webnovel

Pakar Ada di Mana-mana (Bahagian 1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas disoal siasat oleh sahabat-sahabatnya, Linley berterus-terang dan menceritakan kisah dia dan Alice. Kisah itu membuat dua sahabatnya yang kaki perempuan, Yale dan Reynolds, mengeluh kekaguman.

Mereka berdua bersetuju untuk menjadi teman istimewa. Walaupun fizikal mereka terpisah sepanjang semester, mereka berdua berjanji untuk bertemu setiap hujung bulan.

Dalam sekelip mata, sebulan telah berlalu. Pada 28 Disember, angin Linley sangat baik sebab dia sekali lagi dapat bertemu Alice di Kota Fenlai.

"Hei, Linley."

"Yo, David [Da'wei]."

Menyusuri jalan-jalan di Institut Ernst, Linley menyapa wajah-wajah yang dikenalinya dengan ramah.

'Bos, kamu segembira ini hanya sebab hubungan kamu dan Alice akhirnya rasmi?' Bebe yang berada di atas bahu Linley mengerutkan hidungnya. Ia berkata dengan nada mengejek, 'Tengoklah tu. Tersenyum-senyum. Sepanjang bulan ini, kamu asyik tersenyum macam orang angau.'

Sebelum ini, Linley bukanlah seorang yang dingin ataupun tiada perasaan, tapi dia tidaklah seramah mana. Namun begitu, bulan ini, angin Linley sangat baik dan dia kerap ketawa dan tersenyum.

"Budak nakal. Apa kamu tahu?" Linley menjegilkan matanya ke arah Bebe. Selepas itu, dia berjalan lambat-lambat menuju ke perpustakaan. Selepas menyelak-nyelak dua buah buku tentang sihir unsur angin, Linley masuk ke ruang bacaan dan memulakan pembacaannya.

Suasana di ruang bacaan itu sangat sunyi. Di seluruh ruang itu, mungkin hanya ada dua puluh hingga tiga puluh orang. Masing-masing duduk berjauhan antara satu sama lain.

Linley memilih untuk duduk di bahagian tepi dan mula membaca. Di perpustakaan Institut Ernst, Linley akan membaca apa saja buku tentang sejarah, makhluk ajaib, politik, sihir… Namun kebiasaannya, dia lebih suka membaca buku tentang sihir angin.

Lagipun, Linley banyak bergantung kepada gaya sihir unsur tanah dan angin. Dia ada Doehring Cowart, seorang ahli sihir Agung tahap Dewa sebagai jurulatih peribadi untuk gaya sihir unsur tanahnya tetapi dia tiada bimbingan seperti itu untuk sihir angin.

Melalui pembacaan, Linley akan belajar sesuatu yang baru dan meningkatkan ilmu sedia ada. Kepalanya terangguk-angguk tanpa disedarinya.

Dua jam berlalu begitu sahaja semasa dia berada di ruang bacaan. Linley segera menutup buku di hadapannya. "Atuk Doehring, ilmu tentang gaya sihir angin ini terlalu mendalam. Memahaminya sudah cukup sukar, apatah lagi jika saya mahu mencipta mantera baru sendiri."

Semasa melaksanakan mantera sihir, seseorang ahli sihir biasanya memerlukan bantuan pemanteraan sihir untuk menstabilkan dan melancarkan mantera tersebut. Umumnya, ahli sihir akan membaca mantera seperti yang diajarkan tanpa memahaminya. Sungguhpun begitu, jika ahli sihir tersebut dapat memahami prinsip di sebalik sesuatu mantera atau memperhalus penggunaan intipati spiritualnya, keberkesanan dan kekuatan daya sihirnya boleh meningkat lebih tinggi.

"Sudah tentulah. Kamu fikir mantera mudah untuk dicipta?" Suara Doehring Cowart bergema dalam kepala Linley.

"Buat masa sekarang, jangan fikir tentang penciptaan mantera. Aku harap sekurang-kurangnya aku dapat melihat atau belajar beberapa mantera tahap tujuh. Malangnya, Institut ini terlalu kedekut. Penggunaan mantera tahap tujuh, lapan, dan sembilan disekat dan tak dibuka untuk tontonan ramai." Linley tidak puas hati tapi dia tahu institut ini berada di bawah kelolaan Gereja Cahaya. Gereja Cahaya tidak akan sewenang-wenangnya menyebarkan mantera paling berkuasa milik mereka kepada rakyat negara lain.

Linley sangat beruntung. Dengan bimbingan Atuk Doehring, sekurang-kurangnya dia tidak perlu risau tentang gaya sihir tanah.

Sambil menyelak-nyelak buku lain tentang sihir angin, Linley meneruskan pembacaannya…

"Kesimpulannya, semua gaya sihir, termasuk sihir unsur angin, berkongsi satu persamaan iaitu semua mantera mereka dibentuk daripada daya sihir. Sebagai contoh, mantera unsur angin 'Bilah Angin'. Tahap mantera seterusnya adalah 'Rantaian Bilah Angin', atau tahap lebih tinggi lagi adalah 'Tarian Liar Bilah Angin'. Mantera tahap kesembilannya pula adalah 'Teknik Penghapusan Lompang'. Semua mantera ini dikategorikan sebagai satu rangkaian mantera. Namun begitu, jika mantera 'Bilah Angin' terus dikembangkan dan dimajukan ke arah berbeza, akhirnya ia akan menghasilkan mantera 'Pinggir Dimensi', mantera terlarang dogengan…"

Selepas membaca perenggan yang memberi penjelasan secara terperinci tentang mantera 'Bilah Angin', Linley semakin tertarik.

Buku ini ditulis dari sudut pandang tahap sihir tertinggi. Ia berusaha mengklasifikasikan segala fakta secara sistematik. Buku ini sangat berguna untuk seseorang yang kurang menguasai asas sihir kerana ia akan membantu mereka memahami sihir secara lengkap, sistematik dan menyeluruh.

"Teknik Pengapungan sebenarnya ialah teknik yang ringkas. Namun, perlaksanaannya tidak semudah itu. Hal ini demikian kerana, teknik ini sangat menitik beratkan daya tarikan intipati angin seseorang ahli sihir. Semakin tinggi daya tarikannya, semakin mudah bagi dia untuk mengawal daya sihir angin dan intipati unsur angin. Hasilnya, perlaksanaan Teknik Pengapungan ahli sihir tersebut lebih pantas. Sebagai perbandingan, Teknik Terbang ialah satu tahap lebih tinggi daripada Teknik Pengapungan. Teknik Pengapungan hanya membenarkan seseorang terapung ke atas atau ke bawah. Sementara itu, Teknik Terbang membenarkan seseorang melayang atau terbang ke udara. Walaupun pergerakan Teknik Terbang lebih bebas, hakikatnya, teknik ini hanya memiliki beberapa komponen lebih berbanding Teknik Pengapungan. Ini membenarkan pelaksananya untuk bergerak ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Contohnya, jika anda mahu terbang ke bawah sebelah kanan, anda hanya perlu mengawal pergerakan anda dan menuju ke bawah dan ke kanan. Sejujurnya, jika anda mengamalkan cara latihan ini digabungkan dengan pemanteraan Teknik Pengapungan, secara prinsipnya, lebih mudah untuk anda mengenal pasti pemanteraan Teknik Terbang.

Selepas membaca maklumat ini, pemahaman Linley semakin jelas.

Benar. Teknik Terbang, jika dibandingkan dengan Teknik Pengapungan, hanya menambah komponen arah iaitu kiri, kanan, depan dan belakang. Pada dasarnya, ia masih mengawal intipati unsur angin dalam tubuh untuk terapung ke semua arah.

'Benar, ia hanya menambah komponen ke depan, belakang, kiri dan kanan. Jika hipotesis ini tepat, tentu tak sukar untuk mengekstrapolasi 1 pemanteraan Teknik Terbang.' Linley terus cuba mentafsirkan pemanteraannya.

Biarpun begitu, hanya eksperimen yang dapat menentukan sama ada pemanteraan yang diekstrapolasi itu tepat atau sebaliknya

Sebelum ini, Linley fikir Teknik Terbang membolehkan seseorang untuk terbang ke mana-mana arah. Oleh hal demikian, tentu pemanteraannya sangat kompleks.

Sekarang, berdasarkan fakta teknik ini hanya ada penambahan empat arah daripada Teknik Pengapungan, mengekstrapolasi Teknik Terbang akan lebih mudah.

Linley terus membaca, teruja.

"Sudah tentu, tidak banyak pemanteraan sihir tahap tinggi yang boleh diekstrapolasi dengan mudah. Sebagai contoh, versi Teknik Terbang tahap tinggi ialah mantera 'Sayap Angin' yang mengumpulkan intipati unsur angin sekeliling untuk membentuk sepasang sayap limunan yang sangat besar di kiri dan kanan pelaksananya. Mantera ini jauh lebih sukar. Pemanteraannya sangat berbeza dengan Teknik Terbang. Mustahil untuk seseorang mengekstrapolasinya."

Linley mengangguk.

Semakin jauh pembacaannya, Linley semakin yakin penulis buku ini ialah seorang pakar dalam mengkaji mantera sihir. Hampir semua penjelasan yang diberikan buku ini berpegang teguh kepada teori asas sihir. Ia memberi nasihat tentang cara memahami mekanisma di sebalik pengawalan intipati unsur dan dalam memahami setiap pemanteraan sihir secara mandalam. Namun begitu, ia tidak menjelaskan cara meningkatkan kuasa mantera seseorang.

Bagi kebanyakan orang, sebaik saja melihat betapa mendalamnya penerangan buku ini tentang teori sihir dan penggunaan intipati unsur, akan berhenti membacanya.

Namun Linley tahu jika dia berjaya memahami pemikiran di sebalik setiap mantera, secara semula jadinya dia akan menguasai cara mengawal sihirnya dengan lebih baik. Pada waktu itu, kuasa setiap manteranya akan lebih tinggi.

"Linley." Sebaik sahaja Linley mula khusyuk membaca buku ini, satu suara jelas kedengaran di sisinya.

Linley mengangkat kepala dan menoleh ke sisi. Dia nampak seorang gadis jelita bertubuh tinggi lampai berdiri di sebelahnya. Gadis itu ialah Delia, rakan baiknya. Namun begitu, riak wajah Delia nampak keruh.

"Hei, Delia. Ada apa?" Linley ketawa.

Delia menggigit bibir bawahnya. Lama juga dia berdiam diri sebelum akhirnya Delia bertanya, "Linley, saya dengar… awak ada teman wanita?" Mata Delia, cantik dan besar merenung tepat ke mata Linley.

Next chapter