webnovel

Bab 4 : Misteri Adib 2020

Gempar misteri kehilangan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun melanda kampung Sri Menanti. Rata-rata penduduk kampung saling menghebahkannya di media sosial sehingga ia viral. Lewat petang semalam, Dali dijumpai penduduk kampung dalam keadaan menyayat hati. Pipi kanannya koyak sehingga menampakkan gigi dan gusi. kesan lebam pada tubuh si kecil itu kelihatan di sana sini. Rusuk kirinya pula patah teruk.

Selepas solat Zohor, jenazah Dali selamat disemadikan di tanah perkuburan orang-orang islam. Pedih sungguh hati ibu dan ayah yang menangisi pemergian anak tercinta. Pusara yang masih merah itu dipegang erat sang ayah yang 'ralat'. Baru semalam rasanya suara anak kecil itu memanggil-manggil dirinya.

"Ayah, minggu depan kita pergi beli kasut sekolah baru ya, " jelas Dali penuh semangat. Pak Samad yang kehairanan hanya mampu mengerutkan dahi.

" Dali dapat durian runtuh tau ayah. Kalau ayah nak makan KFC pun, Dali boleh belanja, " terang Dali lagi bersungguh-sungguh. Gelagat anak kecil itu sedikit sebanyak menghilangkan rasa mengantuk Samad setelah berjam-jam mengadap kereta yang rosak di bengkelnya. Minggu itu dia sangat sibuk. Rata-rata pelanggan memintanya menyiapkan kereta kerana bulan Ramadhan bakal tiba. Masing-masing perlu menggunakan kenderaan mereka menjelang bulan puasa ini. Barangkali mereka ingin keluar berniaga. Hati kecil Samad beranggapan begitu. Setelah hilang lamunan Samad, dia tercari-cari ke mana perginya si Dali. Kelihatan di tangannya sauk kecil dan baldi untuk menangkap ikan pelaga. Sambil tersenyum Samad berasa beruntung kerana dikurniakan anak sebaik Dali.

Namun apakan daya, itulah kali terakhir dia dapat mendengar suara anak kesayangannya itu. Begitu perit hakikat yang perlu diterimanya. Mata yang merah itu tidak mampu lagi membendung airmata yang mendesak untuk mengalir. seketika kemudian ia deras membasahi pipi.

**************************

Pakatan orang kampung serta pihak berkuasa bermesyuarat pagi itu. Tidak lain dan tidak bukan tentunya perihal kehilangan Adib serta kematian Dali. Sehingga ke hari ini pihak polis masih gagal merungkai kes yang penuh misteri ini. Tiada jejak yang dapat dikesan. Tiada bukti yang mampu memberi petunjuk. Jauh sekali rakaman cctv.

Tiba-tiba tampil seorang pemuda dengan wajah yang pucat lesi sambil dipapah seorang lelaki tua. Jelas kelihatan diwajahnya raut penuh cemas dan ketakutan. Dengan badan yang terketar-ketar dia bersuara.

" Manusia berkepala anjing! "

Masing-masing di dalam dewan cuba mendapatkan kepastian. dewan yang tadi senyap sunyi, menjadi gamat. Lelaki tua yang memapah Faiz yang lemah tadi mengiyakan kata-kata anaknya itu. Jelas Faiz, makhluk yang menceroboh kebunnya itu agak besar dan pantas. Sedang dia sibuk menebas rumput-rumput yang semakin meninggi, sesekali dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Takut-takut jika ada haiwan buas yang menghampiri. 'dushhh' kedengaran bunyi benda jatuh. Faiz memberhentikan kerjanya lantas menuju ke lokasi bunyi tadi.

Dengan penuh hati-hati dia menghampiri kawasan kebun ubi di tepi parit besar. Kedengaran bunyi kumat kamit yang sukar difahami. semakin dia dekat, semakin jelas bunyi tersebut. Debaran di dadanya juga kian memuncak. Di balik pohon ubi yang separas dada, Faiz terlihat akan kelibat seseorang sedang mengintai-ngintai budak-budak menyauk ikan. Belum pun sempat Faiz menyapa tubuh itu, ia dengan pantas menerpa ke arah Dali yang leka menyauk. Dengan sekali tamparan, Dali terpelanting kira-kira 10 meter jauhnya. Adib yang ketakutan cuba melarikan diri namun usahanya sia-sia. Makhluk bertubuh manusia itu menerkam Adib dengan rakus dan ganas. Sejenak kemudian mereka berdua hilang dari pandangan.

Faiz yang menyaksikan adegan persis filem hollywood itu terjelepuk ke tanah. Badannya menggigil ketakutan sambil mukanya pucat lesi. Selama lima hari itu dia gagal pulih dari cemas yang teramat sangat. Bila mesyuarat diadakan, dia terpanggil menceritakan kebenarannya. Walaupun ia sukar untuk diterima oleh akal yang logik. Cerita Faiz itu membuatkan dewan bertambah gamat.

Next chapter