webnovel

Pisau Belati Hitam (Bahagian 1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Hari kelima puluh di banjaran pergunungan.

"Semua pembunuh ini fikir ingat saya senang dibunuh ke?" Linley menjeling ke arah satu mayat pembunuh upahan perempuan yang berpakaian hitam itu. Perempuan ini hanya pahlawan tahap lima. Dengan bantuan sihir, Linley seorang mampu membunuhnya.

Doehring Cowart ketawa. "Semua orang yang melihat kamu boleh mengagak yang kamu masih seorang budak. Seorang budak bodoh yang tidak tahu betapa tingginya langit dan betapa dalamnya bumi. Kenapa mereka tak nak ambil peluang dengan sasaran mudah seperti kamu?"

Linley kelihatan tidak berdaya.

"Perempuan ini cederakan saya sebelum dia mati. Saya tak kisah jika ada satu lagi parut baru, tapi dia telah rosakkan baju saya sekali. Sekarang saya hanya tinggal satu sahaja baju." Melihat lubang besar di bajunya, Linley tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis.

Linley telah berjaya mengumpul beberapa pasang baju daripada pembunuh upahan yang telah berjaya dibunuhnya. Sungguhpun begitu, jumlah bajunya yang rosak lebih banyak semasa dia berada di dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib.

'Bos, teras Magicite yang berada dalam beg perempuan ni bernilai beberapa ribu syiling emas. Cukup tidak jika saya nak beli sepasang baju?' pertikai Bebe.

Linley terus ketawa mendengar permintaan Bebe.

Selepas menghabiskan masa lebih dari sebulan di dalam pergunungan ini, parut di tubuhnya telah bertambah, begitu juga dengan jumlah teras Magicite yang berjaya dikumpul dalam beg galasnya.

"Jangan mengada-ngada. Mulai sekarang, saya tak mahu pakai baju. Saya akan simpan baju terakhir ini untuk saya balik nanti. Lagipun, tak ada siapa yang akan melihat saya dalam hutan ni." Linley membuka bajunya dan mencampaknya ke tepi. Dia meneruskan perjalanan dengan pisau belati hitamnya di tangan.

Sepanjang dia berada di sini, pisau belati hitam ini telah banyak membantu Linley.

Selepas berjalan untuk beberapa ketika, Linley mula menggumam perlahan satu mantera. Seketika kemudian, satu hembusan angin mula berputar di sekeliling Linley. Linley sekali lagi menggunakan mantera Penjejak Angin. Tiada apa yang akan terlepas daripada hemat Linley sekitar 300 meter di sekelilingnya.

Kebiasaannya, Linley akan menggunakan mantera Penjejak Angin selepas jauh berjalan. Selepas berjalan beberapa ketika, dia sekali membaca mantera Penjejak Angin.

'Ah, ada sekumpulan orang? Kenapa mereka bersembunyi di atas pokok?' Linley ingin tahu.

Pada ketika itu, sekitar sepuluh orang sedang bersembunyi di atas sebatang pokok yang sangat besar seratus meter ke arah selatan Linley. Pokok itu sungguh besar, sebesar tujuh pemeluk dewasa. Dengan perasaan ingin tahu, Linley menyelinap dengan lebih dekat.

Linley dengan perlahan dan berhati-hati merangkak ke serumpun rumput yang tinggi dan tebal di mana dia dapat melihat sepuluh orang yang berada di atas pokok itu dengan jelas.

Semua sepuluh orang itu memakai pakaian serba hitam dan pisau belati hitam kelihatan tersisip di setiap pinggang mereka.

'Pisau belati hitam?' Pandangan Linley jatuh pada salah satu pisau belati hitam.

Senjata itu mempunyai bentuk dan warna yang sama seperti pisau belati yang berada di tangan Linley. Selain itu, semua sepuluh orang yang bersembunyi di atas pokok itu memiliki aura kejam sama seperti pembunuh upahan pertama yang Linley jumpa.

'Pakaian hitam yang sama, pisau belati hitam yang sama, dan…' Linley perasan belakang setiap daripada mereka kelihatan sedikit membonjol.

Linley serta-merta teringat beg galas pembunuh upahan pertama yang kini digalas kemas di belakang tubuh di sebalik pakaiannya. Mereka hanya sedar kewujudan beg itu setelah Bebe mengoyak dan menyelak baju pembunuh upahan itu.

'Mereka dari satu organisasi yang sama.' Orang yang bodoh pun boleh membuat kesimpulan yang sama.

Jantung Linley mula berdegup kencang. Pada masa itu, mereka yang bersembunyi di atas pokok masih berbual dengan suara yang perlahan sesama mereka.

"Kenapa #18 dan #7 masih belum balik lagi?" kata salah seorang lelaki berpakaian hitam, tidak senang.

"Mungkin sudah mati." Jawab seorang lelaki lain dengan dingin.

"Awasi masa. Kita akan tunggu sehingga senja. Jika mereka tak balik sebelum itu, tak kisah mereka masih hidup atau mati, mereka akan dianggap telah gagal." Kata seorang lelaki lain dengan dingin. Mendengar kata-katanya, semua lelaki berpakaian hitam lain senyap.

Linley yang sedang bersembunyi di celah-celah rumput boleh meneka lelaki yang baru sahaja bercakap itu ialah ketua mereka. Dia terkejut. 'Orang yang nak bunuh aku itu ialah pahlawan tahap enam yang khusus dalam gaya kegelapan. Jadi, sudah tentu ketua dia lebih kuat.'

Linley terus bergerak untuk berundur. Namun, selepas beberapa langkah…

Ketua mereka tiba-tiba berkerut dan menoleh, merenung tepat ke arah Linley.

*Swish!*

Satu benda hitam ditembak ke arah Linley dengan kelajuan tinggi, mengejutkan Linley. Dia sedar kedudukannya telah diketahui pihak musuh. Dia terus menggunakan kelajuan Supersonik unsur angin untuk melarikan diri jauh ke dalam hutan.

Linley tahu lebih jauh seseorang itu pergi ke dalam pergunungan, lebih bahaya keadaan di sana. Pihak lawan yang melihat dia berlari ke tengah hutan yang berbahaya mungkin teragak-agak dan membatalkan hasrat mereka untuk mengejarnya. Linley tekad untuk masuk lebih jauh kemudian menukar haluan untuk keluar dari kawasan itu.

Melihat beg galas hitam di belakang Linley dan pisau belati hitam di tangannya, wajah ketua kumpulan itu berubah.

"#2, selesaikan dia." Arah ketua berpakaian hitam itu.

Lebih tinggi kedudukan nombor seseorang, lebih kuat orang itu. Ketua itu sudah boleh mengagak kekuatan Linley dengan hanya melihat pergerakannya sebentar tadi.

"Baik, Tuan." Salah seorang daripada mereka terus terjun turun dari pokok dan mula mengejar Linley dengan kelajuan tinggi. Tetapi kerana Linley sudah jauh ke depan, jarak antara mereka sudah mencecah 70 meter.

Tetapi lelaki ini kelihatan sangat pantas, nampaknya lebih pantas daripada pembunuh upahan pertama.

'Lajunya!' Linley dengan tangkas melarikan diri ke dalam pergunungan, kadangkala merangkak dan kadangkala melompat.

Tapi dari belakang, lelaki itu terus menerus mengejar dengan laju. Lama-kelamaan jarak antara mereka berkurangan kepada 60 meter. 50 meter. 40 meter. 30 meter. Semakin lama Linley melarikan diri, semakin dekat pembunuh upahan itu.

10 meter. 9 meter. 8 meter. 7 meter!

Oleh sebab terlalu takut, Linley terus menuju terus ke bahagian paling dalam pergunungan itu.

"Ahli sihir unsur angin?" Lelaki itu boleh mengagak Linley telah dibantu sihir unsur angin. "Dia sangat lembab walaupun dibantu dengan sihir unsur angin. Jadi dia hanya pahlawan tahap empat, paling tinggi mungkin di puncak tahap empat." Yakin sepenuhnya dengan keupayaan dia untuk membunuh Linley, lelaki berpakaian hitam itu terus menghampiri.

Di permukaan Linley mungkin kelihatan sangat takut, tapi dia sebenarnya tenang dan bersahaja.

'Kita sudah lari untuk beberapa kilometer. Sepuluh pembunuh upahan lain tidak akan nampak kita dari sini.' Sinar mata Linley bertukar dingin. Si Tikus Bebayang Kecil, Bebe, yang mengerekot 'takut' di bahu Linley tadi tiba-tiba bergerak.

*Whooosh!*

Saiz Tikus Bebayang kecil itu tiba-tiba menjadi besar di depan mata pembunuh upahan itu dan dalam sekelip mata tiba di hadapannya. Pembunuh upahan itu boleh melihat dengan jelas barisan gigi tajam yang ganas milik Tikus Bebayang kecil itu…

Next chapter