webnovel

Kehandalan Bebe (Bahagian 2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Sejak Linley kecil, satu-satunya makhluk ajaib yang membuat dia betul-betul terpesona adalah Naga Veloci yang pernah dilihatnya sekali. Pada masa itu, Naga Veloci itu telah menunjukkan kuasanya yang menakutkan di tengah-tengah pekan kecil Wushan. Naga itu seakan-akan memiliki kekebalan yang tidak boleh ditumpaskan. Dengan kekuatannya, ia telah memusnahkan satu demi satu rumah…

Linley tidak dapat menahan hatinya daripada berasa gementar.

Apabila dia berusia lapan tahun, dia hanya seorang kanak-kanak. Tapi kini di usia lima belas tahun, dia seorang ahli sihir dua unsur tahap lima.

'Bos! Bos! Yang ini saya punya!' Suara teruja Bebe kedengaran dalam minda Linley.

Linley berpaling melihat ke permukaan air dan ternampak Bebe yang begitu teruja sehingga semua bulu di tubuhnya berdiri begitu lurus dan tegak seperti jarum. Malah, seluruh otot di tubuhnya kelihatan berdenyut dengan tenaga. Kukunya yang tajam juga telah bertambah besar. Saiz si Tikus Bebayang, Bebe, yang sebelum ini hanya 20 sentimeter kini berganda sehingga mencapai setengah meter. Ini ialah saiz terbesar Bebe yang pernah Linley lihat.

Akan tetapi, setengah meter Bebe tidak boleh menyaingi Naga Veloci yang berlipat kali ganda saiznya.

Pandangan mata Naga Veloci yang besar dan merah bak tanglung itu merenung tepat ke arah Bebe. Dengusan marah naga itu kedengaran bergema sehingga ke dalam banjaran gunung. Si Tikus Bebayang Kecil, Bebe, tidak mahu kalah dan membalas dengan satu tempikan yang nyaring.

Bunyi menggeram perlahan dan teriakan nyaring itu saling bersahutan membingitkan suasana.

Linley yang sedang menyaksikan kejadian itu dari atas pokok di sebelah tasik tiba-tiba merasakan Naga Veloci dan Tikus Bebayang kecil itu dua pesaing yang sama kuat dan saling berlawan renungan.

*Raaaaaaawr!* Satu ngauman kuat bergema!

Satu tujahan api yang marak tiba-tiba keluar dari muncung Naga Veloci itu, menyelubungi seluruh kawasan dengan bahang yang panas. Kedengaran bunyi berdesir dari tasik itu apabila permukaan airnya mula mendidih. Sungguhpun begitu, Bebe langsung tidak berganjak walaupun sedang bermandikan api ketika itu. Ia hanya membiarkan api itu membakar sehabis yang ia mampu.

Dalam api yang marak itu, Linley boleh melihat Bebe tidak cedera walaupun sedikit.

'Walaupun fizikal Bebe kecil, kebolehan pertahanannya sangat menakjubkan. Kuasa api ini setanding dengan mantera ahli sihir tahap lima, tapi ia tidak mampu menyakiti Tikus Bebayang kecil ini.' Linley memerhati dengan senyap. Setelah sekian lama berada dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib ini, Bebe masih belum menemui lawan yang betul-betul layak untuk bertempur dengannya.

Bebe tidak bergerak walau setapak biarpun bermandikan api. Namun, tiba-tiba ia bergerak.

*Shkkkkkkkkreeeee!*

Dengan satu tempikan yang nyaring, Bebe bertukar menjadi satu bayangan hitam yang memecut ke arah Naga Veloci dengan kelajuan yang menggerunkan. Naga Veloci yang dari tadi menghembuskan api, membesarkan mata tanglungnya sambil melibas ekornya yang seperti tali cemeti ke hadapan.

Kelajuan ekor Naga Veloci itu hampir menyaingi kelajuan pergerakan Tikus Bebayang kecil itu.

*Whoosh!* Pergerakan Bebe sangat aneh dan telah berjaya mengelak serangan ekor Naga Veloci yang amat pantas itu. Bebe cuba menggigit leher Naga Veloci, namun naga itu menundukkan kepalanya sambil cuba membalas gigitan Bebe.

Jelas sekali Bebe lebih pantas. Ia membaham leher naga itu dan satu bunyi 'kerap-kerup' kedengaran. Satu sisik tebal dari leher Naga Veloci itu telah tercabut, sekali gus ditelan oleh Bebe. Bebe ialah satu makhluk yang boleh makan apa sahaja termasuk batu dan tulang. Sisik dari Naga Veloci ini juga terbukti boleh dimakan oleh Bebe.

Namun, ekor Naga Veloci pada masa itu melibas ke arah Bebe. *Twaaak!* Bunyi libasan yang nyaring kedengaran bergema, Linley menggigil. Tapi sekali lagi, lebih awal Bebe mengelak dan beralih.

'Leher Naga Veloci ini sangat besar dan tebal. Gigitan yang Bebe berikan tadi hanyalah luka kecil padanya.' Linley menonton perlawanan antara dua makhluk berlainan saiz ini dengan nafas tertahan. 'Pergerakan ekor Naga Veloci ini tidak boleh diagak. Ia boleh berubah arah di saat akhir dengan kelajuan yang tinggi.'

Ekor Naga Veloci bukan sahaja pantas, tetapi lincah dan tidak boleh diagak.

*Shkreee!*

Bebe sekali lagi bertukar kepada satu bayangan hitam. Melonjak keluar dari dalam air, Bebe sekali lagi berjaya mengelak ekor naga itu. Walau bagaimanapun, baru sahaja ia mahu mengelak, tanpa diduga, ekor itu berubah arah dengan pantas dan melibas Bebe.

Bayangan hitam kecil itu terlempar jauh ke dalam hutan yang dalam.

'Bebe!' Linley gusar.

Tetapi Naga Veloci itu terus memerhati kawasan sekelilingnya dengan penuh waspada, seperti berjaga-jaga dengan pihak lawan yang berbahaya. Tiba-tiba, Tikus Bebayang kecil itu menerjah keluar dari sebatang pokok yang tinggi. Ekor Naga Veloci itu terus berpusing untuk melibasnya. Kali ini, Bebe telah belajar dari kesilapan yang menyakitkan sebelum ini. Menggunakan ekornya, Bebe juga tiba-tiba bertukar arah semasa di udara.

Tikus Bebayang kecil itu kelihatan seperti kelibat. Ekor Naga Veloci itu juga kelihatan seperti kelibat.

Dua kelibat itu saling mengejar satu sama lain di udara. Tikus Bebayang kecil itu kadangkala berjaya dilibas oleh Naga Veloci, manakala Bebe juga berjaya menggigit Naga Veloci itu. Mereka terus-menerus bertarung dari tasik ke dalam hutan. Satu demi satu pokok besar tumbang dek libasan ekor Naga Veloci. Mereka meneruskan pertarungan tanpa henti.

'Dari apa yang aku tengok, rasanya Bebe ada sedikit kelebihan.'

Linley menyaksikan perlawanan ini dengan perasaan gementar. Namun pada masa itu, Naga Veloci itu sudahpun kehilangan tujuh hingga lapan keping sisik menyebabkan darah berterusan keluar dari luka yang terbuka, membasahi separuh tubuhnya dengan darah. Ngauman marah Naga Veloci itu tetap berterusan tanpa henti.

Ekornya melibas ke sana-sini, mematahkan pokok yang terkena ekor Naga Veloci itu. Satu demi satu pokok yang tumbang itu telah mengosongkan dua ratus meter diameter di sekeliling di mana pertempuran itu mengambil tempat.

'Mampukah Bebe bertahan dengan libasan berterusan ekor Naga Veloci itu?'

Linley mula risau. Kuasa serangan ekor Naga Veloci itu sangat tinggi. Jika ia melibas batu, batu akan hancur; jika ia melibas pokok, pokok akan terpatah dua. Kuasa serangan sebegini membuatkan hati Linley resah. Linley tahu dengan hanya sekali libas, nyawa Linley sendiri akan terus melayang.

*Whak!* Bebe sekali lagi terpelanting kerana dilibas, tetapi dalam sekelip mata Bebe telah bertukar menjadi bayangan hitam yang terus menyerang lawannya sambil bertempik nyaring.

Naga Veloci itu kini sedang bermandikan darah disebabkan banyak sisik yang rosak di seluruh tubuhnya. Keadaan dia nampak parah.

*Raaaaaawr!*

Selepas satu ngauman marah, Naga Veloci itu berpaling dan mula beredar. Ia mula berlari dengan laju menuju ke arah kawasan tengah pergunungan. Dalam masa yang singkat, Naga Veloci itu hilang daripada pandangan Linley. Bebe cuba mengejar untuk seketika sebelum berpaling dan kembali kepada Linley.

Linley turun dari atas pokok sebaik sahaja Si Tikus Bebayang Kecil, Bebe, berlari menuju ke arahnya sambil mengecilkan semula tubuhnya.

'Bebe, kamu okey?' Linley terus bertanya melalui saluran di minda mereka.

Bebe melompat ke atas bahu Linley dan duduk tegak, dua mata hitam kecilnya memandang Linley dengan angkuh. 'Bos, kamu memandang rendah pada kehandalan Bebe sebagai makhluk ajaib? Mana mungkin saya takut kepada Naga Veloci?' Wajah kecil Bebe yang comel itu dipenuhi dengan perasaan bangga dan puas hati.

Akan tetapi, Bebe tiba-tiba merenggut ekornya. Dia berkata sambil menggoncangkan tubuhnya, 'Tapi ekor Naga Veloci tu memang bukan benda main-main. Habis sakit seluruh tubuh saya.'

Linley tidak boleh menahan dari tertawa kecil melihat keletah si Bebe. Ekor Naga Veloci bukan hanya 'bukan benda main-main'. Tapi ia memang benda yang tidak boleh dibawa main. Linley lega Bebe mampu bertahan dengan semua libasan itu tanpa mendapat kecederaan yang teruk.

'Sisik dan daging Naga Veloci ini sangat tebal. Walaupun dengan saiz maksimum saya, saya tak boleh gigit menembusinya.' keluh Bebe. 'Tapi saya yakin jika saya teruskan pertarungan tadi, saya boleh buat dia berdarah sehingga mati. Tapi Naga Veloci ini agak licik. Ia terus bergerak tanpa henti dan tak beri saya peluang untuk gigit di tempat yang sama.'

Linley diam-diam ketawa.

Ada jurang yang sangat besar antara tahap enam dan tahap tujuh, dari segi keupayaan bertempur dan juga faktor lain. Besar kemungkinan, kepintaran Naga Veloci itu hampir sama dengan manusia. Jika tidak, bagaimana mungkin ia tidak membenarkan Tikus Bebayang kecil ini menggigit dua kali di tempat yang sama?

Tidak kira betapa tebalnya sisik dan daging Naga Veloci, ia tidak mungkin boleh bertahan jika digigit berulang kali oleh Bebe. Naga Veloci ini juga sedar ia tidak akan beroleh apa-apa jika ia meneruskan pertempuran tadi, sebab itu ia melarikan diri.

'Bebe, kamu nak cuba berlawan dengan makhluk ajaib tahap lapan pula?' usik Linley.

Mata Bebe tiba-tiba terbuntang bulat seperti bulan. 'Bos, jangan main-main dengan saya macam tu. Bertempur dengan makhluk ajaib tahap tujuh pun begitu memenatkan. Saya dengar makhluk ajaib tahap lapan sepuluh kali ganda lebih berkuasa daripada makhluk ajaib tahap tujuh. Walaupun kelajuan pergerakan mereka mungkin tidak dapat menyaingi saya, tapi kelajuan serangan mereka mungkin lebih tinggi.'

Kelajuan pergerakan dan kelajuan serangan tempur ialah dua perkara yang berbeza.

Sebagai contoh, Naga Veloci mungkin lebih perlahan dari segi kelajuan pergerakan. Akan tetapi, ekornya mampu membuat serangan dengan kelajuan yang menggerunkan. Walaupun makhluk ajaib besar yang lain kelihatan lembab dan kekok, tapi apabila mereka mula bertarung, mereka bertukar menjadi sepantas kilat!

Lagipun, sudah tentu mereka cukup hebat sehingga mereka boleh tergolong dalam kalangan makhluk ajaib tahap lapan. Mereka sudah pasti boleh menyaingi makhluk ajaib tahap tujuh.

'Eh, kamu tahu bila nak sedar diri rupanya.' Linley ketawa kecil sambil mengusap kepala kecil Bebe. 'Baiklah, baju saya sepatutnya sudah kering sekarang. Mari berehat di atas pokok dan menjamu sedikit makanan. Selepas itu, kita teruskan perjalanan.' Sambil dia bercakap, Linley melompat tujuh hingga lapan meter dari dahan ke dahan sehingga berhenti di ketinggian dua puluh hingga tiga puluh meter dari tanah untuk berehat.

Next chapter