webnovel

Aku Di Dunia Elf

Kerana dibenci oleh sahabat baiknya sendiri, dia terbunuh dalam satu misi yang dirancang. Aubree ialah seorang assasin dan juga seorang tentera dengan kemampuan ilmu bela diri yang sangat tinggi dan sukar untuk dikalahkan. Kerana iri hati dengan kelebihan Aubree, Lucy yang sudah menjadi sahabat baik kepada Aubree sejak dari kecil sanggup berkomplot dengan musuh mereka untuk membunuh Aubree. Aubree terlahir kembali di sebuah dunia lain, dunia yang tidak pernah Aubree lihat. Dia terlahir semula di sebuah dunia yang dipanggil Dunia Elf. Dunia Elf? Siapa yang menyangka yang dia akan terlahir semula di badan seorang elf perempuan yang mempunyai nama yang sama dengan dia. Bezanya, elf perempuan ini adalah seorang yang lembap, bodoh dan sangat lemah. Di Dunia Elf, mereka memiliki elemen-elemen dunia dan ilmu bela diri. Elf paling lemah hanya mampu melakukan beberapa jenis ilmu bela diri tanpa elemen mereka... Tapi apa hal pula Elf yang satu ini tiada elemen dunia dan tiada ilmu bela diri. Aubree yang sangat mementingkan ilmu bela diri demi keselamatan diri, menjadi pening dengan badan baru ini. Badan baru ini sangat lemah, sangat-sangat lemah sehingga dia tidak mampu melakukan kerja lain selain menjadi pembantu rumah biasa... Dan pemilik sebelum ini meninggal hanya kerana tertelan roti---Tunggu, apa? Dunia, apa dah jadi? Memandangkan Aubree yang memiliki tubuh ini sekarang, dia berjanji kepada pemilik sebenar yang dia akan meneruskan hidup dan menukarkan sejarah kehidupan yang menyedihkan.

bbeatyybrr · Fantasy
Not enough ratings
93 Chs

Pinjamkan Masa(2)

Suasana di sekeliling mereka terdengar senyap saja. Mereka mendiamkan diri kerana masing-masing tidak tahu hendak berkata apa lagi.

"Boleh saya pinjam masa kau untuk seharian esok?" tanya Issac secara tiba-tiba, membuatkan Aubree menjadi keliru.

"Kenapa kau nak pinjam masa saya?" tanya Aubree dengan kening yang terangkat.

"Saja... Saya mahu bawa kau berjalan-jalan di sekitar tempat ini. Siapa tahu selepas ini saya tidak akan dapat meluangkan masa bersama kau lagi. Saya mahu gunakan setiap saat terakhir saya bersama kau..."

Aubree tertawa kecil setelah mendengar kata-kata Issac yang terdengar sedikit sedih itu. "Yang Mulia, kenapa pula Yang Mulia katakan ini adalah masa terakhir—"

Ketika itulah Aubree tersedar akan sesuatu. Cepat-cepat dia memandang Issac pula.

Dia bertanya, "Kau akan kembali ke Kerajaan Timur tidak lama lagi?"

Issac menunjukkan segaris senyuman lemah. Bila difikirkan yang dia akan meninggalkan tempat ini dan kembali ke Kerajaannya, Issac merasa berat hati untuk berpisah dengan Aubree.

Lagi pula, alasan Issac datang ke sini adalah kerana dia mahu berjumpa dengan Aubree. Tapi sekarang sudah tiba masanya untuk kembali ke Kerajaannya sendiri.

Sebagai seorang Putera Kerajaan Timur, Issac harus kembali ke Kerajaan dan melaksanakan tugasnya.

Melihat Issac tidak menjawab pertanyaannya, Aubree sudah tahu jawapannya. Dia menjadi kelu dan tidak tahu hendak berkata apa lagi.

"Jadi, boleh saya pinjam masa kau untuk seharian esok? Saya tidak tahu bila lagi saya boleh datang ke sini dan saya juga tidak tahu bila kita akan berjumpa lagi selepas ini. Mungkin saja kita akan hanya berjumpa ketika perang dengan Kerajaan Kegelapan tiba..."

"Kita belum tahu bila peperangan dengan Kerajaan Kegelapan itu akan berlaku. Peperangan itu boleh berlaku bila-bila masa saja," Aubree tiba-tiba menyampuk percakapan Issac.

Issac tersenyum lagi. "Dalam erti kata lain, kita tidak tahu bila kita boleh berjumpa lagi selepas ini."

Aubree menjadi semakin kelu. Terasa hati menjadi hiba bila memikirkan yang Issac akan kembali ke Kerajaannya selepas ini. Bukan apa, cuma Aubree sudah biasa dengan kehadiran lelaki itu di dekatnya.

Kerana tidak mahu Issac mengetahui riak wajahnya saat ini, Aubree hanya menundukkan kepalanya.

"Kau belum jawab soalan saya. Boleh saya pinjam masa kau besok?" tanya Issac.

Aubree mendongakkan kepalanya ke arah Issac. "Bila kau akan kembali?"

"Urmm... Mungkin dalam empat hari ini."

"Baiklah... Saya akan pinjamkan masa saya esok untuk kau," jawab Aubree tanpa teragak-agak.

Issac menatap wajah si gadis Elf yang duduk di sebelahnya. Perlahan-lahan, wajah dingin itu mula menunjukkan sebuah senyuman yang selama ini tidak pernah dia tunjukkan kepada Elf lain - iaitu sebuah senyuman gembira.

"Nampaknya senang saja kau akan setuju dengan saya sekarang ini. Selalunya, kau tidak akan pernah mahu kabulkan permintaan saya," kata Issac dengan suara mengusik.

Kali ini, Aubree tidak dapat menjawab dan hanya sengihan saja yang ditunjukkan kepada Issac. Selepas itu, dia menunduk semula. Perasaan hiba semakin memenuhi ruang hatinya.

Walaupun Aubree tidak pernah merasa perasaan ini sebelum ini tapi Aubree tahu apa yang berlaku pada dirinya. Dia tidak rela melepaskan Issac pergi.

Aubree tahu yang kehadiran Issac sudah pun mengubah serba-sedikit kehidupan Aubree yang selama ini tidak pernah merasa begini.

Aubree tidak mahu mengaku tapi dia tahu dia sudah selesa dengan kehadiran Issac. Berbanding dengan perasaannya ketika permulaan dia melihat Issac, sekarang ini Aubree sudah selesa dan malah menyukai kehadiran Issac di sisinya.

Tapi Aubree tahu kalau Issac tidak akan dapat tinggal di sisinya untuk waktu yang lebih lama.

Issac tinggal di Kerajaan Timur dan dia harus kembali ke sana untuk melaksanakan tugasnya sebagai seorang Putera Pertama.

Dan Aubree pula harus tinggal di tempat yang tersembunyi ini dan Aubree tahu yang dia tidak boleh keluar ke dunia luar sesuka hati.

Jika Aubree memilih untuk mengikuti Issac, dia harus mengorbankan kedudukannya sebagai pemilik Kristal Kehidupan. Tapi jika dia memilih untuk tinggal di sini, dia harus mengorbankan pilihannya untuk mengikuti Issac.

'Tapi bila fikir balik, sejak bila saya terfikir mahu ikut Putera Dingin ni balik ke Kerajaan Timur? Selama ini, apa yang saya selalu buat pada dia hanyalah menolak dan menjauhi dia.'

Issac juga tidak mahu mengusik Aubree lagi setelah melihat Aubree yang hanya diam sambil menunduk saja.

"Selepas ini, kau akan teruskan latihan kau untuk berlatih menggunakan elemen kekuatan kau. Saya harus katakan yang saya rasa kecewa kerana tidak akan dapat menemani kau latihan lagi. Apakah kau akan baik-baik saja tanpa saya?"

Aubree menjeling Issac dengan jelingan ganas. "Kalau kau tak ada pun, saya akan baik-baik saja."

Issac yang berpura-pura merasa terkesan dengan kata-kata Aubree itu, memegang dadanya dengan gaya sakit hati. "Pedihnya hati saya bila dengar kau berkata begitu..."

Aubree memusingkan bebola mata dengan mulut tercebik kecil tapi dia tidak mengatakan apa-apa pun kepada putera di sebelahnya itu.

Ketika itulah ada seorang Elf muncul di belakang mereka. Kerana merasa ada orang datang, Aubree dan Issac menoleh ke arah Elf yang muncul tadi.

Melihat hanya Della yang datang, Aubree menghembus nafas kelegaan. 'Nasib baik cuma Della. Kalau Elf lain yang datang mesti sudah lama saya buat dorang pengsan.'

"Maafkan saya sebab mengganggu masa kamu berdua tapi Aubree, kehadiran kau diperlukan di majlis. Dapat tak kau kembali ke majlis tu lagi? Kalau tidak saya akan beritahu dorang yang kau tidak dapat datang..." Della memandang Aubree dan Issac silih berganti. Wajahnya terlukis riak bersalah kerana telah mengganggu masa diantara mereka berdua.

'Saya datang pada masa yang salah ke?'

Tanpa disedari, Aubree menolehkan kepalanya ke arah Issac. Dia membuka kot berbulu yang dipinjamkan oleh Issac tadi dan menyerahkan kot itu di tangan Issac kembali. "Terima kasih."

Setelah itu, Aubree berdiri dan melangkah meninggalkan tempat itu. White juga bangun dan segera mengikuti Aubree.

"Aubree, kau masih belum menjawab soalan saya... Apa kau mahu pinjamkan saya masa kau untuk besok?"

Aubree sudah berjalan tiga meter dari Issac berhenti berjalan. Tanpa menoleh pun ke arah Putera Dingin itu, Aubree menjawab, "Baik, saya setuju."

Setelah itu, Aubree pun berjalan meninggalkan Issac seorang diri di sana. Della yang hanya menjadi pemerhati saja itu segera tersenyum gembira melihat situasi yang berlaku diantara Aubree dan Issac. Manakala Harimau Bertanduk yang berjalan di samping Aubree pula tidak memberi apa-apa reaksi.

Setelah mendengar jawapan Aubree tadi, secara tak sedar, segaris senyuman bahagia terukir di wajah dingin Issac. Wajah dingin itu tidak mungkin pernah menunjukkan senyuman tapi setelah berjumpa dengan Aubree, dia sedar dia lebih banyak tersenyum dari sebelum ini.

Della terus merapati Aubree dan memeluk lengan Aubree, seakan-akan tidak mahu melepaskan Aubree pula. "Jadi...?"

Aubree membuat raut muka selamba sambil mengerling ke arah Della. Melalui raut wajah Della itu, Aubree tahu kalau Della menginginkan jawapan berkenaan dengan hubungan diantara dia dan Issac.

Pendek kata, Della mahu tahu sama ada Aubree dan Issac masing-masing mempunyai perasaan terhadap sesama.

Tapi Aubree yang tidak mahu Della tahu jawapan sebenar hanya tersengih kecil. Dia menepuk atas kepala Della dengan lembut, seperti seorang ibu yang sedang menepuk kepala anaknya jika anaknya sudah melakukan perkara yang baik.

"Ada kalanya kau hanya perlu tahu benda yang perlu kau tahu dan ada benda yang kau tidak perlu tahu. Sekarang ini, benda macam ini adalah benda yang kau tidak perlu tahu dan tidak boleh tanya lagi. Kau mengerti?" kata Aubree.

"Ah..." Della membuka mulut, cuba untuk membidas kata-kata Aubree tapi sebaik saja mulutnya terbuka, tidak ada satupun ayat yang ada di benaknya.

Della tidak tahu apa yang perlu dia katakan kepada Aubree. Akhirnya, mulutnya dibiarkan ternganga macam mulut ikan buntal yang terbuka.

Aubree tertawa senang hati melihat Della yang sudah tidak tahu hendak berkata apa lagi. Dia pun terus berjalan ke arah majlis bersama-sama dengan White dan meninggalkan Della di sana.

Dengan perasaan yang berang, Della menjeling belakang Aubree yang semakin menjauh. "Kurang asam punya kawan!"