webnovel

Selokan Berkabus (Bahagian 1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Sekiranya seseorang mahu berlatih dengan menggunakan Buku Rahsia Latihan Darah Naga, dia mesti membangkitkan darah naga di dalam tubuhnya. Namun begitu, hanya terdapat dua cara untuk merangsang darah naga di dalam darah. Cara pertama ialah dengan memiliki tahap minimum ketumpatan darah naga dalam tubuh. Cara kedua pula ialah dengan meminum darah naga hidup.

Sungguhpun begitu, meminum darah daripada naga yang masih hidup ialah satu cara yang sangat berbahaya.

Darah naga, walaupun digunakan secara topikal sudah cukup memeritkan, apatah lagi jika diminum. Namun begitu, semua benda di dalam dunia ini memiliki pasangan yang saling melengkapi. Rumput Biru Hati, apabila dipasangkan dengan darah naga, menjadi campuran yang sangat kuat. Tetapi Rumput Biru Hati sangat jarang dijumpai. Sebelum ini, Linley pernah bertanyakan harganya.

Serumpun Rumput Biru Hati bernilai sepuluh ribu syiling emas. Lagi pula, ia merupakan tumbuhan yang jarang dijumpai dan sukar untuk dibeli walaupun seseorang itu mempunyai wang. Doehring Cowart pernah berkata, 'Darah naga hidup sangat berkuasa. Lazimnya, serumpun Rumput Biru Hati itu tidak mencukupi. Jika kamu minum darah naga dalam jumlah yang banyak, kamu memerlukan lebih banyak Rumput Biru Hati.'

Satu tompok Rumput Biru Hati sudah cukup mahal. Mustahil Linley mampu membelinya. Kemungkinan seluruh hartanya sebanyak 70, 000 yang diperoleh pada bulan ini hanya cukup untuk membeli satu tunas.

'Rumput Biru Hati! Rumput Biru Hati! Wah, nasib saya memang baik!' Linley berasa sangat gembira.

Linley dengan bersemangat terus melompat beberapa meter ke bawah sebelum mendarat di tebing seberang sana. Kemudian, dia segera menggumam beberapa perkataan membentuk mantera. Dalam masa yang singkat, seluruh badan Linley dikelilingi alunan intipati unsur angin. Aliran udara itu mula mengelilinginya juga.

Mantera unsur angin – Teknik Pengapungan.

Pada tahap kuasanya sekarang, badan Linley hanya berupaya untuk terapung. Dia belum mampu untuk terbang. Ini bermakna dia boleh terapung ke atas dan ke bawah secara menegak. Melangkah ke depan, Linley kini berdiri di udara. Dia terapung-apung ke bawah. perlahan-lahan menghampiri dasar ngarai yang berkabus. Bebe dengan rasa cemburu berdiri di bahu Linley sewaktu mereka turun. Walaupun Bebe agak berkuasa, tetapi ia tidak boleh terbang. Ia bukanlah makhluk ajaib jenis terbang. Oleh hal demikian, ia hanya boleh terbang apabila menjadi makhluk ajaib tahap Dewa.

Lembah ini diselubungi kabus putih yang bergelora. Semakin dalam Linley pergi, semakin jauh jarak antara tebing ngarai. Tidak lama kemudian, Linley mendarat berhampiran dengan rimbunan Rumput Biru Hati.

'Rumput Biru Hati berwana hijau gelap tetapi memancarkan cahaya biru yang samar-samar. Rumput Biru Hati terasa sejuk apabila disentuh. Apabila dedaun rumput dikoyakkan, ia akan mengeluarkan cecair hijau yang terasa dingin jika diminum.' Linley masih ingat dengan jelas penjelasan di perpustakaan Institut Ernst tentang rumput ini.

Apabila melihat Rumput Biru Hati yang tumbuh merimbun di dinding tebing berkersik-kersik ditiup angin, Linley menarik nafas dalam. Lalu dengan berhati-hati, dia mencabut Rumput Biru Hati itu.

'Memang betul-betul sejuk.' Apabila dia menyentuh rumput itu, dia seolah-olah menyentuh ketulan ais. Dia segera menyimpan Rumput Biru Hati itu ke dalam beg galasnya dan kemudian meneliti kawasan sekelilingnya. 'Mungkinkah ada rumpun Rumput Biru Hati lain di kawasan ini?'

Jika ada serumpun Rumput Biru Hati boleh tumbuh di sesuatu kawasan, tentu kawasan itu sesuai untuk pertumbuhan rumpun-rumpun seterusnya.

Menggunakan Teknik Pengapungan, Linley melayang-layang menembusi gelora kabus putih. Pada masa yang sama, Linley terus memerhati kawasan walaupun kabus mengaburi pandangannya. Dia mengenal pasti pelbagai jenis tumbuhan menjalar yang tumbuh di tebing-tebing itu.

'Besarnya!'

Semakin hampir dia ke dasar ngarai, semakin Linley sedar keluasan sebenar kawasan itu. Di bahagian atas ngarai, jarak di antara dua dinding tebing hanyalah beberapa ratus meter. Tetapi sekarang, Linley sangat yakin jarak antara keduanya sekurang-kurangnya beberapa ribu meter. Dia terus terapung hampir dengan dinding tebing. Menggunakan penglihatannya, kelajuan pengapungannya, dan sudut antara dia dan dinding tebing, dia dapat mengagak jaraknya.

*Aumm…*

*Grrr….*

Segala macam bunyi menggeram sekali-sekala kedengaran dari bawah. Ia datang dari pelbagai tempat. Berdasarkan bunyinya sahaja, terdapat lebih daripada seratus makhluk ajaib di bawahnya. Linley tidak dapat menahan dirinya daripada berasa gementar. 'Makhluk-makhluk ajaib. Ada banyak makhluk ajaib di bawah!' Linley dapat meneka berdasarkan bunyi-bunyi yang didengarinya.

Linley bersandar di dinding tebing dan berpaut pada dahan tumbuhan menjalar dengan tangannya. Dia turun dengan lebih perlahan dan lebih berhati-hati.

'Bos, saya boleh mengesan bahaya di bawah.' Bebe tiba-tiba bercakap di dalam minda Linley.

Hati Linley kecut. Semakin dalam dia pergi, semakin jelas kedengaran bunyi menggeram makhluk ajaib. Bunyi menggeram itu sangat berkuasa. Jelas sekali, bunyi itu datangnya dari makhluk ajaib yang bersaiz besar. Secara umumnya, makhluk ajaib yang besar tidak lemah. Makhluk ajaib yang kuat tidak semestinya besar tetapi makhluk ajaib yang besar selalunya berkuasa.

'Rumput Biru Hati!'

Tiba-tiba, Linley ternampak rumput itu di betul-betul bawahnya. Jauh dari situ, terdapat serumpun lagi Rumput Biru Hati. Sekeliling rumput tersebut, terdapat tumbuhan menjalar dan semak-samun. Disebabkan Linley bukan seorang pengecut, sebaik sahaja dia ternampak Rumput Biru Hati, Linley mula terapung ke bawah. Genggaman tangannya tidak melepaskan daripada dahan-dahan pokok rotan yang menjalar.

Tetapi pada ketika itu, Linley langsung tidak sedar…

Di celah-celah tumbuhan menjalar yang mengelilingi Rumput Biru Hati itu ada seekor ular sawa hijau yang besar melingkar. Panjang ular itu kira-kira dua puluh meter dan sebesar dua pemeluk lelaki dewasa. Ular sawa gergasi ini berwarna hijau dan berlingkar seakan-akan pokok rotan menjalar. Disebabkan kabus yang menyelubunginya, Linley langsung tidak menyedari keberadaan ular itu.

Semakin jauh dia turun, semakin hampir dia dengan Rumput Biru Hati.

"Bos, hati-hati! Ada ular sawa raksasa!" Bebe tiba-tiba berkata dengan nada cemas kepada Linley melalui rangkaian mental mereka.

"Ular sawa?" Linley sangat terkejut.

Hampir semua makhluk ajaib jenis ular sawa sangat berkuasa. Malah, Ular Sawa Bertanduk Tiga yang paling lemah merupakan makhluk ajaib tahap enam. Linley segera meninjau kawasan sekitarnya dengan berhati-hati. Ketika ini, Linley berada kira-kira seratus meter dari kedudukan ular sawa gergasi itu. Selepas mencari dengan teliti, dia segera dapat mengenal pasti kedudukan ular sawa gergasi itu.

"Wahhh." Linley menarik nafas dalam.

Ular sawa sepanjang tiga puluh meter dan sebesar satu tong air itu membuat Linley gementar. 'Ular Sawa Bertatu Hijau. Makhluk ajaib tahap tujuh – Ular Sawa Bertatu Hijau.' Maklumat yang diketahui oleh Linley tentang ular sawa jenis ini menerjah minda Linley.

Barulah kini Linley faham mengapa ngarai ini diselubungi kabus putih.

'Teknik Kabus ini merupakan teknik unsur air tahap pertama. Seekor Ular Sawa Bertatu Hijau, makhluk ajaib tahap tujuh, boleh menghasilkan kabus putih yang banyak tanpa batasan di sekelilingnya. Berdasarkan ketebalan kabus di ngarai ini, pasti terdapat lebih daripada seekor Ular Sawa Bertatu Hijau di sini.'

Linley serta-merta tersedar.

Ngarai ini mempunyai kedalaman dan kelebaran sekitar sepuluh kilometer. Jika sebuah ngarai sebesar ini diliputi kabus putih setebal ini, bayangkan saja berapa banyak ular sawa yang terdapat di dalamnya. Ular Sawa Bertatu HIjau yang bersembunyi di sebalik kabus tiba-tiba bergerak. Kepalanya yang besar berpaling ke arah Linley. Dua biji matanya yang dingin memberi renungan maut ke arahnya.

*Grrrr*

Bunyi yang menakutkan keluar dari mulut Ular Sawa Bertatu Hijau dan pada masa yang sama, ia melonjak ke hadapan dengan pantas sekali.

*Rawr! *Hisss* *Grrr* Seluruh ngarai itu bingit dengan panggilan dari pelbagai makhluk. Pada masa yang sama, bunyi pergerakan bergema yang kuat turut kedengaran. Melihat ke bawah, Linley nampak lebih daripada sepuluh ekor makhluk besar menuju ke arahnya. Linley tahu sepuluh makhluk ini hanyalah sebahagian kecil daripada makhluk yang terdapat di dalam gaung ini.

'Lari!'

Berhadapan dengan serangan Ular Sawa Bertatu Hijau, Linley segera terapung ke atas dengan kelajuan maksimum. Dengan mengawal kekuatan angin, dia mampu memanipulasi tekanan pengapungan melebihi beratnya, membuatkannya memecut ke atas seperti sebuah roket dengan kelajuan yang menakjubkan. Sewaktu terbang ke atas, Linley dapat melihat Ular Sawa Bertatu Hijau besar sedang menyusur sepanjang dinding tebing untuk mengejarnya. Matanya yang dingin merenung Linley, menjanjikan maut sambil mendesis-desis tanpa henti.

*Ciut! Ciut*

Bunyi pekikan burung membelah udara. Dari bawah, berdozen-dozen burung gergasi tiba-tiba terbang mengejar Linley.

'Helang Naga! Itu Helang Naga!' Wajah Linley bertukar menjadi pucat.

Next chapter