webnovel

Musim Bunga Berlalu, Musim Luruh Tiba (Bahagian 1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Sesungguhnya, semua gaya unsur termasuk unsur tanah mempunyai kekuatan tersendiri. Sebagai Ahli sihir Agung tahap Dewa unsur tanah, sudah tentu dia memuji unsur tanah. Setelah mendengar kata-kata Doehring, Linley yang berusia lapan tahun menjadi sangat berminat.

"Atuk Doehring, cepatlah uji saya untuk melihat sama ada saya mempunyai kebolehan untuk menjadi ahli sihir unsur tanah." Linley berasa sangat resah.

Doehring Cowart mula ketawa. "Baiklah, Atuk akan uji kamu sekarang juga."

"Untuk pengetahuan kamu, ujian kebolehan sihir terbahagi kepada dua bahagian. Oleh itu, ujian yang akan Atuk jalankan juga mempunyai dua bahagian." Kesabaran Doehring Cowart sungguh luar biasa. Setelah terperangkap dalam cincin Naga Pusar selama lima ribu tahun, tentu saja anginnya baik apabila berhadapan budak kecil yang comel.

"Kebolehan sihir terbahagi kepada dua bahagian iaitu kekuatan daya tarikan sihir bagi sesetengah unsur dan juga kekuatan tenaga mental seseorang." Doehring Cowart mula menjelaskan asas-asas ujian tersebut.

"Apakah kelebihan kedua-dua bahagian ini?" tanya Linley ingin tahu.

Doehring Cowart berkata dengan nada yang lembut, "Linley, sebelum Atuk menjawab soalan kamu, Atuk ingin bertanya kepada kamu. Apabila seseorang ahli sihir ingin menghasilkan sihir, kepada apakah dia akan bergantung?"

"Mantera sihir!" jawab Linley segera.

Linley telah menyaksikan ahli sihir yang menunggang naga Veloci menggumam mantera sihir sebelum menggunakan sihirnya.

"Salah."

"Saya pernah lihat ahli sihir membaca mantera. Mereka semua membaca membaca mantera sihir terlebih dahulu," dengan pantas Linley berhujah.

Doehring Cowart mengurut janggutnya dan dengan tenang dia berkata, "Apabila menggunakan sihir, perkara paling penting bagi seorang ahli sihir ialah 'daya sihir' dan 'kuasa mental'. Jika dia memiliki tenaga mental yang kuat, dia boleh menyihir segera tanpa membaca mantera. Mantera sihir hanyalah fungsi tambahan."

"Oh? Menyihir segera?" Linley memandang Doehring Cowart dengan penuh tanda tanya. Linley merasakan seolah-olah dunia sihir perlahan-lahan terbuka di hadapannya tetapi masih dalam kesamaran. Doehring Cowart, bagaimanapun menzahirkan misteri di sebalik dunia sihir.

Tersenyum, Doehring Cowart mengangguk. "Benar. Untuk menghasilkan sihir, badan kamu mesti mempunyai daya sihir yang mencukupi. Hal ini demikian kerana daya sihir akan digunakan untuk mengawal daya sihir tersebut. Bagi menyerap intipati unsur yang membentuk sesuatu sihir!"

"Intipati unsur?" Linley berasa terkejut. "Maksud Atuk Doehring untuk menghasilkan mantera sihir, kita perlu menyerap intipati unsur dari luar?"

"Haha. Sudah tentu. Linley, kamu fikir seorang ahli sihir yang berkuasa boleh bergantung kepada intipati unsur di dalam tubuhnya semata-mata? Mustahil! Cuba fikir tentang mantera sihir terlarang. Daya sihir di dalam badan seorang ahli sihir tahap Dewa hanya mampu menghasilkan 1% daripada intipati unsur yang diperlukan. 99% selebihnya hanya boleh dibekal oleh intipati unsur semula jadi."

"Begini, Linley, daya sihir kononnya milik seorang ahli sihir sebenarnya cuma intipati unsur tulen yang telah diperhalusi. Daya sihir boleh digambarkan sebagai jeneral manakala intipati semula jadi ialah askarnya. Seorang ahli sihir memanggil daya sihirnya dan mengarahkan intipati unsur semula jadi untuk menghasilkan mantera yang hebat. Faham?" Doehring Cowart tersenyum sambil memandang Linley.

Linley berkerut.

"Oh… Saya faham." Linley ketawa dan mengangguk. "Daya sihir di dalam ahli sihir boleh diibaratkan seperti Pak Cik Hilman, sementara intipati unsur pula ibarat kumpulan anak-anak didiknya. Pak Cik Hilman, seorang diri mengarahkan kami semua ketika latihan atau ketika menyerang atau semasa terlibat dalam pertempuran!"

Doehring Cowart senyum dan mengangguk. "Benar. Oleh sebab itu, daya sihir seorang ahli sihir sangat penting. Jika dia seorang tidak mempunyai daya sihir yang mencukupi, dia tidak akan mampu untuk menghasilkan mantera."

Linley mengangguk.

"Jika dibandingkan dengan daya sihir, tenaga mental lebih penting!" Doehring Cowart tersenyum sambil bercakap. "Kini, kamu sepatutnya faham tenaga mental sebenarnya tenaga spiritual, satu bentuk tenaga kawalan!"

"Linley, daya sihir yang kuat akan menarik lebih banyak intipati unsur. Jika daya yang sangat kuat tidak dikawal oleh tenaga spiritual... Kamu fikir, apakah yang akan berlaku?" Doehring Cowart mengurut janggut putihnya sambil memerhatikan Linley dalam diam.

Linley berkerut, merenung.

"Atuk Doehring," Linley berkata dengan suara rendah sambil berkerut. "Dalam beberapa buku, saya ada terbaca tentang taktik ketenteraan. Di dalamnya, salah satu perkara yang dikatakan.... untuk menakluk musuh, kita perlu menakluk rajanya terlebih dahulu. Contohnya, penyamun. Jika kita bunuh ketua penyamun terlebih dahulu, seluruh anggotanya akan hilang arah dan akhirnya berpecah-belah. Jadi tugas tenaga sama seperti tenaga kawalan yang digunakan ketua penyamun ke atas anak buahnya. Tanpa tenaga spiritual untuk mengawal daya sihir yang kuat dan intipati unsur, kuasa ini akan menjadi tidak terkawal."

Doehring Cowart ketawa.

"Haha, Linley kamu memang bijak." Doehring Cowart ketawa dengan gembiranya.

"Benar, daya sihir yang kuat dan intipati unsur, apabila dikawal oleh tenaga spiritual boleh dibentuk menjadi mantera! Ada kalanya, tenaga spiritual yang diperlukan untuk menghasilkan mantera yang kuat terlalu besar. Maka, bantuan mantera sihir sangat diperlukan." Doehring Cowart senyum sambil bercakap.

Linley merasakan sebahagian besar prinsip penting bagi sihir menjadi jelas kepadanya.

Sambil tersenyum kepada Linley, Doehring Cowart menyambung, "Sudah tentu, itu hanya teori asas. Dunia sihir lebih rumit daripada apa yang kamu bayangkan! Persoalan tentang bagaimana seseorang menggunakan daya sihir dan intipati unsur untuk membentuk sihir merupakan isu yang sebenar!"

"Apa gunanya jika kamu mempunyai daya sihir tetapi tidak tahu bagaimana untuk membentuknya menjadi mantera sihir?" Doehring Cowart melepaskan keluhan panjang. "Dunia sihir sangatlah rumit. Kajian sihir sangat sukar dan berbahaya. Namun disebabkan pergolakan dalam empayar, ramai ahli sihir yang terlibat dalam penyelidikan mantera-mantera baharu."

"Sebenarnya, setiap empayar mengkaji cara baharu menggunakan matriks daya sihir dan intipati unsur yang berlainan untuk menghasilkan mantera yang berbeza! Tetapi kajian sihir ini terlalu berbahaya. Semakin besar kemusnahan yang dihasilkan sesuatu mantera, semakin sukar untuk melakukan kajian. Adakalanya, kemusnahan tersebut akan memakan diri pengkaji itu."

Linley telah membaca banyak buku dan dia memahami prinsip tersebut.

"Jika kamu tiada pengajar? Tidak kira betapa banyak daya sihir yang kamu miliki atau betapa tinggi tenaga spiritual kamu, kamu tidak akan dapat menghasilkan satu pun mantera!" Doehring Cowart tersenyum nipis. "Rahsia yang mendalam bagi setiap mantera sihir ialah pengawalan daya sihir dan intipati unsur untuk membentuk mantera!"

"Selepas bertahun-tahun kajian sihir dijalankan, sistem sihir pada asasnya telah disempurnakan." Doehring Cowart mengurut janggutnya sambil ketawa dengan kuat. "Linley, kamu jangan bimbang. Pada masa akan datang, kamu tidak perlu melutut kepada mana-mana kerajaan ataupun mana-mana raja kerana... Atuk akan mengajar kamu mantera ahli sihir tahap ketujuh, kelapan, kesembilan dan mantera tahap Dewa!"

Linley menarik nafas dalam-dalam.

Dia dapat merasakan dirinya memulakan perjalanan baru.

Dengan panduan dan tunjuk ajar daripada Atuk Doehring, dia tidak perlu meneruskan perjalanannya untuk menjadi seorang pahlawan. Dia kini memulakan perjalanan yang menjadi seorang ahli sihir yang lebih misteri dan lebih berkuasa.

"Mari kita uji kekuatan daya tarikan unsur kamu. Duduk bersila, pejamkan mata dan tenangkan diri seperti bertakafur." Doehring Cowart berkata dengan penuh lemah lembut.

"Bertakafur?" Linley merasakan jantungnya berdegup dengan laju.

Berapakah kekuatan daya tarikannya?

"Jangan bimbang. Kamu cuma perlu cuba perlahan-lahan dan lihat apakah yang dapat kamu rasai. Apabila kamu merasai sesuatu, beritahu Atuk." Doehring Cowart senyum sebagai galakan kepada Linley. Linley segera memejamkan matanya dan cuba memaksa dirinya untuk bertenang.

"Jangan bimbang. Kamu buat seperti yang Atuk arahkan," kata Doehring Cowart dengan lembut.

Bertakafur merupakan salah satu asas sokongan bagi semua ahli sihir. Ia diperlukan dalam penyerapan intipati unsur untuk ditukarkan menjadi daya sihir dan memperbaiki tenaga spiritual seseorang ahli sihir. Percubaan pertama bertakafur bagi seseorang yang paling sukar dan paling berbahaya. Namun, di bawah tunjuk ajar seorang ahli sihir tahap Dewa, sudah tentu ia tidak terlalu sukar buat Linley .

Setelah menerima ajaran selama setengah jam, Linley akhirnya berjaya bertakafur buat pertama kalinya.

Melihatkan Linley berjaya bertakafur, Doehring Cowart tersenyum nipis dan melambaikan tangannya.

Dalam serta-merta…

Sejumlah besar intipati tanah mula melingkari Linley. Kebiasaanya, kebanyakan tempat hanya memiliki ketumpatan intipati tanah biasa, tetapi sekarang, Doehring Cowart menggunakan tenaga spiritualnya yang kuat untuk meningkatkan ketumpatan intipati tanah berhampiran Linley sebanyak seratus kali ganda.

"Jika dia masih tidak dapat merasakan apa-apa intipati tanah di sekelilingnya walaupun di dalam keadaan ini, maka tidak ada harapan baginya," kata Doehring Cowart kepada dirinya sendiri.

Bahkan orang biasa juga akan merasai sesuatu, memandangkan ketumpatan unsur tanah ini seratus kali ganda lebih besar daripada biasa.

Sekarang, Linley masih bertakafur. Dia berasa gembira dan teruja. Dia langsung tidak sedar... di sekelilingnya terdapat banyak perkara yang menakjubkan. Bintik-bintik cahaya rona tanah tidak terhitung banyaknya terapung di sekelilingnya, dalam ketumpatan tinggi yang mengejutkan.

Next chapter