23 Persaraan Ye QIu (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Kelab Excellent Era berjaya mendapatkan khidmat Sun Xiang, seorang jaguh generasi baru. Berita ini telah membantu untuk menceriakan suasana. Tetapi bagaimana pula dengan raja generasi pertama, Ye Qiu? Dia hanya mampu menerima hakikat dia telah ditelan zaman dan berundur dengan senyap.

Dia kini bebas dari sebarang belenggu, tetapi hatinya langsung tidak gembira. Dia masih ingin bertarung, dia masih beranggapan yang karier profesionalnya masih belum sampai ke penghujung. Tetapi dia tidak mempunyai pilihan. Sanggupkah dia menerima tawaran untuk sekadar menjadi teman pelatih buat kelabnya? Itu sungguh memalukan sekali. Ye Xiu cukup sedar akan muslihat kelab lamanya itu. Dia tahu kelabnya ingin dia bersara kerana tidak tertanggung lagi rasa malunya. Sungguhpun dia menerima tawaran itu, kelabnya tetap akan mencari helah lain bagi memaksanya bersara.

Sungguhpun tindakan ini sangat kejam, ia satu-satunya keputusan terbaik dari segi bisnes. Kerana dasar komersial Pakatan Glory, ia menyebabkan sesebuah syarikat bertukar menjadi kejam sekejamnya.

Ye Xiu masih muda untuk bersara. Kelabnya turut mengerti akan hakikat ini. Mereka cuma ingin mengusirnya, agar hilang beban mereka dan juga agar pesaing dari kelab lain tidak akan berpeluang untuk mengupah Ye Xiu dan menjadikan dia musuh mereka di kemudian hari. Mereka lebih rela menyingkirkannya secara keseluruhan daripada bermusuhan dengannya pada masa akan datang.

Sememangnya rancangan mereka untuk memaksa Ye Xiu bersara telah berjaya. Sungguhpun Ye Xiu sedar akan hakikat ini, dia hanya mampu mengikut skrip yang telah mereka rancang dan berlalu pergi. Daripada melalui kehidupan yang penuh malu dan sengsara, dia lebih rela berehat selama setahun dan mencari peluang lain untuk menaikkan reputasinya semula.

"Cukuplah untuk hari ini," perkataan tersebut muncul di skrin.

Ye Xiu tidak sanggup untuk menonton lagi. Program ini direka khas untuk menimbulkan rasa sebak pada penontonnya dan membuatkan mereka menangis. Sungguhpun penonton berasa sedih mengenangkan segala memori dan pencapaian Ye Qiu, mampukah kesedihan mereka dibandingkan dengan kesedihan dirinya sendiri?

Ye Xiu melangkah keluar dari kafe internet dan berdiri di luar sambil mengeluh.

Tiba-tiba, dia terdengar suara tangisan. Dia menoleh ke sisinya dan melihat Chen Guo sedang bersembunyi di balik pintu. Matanya berkaca, dipenuhi dengan air mata. Mereka memandang ke arah satu sama lain.

"Eh bos, awak menangis ke?" tanya Ye Xiu.

"Kamu binatang! Kamu sedikitpun tidak rasa sedih ke?" kata Chen Guo.

"Sangat sedih. Kalau saya tidak menahan perasaan ini, sudah pasti saya akan menangis teresak-esak sekarang juga!" jawab Ye Xiu

"Pergi matilah! Kamu ada tisu tak?" tanya Chen Guo dengan kasarnya.

Ye Xiu memeriksa keseluruhan badannya dari kaki ke kepala.

"Err, kotak rokok boleh tak?"

"..." mata Chen Guo menyorot ganas.

"Yalah, yalah, saya pergi ambilkan tisu!" dengan segera Ye Xiu berlari masuk semula ke dalam kafe internet itu.

Suara tangisan semakin kuat kedengaran. Bak lelaki mahupun perempuan, mereka semua sedang menangis. Melihatkan keadaan ini, Ye Xiu tidak lagi mampu menahan rasa sedihnya. Dia sedar mengapakah mereka menangis, dan untuk siapa mereka menangis. Ye Xiu segera ke meja penyambut tetamu dan meminta beberapa helai kertas tisu. Dia kemudian berlari keluar dan menghulurkannya pada Chen Guo. Sambil bersandar pada dinding, dia mengeluarkan rokoknya dan menyalakan sebatang.

"Kamu buat apa? Kamu nak menangis juga ke? Kamu nak tisu tak?" tanya Chen Guo dari arah belakangnya.

"Buat apa saya nak menangis?" tanya Ye Xiu sambil menghembuskan asap ke arah muka Chen Guo. Air mata gadis tersebut yang baru sahaja kering kini muncul kembali. Chen Guo mengibas-ngibaskan tangannya untuk menepis asap rokok itu. Tanpa disangka-sangka, dia tidak memaki Ye Xiu seperti kebiasaannya. Dia hanya berpaling dan masuk semula ke kafe internet.

Ye Xiu bersandar semula dan terus menghisap rokoknya. Dia mengeluarkan sehelai tisu dan menghembuskan hingus. Kemudian, dia melangkah ke arah sebuah restoran yang berdekatan.

Ye Xiu menempah makanan dan menyelesaikan santapan pertamanya buat hari ini. Setelah kenyang, barulah dia kembali ke kafe internet. Tayangan khas sudah berakhir, tetapi suasana persekitaran masih lagi diselubungi dengan perasaan sedih. Mata kebanyakan pelanggan masih lagi merah disebabkan tangisan. Melihatkan wajah Ye Xiu yang tidak berperasaan, dia dianggap sebagai orang yang tidak berhati perut oleh semua pelanggan! 

Ye Xiu tidak tahu ke mana perginya Chen Guo, jadi dia bertanya ke penyambut tetamu tentang tayangan khas tadi.

Rupanya, kafe internet ini akan menyiarkan pertandingan Glory secara langsung apabila terdapatnya pertandingan besar. Pada hari ini, tidak terdapat sebarang pertandingan, tetapi acara khas seperti persaraan Ye Qiu tadi sudah pasti akan dipertontonkan juga.

Kebiasaannya, setelah berakhirnya sebuah pertandingan, para pelanggan akan melangkah ke arah komputer dengan penuh semangat kerana telah diinspirasikan oleh persembahan para jaguh yang mereka tonton. Kafe internet ini akan dipenuhi dengan para pemain dan keuntungannya akan berlipat kali ganda.

Lain pula ceritanya hari ini, di mana setiap pemain diselubungi rasa muram dan sedih. Sesetengah daripada mereka memilih untuk pulang ke rumah dan terus menangis. Ada juga yang memilih untuk memabukkan diri demi melupakan kesedihan yang dialami. Tetapi sudah tentulah ada juga pemain yang tidak mempedulikan Ye Qiu dan terus menyambung permainan mereka seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku.

Keadaan di kafe internet pada waktu ini sungguh sunyi sekali. Ia tidak seperti hari-hari biasa di mana para pemain akan memakai fon kepala mereka dan menjerit-jerit sekuat hati mereka.

Ye Xiu sedang memikirkan apa yang patut dilakukannya apabila dia terlihat Chen Guo berjalan turun dari tingkat dua.

"Bos, hari ini saya mula bekerja secara rasmi kan?" tanya Ye Xiu.

"Ya, boleh," jawab Chen Guo. "Tetapi, kamu harus pastikan yang kamu tidak hanya duduk bersenang-lenang sahaja sewaktu bekerja. Kamu harus mengawasi kaunter ini juga!"

"Boleh saya bermain Glory tak?" tanya Ye Xiu.

"Boleh, tapi kamu harus gunakan stesen yang itu," Chen Guo menunjuk ke arah sebuah stesen yang sedang digunakan untuk menonton drama Korea oleh seorang gadis.

"Boleh saya merokok?"

Chen Guo merenung tepat ke arah mata Ye Xiu dan berkata dengan nada putus asa,

"Yalah! Yalah! Bolehlah! Suka hati kamulah! TAPI, bila saya datang pagi nanti, jangan ada bau rokok atau abu rokok yang bertaburan, faham??"

"Faham bos!" kata Ye Xiu..

Chen Guo mengajar Ye Xiu tentang cara untuk menghidupkan dan mematikan komputer buat para pelanggan.

"Pada waktu ini, kebanyakan pelanggan ialah mereka yang berjaga sepanjang malam. Pada pukul 11pm, semua pelanggan sepatutnya sudah berada di komputer masing-masing dan komputer mereka akan mati dengan sendirinya pada pukul 7am. Tak banyak yang perlu kamu lakukan, kamu cuma perlu berada di sini dan bersedia untuk melayan mereka jika perlu. Jika mereka perlukan bantuan kamu, mereka akan membunyikan loceng," terang Chen Guo dengan panjang lebar.

"Kalau komputer rosak, saya nak buat apa?" tanya Ye Xiu. Sungguhpun dia bukannya buta komputer, dia tidak mengerti cara untuk membaiki komputer yang rosak.

"Senang saja. Kamu 'restart' komputer itu," jawab Chen Guo dengan selamba.

Ye Xiu mengesat peluhnya.

"Kalau 'restart' pun tak berfungsi juga, macam mana?" tanya Ye Xiu lagi.

"Tukar ke stesen komputer lain!" jawab Chen Guo.

Ye Xiu berpeluh sekali lagi. Dia baru sahaja hendak bertanyakan soalan lain apabila Chen Guo memotongnya dan berkata,

"Kamu bertugas pada syif malam. Nanti akan ada banyak komputer kosong, jadi tak ada masalah jika pelanggan nak bertukar ke komputer lain. Cuma, tolong catatkan komputer mana yang rosak. Nanti saya panggilkan orang untuk baiki komputer yang rosak itu,"

"Baik bos, saya faham!' Ye Xiu menganggukkan kepalanya.

avataravatar
Next chapter