27 24 Kali Jika Diikutkan Panduan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Saya lupalah!" jawab Ye Xiu dengan selamba. Chen Guo tidak terkata-kata mendengarkan jawapannya itu. Dia sedang sibuk membunuh raksasa-raksasa dan tidak berada dalam sebarang keadaan bahaya, oleh itu dia tidak mempunyai masalah untuk membantu merujuk sebuah panduan tentang Perkuburan Rangka.

"Bos mana?" Tanya dia pada Ye Xiu.

"Skeleton Warrior. Tolong rujuk macam mana saya nak dapatkan 100% peluang untuk dia berikan ganjaran Saber," jawab Ye Xiu.

"Saber? Peluang ganjaran 100%?" Sudah 5 tahun Chen Guo tidak mengharungi 'dungeon' bertahap rendah seperti ini. Dia tahu tentang Saber tersebut kerana terdapat rakan-rakannya yang mencari senjata itu dari masa ke masa, tetapi dia tidak pernah tahu akan kewujudan sebarang panduan yang mempunyai maklumat seperti yang diminta oleh Ye Xiu. Tambahan pula, dia hanya berpengalaman menggunakan akaun utamanya, Chasing Haze sahaja. Dia tidak pernah memerlukan sebarang panduan selama ini!

"Ya, gunakan itu sebagai subjek utama," jawab Ye Xiu dengan yakin. Sungguhpun dia terlupa tentang maklumat yang lebih terperinci, dia sangat pasti panduan tersebut wujud kerana dia sendiri pernah menulis tentangnya sebelum ini.

Chen Guo dengan segera mencari menggunakan kata kunci 'Skeleton Warrior', 'Saber', '100%'. Sememangnya terdapat carian yang dikehendakinya. Melihatkan tarikh pos tersebut di dalam forum, ia sudahpun berusia sepuluh tahun! Chen Guo klik padanya dan melihat. Betapa terkejutnya dia apabila mengetahui yang panduan ini ditulis oleh Ye Qiu! Penulis pos tersebut menggunakan nama One Autumn Leaf.

"Ha betul, yang itu. Tolong rujuk berapa kali saya perlu memukul tali yang mengikat Saber itu," kata Ye Xiu.

"Apa??" Chen Guo tidak pernah melihat pos ini. Buat seketika, dia langsung tidak memahami apa yang diperkatakan oleh Ye Xiu itu. Dia meneliti kandungannya untuk beberapa ketika dan akhirnya menemui apa yang Ye Xiu inginkan.

"24 kali! Ada gambar juga yang menunjukkan tempat untuk dipukul. Kamu nak tengok tak?" tanya Chen Guo.

"Tolong besarkan gambar itu supaya saya boleh lihat," jawab Ye Xiu.

Chen Guo membuka diagram gambar tersebut dan memperbesarkannya.

"Nah, tengoklah!"

Dengan sepantas kilat, Ye Xiu memalingkan kepalanya dan melihat pada gambar tersebut selama satu saat sahaja, sebelum berpaling semula ke arah skrin.

"Eh, dah selesai ke?" tanya Chen Guo dengan nada terkejut.

"Ya, sudah," jawab Ye Xiu.

"Kamu perlukan apa-apa lagi tak?" tanya Chen Guo lagi.

"Tak payah," jawab Ye Xiu.

Dia teringat yang dia perlu melakukan 'damage' dengan jumlah tertentu kepada sasarannya. Walaupun dia tidak dapat ingat berapa jumlah yang diperlukan, dia tahu yang Lord Grim bersenjatakan Payung Seribu Manifestasi dengan kekuatan serangan fizikal sebanyak 180 akan memenuhi syarat-syaratnya.

"Seven Fields, pergi ke kiri. Sunset Clouds, kamu pergi ke belakang. Drifting Water, berundur sedikit kalau tak serangan gelombang yang seterusnya akan mengenai kamu." Ye Xiu mula mengarahkan tiga pemain lain ke posisi masing-masing sambil dia mencari peluang untuk menyerang. Sebelum ini, mereka berempat hanya mengelakkan serangan semata-mata. Mereka tidak berani menyerang tanpa arahan dari Ye Xiu. Seven Fields dan rakan-rakannya tidak menyedari yang Ye Xiu sedang mencari panduan untuk mendapatkan Saber, bukannya panduan tentang cara mengalahkan bos Skeleton Warrior ini.

Sebenarnya, senjata Saber ini hanyalah sekadar perhiasan sahaja. Ia tidak mempunyai kemampuan untuk meningkatkan kekuatan pemain, kerana itulah terdapatnya kaedah yang menjanjikan peluang 100% untuk mendapatkannya. Sungguhpun begitu, kaedah ini tetap memerlukan kemahiran yang tinggi untuk dilaksanakan dengan jayanya.

Chen Guo sudahpun melupakan permainannya buat seketika dan berdiri betul-betul di belakang Ye Xiu. Dia ingin melihat bagaimana Ye Xiu hendak memukul tali pengikat Saber itu sebanyak 24 kali. Berdasarkan panduan yang dibacanya, tali pengikat tersebut terletak di bahagian pinggang Skeleton Warrior. Pemain perlu memukul tali tersebut dari setiap penjuru. Melihatkan dari skrin, ia hanya boleh dilakukan jika pemain menghampiri Skeleton Warrior tersebut dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter.

Ye Xiu sudahpun mengawal Lord Grim untuk berhadapan dengan Skeleton Warrior. Apabila Ye Xiu menggunakan 'Heal' untuk merawat teman-temannya, Skeleton Warrior telah menyasarkan dia sebagai sasaran utama. Lord Grim berganjak ke kiri dan kanan untuk mengelakkan serangan sementara menunggu Seven Fields dan rakan-rakannya mengambil posisi masing-masing.

Setelah melihatkan panduan yang diperlukan, dia mengatur posisi rakan-rakannya sejauh yang mungkin dari bos ini. Mereka tidak mengerti akan niat Ye Xiu dan hanya mampu untuk menurut sahaja arahannya. Hati mereka berdegup-degup kencang melihatkan Lord Grim berdiri betul-betul di hadapan Skeleton Warrior. Pastinya sebuah pertarungan yang sengit akan bermula!

Skeleton Warrior mara ke hadapan dengan langkah gergasi sambil mengeluarkan jeritan yang teramat nyaring. Ye Xiu mengawal Lord Grim untuk turut mara, tetapi pandangan matanya tertumpu ke arah pinggang raksasa tersebut. Pada saat ini, Chen Guo baru sahaja menyedari betapa sukarnya aksi yang bakal dilakukan oleh Ye Xiu ini. Di dalam panduan yang dibacanya, tali pengikat Saber itu dapat dilihat dengan jelas. Tetapi di dalam pertarungan sebenar, pergerakan Skeleton Warrior serta tubuhnya yang besar akan mengaburi pandangan pemain dan melindungi tali pengikat tersebut.

Skeleton Warrior menghunuskan pedang gergasinya. Ia hanya sekadar 2 meter jauh daripada Ye Xiu. Dengan tenang, Ye Xiu turut melakukan serangannya tersendiri. Dengan kelajuan serangan sebanyak 5, sudah tentulah Payung Seribu Manifestasi lebih pantas daripada pedang gergasi itu. Pedang gergasi kebiasaannya mempunyai kelajuan serangan sebanyak 1 sahaja.

Ye Xiu menolak tetikusnya dengan tenang. Tombak pertarungan miliknya lebih pantas mengenai sasaran, dan Skeleton Warrior ditikam dengan serangan 'Dragon Tooth'. Serangan tersebut menyebabkannya memasuki keadaan 'Stunned' dan peluang ini digunakan sepenuhnya oleh Lord Grim untuk melakukan 'Sky Strike' pula.

Tubuh Skeleton Warrior jauh lebih berat jika dibandingkan dengan Midnight Phantom Cat, tetapi ia lebih ringan berbanding Maharaja Labah-Labah. Setelah terkena serangan 'Sky Strike', ia terlantun ke udara dalam jarak sederhana. Lord Grim mengambil peluang ini untuk melakukan sebuah lagi serangan sewaktu musuhnya berada di udara. Kali ini, bunyi tikamannya yang mengenai sasaran agak berbeza berbanding sebelumnya apabila ia mengenai bahagian tulang raksasa tersebut.

"Kena! Kena pada tali pengikat!" kata Chen Guo dengan nada teruja.

"Baru sekali sahaja," kata Ye Xiu. Lord Grim berputar dan menyerang sekali lagi. Kali ini dia menyapu bahagian kaki Skeleton Warrior dan raksasa itu jatuh tersadung. Satu lagi serangan pantas dilakukan dan bunyi 'peng' kedengaran. Sekali lagi ia mengenai tali pengikat!

Ye Xiu tidak tamak. Setelah berjaya memukul sebanyak 2 kali, dia mengarahkan Lord Grim untuk berundur.

Skeleton Warrior bangkit dan melakukan pukulan kuat pada permukaan bumi yang menyebabkan berlakunya serangan gelombang pada radius 360 darjah. Serangan sebegini diprogram khas demi mengelakkan para pemain melakukan serangan 'stun' dan 'sweep' berulang-ulang kali.

Chen Guo terus menonton dengan berdebar-debar. Dia sedar yang apa yang dilakukan oleh Ye Xiu tadi bukannya mudah. Sedang dia hanyut dalam pemikirannya, bunyi 'peng' kedengaran sekali lagi dan bergema di telinganya.

Rupa-rupanya Lord Grim telah melakukan sebuah loncatan pada masa yang sangat tepat sekali untuk mengelakkan serangan gelombang tadi. Sebaik sahaja serangan gelombang itu tamat, Lord Grim sudahpun berada pada posisi yang strategik untuk mengenakan sebuah lagi tikaman pada tali pengikat.

Skeleton Warrior melakukan satu tetakan garang dengan kedua-dua belah tangannya. Lord Grim berguling ke belakang dan kedengaran bunyi yang kuat apabila tetakan tersebut mengenai sasaran. Sungguhpun Seven Fields dan rakan-rakannya sedang menonton dari jarak dekat, mereka gagal memastikan sama ada tetakan itu berjaya mengenai Lord Grim ataupun tidak. Mereka segera melihatkan senarai ahli kumpulan yang menunjukkan HP dan MP setiap pemain. Ternyata Lord Grim berjaya mengelakkan serangan itu sepenuhnya!

avataravatar
Next chapter