webnovel

Mawar Musim Salju (Bahagian 1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Petang itu, Linley dan rakan-rakannya berjalan keluar dari sebuah rumah penginapan. Biasanya, mereka akan menuju ke Syurga Air Jed bersama-sama.

"Bos Yale, kamu bertiga pergi dulu. Saya mahu mengambil angin di luar." Linley berkata kepada mereka sewaktu meninggalkan rumah penginapan itu.

Yale, Reynolds dan George memandang Linley riak terkejut.

"Saya tidak berapa suka suasana di dalam Syurga Air Jed itu. Kamu bertiga pergilah dahulu. Dalam sejam dua, saya akan menyusul." Linley menjelaskan. Kemudian Bebe yang berdiri di atas bahu Linley mendecit dua kali lalu berkata secara mental, 'Bos nak ke rumah Alice, bukan?'

Memandangkan ia selalu berada di sisi Linley, sudah tentu Bebe tahu segalanya.

Walaupun fizikal Bebe nampak tidak membesar, kepintarannya sekarang ini menyamai seorang pemuda.

'Kamu ni…' Linley melirik ke arah Bebe dengan pandangan menyampah.

"Baiklah, Bro Ketiga, kamu pergilah bersiar-siar. Tetapi jangan pergi terlalu lama." Yale ketawa. Linley mengucapkan selamat tinggal kemudian berjalan menuju ke Jalan Kesang.

Jalan Kesang jarang dilalui jadi suasana di situ sangat sunyi. Di kedua-dua belah jalan terdapat pelbagai restoran dan juga tempat penginapan. Kebanyakan pelanggan mereka ialah orang tempatan.

Sewaktu menghampiri kediaman Alice, Linley memandang ke balkoni yang terletak di tingkat dua.

Balkoni itu masih lagi kosong.

Linley mentertawakan dirinya. Sejujurnya, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi di Alice akan ada di sini. Linley segera berpaling dan menuju ke arah bar yang berhampiran. Dia memilih untuk duduk di sebelah tingkap. Melalui tingkap itu, Linley dapat melihat balkoni Alice.

"Satu botol wain jed dan dua biji cawan." Linley memesan.

"Baik, tuan."

Walaupun pelayan itu tertanya-tanya mengapa Linley meminta dua biji cawan tetapi dia hanya mendiamkan diri.

'Bebe, minum perlahan-lahan.' Linley menuang secawan wain untuk Bebe dan meletakkan cawan itu di sebelahnya. Bebe segera melompat ke atas meja. Ia meniru tingkah Linley dan mula menghirup wainnya.

Linley memegang cawannya sambil merenung ke arah balkoni, perlahan-lahan menghirup wainnya.

Begitulah seorang pemuda dan seekor makhluk ajaib minum bersama tanpa berkata apa-apa. Mereka menghabiskan tiga botol wain dalam masa dua jam. Selepas itu barulah Linley membayar minumannya. Mereka berdua melangkah meninggalkan bar.

'Bos, adakah Bos benar-benar kecewa?' Di atas bahu Linley, Bebe bertanya secara mental.

Linley menghulur tangannya lalu mengusap kepala kecil Bebe. Sambil ketawa, dia 'memarahinya', 'Budak ini.' Linley berjalan ke arah jalan utama Kota Fenlai lalu menuju ke Syurga Air Jed sambil menikmati pemandangan malam.

Hari kedua, 30 September, Linley dan tiga orang rakannya meninggalkan kota dan kembali ke Institut Ernst. Malam itu, Alice, Kalan dan yang lain pulang ke Kota Fenlai.

Mereka tidak bertembung adalah kerana cuti pelajar Institut Ernst tidak sama dengan Institut Wellen.

Hari cuti Institut Ernst jatuh pada hari ke-29 dan ke-30 setiap bulan. Sementara itu, di Institut Wellen, mereka bercuti pada 1 dan 2 hari bulan. Sebab itulah Alice pulang ke rumah pada 30 hari bulan.

Malang sungguh…

Alice berdiri di balkoninya, memerhatikan jalan yang sesak. Kadangkala dia akan rasa teruja apabila melihat seseorang yang hampir menyerupai Linley melintasi rumahnya. Keterujaannya sentiasa berakhir dengan kekecewaan.

Pada waktu tengah hari 2 Oktober, dia tidak mempunyai pilihan selain kembali semula ke sekolah.

Pada 29 Oktober, Linley sekali lagi berangkat ke kota untuk menghantar tiga lagi arca batunya. Malam itu, Linley sekali lagi pergi ke bar yang terletak di Jalan Kesang. Dia memilih tempat yang sama, bersebelahan dengan tingkap. Dia sekali lagi memesan wain yang sama dan mula minum bersama Bebe.

'Bos, nampaknya Bos akan kecewa lagi.' Bebe memandang Linley. Mata hitamnya yang bercahaya itu membuat gaya menyampah ketika bercakap secara mental dengan Linley.

'Tak mengapa. Mungkin kami tak ditakdirkan bersama.' Linley mendongak dan menghabiskan wainnya. Dia dan Bebe sudah menghabiskan dua botol wain. Tetapi di balkoni itu, kelibat yang dinantikan Linley masih lagi tidak kelihatan.

Pelayan itu sudah kembali semula.

"Satu lagi botol…" Kata-kata Linley terhent. Matanya bercahaya. Pandangannya tertumpu ke arah balkoni di tingkat dua rumah Alice. Susuk tubuh seorang gadis berpakaian putih tiba-tiba muncul.

"Bagi saya bil." Linley segera bangun.

Pelayan itu sudah bersedia untuk mengambil sebotol wain lagi. Dia bingung sebentar tetapi cepat-cepat tersedar kembali. Selepas membayar bil, Linley berjalan keluar dengan Bebe yang melompat dari atas meja ke atas bahunya.

"Itu Alice." Linley sangat yakin.

'Wah, Bos. Akhirnya kamu dapat juga bertemu si cantik itu lagi. Haha! Adakah kamu gembira? Adakah kamu teruja? Adakah kamu tidak sabar?' Di atas bahu Linley, Bebe berterusan bercakap dengan gembiranya.

Linley langsung tidak memberi perhatian kepada Bebe. Dengan tangkas, dia melompat ke tembok Alice. Dia menujah tangannya dan bertukar menjadi lembaga kabur, mendarat tepat di atas balkoni.

"Abang Linley!" Alice segera mengenalinya. Jantungnya berdegup kencang. Alice gementar. Wajahnya turut menjadi merah. Tetapi hatinya sungguh girang.

Sebelum ini, dia tidak dapat berjumpa Linley. Sekembalinya dia di Institut Wellen, dia bertanya ke sana sini dan mendapat tahu cuti pelajar Institut Ernst ialah pada 29 dan 30 hari bulan. Alice tidak menghadiri kelas dan pulang ke rumah dua hari lebih awal.

"Abang Linley, kebetulan pula." Alice berkata sambil tersenyum.

Linley terpegun sebentar. "Kebetulan pula, ya, Alice?."

Alice tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa sebelum dia kembali sedar dan menarik lengan Linley supaya duduk. "Cepat, duduk, jangan bagi sesiapa nampak kamu." Linley pun duduk. Mereka berdua bersembunyi di sudut balkoni, berbual dengan suara yang rendah.

Doehring Cowart muncul pada waktu itu.

"Linley, Linley."

"Atuk Doehring, ada apa?" Linley sedikit tidak gembira.

Doehring Cowart ketawa besar. "Cu, jangan bercerita perkara yang tidak releven dengan gadis ini. Mesralah sedikit. Beranikan diri. Budak dungu. Daripada gaya dia, gadis bernama Alice ini juga menyukai kamu."

"Tak perlu tergesa-gesa." Walaupun Linley tidak takut akan mati, tetapi pada waktu ini, dia sedikit gementar dan bimbang, dari segi mentallah.

"Kamu memang benar-benar bodoh." Doehring Cowart tidak sabar.

Linley tidak mengendahkan nasihat Doehring Cowart. Dia terus berbual dengan Alice tentang perkara tidak relevan, berbual kosong.

Melihat mereka berdua, Doehring Cowart akhirnya hanya mampu menggelengkan kepalanya dan hilang ke dalam Cincin Naga Pusar. Leka berbual dengan Alice, Linley tidak menyedari waktu yang sudah berlalu.

"Abang Linley, kamu sangat hebat! Pasti ramai gadis di Institut Ernst mengejar kamu, kan?" Alice hanya bercakap dengan nada biasa tetapi mendengarnya, jantung Linley berdegup laju.

"Boleh tahan, boleh tahan." Sewaktu berbual dengan Alice, kadangkala Linley bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu.

"Budak bodoh." Suara Doehring Cowart berlegar di minda Linley.

Next chapter