webnovel

Retak (Bahagian 1)

Editor: EndlessFantasy Translation

"Yang Mulia?" Linley memandang.

Berpakaian perisai emas bergemilang, bertubuh tinggi dan berotot, Raja merupakan seorang lelaki pertengahan umur berambut emas seperti singa. Lelaki ini bukan sahaja raja kerajaan Fenlai, dia juga merupakan pahlawan tahap sembilan. Kehebatannya tidak dapat dibayangkan.

Sebagai rakyat kerajaan Fenlai, Linley telah lama mendengar orang bercakap dengan penuh hormat tentang tokoh kebanggaan Fenlai ini. Clyde, legenda 'Singa Emas'. Bagi sesebuah kerajaan, mempunyai seorang pahlawan hebat sebagai raja ialah satu kebanggaan terbesar rakyat negara itu.

Lebih seratus ribu orang yang datang ke plaza Gereja Cahaya untuk menonton. Di hadapan patung bidadari, Maharaja Suci, Kardinal, pembantu berjubah putih, dan kesatria pelindung Gereja Cahaya berdiri tanpa berkata apa-apa. Antara mereka semua, Maharaja Suci ialah tokoh yang paling mempesonakan.

Semua ahli puak diraja dari enam buah kerajaan, serta semua duke dari duci serata tempat juga berdiri dalam keadaan senyap.

Tiba-tiba.

Maharaja Suci yang berada di tengah memancarkan alunan gelombang cahaya terang yang menyinari seluruh plaza. Plaza yang penuh dengan orang ramai itu tiba-tiba menjadi sunyi. Setiap mereka yang hadir tersenyum tenang dan bahagia. Hati dan minda mereka terasa seperti ditenangkan.

'Hebat sungguh kuasa dia. Dia menghasilkan gelombang cahaya yang dapat menenangkan sehingga seratus ribu orang.' Sebagai seorang ahli sihir, Linley dapat membayangkan kekuatan Maharaja Suci ini.

Seluruh plaza menjadi senyap sunyi sehingga hembusan angin dapat didengar.

"Dengan nama Tuhan!" Maharaja Suci berkata dengan perlahan, tetapi suaranya dapat didengari dan menggegarkan jiwa semua orang di situ.

Mereka yang berada di plaza itu dapat merasakan kehadiran Maharaja Suci yang hebat dan agung. Linley juga tidak mampu untuk melawan gelombang tekanan itu. Dengan patuh dia menundukkan kepalanya. Kuasa kehadiran menakjubkan yang datang dari Maharaja Suci lebih menakutkan daripada kehadiran dua orang penempur tahap Dewa yang bertempur di langit pekan Wushan, dan lebih menggerunkan daripada Naga Hitam.

Seseorang yang memiliki kehadiran seperti ini tidak perlu memaksa orang lain untuk berbuat apa-apa. Dengan sendirinya dia akan membuat jiwa manusia berasa patuh dan hormat terhadapnya.

Ini ialah kehadiran kedewaan!

Di seluruh plaza, selain daripada Maharaja Suci, semua yang berada di situ, termasuk seratus ribu hadirin, Kardinal, dan raja-raja, tunduk dengan penuh rasa hormat untuk mendengar ucapan Maharaja Suci.

"Semoga kalian diberkati dengan kasih sayang, kebaikan, dan ihsan Tuhan."

Suara Maharaja Suci tidak kuat tetapi ia menggegarkan bumi dan langit, menggetarkan jiwa mereka semua.

Cahaya suci pelbagai corak tidak terkira banyaknya tiba-tiba terpancar dari puncak Gereja Cahaya, menyinari setiap seorang yang ada di situ. Semua orang di plaza merasakan hati mereka tiba-tiba tenang, dan badan mereka berasa sangat selesa. Mereka tidak pernah rasa selesa begini. Semua orang sangat serius dan penuh hormat.

"Semoga Tuhan memberkati kalian dengan kedamaian dan kasih sayang."

Pada masa yang sama, aura yang sungguh indah terpancar dari Maharaja Suci. "Anak-anak Tuhan, marilah kita mengakui dosa-dosa kita. Marilah kita merenung dengan ikhlas dan bertaubat atas kesilapan dalam pemikiran, tindakan, dan ucapan yang telah kita lakukan. Semoga Tuhan mengasihani kita dan mengampuni dosa kita, dan mengurniakan kita hidup yang abadi."

Serta-merta.

Seluruh dunia seakan-akan bergema dengan sebuah lagu suci. Semua pengikut Gereja Cahaya spontan menyanyi bersama-sama. Gabungan suara nyanyian para pengikut dengan lagu suci yang bergema dari langit memenuhi hati semua yang hadir dengan rasa hormat dan kepatuhan.

...

Upacara misa itu sangat rumit. Ia bermula dengan taubat, diteruskan dengan belas kasihan Tuhan, kemudian lagu-lagu pujian, diikuti dengan doa, seterusnya ucapan syukur kepada Tuhan dan diakhiri dengan koir.

Majoriti yang hadir di plaza ialah pengikut Gereja Cahaya. Bermandikan sinar berseri-seri daripada Gereja Cahaya, hampir semua orang terdiam. Malah mereka yang tidak percaya dengan Gereja Cahaya turut berasa terharu dengan suasana itu. Apabila koir tamat, semua orang akhirnya tersedar. Masa sudah menginjak ke tengah hari.

Dengan berakhirnya misa itu, hadirin beransur-ansur pulang.

Alice dan Linley berjalan sambil berpegangan tangan. "Abang Linley, apa perasaan Abang? Tidakkah Abang berasa selesa?"

Linley menggelengkan kepalanya. "Saya terpengaruh dengan kuasanya sehingga tak dapat berfikir dengan jelas. Mungkin orang-orang yang tak kuat mental dan memerlukan sesuatu untuk digantung harap akan menyukai perasaan itu. Tapi secara peribadi, saya tak begitu. Saya tak suka dipengaruhi oleh faktor luar."

Dia harus mengakui, semasa misa itu sedang berlangsung, Linley sebenarnya turut terkesan. Dia kehilangan dirinya dalam pelukan aura yang menyelesakan.

Sungguhpun begitu, Linley seorang yang pernah berjuang dan juga terselamat daripada maut di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Selepas misa itu berakhir, dia segera tersedar. Apabila memikirkan apa yang baru sahaja berlaku, dia menjadi takut. Kuasa godaan Gereja Cahaya benar-benar menggerunkan.

"Dipengaruhi? Tidak. Tuhan ibarat bapa dan ibu kita. Kita semua ialah anak-anak Tuhan. Kita semua dirahmati dengan ihsan serta kasih sayangnya. Abang Linley, bagaimana kamu boleh berfikir begitu?" Alice sedikit bengang.

Alice membesar di Kota Fenlai sejak dari kecil lagi. Sebagai ibu kota, setiap tahun, semasa Festival Yulan, Kota Fenlai akan melakukan misa secara besar-besaran. Majoriti penduduk Kota Fenlai merupakan pengikut Gereja Cahaya. Alice juga merupakan pengikut Gereja Cahaya sejak dia kecil lagi. Kepercayaan spiritual ini bukanlah sesuatu yang mudah diubah.

"Kamu tak boleh fikir begitu, Alice. Bukankah kuasa dan kebolehan yang kamu miliki sekarang ini ialah hasil kerja keras dan juga latihan kamu? Bagaimana mungkin ia dikurniakan kepada kamu oleh Tuhan? Jika Tuhan itu pemurah, mengapa dia beri kamu ibu bapa seperti itu?" Linley tahu dengan jelas situasi keluarga Alice.

Alice terdiam. Dia memandang Linley dengan tajam.

"Abang Linley, saya mahu pulang ke rumah. Tak perlu teman saya pulang." Berpaling, Alice segera menuju ke rumahnya. Melihatkan pemergian Alice, Linley berasa kesal dan lemas. Dia menoleh dan melihat Gereja Cahaya yang tinggi sehingga mencecah langit. "Gereja Cahaya ini benar-benar mendatangkan banyak masalah."

.....

Pertengkaran antara pasangan muda ialah perkara biasa. Pada perjumpaan seterusnya, Alice dan Linley bertemu dan mereka sekali lagi jatuh cinta. Mereka berdua dengan bijak memutuskan untuk tidak berbincang tentang agama lagi. Lazimnya, mereka akan berjumpa sebulan dua kali. Namun disebabkan terlalu rindu, kini mereka bertemu empat kali sebulan. Hubungan mereka sangat rapat sehingga mereka tidur bersama. Sungguhpun begitu, mereka tidak pernah terlanjur.

Bagi Alice, "Pengalaman pertama saya mestilah pada malam pertama perkahwinan." Penggal pertama tahun kedua, tahun 9998 kalendar Yulan ialah titik paling penting dalam hubungan antara Linley dan Alice.

Tetapi sudah tentu, mana-mana hubungan jangka panjang akan menghadapi beberapa masalah.

29 September tahun 9998 kalendar Yulan.

'Eh… Macam ada sesuatu yang Alice sembunyikan daripada aku dan tidak mahu memberitahu aku." Linley ketika itu berjalan bersama tiga sahabatnya di Kota Fenlai. Apabila memikirkan kembali waktu perpisahan dia dan Alice baru-baru ini, Linley berasa sangat tidak berdaya.

Alice dan Linley membesar dalam persekitaran yang berbeza. Mereka juga memiliki cara berfikir yang berlainan. Paling penting sekali… Alice seorang gadis yang berdikari dan keras kepala. Dia bukanlah seorang yang mudah bertolak ansur dengan orang lain. Apa yang membuat Linley paling tidak berdaya ialah sikap Alice yang ibarat labu tertutup. Dia gemar menyembunyikan pemikirannya.

"Bro Ketiga, kamu dan Alice bertengkar lagi?" Yale mengusik dari sisi.

George dan Reynolds juga turut ketawa kecil. Reynolds menepuk bahu Linley dan berkata, "Linley, saya rasa kamu terlalu mengambil berat tentang Alice ini. Berhati-hati agar kamu tidak terlalu teruk terluka jika berpisah. Tengok saya. Saya mempunyai lebih daripada sepuluh orang teman wanita yang berbeza sekarang. Betapa santai dan mudahnya hidup saya!"

Linley melirik ke arah Reynolds, tidak mampu berkata apa-apa.

"Bro Keempat, jaga mulut kamu. Bro Ketiga ingin menjadikan Alice sebagai isterinya." Yale ketawa kecil. Selepas itu, dia menepuk bahu Linley. "Tapi Bro Ketiga, dari seorang lelaki kepada lelaki lain, biar saya beritahu kamu. Ramai lagi perempuan di luar sana yang menunggu kamu. Tidak perlu untuk menyekat diri kamu."

Linley tersenyum tetapi tidak membalas.

Di tengah Kota Fenlai, Linley mengucapkan selama tinggal kepada tiga sahabatnya dan mula menuju ke kediaman Alice di Jalan Kesang.

"Pak Cik Hudd [Ha'de]." Linley menyapa pengawal yang berdiri di hadapan kediaman Alice dengan ramah. Disebabkan Linley dan Alice semakin rapat, dia juga berkenalan dengan pengawal di rumah Alice.

Hudd ketawa sebaik saja melihat Linley. "Oh, Linley rupanya. Kamu di sini untuk bertemu dengan Cik Alice? Tapi Cik Alice belum pulang lagi. Sepatutnya dia sudah tiba. Saya pun tak tahu apa yang berlaku."

"Tidak pulang lagi?" Linley tergamam.

Tetapi kemudian, Linley tersenyum ke arah Hudd. "Kalau begitu, saya tunggu sekejap di sana. Saya yakin dia akan sampai tak lama lagi." Linley menuju ke arah bar yang terletak bersebelahan dengan kediaman Alice. Dia memesan wain kegemarannya kemudian mula minum sambil menunggu.

Next chapter