webnovel

Awanama Kosmos

Bahan ujikaji yang dibawa oleh angkasawan kedua negara ke stesen ISS tiba-tiba bertindak balas dan menghidup pada graviti sifar. Makhluk berkenaan telah diberi nama 'Awanama Kosmos' oleh NASA kemudiannya telah jatuh ke permukaan bumi lalu menjadi pandemik.

HdinHafizuddin · Sci-fi
Not enough ratings
34 Chs

Bab 31

PERJALANAN selama lima belas jam menuju ke stesen angkasa GEMILANG-01 dapat dirasakan terlalu panjang buat para penumpang angkasa. Sepanjang perjalanan ini, para penumpang di sajikan dengan hidangan mata yang menyajikan pemandangan indah rupa bentuk bumi yang berbentuk sfera, jelas mengenepikan pandangan penganut bumi mendatar. Ada yang sempat mengambil beberapa keping gambar buat tatapan di stesen angkasa nanti , ada yang sudah mulai berkenalan antara satu sama lain. Tidak kurang juga ada yang hanya berdiri dan tercegat di sebalik tingkap kaca, sambil menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT.

Terdapat ruangan solat berupa sebuah bilik kecil, yang hanya boleh memuatkan seorang sahaja penumpang pada satu-satu masa. Air wuduk pula perlu digunakan sebaiknya kerana isipadu tangki air yang dibawa tidaklah terlalu besar saiznnya. Mereka akan menunaikan solat menghadap ke bumi kerana kapal pengangkut Orion berkenaan bergerak selaju 28,000 kilometer sejam dalam kedudukan mengorbit bumi. Ketika mengorbit pada suasana persekitaran yang baharu ini, penumpang pada mulanya akan merasai sedikit pening dan mabuk angkasa (space dizziness). Ini kerana mereka bukan sahaja boleh terapung-apung, malah kelajuan pesawat pengangkut Orion berkenaan turut menambah perasaan ketidakselesaan tersebut.

Lima buah tandas juga turut disediakan bagi kemudahan seluruh penumpang pesawat pengangkut berkenaan. Namun, menggunakan tandas di pesawat pengangkut itu ada sedikit cabarannya. Mereka perlu mengikat kaki di sekitar tandas berkenaan sebelum melepaskan hajat masing-masing dan menekan pam angin yang menggunakan teknologi sedutan vakum. Jikalau pam angin sedutan vakum berkenaan tidak dipam, najis akan terapung-apung di sekitar kawasan tandas berkenaan lalu memasuki ke ruangan kabin penumpang. Ini berlaku pada trip Cakerawala-X siri ke-5 dan juga trip Cakerawala-X siri ke-11 sehingga memaksa kesemua penumpangnya memakai topi kaca perlindungan masing-masing akibat pencemaran bau dan juga najis yang berlegar-legar itu!

Seperti juga penerbangan antarabangsa jarak jauh, apabila penumpang hendak tidur ataupun berehat, mereka akan memasang tali pinggang kalendar di tempat duduk masing-masing supaya tidak tidur pada posisi terapung-apung. Hanya barang-barang kecil yang berada dibahagian dalam kapal pengangkut Orion itu seperti pensil, kertas, duit syiling dan sebagainya akan terapung-apung. Walaupun mereka tidur dalam keadaan tidak selesa, namun, itu sahajalah satu-satunya cara untuk mendapatkan rehat yang secukupnya. Semasa proses mengorbit bumi, sepertimana penumpang di kapsul Soyuz, penumpang di dalam kapal pengangkut Orion juga akan mengalami satu fenomena asing dimana mereka akan melalui pengalaman matahari terbit dan matahari terbenam pada setiap sela masa selama 45 minit. Ini kerana kapal pengangkut Orion berkenaan bertindak mengelilingi orbit bumi pada setiap 90 minit dengan kelajuan selaju 28,000 kilometer sejam.

***

Akhirnya, kini penantian selama lima belas jam sudahpun tiba. Kapal pengangkut Orion sedang menghampiri stesen angkasa GEMILANG-01. Para penumpang perlu duduk di tempat duduk masing-masing dan memakai tali pinggang keselamatan. Stesen GEMILANG-01 dapat dilihat sungguh indah daripada kejauhan. Perlambangan bulan sabit yang tidak lengkap dan juga bintang itu cukup menatariaskan seluruh pelusuk angkasa. Ini merupakan perjalanan yang terakhir bagi Misi Cakerawala X untuk melengkapkan bentuk bulan sabit terbabit.

Menjelang jarak 750 meter sahaja sebelum berlabuh, Pesawat Pengangkut Orion seakan-akan memperlahankan sedikit demi sedikit paras kelajuan ke arah stesen berkenaan. Kesemua ini berdasarkan kepada pengiraan yang mengambil kira sudut pandangan statistik dan kaedah pengiraan saintifik seperti tahap kelajuan, jisim dan isipadu pesawat yang juga yang telah ditetapkan oleh tapak pelancaran Subang. Momen-momen ketika berlabuh di stesen angkasa GEMILANG-01 ini amatlah penting kerana kesemua prosedur haruslah tepat dan mengikuti segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh agensi angkasa negara.

Pesawat pengangkut Orion berlabuh di stesen GEMILANG-01 tanpa sebarang masalah. Beberapa saat kemudian setelah pesawat pengangkut bercantum dengan badan stesen angkasa, kadar tekanan udara antara pesawat pengangkut Orion dengan stesen angkasa GEMILANG-01 diselaraskan. Kemudian, para penumpang perlu keluar secara tertib, teratur dan berbaris ke bahagian kapsul luar untuk mengambil dos vaksin Biotech-Pfitzer yang kedua sebelum mengambil luggage, sut kelengkapan angkasa yang dibawa dari tanah air dan juga kunci bilik masing-masing. Mereka juga turut dipakaikan gelang elektronik berwarna perak untuk memantau segala perkembangan kesihatan mereka semasa berkelana di angkasaraya ini secara masa sebenar di paparan skrin.

Kini, lengkap sudah bentuk bulan sabit beserta bintang setibanya perjalanan terakhir Misi Cakerawala X ini dari tanah air. Dengan tercantumnya pesawat pengangkut Orion terakhir ke bahagian terakhir bulan sabit berkenaan, stesen angkasa 'GEMILANG-01' milik Malaysia kini dikenali sebagai stesen angkasa 'Athria-Gemilang' dengan kod antarabangsanya 'MY-ATHRIA-GEMILANG'.

Seusai sahaja para penumpang memasuki bilik masing-masing, mereka akan membersihkan diri sebelum sebuah taklimat umum berkenaan keselamatan yang akan disampaikan oleh Kapten Daeng Mustakim. Taklimat akan diadakan di dewan utama iaitu di bahagian perut stesen angkasa tersebut. Pada permulaan taklimat, Kapten Daeng Mustakim memperkenalkan dirinya selaku komander dan ketua yang bertanggungjawab ke atas stesen angkasa ini. Beliau juga turut memperkenalkan barisan kru-kru utama stesen Athria-Gemilang yang akan bertanggungjawab dalam pengoperasian stesen berkenaan.

Kapten Daeng Mustakim melalui taklimat berkenaan berkata, "kehidupan di stesen angkasa ini cukup berbeza dengan kehidupan di tanah air. Di sini, kami mempunyai disiplin yang ketat dan segala peraturan perlu dipatuhi oleh setiap orang, tanpa mengira latar belakang, kaum mahupun pangkat."

Ujarnya lagi,"peraturan-peraturan yang dirangka ini bukanlah bertujuan untuk dilanggar, tetapi ianya dirangka dan diluluskan bagi memastikan kehidupan di sini akan lebih terjamin dan tersusun. "

"Oleh itu, bagi sesiapa yang melanggar sebarang peraturan yang telah ditetapkan ini, boleh dikenakan hukuman penjara ataupun... di apungkan ke luar stesen angkasa!"

Suasana di dalam dewan utama sedikit gamat dengan pengumuman demi pengumuman yang telah di kuat kuasakan oleh Kapten Daeng Mustakim ini. Mereka langsung tidak menyangka bahawa mereka kini terpaksa hidup dalam suasana autokratik di tempat yang maha sempit lagi berbahaya ini. Sangkaan bahawa hidup di angkasaraya kelak akan lebih baik dan makmur meleset sama sekali.

"Antara salah laku yang boleh dikenakan hukuman adalah seperti membunuh individu lain dengan niat, mencuri, merompak, cubaan menanggalkan gelang perak secara haram, sabotaj, memfitnah individu koloni lain dan terbukti bersalah, membuat kerosakan di stesen angkasa dengan niat menjejaskan keselamatan keseluruhan koloni dan juga cubaan merampas kuasa. Sebarang ancaman ataupun cubaan untuk mengganggu gugat ketenteraman koloni, whistleblower boleh memberi tahu saya sebagai kapten yang bertanggungjawab terhadap keselamatan kalian."

"Seperkara lagi, sebagai koloni baru, segala pergerakan anda akan diperhatikan dan dijejak melalui nano-cip yang telah tertanam pada lengan masing-masing melalui dos vaksin yang telah disuntik. Jadi, patuhlah dengan segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pegawai atasan," sambung Kapten Daeng Mustakim lagi.

***