webnovel

Fallin' For You

Livianna Harvey. Sebaris nama yang begitu indah didengari tetapi kisahnya begitu perit untuk dikongsi. Hidupnya berubah tatkala dia dipaksa tinggal bersama sahabat sewaktu kecilnya, Ryan Beily William. Ryan Beily William. Jejaka ceria yang begitu suka mengusik dan menyakitkan hati Livianna sentiasa ada buat si gadis. Dia tahu tentang kisah hidup gadis itu. Sebuah janji termeterai di antara dua belah pihak. Bertahan atau meninggalkan. Menunaikan janji atau memungkiri janji. Semuanya adalah pilihan Ryan. Hanya dia yang mampu mengubah segalanya. "Kenapa hidup ini kejam sangat?" - Livianna Harvey "Aku akan ada untuk kau walau apa pun yang terjadi." - Ryan Beily William

izzahkhai · Teen
Not enough ratings
3 Chs

Step Family

Pensel ditangannya bergerak bebas di atas kertas kosong itu. Fikirannya melayang entah ke mana sejak tadi.

"Agak-agak esok Alex akan tegur aku, tak?" monolog Livianna sendirian.

Senyuman nipis terbit pada dua ulas bibirnya apabila mengingatkan detik-detik pagi tadi di mana buat pertama kalinya dia berbual dengan jejaka yang disukainya itu.

Tangannya kembali menconteng kertas kosong tersebut. Kerjanya terhenti saat pintu biliknya dikuak tanpa diketuk. Senyumannya mati.

"Aku nak pinjam baju." Kirana meminta dengan wajah sombong.

Lidah Livianna menolak dalam pipi kirinya. Bengang dengan tingkah adik tirinya itu yang cukup dirasakan biadab.

Pantas kepalanya menoleh ke arah gadis itu yang hanya muda setahun daripadanya sahaja.

"Kau tak reti nak ketuk pintu bilik aku dulu ke sebelum masuk?" soal Livianna cukup bengang.

"Tak. Suka aku lah nak ketuk ke tak nak." balas Kirana cukup selamba. Sekaligus berjaya menyakitkan hati Livianna.

"Apa masalah kau ini? Tak ada adab, ke?" marah Livianna. Nada suaranya cuba ditahan sehabis baik agar tidak naik seoktaf.

Sejak azali lagi, dia memang tidak menyukai sikap Kirana itu. Benar-benar benci dengan gadis itu yang dirasakan dirinya begitu bagus.

Bagi Kirana, apa saja yang dia mahu dia akan dapat. Sikap biadab dan sombongnya juga sejak dulu lagi tidak mampu diubah.

"Kau tak reti hormat privasi orang lain, ke? Aku tak fahamlah dengan manusia macam kau ini. Tak ada adab."

Kirana menayang wajah bosan. Tangannya disilangkan ke dada. Cukup bosan mendengar leteran Livianna itu.

"Aku datang sini nak pinjam baju. Bukan nak dengar kau membebel macam mak nenek." sela Kiranan laju.

Livianna menghembus nafasnya kasar.

"Baju aku yang sebelum-sebelum ini kau pinjam mana? Ada kau pulang? Sekarang kau nak pinjam lagi? Kau memang tak reti malu, ke? Buat hak orang macam hak sendiri." marah Livianna.

Kirana seringkali meminjam barang-barangnya dan sama sekali tidak memulangkannya kembali. Jika dia menahan, Kirana tidak akan berputus asa ingin mendapatkan apa yang gadis itu mahukan.

"Bisinglah kau ini. Bagi sajalah."

Kirana melangkah ke arah almari baju Livianna. Dikuak pintu almari baju. Diselak satu-persatu helaian baju yang tergantung mencari baju yang dia inginkan.

Lantas Livianna bangkit berdiri mengorak laju langkahnya ke arah Kirana. Benar-benar bengang dengan sikap adik tirinya itu yang tidak tahu erti menghormati orang lain.

"Apa masalah kau ini?" Nada suara Livianna sudah naik seoktaf. Bahu Kirana ditariknya ke arah belakang.

"Kau itu yang apa masalah? Aku nak pinjam saja pun. Yang kau kedekut sangat ini kenapa?" pintas Kirana. Dia kembali menyelak helaian baju yang tergantung.

"Aku kata tak boleh itu, tak bolehlah! Kau bukannya pulangkan balik pun nanti! Berapa banyak barang-barang aku kau nak ambil?" tengking Livianna geram.

Lengan Kirana ditarik lalu tubuh gadis itu ditolaknya menjauhi almari bajunya. Pintu almari bajunya ditutup.

"Yang kau ini nak tolak-tolak aku apa hal? Cakap elok-elok tak boleh, ke?" bentak Kirana tidak puas hati.

Lengannya yang disentuh Livianna tadi ditepuknya seperti menghilangkan habuk. Benci apabila dirinya disentuh gadis itu.

"Aku dah cakap cukup elok awal-awal tadi! Kau itu saja yang pekak tak reti nak dengar kata!" Livianna bersuara berang.

Amarahnya begitu menggelegak apabila Kirana memunculkan diri di hadapannya. Dia sangat bencikan adik tirinya.

"Gaduh apa ini? Sampai ke bawah dengar." celah Puan Kate dengan wajah marah.

"Anna ini, ma. Kirana nak pinjam baju saja pun. Itupun nak marah-marah tengking orang." adu Kirana dengan cebikan.

Livianna mengeluh kasar. Apabila Puan Kate sudah masuk campur, pertelingkahan di antara mereka bakal menjadi panjang.

"Kenapa kedekut sangat? Adik nak pinjam saja pun. Bagi sajalah." marah Puan Kate.

"Tapi masalahnya semua barang Anna yang dia pinjam, dia tak reti pulang." bentak Livianna.

"Nanti belilah baru. Jangan kedekut sangat. Inikan adik."

Livianna meraup kasar rambutnya ke belakang. Sungguh dia panas hati dengan kedua beranak itu yang tidak reti cuba menghormati privasinya.

Walaupun dia cuba mempertahankan dirinya, dia akan tahu hasilnya tetap membuatnya kecewa. Semuanya hanya sia-sia saja.

"Keluar." halau Livianna perlahan.

Puan Kate menayang wajah tidak percaya apabila anak tirinya itu berani-berani menghalaunya keluar daripada bilik gadis itu.

"Kenapa Anna kurang ajar sangat? Mama ini ibu Anna tahu, tak? Hormat, mama!" tengking Puan Kate geram. Egonya rasa tercabar dengan perlakuan tidak beradab Livianna.

Tersenyum senget Livianna dibuatnya. Cukup sinis.

"Mak tiri saja pun." herdik Livianna selamba.

"Livianna!" Puan Kate mengangkat tinggi tangannya. Bersedia untuk menampar wajah Livianna.

"Apa? Betulkan apa yang Anna kata? Bukan cuma Anna yang patut hormat kau orang. Kau orang pun patut hormat privasi Anna." Wajah Livianna merah menyala kerana marah.

Silih berganti dia menatap wajah Puan Kate dan Kirana, keluarga tiri yang tidak pernah dia harapkan hadir di dalam hidupnya.

"Sekarang keluar. Keluar!" tengking Livianna sambil menunjuk ke arah pintu biliknya.

Tanpa bersuara lagi, Puan Kate dan Kirana melangkah keluar dari dalam bilik Livianna. Laju sahaja Livianna menghempas kuat pintu biliknya dan dikunci.

Sakit hatinya dengan kedua anak-beranak itu. Benar-benar menguji kesabarannya.

Tubuhnya dihempaskan di atas katil. Keluhan dilepaskan. Dia penat hidup sebegitu rupa.

Sebelah tangannya direhat di atas dahinya. Kemudian, matanya dipejam rapat. Cuba menenangkan hatinya yang masih berdongkol marah.

Kisah hidupnya benar-benar rumit dan dia terlalu penat untuk menghadapnya.