webnovel

Retak (Bahagian 2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Langit semakin gelap tetapi Linley terus duduk di situ, menghirup minumannya. Alice masih lagi tidak muncul. Pengunjung di bar itu semakin berkurangan. Di sebelahnya, Bebe sedang menikmati alkohol yang dihidangkan. Kebiasaannya, Linley tidak akan membenarkan Bebe minum terlalu banyak. Ini kali pertama ia dibiarkan minum sepuas hatinya.

"Tuan, kami mahu menutup bar." Pelayan itu berkata dengan hormat kepada Linley.

"Tutup?" Linley terkejut.

"Oh. Berapa semuanya?" Linley berdiri tetapi dia berasa sangat pening.

Linley menghabiskan enam botol wain jed. Nasib baik, resam tubuhnya kuat dan dia mampu menahan diri daripada mabuk. Orang lain mungkin awal lagi sudah tidak sedarkan diri. Bebe yang duduk di sebelahnya minum lebih banyak daripada Linley. Habis sedozen botol wain jed diminumnya.

Selepas membayar bil, Linley pun meninggalkan bar itu. Hari sudah pun lewat malam. Jalan Kesang hampir kosong dan tiada orang.

'Ini kali pertama Alice terlepas temu janji kami.' Linley mengeluh panjang.

Dia menoleh ke rumah dua tingkat yang diselubungi kegelapan itu buat kali terakhir. Akhirnya, Linley melangkah menuju ke arah Syurga Air Jed.

Di Syurga Air Jed.

"Bro Ketiga pasti sedang berseronok dengan teman wanitanya sekarang ini." Yale, George dan Reynolds berbual, ketawa dan menikmati wain mereka.

"Hei, Bos Yale… Kamu rasa Linley masih teruna lagi?" Reynolds ketawa kecil.

Yale mengerutkan hidungnya. Dengan yakin, dia berkata, "Kamu tak perlu tanya. Sekali pandang saja kamu boleh tahu dia masih lagi 100% teruna. Sudah... Bro keempat, jom kita berehat." Sebaik sahaja berkata demikian, Yale menarik tangan gadis cantik itu dan mula meninggalkan bilik diikuti oleh Reynolds.

*Krak*

Pintu bilik mereka tiba-tiba terbuka.

Yale dan Reynolds memandang dia, terperanjat. Masih terkejut, Yale berkata, "Bro Ketiga, kenapa kamu pulang?"

"Tiada sebab. Marilah Bos Yale, Bro Keempat, Bro Kedua, teman saya minum." Suara Linley kedengaran perlahan dan hampir berbisik.

Reynolds, George dan Yale saling berpandangan. Yale yang pertama ketawa dan berkata, "Hebat. Jarang nampak Bro Ketiga memperlihatkan perasaannya dan berterus terang begini. Malam ini, kami akan teman kamu minum." Yale, Reynolds dan George duduk semula dan minum bersama Linley.

Keesokan harinya, Linley pergi semula ke kediaman Alice, tetapi sekali lagi, Alice tidak juga muncul.

...…..

Dalam Institut Ernst.

'Alice benar-benar marah aku kali ini?' Linley sedang berjalan dalam kawasan Institut Ernst dan anginnya tidak berapa baik.

Sewaktu berjalan, Linley perasan sebuah kedai yang terletak di tengah institut. Terdapat iklan di luar kedai itu. Pandangan Linley tertumpu pada sehelai kertas iklan mengenai sebuah bebola kristal. Dalam mindanya, dia teringat sesuatu yang pernah diluahkan Alice kepadanya, "Abang Linley, kita tinggal di tempat yang berbeza. Setiap kali saya melihat pasangan lain di kampus, saya teringat akan Abang dan merindui Abang. Tapi kita jarang dapat berjumpa. Alangkah indahnya jika kita berdua selalu bersama."

Hati Linley keharuan.

Linley terus menuju ke kaunter kedai dan berkata dengan penjaga kedai. "Berapa harga bebola kristal memori di sini?"

"800 syiling emas." Mata penjaga kedai itu bercahaya. Bebola kristal memori merupakan barangan mewah. "Kami mempunyai bebola kristal memori yang berkualiti tinggi. Kristal memori ini dikeluarkan khas untuk kami oleh seorang ahli sihir unsur angin tahap lapan dari institut ini."

Linley mempunyai pemahaman yang mendalam tentang asas di sebalik pembinaan bebola kristal memori ini.

'Teknik Nujum Terapung' gaya air akan dimasukkan ke dalam bebola kristal melalui penggunaan kaedah alkimia. Apabila bebola kristal memori diaktifkan menggunakan sejumlah kecil daya sihir, mantera itu secara automatik akan diaktifkan dan secara automatik merekodkan sebuah adegan panjang. Selepas rakaman selesai, apabila daya sihir sekali lagi digunakan untuk mengaktifkan bebola kristal memori itu, ia secara automatik akan memainkan semula adegan yang telah direkodkan sebelumnya.

Setelah berunding mengenai harga, Linley berjaya membeli dua bebola kristal memori dengan harga 1200 syiling emas.

'Aku akan guna satu bebola kristal memori ini untuk merakamkan aktiviti aku di institut. Sementara satu lagi bebola kristal ini, aku akan beri kepada Alice untuk melakukan perkara yang sama. Dengan cara itu, jika aku tak dapat bertemu Alice, aku dapat melihatnya melalui bebola kristal memori ini. Apabila melihat dua buah bebola kristal memori di tangannya itu, Linley tidak dapat menyembunyikan senyuman mekarnya.

...…

Mengukir batu di asrama, berlatih di kawasan gunung, menghadiri kelas di institut… Linley merakamkan semuanya sehingga bebola kristal memori itu sudah penuh dan tidak dapat merakam lagi. Dengan perasaan teruja, pada pertengahan bulan Oktober, Linley membawa dua bebola kristal memori bersamanya ke Kota Fenlai. Malangnya, Alice masih lagi tidak muncul.

29 Oktober.

Empat sekawan itu sekali lagi menuju ke Kota Fenlai bersama-sama. Sebaik saja tiba, Linley berpisah dengan tiga sahabatnya.

Reynolds, Yale dan George melihat pemergian Linley dengan wajah yang berat.

"Sepanjang tujuh tahun saya mengenali Bro Ketiga, dia benar-benar seorang genius yang luar biasa, baik dalam aspek sihir mahupun mengukir batu. Tapi nampaknya, Bro Ketiga sangat menghargai hubungannya dengan Alice. Jika hubungannya retak, saya bimbang Bro Ketiga akan teruk terluka," kata Yale. Dahinya berkerut.

Reynolds juga turut mengangguk. "Saya pun rasa begitu. Sudah tiga kali Alice tak datang pada janji temu mereka. Saya bimbang pasti akan ada masalah."

"Jujurnya, berpisah bukanlah sesuatu perkara yang teruk." Yale ketawa. "Sebagai lelaki, jika kamu tak merasai peritnya perpisahan, bagaimana kamu akan menjadi matang? Saya rasa Bro Ketiga sayang sangat Alice itu. Kalau saya? Persetankan saja. Kalau ada gadis buat perangai begitu pada saya, saya akan tinggalkannya terus."

George ketawa. "Bos Yale, jujurnya, saya suka sikap Bro Ketiga. Pandangan kamu agak…" George menggelengkan kepalanya.

"Saya lebih suka cara Bos Yale berfikir." Reynolds mencebik.

"Sudahlah berbual. Jom kita ke Syurga Air Jed."

Yale, Reynolds dan George menuju terus ke arah Syurga Air Jed tetapi di pertengahan jalan menuju ke destinasi mereka, Reynolds tiba-tiba menyiku Yale dan George. "Bos Yale, George, kejap. Cuba lihat di sana. Lihatlah siapa tu."

Yale dan George menoleh ke arah yang ditunjuk oleh Reynolds. Wajah kedua-duanya segera berubah.

Next chapter