webnovel

Syarat (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Cahaya senja menerangi kabin itu ketika Mu Wushuang melangkah dengan lemah lembut ke arah lelaki tua yang sedang terbaring di lantai. Senyuman kecil terpapar pada wajah Mu Wushuang dan matanya yang cantik memantulkan cahaya. Dia berbisik kepada gadis muda itu, "Cik, boleh berikan ruang dan izikan saya mendiagnosis keadaan datuk kamu?"

Gadis muda itu mengangguk penuh semangat, sejalur sinar harapan muncul dalam matanya.

Dia sekadar mengharapkan mana-mana tabib yang boleh dia temui dalam keadaan kecemasan. Dia langsung tidak menyiasat latar belakang Mu Wushuang dan dengan terburu-buru membiarkan gadis itu menyelamatkan Datuknya.

Mu Wushuang melutut di samping lelaki tua itu dan meletakkan jari pada nadinya. Keningnya yang terukir tajam itu berkerut sedikit. "Cik, keadaan datuk kamu agak rumit. Saya perlu pulang dan merujuk kepada Guru saya mengenai hal ini."

Kata-kata yang diucapkan dengan penuh hati-hati. Dia tidak mengatakan dia tidak mampu untuk merawat dan tidak juga berkata dia mampu. Hanya cukup untuk membiarkan orang lain membuat spekulasi sendiri.

"Guru kamu?"

Renungan gadis muda itu, yang mulanya cemas sewaktu mendengar ayat pertama Mu Wushuang, menjadi cerah semula. Dengan resah, dia menggenggam bahu Mu Wushuang dan merayu, "Lekas bawa saya pergi berjumpa dengan Guru kamu. Selagi kamu mampu menyelamatkan Datuk, saya akan turuti semua permintaan kamu."

"Ini..." Mu Wushuang mengerutkan dahinya, wajahnya menjadi kekok. "Guru saya tidak merawat orang sembarangan. Jika saya membawa sesiapa sahaja pulang, saya takut dia akan menghalau saya."

Mata gadis muda itu menjadi malap, tangan yang mencengkam bahu Mu Wushuang menjadi lemah.

Memang benar, kenapa pula tabib terkenal di era ini akan merawat orang lain tanpa sebab? Nampaknya Datuk tidak akan dapat diselamatkan lagi,

"Beginilah," jelingan Mu Wushuang beralih arah, "Saya pulang dan merayu pada Guru saya. Jika dia sudi, saya akan beritahu kamu. Bagaimana kamu..."

Belum sempat dia habis berkata-kata, bunyi ketawa mengganggu percakapannya.

Mu Wushuang mengerut ketat keningnya yang cantik terbentuk itu. Matanya yang cantik memandang ke arah gadis menawan yang sedang bersandar pada pintu kapal. Mu Wushuang menegur dengan tegas, "Yun Luofeng, saya tahu kamu tidak mahu menjatuhkan air muka kamu untuk berbincang dengan saya mengenai ilmu perubatan. Tapi ketika saya membuat rawatan, saya tak suruh orang lain pergi sebab saya ingin kamu belajar sedikit! Kenapa kamu sukar memahami niat tulus saya?"

Nada suaranya itu seperti seorang guru yang sedang mengajar anak muridnya! Kalau ada orang yang tidak mengetahui perkara sebenar, pasti mereka akan menganggap Yun Luofeng ini anak murid yang tidak terkawal.

"Mu Wushuang," Yun Luofeng perlahan-lahan menegakkan badannya dan senyum dengan bersahaja dan licik, "sejujurnya, saya sudah mula menghormati kamu sedikit."

Mu Wushuang tersenyum anggun. Di matanya, memang sepatutnya Yun Luofeng yang tidak berguna ini menghormatinya.

Namun, kata-kata Yun Luofeng yang menyusul selepas itu membuatkan dia kaku...

"Kamu tidak tahu identiti pasangan datuk dan cucu ini, jadi kamu berniat untuk memperdayakan mereka. Kamu ingin pulang untuk memeriksa latar belakang mereka. Jika mereka tidak mempunyai latar belakang yang baik, kamu boleh mengambil ginseng seribu-tahun itu tanpa ada rasa takut. Dan jika sebaliknya, kamu akan mengatakan begini, 'Guru saya sendiri tidak mampu berbuat apa-apa dengan keadaan lelaki tua ini'. Dan inilah sebabnya saya menghormati kamu."

Tanpa ragu-ragu, kata-kata Yun Luofeng itu menyuarakan niat sebenar Mu Wushuang. Kata-katanya juga membuatkan ekspresi wajah Mu Wushuang berubah tanpa dia sedari.

"Yun Luofeng, saya tahu kamu bencikan saya, meskipun begitu, kamu tidak perlu menuduh saya sembarangan! Saya cuma mengasihani mereka, jadi saya ingin melakukan apa saja untuk menyelamatkan orang tua ini. Jika saya tidak dapat menyelamatkannya, ini masih bukan salah saya!" Mu Wushuang melembutkan ekspresi wajahnya. "Walaupun kebolehan perubatan Guru saya sangat hebat, dia tetap tidak mampu merawat semua jenis penyakit."

Maksud di sebalik kata-kata itu ialah, jika rawatan itu gagal, dia tidak perlu bertanggungjawab!

"Yun Luofeng!"

Melihat wanita kesayangannya dibuli, Gao Ling tiba-tiba menjadi sangat marah. "Apakah dendam kamu terhadap Wushuang sehingga kamu berterusan menghinanya? Tabib bukanlah dewa yang mampu menyembuhkan setiap penyakit! Jika kamu ada kemampuan, selamatkanlah lelaki tua itu. Jika tidak, diam dan jangan bercakap lagi!"