webnovel

Maharaja (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Sama seperti Lord Grim, Blue River adalah seorang pemain yang namanya telah diumumkan sebanyak dua kali oleh sistem permainan.

Dia berasal daripada tiga persatuan terulung, iaitu Persatuan Blue Brook. Di dalam 'Heavenly Domain', dia memiliki watak kelas 'Blade Master' yang dinamakan 'Blue Bridge Spring Snow', salah seorang daripada lima jaguh terhebat Persatuan Blue Brook.

Seperti yang diketahui ramai, Persatuan Blue Brook dinaung oleh sebuah kelab profesional yang dinamakan Kelab Blue Rain. Pemain nombor satu mereka bernama Huang Shaotian. Dia mempunyai akaun 'Blade Master' yang dinamakan 'Troubling Rain'. Dia dikenali sebagai Dewa Pedang di kalangan ahli komuniti Glory dan setaraf dengan Dewa Tarung One Autumn Leaf.

Apabila server kesepuluh dibuka, Persatuan Blue Brook menugaskan Blue River bersama beberapa orang pembantu untuk menjadi perintis server baharu ini dan meluaskan kuasa persatuan mereka dengan mendapatkan ahli-ahli baru. Namun siapa sangka, rancangan perluasan kuasa mereka sudahpun terkandas seawal Gua Labah-Labah lagi! Mereka semua berasa sungguh kecewa, terutama sekali Blue River.

Blue River dan rakan-rakannya kebingungan memikirkan nama Lord Grim tersebut. Di dalam 'Heavenly Domain', sememangnya terdapat beberapa persatuan lain yang bersaing ketat dengan Persatuan Blue Brook. Setelah bersaing sekian lama, mereka masing-masing sudah mengenali nama-nama jaguh daripada setiap persatuan. Sudah tentulah jaguh-jaguh yang ditugaskan di server kesepuluh ini telah dikenal pasti sejak awal lagi. Tetapi nama Lord Grim tidak pernah muncul dalam senarai mereka. Adakah mereka terlepas pandang?

"Adakah kita mempunyai sebarang maklumat tentang empat orang ahli kumpulannya yang lain?" tanya Blue River.

"Tak ada," jawab semua temannya serentak.

"Hubungi semua teman-teman kita di setiap perkampungan. Periksa jika ada sesiapa yang mengenali dia," arah Blue River.

Setiap pemain ditempatkan di perkampungan secara rawak, termasuklah pemain-pemain Persatuan Blue Brook. Rancangan mereka adalah untuk bergabung semula apabila mencecah tahap 20 dan meninggalkan 'Beginner's Village'.

Blue River mengetuai setiap pemain dari persatuannya di dalam server ini, dan kumpulannya beroperasi sebagai pusat kawalan. Di atas kecekapan semua ahlinya yang lain, Blue River tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan maklumat yang dikehendakinya. Malangnya, maklumat tersebut merumitkan lagi keadaan.

Mereka mempelajari bahawa salah seorang ahli kumpulan Lord Grim bernama Sleeping Moon pernah melemparkan fitnah terhadapnya. Sleeping Moon mendakwa bahawa Lord Grim telah memperdayakannya demi membolot ganjaran membunuh Midnight Phantom Cat seorang diri. Tetapi kini, Lord Grim dan Sleeping Moon bergabung pula untuk menjadi kumpulan pertama yang menyelesaikan Gua Labah-Labah!

"Kekarutan apakah ini??" ternyata maklumat ini telah membuat semua ahli Persatuan Blue Brook pening.

"Tak apalah, kita tak perlu risau tentang perkara ini dulu. Lebih baik kita segera berlatih dan meningkatkan tahap kita. Kita akan memburu mereka apabila kita mencecah tahap 20!" kata Blue River dengan muramnya, sebelum kembali memimpin semua ahli kumpulannya.

Di sebuah perkampungan berhampiran Gua Labah-Labah, Seven Fields dan teman-temannya masih mabuk kegembiraan hasil daripada pencapaian mereka. Mereka sedar bahawa tahap mereka adalah bagaikan langit dan bumi jika dibandingkan dengan Blue River dan teman-teman persatuannya yang lain. Pencapaian ini bagaikan mimpi menjadi nyata!

Sebaliknya, ketua kumpulan mereka Lord Grim tidak berkata apa-apa selain: "Kita telah mendapat pengalaman yang bagus!"

"Jaguh, ini semua jasa kamu!", Seven Fields dan teman-temannya berkumpul di sekeliling Lord Grim. Setelah bermain Glory buat sekian lama, hari ini merupakan kali pertama mereka dapat benar-benar mengerti apakah maksud 'jaguh terulung'. Hanya seorang jaguh terulung yang mampu memimpin pemain bertahap rendah seperti mereka untuk menyelesaikan sebuah 'dungeon' yang sukar dengan mudahnya. Pada saat ini, Seven Fields rela meninggalkan persatuannya demi mengikut setiap jejak langkah jaguh pujaannya ini.

Sleeping Moon pula berasa agak muram jika dibandingkan dengan mereka yang lain. Musuhnya kini telah menjadi idola rakan sepasukannya. Kini, dia pula kelihatan seperti orang jahat di mata rakan-rakannya kerana telah memburukkan nama Lord Grim sebelumnya. Dia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu melompat ke hadapan Lord Grim dan berkata, "Kemahiran kamu sangat tinggi, itu saya akui. Tapi, saya bersumpah bahawa saya akan mengatasi kamu satu hari nanti!"

"Kamu serius ke?" tanya Ye Xiu sambil ketawa.

"Ya, saya serius!" jawab Sleeping Moon dengan nada yang agak mencabar.

"Semoga berjaya!" jawab Ye Xiu sebelum beredar.

"Celaka! Kamu sepatutnya menghina saya! Kamu patut membenci saya! Kamu patut mengejek saya! Bukankah ini yang dilakukan oleh para jaguh apabila menyahut cabaran lawan? Tapi kamu pula langsung tak kisah dan mengucapkan selamat berjaya pada saya pula? Apakah semua ini??" Sleeping Moon terasa seperti hampir-hampir hilang akal.

"Moon Moon kecil, sudah-sudahlah tu," Seven Fields cuba untuk memujuk.

"JANGAN PANGGIL SAYA MOON MOON KECIL!" teriak Sleeping Moon dengan marahnya.

'Tenang, tenang. Jom kita segera berlatih lagi," kata dua orang pemain lain iaitu Sunset Clouds dan Drifting Water.

Mereka semua segera menuju ke arah Lord Grim dan mengikut setiap langkahnya.

Sedang Sleeping Moon cuba untuk memendam rasa marahnya, dia mendapat jemputan persahabatan daripada Lord Grim! Dia menolak jemputan tersebut serta-merta!

"Cubalah kamu jemput lagi, cubalah!" fikir Sleeping Moon dalam hatinya.

Tetapi jemputan tersebut tidak muncul-muncul. Lord Grim sudahpun masuk ke 'dungeon', diikuti oleh Seven Fields dan dua orang temannya yang lain. Mereka telah meminggirkan Sleeping Moon.

Setelah menunggu buat jangka masa yang lama, barulah dia menerima jemputan daripada Seven Fields. Betapa sedihnya perasaan Sleeping Moon. Teman-temannya sudah hampir melupakan kewujudannya semenjak bertemu dengan Ye Xiu.

Sleeping Moon hampir sahaja meninggalkan kawasan tersebut, apabila Seven Fields menjemputnya sekali lagi. Memikirkan persahabatan mereka, Sleeping Moon akhirnya mengalah dan menerima jemputan tersebut. Dia berasa terharu apabila menyedari Seven Fields telah menulis sebuah mesej peribadi untuk menceriakannya. Kini, barulah perasaannya gembira semula.

Setelah semua orang bersatu, mereka berjaya menyelesaikan Gua Labah-Labah buat kali kedua dengan cepat sekali, malah lebih lancar daripada sebelumnya. Tanpa perlu berbicara, mereka bersetuju untuk mengharungi 'dungeon' tersebut buat kali ketiga pula.

Cuma, ketika masuk untuk kali ketiga, mereka mendapat mesej daripada sistem permainan: "Anda telah tersilap masuk ke Gua Maharaja Labah-Labah!"

"Bos tersembunyi!" teriak Seven Fields dengan cemasnya dan segera melihat ke arah Lord Grim.

Jika jaguh ini tidak bersama dengan mereka, sudah tentu mereka semua tidak berani untuk bersemuka dengan bos tersembunyi ini. Malah, sistem permainan juga tidak memaksa mereka. Mereka diberikan pilihan sama ada untuk bertarung dengan bos tersebut atau melarikan diri. Kini, pilihan mereka terletak di tangan Lord Grim.

"Oh, ada bos tersembunyi rupanya!" kata Ye Xiu. "Kalau begitu, saya rasa…"

"Adakah kita tak cukup kuat untuk membunuhnya?" Seven Fields dan rakan-rakannya bertanya dengan nada kecewa.

"Oh, boleh sahaja! Siapa kata tak boleh? Cuma, saya ada satu syarat. Maharaja Labah-Labah ini akan memberikan ganjaran Sutera Labah-Labah Kukuh. Boleh tak kamu berikannya kepada saya? Saya tak kisah tentang sebarang ganjaran lain, kamu boleh ambil semua!" kata Ye Xiu dengan panjang lebar.