webnovel

Mencecairkan

Editor: EndlessFantasy Translation

Reynolds, George, dan Yale terkebil-kebil memandang arca itu. Mereka benar-benar takjub akan seni arca batu tersebut. Di mata mereka, kelima-lima imej manusia pada arca itu bagaikan mempunyai roh tersendiri.

Imej paling kiri mempunyai aura lembut dan lemah dan mampu membuat sesiapa yang melihatnya jatuh kasihan.

Imej kedua menggambarkan seseorang yang manis dan comel yang akan menawan hati sesiapa yang memandang.

Imej ketiga menyerupai seorang gadis sebenar yang sedang tersipu-sipu malu ketika berhadapan dengan seseorang.

…..

Kelima-lima patung di dalam arca itu memiliki aura unik yang tersendiri.

Linley merenung arca itu dan dia merasakan seolah-olah sedang memandang sebuah fantasi. Kesemua patung itu ibarat seseorang yang muncul dalam mimpinya. Namun kini, dia sudah terjaga dari lenanya.

"Linley." Doehring Cowart berjalan mendekatinya. Jubah putih bulannya suci bersih tanpa dicela sebarang debu.

Linley memandang Doehring Cowart.

Doehring Cowart nampak berpuas hati. "Dari segi kemahiran mengukir batu kamu telah mencapai tahap seorang pakar. Arca yang baru kamu hasilkan layak diangkat sebagai contoh unggul untuk mewakili seni ukiran Sekolah Pahat Lurus. Selepas menjalani latihan ini, Atuk percaya pemahaman kamu terhadap seni mengukir batu semakin mendalam."

Linley mengangguk perlahan.

Selepas selesai mengukir arca ini, Linley sedar mengapa setiap pakar ukir mungkin hanya mampu menghasilkan satu karya yang disanjung sepanjang zaman. Bukan kerana mereka tidak cukup mahir, tetapi kerana arca 'kudus' akan muncul secara tiba-tiba dan tidak boleh dipaksa.

Contohnya, Linley baru sahaja selesai mengukir arca ini, 'Terjaga dari Mimpi'. Namun begitu, jika dia disuruh untuk menghasilkan sebuah lagi arca sepertinya, dia tidak akan mampu melakukannya.

Apabila sebuah arca 'kudus' muncul di dunia, ia merupakan hasil gabungan kemahiran pengukiran yang sangat halus, inspirasi yang mendalam, dan sebuah perasaan yang membelenggu jiwa pengukir. Hanya apabila jiwa seseorang 100% dibelenggu barulah arca 'kudus' akan lahir ke dunia. Semua ini meruntuhkan segala benteng dan akan membantu mereka menghasilkan arca yang luar biasa dan mengusik jiwa.

Linley telah selesai mengukir arca 'Terjaga dari Mimpi'. Namun tiada siapa yang tahu bila dia mampu menghasilkan sebuah lagi arca dengan kualiti setinggi ini?

Sungguhpun begitu…

Sepanjang sepuluh hari dia mengukir tanpa henti, ketajaman jiwa Linley telah menjadi setara dengan alam semesta. Oleh sebab itu, Linley semakin mahir dalam mengukir. Jika Linley perlu menghasilkan sebuah lagi arca sekarang, walaupun ia tidak akan mampu menandingi kualiti 'Terjaga dari Mimpi', nilainya tetap lebih tinggi daripada arca ukirannya sebelum ini yang berharga sekitar 5,000 syiling emas sebuah.

"Linley, kamu ada rasa perubahan pada tenaga spiritual kamu?" soal Doehring Cowart sambil tersenyum ceria.

Linley terkejut.

Tenaga spiritual?

Arca ini telah memaksa Linley untuk menggunakan lebih tenaga spiritual berbanding selalu. Kini, tenaga spiritualnya lebih kuat daripada sebelum ini. Sepuluh hari lepas, tenaga spiritual Linley ibarat sebatang pohon renek. Sekarang, tenaga spiritualnya umpama sebatang pokok oak yang merimbun.

'Bagaimana peningkatan sebesar ini boleh berlaku?' Linley berasa sangat takjub.

Doehring Cowart ketawa girang. Janggut putihnya berterbangan. Dia berkata, "Sepuluh kali ganda! Tenaga spiritual kamu meningkat sebanyak sepuluh kali ganda! Besar sungguh lonjakannya. Dalam masa sepuluh hari, ia meningkat sebanyak sepuluh kali ganda! Dalam tempoh sepuluh hari yang singkat, kamu berjaya mencapai sesuatu yang hanya dapat diperoleh daripada latihan selama berpuluh-puluh tahun. Tenaga spiritual kamu telah melonjak naik daripada tahap enam menjadi kuasa ahli sihir tahap tujuh dalam sekelip mata."

Linley juga sukar mempercayainya.

Peningkatannya terlalu tinggi! Sepuluh kali ganda!

"Kesannya boleh tahan juga, bukan? Hrmph, keberkesanan Sekolah Pahat Lurus Doehring Cowart memang tak boleh dipertikaikan mahupun difahami. Tapi… Atuk cemburu dengan kamu." Doehring Cowart tersenyum ketika memandang Linley. "Linley, kamu harus tahu, keadaan dibelenggu perasaan, di mana jiwa bersatu dengan alam ialah sesuatu yang sukar dicapai."

Linley mengangguk, bersetuju.

Jika keadaan itu mudah untuk dicapai, mungkin arca 'kudus' ada di mana-mana sahaja.

"Sepanjang 1300 tahun hidup Atuk, Atuk hanya merasai perasaan itu sebanyak tiga kali. Pada setiap kalinya, Atuk berjaya menghasilkan tiga buah arca kebanggan Atuk." Doehring Cowart nampak sangat berbangga. Dia meneruskan bicaranya, "Tapi Atuk hanya menghabiskan masa dua, tiga dan empat hari untuk menghasilkan setiap satu daripadanya. Jadi keseluruhannya, Atuk hanya berada di dalam keadaan itu selama sembilan hari. Jauh lebih singkat daripada satu sesi pengukiran kamu."

Apabila mendengar kata-kata Doehring Cowart, barulah Linley sedar dia telah menghabiskan masa selama sepuluh hari sepuluh malam dalam satu sesi pengukiran.

"Keadaan ini ialah cara paling pantas untuk pelajar Sekolah Pahat Lurus meningkatkan tenaga spiritual mereka. Keadaan ini memastikan peningkatan berlaku sepuluh kali ganda lebih pantas berbanding orang lain! Keadaan ini ialah sesuatu yang kita impikan. Semakin lama kamu berada di dalam keadaan ini, semakin besar kelebihan yang akan kamu dicapai."

Linley bersetuju dalam hati.

'Terjaga dari Tidur' ialah hasil karya bersaiz besar. Ia memiliki lima patung berbeza. Arca sebesar ini jarang sekali dilihat.

Doehring Cowart mengeluh panjang. "Tapi apabila jiwa kamu tekad untuk menghasilkan sesuatu rekaan arca, kamu tiada kuasa untuk mengawalnya."

Linley mengerti.

Sama seperti apabila dia nampak sebuah batu besar dan terbayang garis-garis dan bentuk di atasnya. Bayangan itu digabungkan dengan emosinya yang sedang bengang, mindanya secara spontan menggambarkan lima imej itu. Semangat dan keterujaan itu membuat dia lupa tentang segalanya, termasuk diri sendiri. Hanya arca itu yang menjadi tumpuannya.

Semua tenaga dan emosinya dicurahkan ke atas arca itu.

Apabila berada di dalam keadaan itu, dia sudah kehabisan tenaga untuk memikirkan tentang perkara lain seperti 'Aku nak membuat arca bersaiz besar'. Tumpuannya langsung tidak terpesong. Jika dia membiarkan dirinya terleka dengan perkara lain, dia akan menghancurkan keadaan optimum itu.

"Linley, Atuk nak tanya kamu satu soalan. Kamu dah beri nama kepada arca ini?" soal Doehring Cowart.

"Terjaga dari Mimpi," jawab Linley.

Doehring Cowart berfikir sebentar kemudian mengangguk perlahan. "Syabas. Sedap nama itu."

Ribut salji yang jarang berlaku itu akhirnya berakhir. Bumi diselimuti warna putih. Seluruh kawasan gunung dilitupi salji tebal, separas lutut. Ribut salji jarang berlaku. Selepas salji berhenti, suhu turun mendadak.

Yale, George, dan Reynolds telah memasang sebuah khemah untuk menghindarkan diri daripada cuaca sejuk itu. Yale telah mengarahkan beberapa orang hamba untuk menghantar makanan kepada mereka. Mereka menanti di situ, menjaga Linley.

Pada ketika itu, Yale dan dua yang lain terkesima merenung arca Linley.

"Bos Yale, Bro Ketiga telah berjaya menyiapkan arcanya. Kenapa dia masih berdiri di situ?" Reynolds kerisauan. Dia tidak tahu Linley sedang berbual dengan Doehring Cowart di dalam mindanya. Mustahil untuk mereka semua nampak roh Doehring Cowart.

Yale menggelengkan kepalanya. "Entahlah. Tapi arca Bro Ketiga ini benar-benar standing arca Pakar Ukir Agung Proulx."

Sekurang-kurangnya di mata Yale, keindahan arca Linley akan menggegar dunia. Ia mampu menjentik jiwa manusia.

"Bos Yale. Bro Kedua. Bro Ketiga."

Linley tiba-tiba bersuara, memeranjatkan Yale, George, dan Reynolds. Reynolds segera menyahut dengan gembira, "Linley, kamu bercakap juga akhirnya! Sudah sebelas hari. Sebelas hari penuh! Kamu tak makan atau minum apa-apa selama sebelas hari!"

Pada awalnya, Linley hanya berdiri tidak berkutik di hadapan bongkah batu itu sepanjang hari. Selepas itu, dia menghabiskan masa lebih sepuluh hari mengukirnya. Oleh itu, hari ini ialah hari ke-11.

Orang biasa yang tidak makan atau minum selama sebelas hari tentu sudah menemui ajal. Ahli sihir tahap empat dan lima juga akan menjadi lemah jika tidak makan dan minum selama ini. Linley cuma merasa sedikit haus. Akan tetapi, dia langsung tidak berasa lesu.

Hal ini demikian kerana, semasa berada dalam keadaan itu dan bersatu dengan alam semesta, intipati unsur tanah dan angin sentiasa terserap masuk ke dalam tubuh Linley. Intipati unsur itu menyalurkan khasiat dan menggantikan tenaganya yang telah digunakan. Pada masa yang sama, ia membuat tubuhnya lebih kuat.

"Sebelas hari, ya? Ya, saya agak lapar." Linley ketawa.

"Lapar?"

George orang yang pertama meluru masuk ke dalam salah sebuah khemah. Dia membawa keluar dua bekas yang dibaluti bulu. Bulu tersebut digunakan sebagai penebat haba. Dia meleraikan bulu itu dan mengeluarkan dua buah bekas dari dalamnya. Dia dalam dua buah bekas itu, terhidang makanan yang menyelerakan.

"Nanti dulu. Kita tak boleh menikmati makanan ini tanpa minum wain, bukan?" Yale ketawa kuat.

Linley memerhatikan salah seorang sahabatnya ke hulu ke hilir menghidang makanan, seorang memasak nasi dan seorang lagi menuang wain. Hatinya tiba-tiba berasa hangat

Mereka menemaninya selama 11 hari. Sudah tentu Linley akan rasa terharu.

Biarpun begitu, Linley menyembunyikan perasaan itu jauh di lubuk hatinya.

"Bos, Bro Kedua, Bro Keempat. Kita akan menjadi sahabat baik sepanjang hidup kita." Linley berkata dengan tekad.

"Bro Ketiga, mari makan!" George dengan mesra menjemputnya.

"Baiklah!"

Di atas pergunungan di belakang Institut Ernst yang diselimuti salji, Linley dan tiga orang sahabatnya menjamu selera bersama. Mereka berterus-terusan bergelak tawa dan bergurau senda. Bebe, si Tikus Bebayang turut menjamu selera bersama mereka.

Selepas selesai makan.

"Bos Yale, tolong saya simpan arca saya." Linley bangkit dan memerhatikan suasana sekeliling yang dipenuhi salji putih. "Saya pergi berlatih di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib semasa berumur 15 tahun. Sepatutnya saya pergi berlatih sekali lagi pada bulan Julai dan Ogos. Tapi saya tak pergi disebabkan Alice. Sekarang, saya tekad untuk berlatih bersungguh-sungguh."

George, Yale, dan Reynolds terpempan.

"Bro Ketiga, kamu nak pergi ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib?" Yale panik. Reynolds dan George pun begitu.

Bagi mereka, Linley baru sahaja mengalami gangguan emosi yang serius dan sudah 11 hari dia tidak makan dan minum. Anginnya baru sahaja pulih. Sekarang, dia mahu mengembara ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, salah sebuah pergunungan yang plaing bahaya di benua Yulan? Mustahil mereka tidak risau.

Linley ketawa. "Baiklah, jangan risau. Saya dah boleh berfikir dengan waras sekarang. Kalau saya layankan sakitnya hati saya ini, habis arca 'Terjaga dari Mimpi' ini saya musnahkan."

Sambil berkata-kata, dia menoleh untuk melihat arca 'Terjaga dari Mimpi'.

Apabila melihat arca tersebut, Linley rasa seperti sedang merenung masa lampau. Linley berasa sangat tenang dan damai.

"Semua ini hanya menjadi memori. Cuma masalah yang saya tempuhi dalam kehidupan ini. Disebabkan Alice, banyak latihan yang saya tangguhkan. Saya tak boleh terus membazirkan masa." Linley tersenyum memandang tiga sahabatnya. Dia mengangkat beg galas dan berkata, "Saya akan terus memulakan perjalanan. Saya tak akan balik dulu ke institut."

"Bos, Bro Kedua, Bro Ketiga."

Linley merenung tiga rakan karibnya dan tersenyum nipis. "Saya sangat terhutang budi pada kalian semua. Saya, Linley, sangat bertuah memiliki tiga orang saudara seperti kalian."

Selepas berkata demikian, Linley terus menggalas begnya dan mengangkat Bebe. Dia memulakan langkahnya dan menuju ke timur, meninggalkan kawasan pergunungan itu.

Yale, Reynolds, dan George memandang sosok tubuh Linley yang semakin menjauh hingga akhirnya menghilang di sebalik landskap serba putih.

…..

Di dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib.

Pokok-pokok besar dan tinggi. Pokok-pokok menjalar dan rotan. Rumput liar dan pokok renek. Daun-daun kering. Seluruh Banjaran Gunung Makhluk Ajaib masih berada dalam keadaan asal, tidak terusik. Linley sedang bertapa, menyerap intipati unsur angin dan tanah dari bumi dan menukarkannya menjadi daya sihir.

Tenaga spiritual Linley telah mencapai peringkat ahli sihir tahap tujuh. Namun begitu, daya sihirnya masih lagi berada di peringkat ahli sihir tahap enam.

Sudah sebulan Linley berada di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib.

Sepanjang bulan ini, adakalanya Linley akan membunuh makhluk ajaib, pada masa-masa yang lain, dia akan menganalisa mantera gaya sihir tahap ketujuh, Teknik Terbang. Masa selebihnya dia akan bertapa dan mengumpulkan daya sihir.

Institut Ernst tidak mengajar mahupun melatih sesiapa menggunakan mantera tahap ketujuh. Sungguhpun begitu, menurut buku teori sihir yang Linley baca di perpustakaan, prinsip Teknik Terbang hampir sama dengan Teknik Terapung. Oleh sebab itu, Linley mengaplikasikan prinsip sihir angin untuk melaksanakan Teknik Terbang menggunakan pelbagai permanteraan sihir berbeza.

Selepas sebulan menganalisa dan bereksperimen, Linley kini mampu terbang ke angkasa dengan mudah.

Biarpun Linley tidak tahu pemanteraan sihir rekaannya sama seperti yang digunakan di seluruh dunia, dia sudah berpuas hati dengan kelajuan penerbangannya sekarang.

Terdapat jurang yang ketara antara tahap keenam dan tahap ketujuh. Akan tetapi, jurang yang paling besar ialah perbezaan jumlah tenaga spiritual. Disebabkan Linley telah berjaya meningkatkan tenaga spiritualnya, dia kini hanya perlu menumpukan masa untuk memperhalusi daya sihirnya.

Oleh sebab daya tarikan unsur Linley sangat luar biasa, masa yang dia perlukan untuk memperhalusi daya sihirnya sangat singkat.

Si Tikus Bebayang Bebe sedang berjalan di sekitar kawasan berhampiran Linley dengan berhati-hati. Ia sedang melindungi Linley sementara dia bertapa untuk mengumpul daya sihir.

Di dalam pusat tenaga di dalam tubuh Linley.

Bintik-bintik cahaya intipati unsur berwarna tanah dan intipati unsur berwarna biru kehijau-hijauan jed telah mencapai ketumpatan yang luar biasa. Namun begitu, buat masa ini, di dalam pusat tenaga Linley ia masih lagi berada di dalam bentuk gas. Apabila ketumpatan zarah terus-menerus meningkat…ketumpatan intipati unsur gas akan mencapai titik penting.

Setitik cecair berwarna tanah dan setitik cecair berwarna biru kehijau-hijauan tiba-tiba bertaut di dalam pusat tenaga Linley.

Kemudian, lebih banyak lagi cecair yang mula terbentuk. Setitik menjadi sepuluh, sepuluh titik menjadi seratus, seribu…

Perbezaan terbesar antara ahli sihir tahap enam dan tahap tujuh ialah pemeluwapan daya sihir menjadi cecair!

Next chapter