Wilayah selatan yang pesat membangun menjadi destinasi paling utama dikunjungi oleh pedagang-pedagang. Pelabuhan Ramunia adalah salah satu pintu untuk memasuki wilayah agung ini. Dengan tersergamnya dua arca gergasi menghiasi laluan masuk ke pelabuhan menggambarkan betapa terperinci setiap mercu tanda yang dihasilkan pemerintah ulung Sultan Alauddin Riayat Shah. Atau lebih terkenal dengan gelaran " Badang Selatan".
Berwajah agak kacak dengan mata berwarna hazel, baginda sangat terkenal dengan lagenda kekuatan 10 ekor gajah. Walaupun ianya sekadar buah mulut rakyat jelata, bukti kekuatan baginda masih menjadi tanda tanya. Namun melihat akan ketegapan tubuh badan serta ketinggian baginda saja sudah menggambarkan kehebatan seorang perwira. Malah usia baginda juga kekal misteri sehingga kini.
Jauh di timur jajahan kesultanan melayu Melaka, terdapat sebuah kota yang tersergam indah dengan hiasan serta binaan monumen. Ciri-ciri yang kelihatan saling tak tumpah seakan kota Atlantis. Besar dan unik. Kota yang gah ini ditadbir oleh sekumpulan pahlawan yang menggelarkan diri mereka Pendekar Bersaudara. Bilangan mereka seramai lima orang masih mampu menguruskan sebuah kota yang kukuh dan terkenal. Rakyat jelata yang setia akan baginda sultan mengabdikan diri sebagai angkatan tentera kepada kedaulatan kota Sulaiman.
Dalam kalangan Pendekar Bersaudara, ada seorang ahlinya yang bernama Jendak Pertapa. Berambut panjang, putih berkilat. Wajah bengis dengan janggut sejengkal. Tugas hakiki Jendak Pertapa tidak lain dan tidak bukan adalah mengetuai angkatan tentera laut yang menguasai Samudera Konra. Lautan terdalam serta terganas di alam Nusantara. Bahtera besar sejumlah seribu buah mengawal ketat perairan memasuki Kota Sulaiman. Biarpun kerap dikunjungi tetamu tak diundang, Jendak Pertapa masih ulung mempertahankan perairannya. Antara tetamu yang pernah menyerang kota Sulaiman pastinya kerajaan Modèra yang diketuai Jeneral Pathudon. Serangan yang berlanjutan selama dua bulan itu mengorbankan separuh armada Jeneral Pathudon iaitu kira-kira seratus ribu orang tentera. Biarpun jumlah tentera yang begitu ramai dikerahkan, kerajaan Modèra masih gagal menundukkan Kota Sulaiman. Keampuhan serta kehebatan tentera Jendak Pertapa tidak terhitung lagi. Ianya turut diceritakan dalam tulisan sejarah bahawa kota yang tersergam indah itu bukan calang-calang kerana ia diperkuat oleh sejenis kuasa sakti dari sebutir permata yang digelar Batu Inara. Sejenis batu yang berasal dari hempedu sekumpulan mamalia sakti di lautan Samudera Konra. Dikatakan juga bahawa terdapat lima ekor mamalia sakti yang mempunyai permata yang berlainan kuasanya.
Maka dengan tersebarnya lagenda batu tersebut, berlumba-lumbalah nakhoda kapal meredah Samudera Konra yang misteri demi memilikinya. Namun sehingga kini hanya Jendak Pertapa sahaja yang mampu memiliki batu permata tersebut dan sejarah akan usaha Jendak Pertapa mendapatkannya kekal misteri.