webnovel

Mawar Musim Salju (Bahagian 2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Apabila bersama Alice, benar-benar Linley berasa bahagia. Dalam tidak sedar, malam telah berlalu. Baik Linley mahupun Alice, sedikit pun tidak berasa penat walaupun mereka berjaga sepanjang malam.

Matahari pun mula terbit, kaki langit bersinar dengan warna biru lembut.

"Matahari sudah terbit. Alice, saya perlu pergi." Linley pun bangkit.

"Baiklah," balas Alice.

Alice juga turut sama berdiri. Dia memandang Linley seakan keberatan untuk berpisah. Linley tersengih. Dia melambai ke arah Alice kemudian terapung ke bawah seperti sehelai daun. Badannya dikelilingi aliran udara.

Selepas Linley tiba di Syurga Air Jed, dia menunggu sehingga semua sahabatnya bangun dari tidur. Sejurus selepas mereka bangun, Linley disoal siasat oleh Yale dan dua yang lain.

Selepas kembali ke Institut Ernst, Linley meneruskan rutin hariannya seperti biasa, iaitu belajar dengan rajin. Tetapi apabila dia sedang berehat santai, dia kerap teringat akan Alice. Linley dapat merasakan hatinya telah dipanah oleh Dewi Cinta.

Kalendar Yulan, 29 November 9997. Waktu petang.

Alice bangun awal pagi dan menunggu di luar pintu kediaman keluarganya. Setelah menunggu seketika, dia nampak kelibat Linley yang sedang berjalan dari Jalan Kesang. Dia segera berlari mendapatkannya.

"Abang Linley." Alice menjerit keterujaan. Mereka sudah sebulan tidak berjumpa. Apabila dapat bertemu dengan Linley setelah sekian lama, Alice tidak dapat mengawal perasaan terujanya.

Dalam hatinya, Linley juga turut berasa teruja. Lagipun, sudah sebulan berlalu sejak kali terakhir mereka bertemu. Tetapi hari ini, dia berasa sangat gembira. 'Walaupun aku tak beritahu Alice bila aku akan bertemu dengannya lagi, dia tetap menunggu aku di luar pada hari ini.'

Kali terakhir dia berbual dengan Alice, Linley mendapat tahu cuti Institut Wellen ialah pada 1 dan 2 hari bulan pada setiap bulan. Alice tidak pergi ke kelas hanya untuk bertemu dirinya. Linley memahami erti di sebalik tindakan Alice.

"Linley, jangan simpan! Kali ini, kamu kena lebih berani." Suara Doehring Cowart kedengaran di dalam minda Linley.

Diam-diam, Linley juga sudah membuat keputusan. Lagipun, dia tidak mahu tunggu sebulan lagi.

"Alice, kenapa kamu tunggu di luar hari ini? Kenapa tak tunggu di anjung?" Linley dan Alice berjalan beriringan. Alice ketawa. "Kita tidak selamanya boleh bersembunyi di balkoni saya, bukan?"

Memikirkan kembali bagaimana mereka bersembunyi di sudut balkoni, Linley juga turut sama ketawa.

"Benar. Ayah kamu tak bimbang jika kamu tak pulang sepanjang malam?" Linley bertanya.

"Hmm?" Alice muncungkan bibirnya. "Ayah saya seorang kaki botol, dan juga kaki judi. Dia sendiri mungkin tak tahu bila dia akan balik ke rumah, inikan pula saya."

"Abang Linley, saya membesar di Kota Fenlai. Kota Fenlai merupakan sebuah kota yang besar. Mungkin tak banyak tempat yang sudah Abang lawati. Jom, saya bawa Abang bersiar-siar." Alice ketawa.

Linley dan Alice jalan beriringan. Kini sudah musim salji. Di benua Yulan, bulan Disember dan Januari merupakan dua bulan yang paling sejuk. Bayu malam sangat sejuk. Tidak ramai orang yang keluar.

Tetapi sewaktu Linley dan Alice berjalan sambil berbual, mereka tidak mengendahkan orang yang lalu lalang di situ.

"Oh, salji turun?" Alice mendongak dan memandang ke arah langit malam. Dia memerhatikan bintik-bintik putih melayang-layang turun perlahan-lahan. "Saya suka salji. Ini merupakan salji pertama pada tahun ini."

"Saya pun suka salji." Linley mendongak kepalanya, membiarkan emping-emping salji itu berkumpul dan mencair di atas mukanya.

Berjalan bersama dengan gadis yang disukainya pada malam bersalji ialah sangat romantik. Mereka berdua berjalan perlahan-lahan di sekitar Kota Fenlai.

"Abang Linley, Abang ada teman wanita?" Alice tiba-tiba bertanya sebelum berkata dengan nada yang lembut, "Abang Linley seorang yang sangat hebat. Tentulah Abang ada teman wanita."

"Tak ada. Memang tak ada." Linley segera berkata.

Alice terdiam mendengarkan kata-katanya.

"Alice, kamu ada teman lelaki?" Linley teragak-agak seketika tetapi akhirnya terluah juga soalan itu.

Wajah Alice bertukar merah. Lehernya juga turut memerah. Tetapi dalam pekat malam, tidak mungkin Linley nampak. "Bagaimana mungkin saya mempunyai teman lelaki? Siapa yang mahukan saya?"

"Oh."

Linley menarik nafas dalam, kemudian berkata, "Jika begitu, mahukah kamu menjadi teman wanita saya?"

"Um…" Alice memandang Linley dalam kejutan. Dia tergamam macam orang dungu. Linley hanya berbual santai dengannya sebelum ini. Tiba-tiba, dia bertanyakan soalan sebegitu, tentulah dia tercengang.

Di Kesatuan Suci, ia perkara biasa bagi orang muda mempunyai teman lelaki ataupun teman wanita. Ramai rakan sekelas wanita Alice sudah mempunyai teman lelaki. Dia juga pernah terfikir untuk mempunyai teman lelaki.

Tetapi dia tidak menjangka Linley akan bertanya secara terus dengannya.

"Abang mahu saya menjadi teman wanita Abang?" Alice bertanya.

Pada masa ini, Linley berasakan jantungnya berdegup kencang seolah-olah akan keluar dari dadanya. Apabila berhadapan dengan maut sewaktu di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, dia tidak pernah rasa seperti ini. "Ya, sudikah kamu?"

Wajah Alice bertukar merah. Dia memandang Linley. "Abang Linley, sejujurnya, saya mungkin tak sebaik seperti yang Abang fikirkan."

"Saya yakin dengan pertimbangan saya. Alice, saya sudah pun bertanyakan kepada kamu. Adakah kamu sudi?" Linley hampir hilang akal. Dia mahukan jawapan Alice sekarang juga. Suara Linley juga terketar-ketar.

Alice terdiam buat seketika dan kemudian dia mengangguk lembut.

"Saya sudi."

Teruja, Linley tidak dapat menahan dirinya daripada memeluk Alice. Alice yang tersipu-sipu malu membenamkan wajahnya ke dada Linley. Ketika itu, Linley nampak sebuah kedai bunga di sebelah mereka.

Seketika kemudian…

"Alice, nah." Alice mengangkat kepalanya memberi respon. Sebaik saja dia mendongak, dia melihat bunga mawar yang cantik di hadapannya.

Wajahnya merah menahan malu. Alice menerima jambangan mawar itu. Apabila melihat Alice, Linley merasakan mawar merah itu sesuai dengan wajah Alice yang kemerah-merahan itu. Rupa Alice ketika itu benar-benar membuat dia terharu. Imej itu terpahat di dalam minda Linley buat selamanya.

Sambil berpegangan tangan, mereka berdua meneruskan perjalanan.

Empingan salji berterusan turun. Dua orang muda itu bersiar-siar di malam hari di Kota Fenlai. Bunga mawar di tangan Alice kelihatan sangat cantik, sangat terang.

Di dalam sebuah bilik yang besar di Syurga Air Jed, terdapat tujuh orang di dalamnya. Yale, George, Reynolds dan empat orang gadis cantik.

"Saya tak tahu apa yang merasuk Bro Ketiga. Kali terakhir kita ke sini, dia hilang sepanjang malam juga. Kali ini, dia masih juga tak kembali." Yale menggeleng kepalanya tidak berdaya.

"Hei, pemuda itu kelihatan seperti Bro Ketiga." Reynolds, yang duduk bersebelahan dengan tingkap, tiba-tiba menjerit terkejut. "Dan dia berpegangan tangan dengan seorang gadis. Ceh! Bro Ketiga berjaya juga mencari teman wanita di belakang kita."

*Whoosh!* Yale dan George juga berlari ke arah tingkap. Mereka memerhatikan Linley yang berada di bawah mereka.

Pada masa ini, Linley yang sedang mabuk cinta orang muda, langsung tidak perasan yang mereka sudah tiba di Syurga Air Jed! Linley dan Alice berjalan melepasi Syurga Air Jed menuju ke arah Jalan Pavilion Harum.

"Geng, bila masanya Bro Ketiga menjadi sehebat ini?" Mata Yale bersinar.

George dan Reynolds kedua-duanya turut sama teruja. Reynolds segera mencadangkan, "Haha, apabila Bro Ketiga pulang, kita bertiga harus menyoal siasatnya."

Keesokan paginya, Liley kembali ke bilik besar di Syurga Air Jed dengan gembiranya. Biasanya Reynolds dan Yale mempunyai bilik sendiri untuk bermesra dengan gadis mereka. Tetapi…

Sebaik sahaja membuka pintu, Linley terperanjat bila melihat ke dalam. "Bos Yale, kenapa kamu semua berada di sini?"

"Kamu tanya kenapa kami semua berada di sini?" Reynolds mula tertawa kecil. Riak licik terpampang jelas di wajah George dan juga Yale. Mereka mula menghampiri Linley.

"Beritahu!" Reynolds merenung Linley. "Siapakah gadis cantik yang bersama dengan kamu malam semalam?"

"Cepat beritahu!" Yale dan Geoge juga turut sama mendesak.

"Bagaimana… kamu semua…?" Linley benar-benar tercengang.

Next chapter