webnovel

Sepuluh Hari Sepuluh Malam

Editor: EndlessFantasy Translation

Sekembalinya dia ke Institut Ernst, Linley mengambil beg galas dari biliknya, kemudian terus menuju ke gunung di belakang institut. Dalam beg galasnya, terdapat pakaian, kad kristal ajaib dan juga pahat lurus.

"Bro Kedua, Bro Keempat, tengok-tengokkan Bro Ketiga," arah Yale.

George dan Reynolds menganggukkan kepala. Mereka juga bimbang akan Linley.

"Bos, apa yang Bos mahu lakukan?" tanya Reynolds.

Yale memandang dengan riak tekad. "Saya?"

"Saya mahu menyiasat dan mengetahui mengapa Alice, gadis buta itu, memutuskan untuk curang terhadap Bro Ketiga. Dan saya mahu tengok apa yang dilakukan budak kurang ajar itu sehingga dia berani merampas teman wanita Bro Ketiga." Sebaik sahaja dia bercakap, Yale bingkas bangun. "Saya berangkat ke Kota Fenlai sekarang. Kamu berdua tolong jaga Bro Ketiga."

"Baiklah." Reynolds dan George mengangguk.

Kemudian, Yale beredar ditemani pengawal puaknya, berangkat dari Institut Ernst menuju ke Kota Fenlai. Reynolds dan George pula, di tengah-tengah malam musim salji yang membeku, mereka bergegas ke gunung di belakang Institut Ernst.

.....

Menunggang kuda jantan, Yale memimpin para pengawal merentasi dataran bersalji. Tidak lama kemudian, mereka tiba di Kota Fenlai. Sebaik sahaja memasuki kota, Yale terus menuju ke salah satu ibu pejabat puaknya yang berada di Kota Fenlai.

Ibu pejabatnya berada dalam bangunan sembilan tingkat, di sebuah hotel ternama di Kota Fenlai.

Di belakang hotel, ada beberapa buah bangunan kecil yang tidak dibuka kepada orang awam. Yale terus menuju ke arah sebuah bangunan kecil dua tingkat berwarna merah. Sebaik sahaja dia tiba, lima orang lelaki pertengahan umur berpakaian mewah keluar. Melihat sahaja Yale, serentak mereka menyapanya dengan penuh hormat, "Tuan Muda Yale!"

"Walt [Hua'te], di mana Pak Ngah saya?" Yale segera bertanya.

Dalam kalangan lima orang lelaki itu, salah seorang daripada mereka bernama Walt. Hanya dia seorang sahaja yang berjubah panjang hitam. Walt menjawab dengan hormat, "Tuan sudah kembali ke ibu pejabat utama kita tujuh hari yang lalu. Sekarang ini, semua urusan di Kesatuan Suci di bawah pengurusan saya."

Walt tahu sejak tuan muda kedua menjadi pelajar di Institut Ernst, hierarki kedudukannya di dalam puak naik mendadak.

Yale bukan ahli puak biasa, dia membawa darah keturunan puaknya. Malah, penyelia tertinggi Walt, 'Pak Ngah' yang berkuasa mengawal semua urusan di Kesatuan Suci juga tidak berani bersikap kurang sopan terhadap Yale.

"Tuan Muda Yale, jika ada perkara yang perlu dilakukan , tuan muda boleh beritahu saya." Walt berkata dengan hormat.

Yale diam buat seketika kemudian memberikan arahan. "Pergi siasat sesuatu untuk saya. Di Jalan Kesang, Kota Fenlai, ada seorang gadis bernama Alice. Tahun ini dia berusia 16 tahun. Dia juga merupakan pelajar di Institut Wellen. Baru-baru ini, dia menjalinkan hubungan dengan seorang pemuda. Dapatkan saya semua maklumat tentang pemuda tersebut."

"Baik, Tuan Muda Yale." Walt senyum nipis. "Tuan Muda Yale, tuan menyukai Alice? Jika tuan suka, saya boleh…"

"Tidak perlu." Wajah Yale dingin dan keruh. "Apa yang saya perlukan hanyalah maklumat. Dapatkan secepat yang mungkin. Faham?"

"Baik." Walt dapat merasakan Tuan Muda Yale benar-benar marah kali ini.

...….

Malam yang sama. Lilin berkelip-kelip.

Yale sedang duduk di meja. Dia menuang wain ke dalam cawan. Wajahnya muram. Tetapi jelas sekali, fikirannya merawang entah ke mana dan bukan pada wain tersebut.

Tiba-tiba, kedengaran derap langkah tergesa-gesa. Walt tiba-tiba melangkah masuk ke dalam bilik bersama dengan seorang wanita berusia 20-an yang nampak kesejukan. Sebaik sahaja memasuki bilik tersebut, Walt menunduk hormat. "Tuan Muda Yale, kami sudah menyiasat tentang Alice dan rakan lelakinya."

"Teruskan." Yale berkata dingin.

Walt melihat ke arah wanita yang kedinginan itu. Dia sedang menunduk hormat. "Tuan Muda Yale, Alice ada dua orang kawan lelaki. Yang pertama bernama Linley Baruch. Dia berasal dari Pekan Wushan…"

"Berhenti. Beritahu lelaki kedua." Yale berkerut.

"Teman lelaki Alice yang baru bernama Kalan Debs. Dia dilahirkan di Kota Fenlai dan kini berusia 17 tahun. Dia merupakan pelajar Akademi Pahlawan Wellen dan seorang pahlawan tahap lima! Puak Debs ialah puak besar Kota Fenlai dan Kalan Debs merupakan pewaris puaknya."

"Kalan Debs… puak Debs?" Yale berkerut. "Cuma puak kecil dalam kerajaan ini?"

Walt yang cuba untuk mengampu berkata, "Dalam kerajaan Fenlai, puak Debs dikira sebagai puak yang besar. Tetapi sudah tentu, dalam benua Yulan, puak ini hanya dikira sebagai puak yang sangat kecil."

"Oh. Saya mahu menghukum puak ini dengan terus. Apakah cadangan kamu?" Yale memandang Walt.

"Itu mudah sahaja!"

Walt ketawa. "Tuan Muda Yale mungkin tak tahu hal ini tetapi puak Debs sebenarnya merupakan rakan kongsi Konglomerat Dawson di Kota Fenlai. Di kerajaan Fenlai, Konglomerat Dawson untung besar sementara puak Debs hanya mendapat saki-baki kita. Tapi, setelah beberapa tahun, keuntungan yang sedikit itu telah memberi kekayaan kepada puak Debs."

"Oh, jadi puak Debs ialah rakan kongsi Konglomerat kita di kerajaan Fenlai?" Senyuman memekar di bibir Linley.

Walt mengangguk. "Benar, Tuan Muda Linley. Tuan pun tahu Konglomerat Dawson tak akan mengaut semua keuntungan dari setiap dagangan. Di setiap Empat Empayar Agung dan kerajaan-kerajaan lain, kita sentiasa ada rakan kongsi. Sudah tentu kita perlu memberikan mereka sedikit manfaat."

Yale mengangguk.

Dia juga tahu semua itu. Puak Dawson mengawal Konglomerat Dawson, salah sebuah kesatuan dagang terbesar di benua Yulan. Malah Empat Empayar Agung dan dua sekutunya juga tidak berani memandang rendah terhadap mereka. Ini merupakan sebab mengapa Yale diterima masuk ke Institut Ernst.

Institut Ernst dikawal oleh Gereja Cahaya. Kepada orang luar, mereka mengatakan pemilihan kemasukan dijalankan dengan adil dan saksama.

Bagaimana seseorang daripada puak biasa mampu masuk dengan sokongan Gereja Cahaya?

Fahaman Konglomerat Dawson ialah 'Jika ada keuntungan, semua akan dapat bahagian'.

Di setiap Empat Empayar Agung, dua sekutu, dan kerajaan dan duci-duci lainnya, Konglomerat Dawson sentiasa mempunyai rakan dagangan, dan ia membenarkan mereka untuk sama-sama mendapatkan keuntungan.

Bekerjasama dengan Konglomerat Dawson sama seperti berada di atas sebuah mesin perang gergasi yang menghasilkan wang. Di kerajaan Fenlai, puak Debs hanya mendapat sedikit bahagian keuntungan Konglomerat Dawson. Itu pun sudah cukup untuk menjadikan mereka kaya-raya menurut standard kerajaan Fenlai.

"Tuan Muda Yale, ada banyak puak lain di kerajaan Fenlai yang berebut-rebut untuk menggantikan tempat puak Debs sebagai rakan kongsi tempatan kita di sini. Satu-satunya sebab kita masih bekerjasama dengan puak Debs ialah mereka merupakan rakan kongsi yang agak bagus. Sebab itulah, kita tak pernah memberi peluang kepada puak-puak lain." Walt tersenyum.

Yale faham maksud Walt.

"Tukar rakan kerja tempatan kita di kerajaan Fenlai dengan segera. Puak Debs pula? Sekat mereka!" Suara Yale dingin seperti ais.

"Baik, Tuan Muda Yale." Walt menjawab dengan penuh hormat.

Ini cuma isu rakan kongsi di sebuah kerajaan kecil. Walt yang cuma pembantu Konglomerat Dawson di Fenlai juga mempunyai kuasa untuk membuat keputusan ini. Inikan pula Yale yang sememangnya ahli keluarga induk puak.

'Kasihan puak Debs.' Walt berkata di dalam hatinya.

...…..

Di gunung di belakang Institut Ernst, salji menyelubungi segalanya dengan pakaian putih keperak-perakan. Di celah pokok-pokok tebal, terdapat beberapa buah batu yang besar. Di sebuah kawasan lapang dalam gunung itu, Linley berdiri dengan senyap dan mata terpejam, di atas salah satu batu gergasi di situ.

Si Tikus Bebayang, Bebe berada di sebelahnya, berdiri di atas salji bersedia melindungi Linley.

Geoge dan Reynolds saling berpandangan dalam kebimbangan.

"George. Linley tengah buat apa tu? Dah sehari semalam dia berdiri di atas batu besar itu. Bila kita panggil, dia tak menyahut. Dan dia langsung tak makan atau minum. Jika dia berterusan begini…" Reynolds mula rasa tak tentu arah.

George perlahan-lahan menggelengkan kepalanya. "Sabar. Bro Ketiga merupakan ahli sihir tahap enam dan juga seorang pahlawan. Badannya kuat dan gagah. Badannya sudah diperkuat dengan penyerapan intipati unsur alam semula jadi. Kalau dia tak makan dan minum selama beberapa hari, ia tak akan menimbulkan kemudaratan. Buat masa ini, kita perhatikan saja dia. Saya percaya Bro Ketiga bukanlah orang yang tak mampu bangkit semula apabila apabila terluka."

Reynolds mengangguk kecil.

Tiada seorang pun antara mereka yang tahu keadaan sebenar Linley ketika itu.

Malah, Doehring Cowart juga ada di sana, di sisi Linley. Cuma Reynolds dan George tidak sedar akan keberadaannya. Doehring Cowart memerhatikan Linley dalam diam. Di dalam hatinya, dia agak terkejut. 'Nampaknya, Linley sudah memasuki fasa mental yang dalam.' Sebagai seorang Pakar Ukir Agung, Doehring Cowart mampu meneka keadaan Linley.

Linley sedang merenung batu tongkol itu. Batu tongkol itu dua meter tinggi dan tiga meter lebar.

Dia merenung garis-garis di atas batu itu. Garisan bengkang-bengkok dan bentuk bersegi-segi pada batu itu sangat kompleks. Akan tetapi, apabila Linley berterusan merenung batu besar itu, garis-garis dan bentuk-bentuk bagaikan terbang keluar dari batu itu dan menyerap masuk ke dalam fikiran Linley.

Garis dan bentuk itu terbentuk menjadi lima imej manusia.

Tiba-tiba, lima imej itu bertukar menjadi Alice. Pelbagai peristiwa terbayang dalam minda Linley. Dalam bayangannya, batu tongkol itu kini berubah menjadi beberapa arca. Akhirnya, ia terbentuk menjadi lima patung wanita.

"George, lihat! Bro Ketiga bergerak!" kata Reynolds, terperanjat.

Dari dalam beg galasnya, Linley mengeluarkan pahat lurusnya. Dia memegang pahat lurus tersebut dengan tangan kanannya. Renungannya tertumpu pada batu tongkol itu dan Linley tiba-tiba mula bergerak. Pahat lurus itu menjadi kabur. Serpihan batu dan batu-batu kasar serta merta bertaburan dari batu besar itu.

Jiwanya bersatu dengan bumi, dan juga bersatu dengan angin.

Jiwa Linley dengan jelas dapat mengesan setiap rekahan, setiap garisan di atas batu tongkol itu. Pergerakan pahat lurus dalam tangannya itu seakan-akan angin, menerbangkan setiap serpihan batu jauh daripada batu besar itu. Setiap potongan pahat lurusnya kelihatan sempurna. Pergerakannya tidak keterlaluan, tidak kurang, tepat dan sempurna.

Adakalanya, pahat lurusnya akan bergerak perlahan dan ada masanya, pahat lurusnya bergerak dengan laju. Kadangkala ia akan meninggalkan kesan dan juga alur di atas batu. Ada masanya, sesetengah bahagian akan dipotong habis.

'Aku masih ingat wajah kamu tahun lepas. Wajah yang meruntun kasihan sewaktu kamu diserang oleh Babi Perang Mengerikan.'

Imej kejadian itu dan Alice terbayang dalam mindanya dengan sempurna. Segala emosi dan perasaannya disalurkan kepada pahatnya. Salji yang turun berkumpul dan bergumpal di sekeliling Linley. Dia merasakan jiwanya bersatu dengan bumi dan angin, sesuatu yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Intipati unsur tanah dan angin menyerap masuk ke dalam badan Linley.

Linley tidak fikirkan perkara lain. Sekarang ini, fikirannya tertumpu kepada perasaan yang sudah berlalu itu.

Perlahan-lahan, 20% daripada bahagian kiri patung itu mula membentuk imej seorang wanita. Struktur asas arca itu sudah mula terbentuk. Linley tidak makan dan juga minum. Dia mengukir tanpa henti. Adakalanya, dia akan menggerakkan pahatnya ke beberapa bahagian berbeza. Ada masanya, dia menghabiskan beberapa minit untuk membentuk satu garisan dengan teliti.

.....

Linley menumpukan seluruh jiwa raganya dan perasaannya terhadap Alice pada pahat lurusnya. Dia langsung tidak menyedari ini merupakan kali pertama dia berada dalam keadaan sebegitu sejak dia belajar mengukir.

Sebelum ini, tidak kira semasa dia baru belajar mengukir atau baru-baru ini, Linley tidak pernah 100% khusyuk mengukir.

Paling lama, dia akan mengukir selama beberapa hari. Dia boleh berhenti pada bila-bila masa dan sambung pada waktu-waktu lain.

Tetapi kali ini berbeza. Linley tenggelam jauh dalam perasaannya yang telah berlalu itu dan benar-benar khusyuk dalam mengukir. Dia tidak terfikir untuk berhenti. Dia tidak sedar dia langsung tidak makan dan minum. Keasyikan dan penumpuan menyebabkan Linley bersatu dengan alam semula jadi buat pertama kalinya.

Persatuan mutlak dengan alam semula jadi menyebabkan tenaga spiritual Linley meningkat secara mendadak. Kejadian seperti ini tidak pernah dilihat oleh sesiapa sebelum ini.

Ketika ini, peningkatan tenaga spiritual Linley berlaku seribu kali ganda lebih pantas daripada orang biasa.

'Dia benar-benar bersatu dengan alam semula jadi hingga tak sedarkan diri. Kejutan yang sangat menakjubkan.' Mata Doehring Cowart bercahaya.

Hari demi hari berlalu, Linley masih lagi khusyuk dengan karyanya. Intipati unsur tanah dan angin berterusan diserap ke dalam badannya, menggantikan tenaga yang hilang.

Dalam sekelip mata, sudah sepuluh hari Linley mengukir tanpa henti.

*Puff!*

Salji tiba-tiba berlingkar ke luar dan Linley ialah pusatnya. Dengan pahat lurus yang masih berada dalam genggaman, Linley merenung sebuah arca batu gergasi di hadapannya. Linley mencurahkan semua kudratnya ke dalam arca batu. Ia merupakan arca paling besar yang pernah dihasilkannya, dan boleh dikatakan, ini yang paling berjaya.

Arca ini memaparkan lima imej seorang wanita. Kesemuanya ialah imej seorang wanita yang sama. Alice.

Satu imej menggambarkan wajah kasihan Alice sewaktu dalam bahaya.

Satu imej menunjukkan riak comelnya semasa mereka sembunyi-sembunyi berbual di balkoni rumahnya.

Satu lagi imej memperlihat wajahnya yang tersipu-sipu malu sewaktu mereka mula-mula bercinta.

Imej seterusnya mempamerkan wajahnya yang mempesonakan ketika mereka sedang hangat bercinta.

Dan imej terakhir menunjukkan wajahnya yang tiada perasaan sewaktu mereka berpisah!

'Semua ini berlaku dalam masa setahun ibarat sebuah mimpi. Tapi sekarang, mimpi itu sudah pun berakhir. Arca ini aku namakan 'Terjaga dari Mimpi'.' Apabila dia merenung arca tersebut, Linley merasakan jiwanya lebih tenang daripada sebelum ini, seolah-olah emosinya yang terdahulu telah disimpan di dalam arca itu.

'Terjaga dari Mimpi'. Arca ini secara rasminya telah tercipta!

Next chapter