webnovel

Sihir Unsur Bumi (Bahagian 2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Linley berlari terus ke biliknya dan kemudian menutup pintu rapat-rapat.

Dia segera menanggalkan kasut dan kemudian melompat ke atas katil lalu duduk. "Atuk Doehring, Atuk boleh keluar sekarang. Tolong uji kebolehan sihir saya." Linley sangat tidak sabar. Ketika makan malam sebentar tadi, dia asyik memikirkannya.

Satu cahaya keluar dari dalam cincin, turun ke lantai dan bertukar menjadi Doehring Cowart.

Tersengih, Doehring Cowart berkata, "Linley, cuba bawa bersabar. Pertama, Atuk harus beritahu kamu Atuk tidak mempunyai sebarang peralatan khusus untuk menguji kebolehan sihir. Atuk hanya boleh menguji sama ada kamu mempunyai bakat ataupun tidak dalam sihir unsur tanah. Memandangkan Atuk tidak mempunyai peralatan, tidak ada cara untuk Atuk menguji dan melihat sama ada kamu mempunyai bakat sihir untuk unsur lain."

"Atuk hanya boleh menguji saya untuk sihir unsur tanah?" Linley sedikit kecewa.

Dia juga ada terdengar, ujian kebolehan sihir memerlukan peralatan yang khusus tetapi memandangkan Atuk Doehring ialah ahli sihir tahap Dewa, Linley berharap dia mempunyai kaedah lain.

"Apa kurangnya unsur tanah? Linley, mari Atuk beritahu kamu. Antara unsur tanah, api, air, angin, kilat, cahaya dan kegelapan, unsur tanah yang paling berkuasa." Wajahnya penuh dengan keyakinan. Sudah tentulah, dia Ahli sihir Agung tahap Dewa yang berunsur tanah.

Linley sukar untuk mempercayainya.

Setiap unsur sepatutnya sama. Bagaimana mungkin unsur tanah yang paling kuat?

"Atuk Doehring, saya ada terdengar serangan unsur api yang paling kuat? Dan serangan unsur kegelapan paling sukar diramalkan? Bagaimana mungkin unsur tanah paling berkuasa?" Linley berkerut.

Atuk Doehring yang selalunya mesra, tiba-tiba menjadi marah. Dia bersungut, "Linley, apabila berkaitan dengan kuasa serangan, setiap unsur mempunyai kekuatan yang tersendiri!"

"Sebagai contoh, mantera terlarang unsur api 'Api Langit Membakar Padang, Api Bumi Membakar Bandar' boleh membakar seluruh bandar menjadi abu. Itu benar. Namun, mantera terlarang unsur air, 'Sifar Mutlak', apabila dilepaskan boleh membekukan ratusan ribu orang hingga mati. Unsur petir 'Kemusnahan Mutlak Kilat Langit' mampu menghasilkan puluhan ribu kilat. Tiada siapa yang akan terselamat daripadanya. Mantera terlarang unsur angin 'Kemusnahan Ribut Kencang' menyebabkan angin kencang yang tajam bila memenuhi seluruh ruang udara..."

Doehring Cowart melepaskan keluhan panjang.

Jantung Linley berdegup kencang.

Sangkanya, serangan unsur api serangan paling berkuasa tetapi nampaknya dia tersilap. Mantera terlarang bagi setiap unsur mengandungi kuasa kemusnahan yang menakjubkan.

"Unsur tanah pula?" Linley tidak lupa tentang sihir unsur tanah.

Doehring Cowart dengan yakin berkata, "Bagaimana mungkin unsur tanah lemah? Apabila mantera terlarang unsur tanah 'Serangan Meteor Langit' dilepaskan, bongkah-bongkah batu gergasi yang tidak terhitung banyaknya akan jatuh dari langit menukarkan kota kepada runtuhan dalam sekelip mata. Ia juga mempunyai mantera terlarang 'Langit Runtuh, Bumi Hancur'. Apabila sihir ini digunakan, bumi akan bergulung bagaikan ombak di lautan. Rumah-rumah akan runtuh, bumi akan terbelah dan magma akan keluar dari kerak bumi, membunuh ramainya orang."

Linley tidak berani untuk bernafas.

"Pada masa yang sama, unsur tanah juga mempunyai pelbagai jenis mantera pelindung, 'Pelindung Bergetar'. Sebaik sahaja mantera ini digunakan, ruang udara, tanah, dan sekeliling bandar akan dilindungi daripada semua serangan. Malah jika pihak lawan menggunakan mantera 'Kemusnahan Mutlak Kilat Langit', ia dapat menangkisnya."

Doehring Cowart mula bercakap dengan laju sambil ketawa. "Tetapi Atuk hanya bercakap tentang pelbagai jenis mantera kemusnahan dan bukan sihir pertempuran satu lawan satu."

Linley mengangguk.

Dia tahu Atuk Doehring bercakap tentang pertempuran jarak jauh, sihir tahap bencana.

"Atuk Doehring, sepertinya, unsur tanah mempunyai banyak mantera terlarang. Kenapa begitu?" tanya Linley ingin tahu.

Doehring Cowart berkata dengan yakin "Linley, ada perkara yang kamu tidak faham. Sebenarnya, setiap unsur seimbang tetapi mempunyai kesan yang berbeza dalam persekitaran yang berbeza. Contohnya, dalam persekitaran yang banyak air seperti di lautan, unsur air lebih kuat. Di sesetengah tempat di mana angin bertiup kencang, unsur angin akan lebih kuat."

Linley mula memahami.

"Linley… Di seluruh dunia, bukankah kebanyakan pertempuran dan ahli sihir berlaku di bumi? Dan apabila persekitarannya ialah tanah, maka sihir unsur tanah yang paling berkesan." Ada senyuman di bibir Doehring Cowart. "Selagi dia memastikan dirinya berdiri di bumi yang luas ini, seorang ahli sihir unsur tanah akan mempunyai pembantu yang sangat berkesan."

Kini Linley lebih faham!

Setiap unsur sihir akan lebih berkesan di sesetengah tempat.

Tetapi pertempuran antara ahli sihir di benua Yulan kebanyakannya berlaku di darat. Ini bermakna ahli sihir unsur tanah mempunyai kelebihan.

"Antara semua unsur, unsur tanah membenarkan kita menyerap intipati elemen bumi ke dalam tubuh kita. Unsur tanah mempunyai kebaikan dalam memperbaiki bentuk fizikal seseorang. Bumi sangat pemurah terhadap kita." Riak muka Doehring Cowart penuh dengan rasa hormat. "Apabila ahli sihir unsur tanah duduk di atas tanah, kita dapat merasakan keluasan bumi, merasakan denyutannya, dan merasakan kasih sayang Bumi terhadap kita."

"Apabila bercakap tentang serangan, unsur tanah mempunyai mantera terlarang untuk pertempuran satu lawan satu iaitu 'Pelindung Dunia'. Terdapat juga mantera kemusnahan mantera iaitu 'Serangan Meteor Langit' dan juga 'Langit Runtuh, Bumi Hancur'. Dari aspek pertahanan, di antara mantera-mantera terlarang, terdapat pelbagai mantera pelindung jarak jauh iaitu 'Pelindung Bergetar', malah terdapat juga perlindungan peribadi 'Pengawal Bumi'. Apabila berkata tentang perlindungan peribadi, tiada unsur lain yang dapat mengalahkan mantera unsur tanah!"

Doehring Cowart kelihatan sangat yakin.

"Perlindungan peribadi? Maksud Atuk Doehring, unsur tanah mempunyai mantera perlindungan peribadi yang paling ampuh?" Linley melihat Atuk Doehring dengan penuh tanda tanya.

Doehring Cowart ketawa lalu berkata, "Pada tahap awal, ahli sihir unsur tanah mampu menghasilkan mantera sederhana seperti perisai bumi ataupun dinding bumi. Apabila menjadi ahli sihir tahap kelima, kamu akan mendapat akses kepada mantera 'Pengawal Bumi' yang mana kuasanya akan terus berkembang bersama kamu."

"Jika diguna oleh ahli sihir tahap kelima atau keenam, ia akan melitupi seluruh tubuh kamu dengan lapisan perisai batu. Apabila kamu mencapai tahap ketujuh, ia akan bertukar menjadi perisai jadeit. Apabila mencapai tahap kelapan, perisai Pengawal Bumi ini diperbuat daripada jed kristal. Dan apabila kamu mencapai tahap kesembilan, ia akan bertukar kepada platinum. Akhirnya, apabila kamu menjadi ahli sihir tahap Dewa, perisai pelindung akan bertukar kepada berlian. Kekuatan pertahanan mantera ini…." Ketika dia bercakap, Doehring Cowart tersenyum.

Linley tidak dapat menahan dirinya daripada mengeluh di dalam hati.

Ahli sihir unsur tanah memang benar-benar berkuasa. Mantera Pengawal Bumi tahap Dewa diperbuat daripada berlian! Linley tahu berlian sangat keras dan ampuh. Dan berlian tersebut bukanlah berlian biasa tetapi yang dibentuk daripada sihir, menjadikannya lebih kuat daripada berlian asli.

"Oh, begitu…"

Tiba-tiba, Linley teringat akan dua ahli sihir tahap Dewa yang bertempur di langit baru-baru ini. Dia teringat lelaki berjubah hijau menghasilkan serangan mata pedang ke atas lelaki berjubah kelabu di mana jubahnya hancur menampakkan perisai berlian.

Ahli sihir tahap Dewa bernama Rudi bergantung kepada perisai berlian itu untuk menahan serangan daripada Dilon.

"Itu mesti mantera Pengawal Bumi tahap Dewa." Linley sedikit terkejut.

Kuasanya cukup ampuh untuk menahan serangan langsug daripada ahli sihir tahap Dewa. Ini membuktikan keampuhan kuasa pertahanannya.

"Sebab itulah Atuk beritahu kamu gaya unsur tanah merupakan unsur yang paling kuat." Janggut putih Doehring Cowart berkibar-kibar membuat dia kelihatan puas dengan diri sendiri.

Lagipun, semua orang hidup di atas bumi. Mereka tinggal di atas bumi dan berperang juga di atas bumi. Sudah tentulah ahli sihir unsur tanah sentiasa mempunyai kelebihan.

Next chapter