu saya tak pasti. Apa yang saya tahu ini berkaitan dengan Xing Er daripada istana Qing Shan."

Yan Xun mengerutkan dahinya, dan setelah berfikir buat masa yang lama, dia lantas berdiri dan melonjak ke atas kudanya sambil berkata nekad, "Feng Mian, aku akan pergi ke jalan Ba Xing."

"Apa? Tuanku betul-betul akan pergi? Bagaimana kalau khabar angin itu tak betul? Apa kata Tuanku tunggu dulu," Feng Mian yang berasa khuatir akan keselamatan putera muda itu memberi cadangan.

Yan Xun menggelengkan kepalanya dan berkata, "Kalau maklumat itu tak betul, aku akan balik saja. Tak salah pun."

"Apa alasan kita untuk masuk ke dalam? Kita tak boleh nak merempuh masuk saja untuk mencari seseorang, kan?"

Yan Xun mengalih pandangannya dan membalas, "Kita boleh saja kata yang kita nak ucapkan selamat tinggal sebelum kita berangkat dari bandar ini. Mari kita pergi."

Angin pada malam itu bertiup kencang sambil kabus bersalji mula menebal dan tidak jauh dari bahagian barat bandar, tiga ratus orang tentera sedang bersembunyi dengan senyap sambil menunggu kuda-kuda mereka untuk pulang ke pangkuan tuan mereka. Salah seorang ahli tentera itu berkata kepada komander mudanya itu, "Mejar Panglima, saya nampak dengan mata kepala saya sendiri yang Putera Yan sedang menghala ke arah perkarangan istana Zhuge di jalan Ba Xing."

"Perkarangan istana Zhuge?"

Wei Shuye mengerutkan dahinya dan berkata dengan penuh serius, "Kenapa Yan Xun pergi ke kediaman Zhuge? Keluarga Zhuge cuba untuk masuk campur dalam hal ini ke? Zhuge Muqing tak hadir dalam mesyuarat Majlis Ketua-ketua Terhormat kali ini. Mungkin dia sengaja nak mengelak dari perkara ini?"

Jiang He mengarahkan kudanya untuk bergerak ke hadapan dan mendekati komandernya dan berkata, "Mejar panglima, saya tak rasa dia akan buat begitu. Hubungan antara Zhuge Muqing dan Ba Tu Lama sentiasa baik selama ini. Kali ni, dia terlalu sibuk dengan banjir yang menimpa kawasan dia sampai Zhuge Muqing tak ada banyak masa. Saya rasa ini semua kebetulan saja."

Wei Shuye menganggukkan kepalanya dan berkata sekali lagi, "Kalau itu sebabnya, apa yang kita akan lakukan ini akan jadi lebih senang."

Wei Shuye mendongakkan kepalanya ke langit untuk melihat keadaan bulan yang bulat dan memutih itu bercahaya terang di langit, dan lantas berkata, "Masanya sudah tiba."

Setelah pasukan tentera seramai tiga ratus orang itu mendengar ungkapan komandernya itu, mereka lantas meluru ke arah kediaman tuan besar kedua keluarga Zhuge tanpa ragu-ragu.

Semasa Zhuge Yue, Yan Xun dan juga Wei Shuye sedang meluru ke arah kediaman Zhuge Xi, mereka menyedari kamar tidur gadis muda itu sunyi sepi. Darah segar yang mengalir dari pisau belati tajam meresap ke dalam karpet unta putih di dalam bilik itu dan lantas melakarkan corak bulatan berwarna merah. Angin sejuk memenuhi setiap ruang melalui celah tingkap bilik sekaligus melesapkan aroma yang sangat kuat dari dalam ruang itu. Raut wajah Zhuge Xi yang berkedut itu kelihatan amat terkejut setelah lampu menerangi bilik, dan serta-merta menggenggam lehernya sambil melopong melihat gadis kecil yang lebih rendah dari paras bahunya itu. Butiran pasir di dalam jam pasir mengalir lambat dan akhirnya, Pong! Zhuge Xi terjatuh melutut dan lantas terhempas di lantai.

"Kau nak merayu supaya aku maafkan kau?" Chu Qiao bertanya lembut. Dia menundukkan kepalanya dan mengerling ke arah Zhuge Xi. Kebencian yang membuak-buak di dalam hati yang telah terpendam selama ini hampir meletus melalui mulutnya, dan Chu Qiao lantas terbayang akan tubuh mayat Zhi Xiang dan yang lain-lain terbaring lesu di atas tanah. Memori yang dibawanya itu telah mengakibatkan kesengsaraan yang tidak dapat ditanggung di dalam hatinya. Dia berkata dengan suara yang rendah, "Dulu ramai sangat orang yang merayu kepada kau untuk minta belas kasihan. Kenapa kau tak nak biarkan mereka hidup?"

Zhuge Xi terbaring di atas lantas sambil darah masih mengalir dari kecederaan di lehernya. Dia merupakan seorang yang takut akan kematian, tangan Zhuge Xi menggeletar semasa memanjangkan lengannya untuk cuba merangkak sejauh yang mungkin dari Chu Qiao demi menyelamatkan nyawanya. Titisan darah dari kecederaan yang telah dialaminya itu meninggalkan jejak di atas lantas. Warna merah darah itu kelihatan sangat terang dan mengerikan.

"Kau sudah hidup lama sangat. Sudah tiba masanya kau terima balasan atas dosa-dosa kau. Kalau Tuhan tak nak menghukum kau, aku akan ambil tanggungjawab tu." Pisau yang berada di dalam genggaman Chu Qiao serta-merta meluncur laju di leher Zhuge Xi dan memancung kepalanya tegas. Darah memancut keluar tanpa henti dan lantas menjadi cecair ungu bersama bau hanyir yang sangat kuat.

Chu Qiao menggenggam kepala Zhuge Xi yang baru saja dipancung itu dan mencampakkannya ke atas lantas tanpa sebarang emosi di wajahnya, dan melangkah ke arah sepuluh hamba perempuan yang sedang bersembunyi di sudut bilik tidur itu. Ketakutan jelas terpancar di mata mereka apabila memandang Chu Qiao dan lantas memeluk antara satu sama lain dengan lebih erat. Di mata mereka, Chu Qiao kelihatan seperti dia telah hilang akal kerana mempunyai keberanian yang sebegitu besar untuk membunuh tuan besar. Dia bagaikan jelmaan syaitan kecil. Namun, jika bukan kerana Chu Qiao, berapa ramai di antara mereka yang akan terselamat?

Chu Qiao mengheret seorang gadis kecil pendiam berumur sepuluh tahun, mukanya pucat bagaikan selendang putih dan bibirnya menggeletar ketakutan. Chu Qiao menundukkan kepalanya dan bertanya dengan suara yang sangat jelas, "Kamu takut?"

Anak kecil itu merenung terus ke hadapan dan menganggukkan kepalanya tanpa henti, memikirkan yang dia akan menjadi orang yang kedua yang akan dipancung. Air mata dan hingus yang berlelehan di mukanya namun dia langsung tidak mempunyai keberanian untuk membuat sebarang bunyi.

"Kalau kamu takut, kamu patut menjerit saja."

Walaupun gadis itu berasal dari keluarga yang miskin dan ibu bapanya masih muda, dia seorang yang bersikap wajar dan dengan pantas dia menggelengkan kepalanya dan berkata dengan sedu-sedan, "Saya takkan buat sebarang bunyi. Saya tak nampak apa-apa. Tolong selamatkan saya."

Chu Qiao mengerutkan dahinya dengan serta-merta dan menempik, "Kau tak faham ke apa aku cakap? Jerit dengan kuat."

"Tolong," anak itu teresak, "Tolong selamatkan saya. Saya akan buat apa saja yang awak nak. Ah!"

Chu Qiao secara tiba-tiba mengangkat pisau belatinya ke leher salah seorang daripada hamba tersebut dan cuba untuk menikamnya. Anak kecil yang hanya berteriak dengan perlahan sebentar tadi lantas menjerit kuat apabila pisau belati itu menghiris laju di udara. Jarak antara pisau belati dengan lehernya hanyalah senipis sehelai rambut, dan pisau tersebut terus menikam ganas tiang katil yang berada di belakang anak kecil yang sedang memekik ketakutan, namun masih selamat.

"Apa yang berlaku? Tuan, apa yang berlaku… Ah! Ada pembunuh!" Pelayan kediaman tersebut yang terdengar pekikan anak gadis itu terus menjengukkan kepalanya melalui pintu bilik dan terlihat tubuh Zhuge Xi yang berada di atas lantai dengan darah yang meliputi dirinya. Dia pantas menjerit dan lantas terjatuh ke atas lantai akibat terpana dengan kejadian yang baru saja disaksikan dengan mata kepalanya sendiri, kemudian merangkak keluar dari bilik tersebut.

Chu Qiao cuba untuk melepaskan kemarahannya. Menurut jam, kemungkinan besar seluruh wilayah dapat mendengari teriakan tersebut, dan lantas dia terus melontarkan pisau belatinya terus ke arah pelayan kediaman itu dan ia terus menikam kepalanya dengan hujung pisau belati yang tertusuk keluar!

Bunyi sekumpulan tapak kaki tergesa-gesa mendekati bilik itu. Anak kecil di dalam bilik tersebut terus bersembunyi dalam kalangan hamba perempuan di sudut bilik semasa lebih dari dua puluh orang pengawal meluru masuk ke dalam ruangan tersebut. Darah di muka setiap pengawal bagaikan hilang apabila mereka melihat tubuh Zhuge Xi yang terlantar di atas lantai.

"Apa yang sudah berlaku?" ketua pengawal bertanya kumpulan hamba itu dengan segera.

"Pembunuh upahan!" Dengan air mata yang sedang mengalir jatuh ke pipi, Chu Qiao berteriak sekuat hatinya sebelum hamba-hamba yang lain sempat menjawab. Dia berteriak lagi, "Tuan Zhuge… Tuan Zhuge sudah dibunuh… Ia sangat mengerikan…" Hingusnya meleleh sambil air matanya masih mengalir ke pipi tanpa henti. Mukanya pucat lesi dan dia bercakap dengan nada yang pelat seolah-olah lidahnya diikat.

Ketua pengawal itu bertanya bengis, "Mana pembunuh upahan itu sudah pergi?"

"Sana!" Chu Qiao menuding ke arah tingkap di bahagian selatan bilik yang terbuka dan berkata, "Dia pergi ke sana!"