Kedengaran bunyi kerusi berhampiran meja kopi luar rumah ditarik perlahan, seretan antara kaki kerusi dan lantai seramik kesayangan Datin Zakiah menghasilkan pencemaran bunyi pertama yang memecahkan kesunyian pagi Ahad yang mana kebiasaannya dijadikan sebagai kesempatan para pekerja dan pelajar-pelajar mengganti kembali masa tidur mereka yang telah dibazirkan untuk ke pejabat dan sekolah.
Asap rokok dihembus keluar dari rongga mulut, dituruti dengan petikan jari di puntung untuk menanggalkan sisa rokok yang telah terbakar menjadi abu. Zul masih belum pasti apa yang mahu dilakukan hari itu, di dalam kepalanya penuh dengan perancangan yang dia rasakan perlu diselesaikan sebelum kembali ke kampusnya yang terletak di Jasin, Melaka jam 8.30 malam nanti. Rokok disedut lagi, asap dihembus tinggi ke udara ditambah dengan beberapa hembusan asap berbentuk 'O' ke arah hadapan.
Rutin hariannya yang damai itu kemudian dihancurkan dengan satu suara yang begitu familiar di telinganya. Datin Zakiah yang sejak tadi sudah bangkit dari tidur yang lena - kebiasaan bagi suri rumah, hari cuti akan dihabiskan dengan melakukan pelbagai kerja rumah sejak awal pagi lagi - perasan akan perbuatan anak terunanya itu, meninggi suara.
"Awal pagi kau dah telan rokok eh abang! Belum makan mandi apa lagi dah telan rokok dulu dah? Tak sayang body ke? Cuba lah bangun pagi tu siram pokok umi belakang rumah tu ke takpun buatkan sarapan adik adik kau ke ade lah jugak eloknya".
Zul yang sudah lali dengan 'ucapan selamat pagi' ibunya tersebut segera mematikan puntung rokok yang masih berbaki separuh, diketisnya puntung itu masuk ke dalam tong sampah lalu bangkit dengan segera masuk ke dalam rumah. Risau dia ibunya akan mula membebel tanpa henti jika dia tidak mengendahkan 'sapaan' itu dan terus merokok, pasti sampai ke malam dia akan dengar bebelan ibunya yang nyaring itu.
"Kau dah settlekan ke dengan dia?" Husna, kakak sulung Zul yang entah dari mana datangnya berdiri tercegat di sebelah Zul, bertanya dengan riak muka yang langsung tak memberikan gambaran bahawa dia sedang bergurau.
"Ye nanti lah aku cakap kat betina tu, ws je pun bukan kena hantar surat rasmi siak" balas Zul sambil berlalu terus ke dapur.
"Aku nak harini jugak kau settlekan, takpayah nak fikir dah pasal betina tu" kuat kalini kata-kata yang keluar daripada mulut Husna. Datin Zakiah hanya memandang kedua anaknya itu dengan pandangan kosong, nafas dihela.
"Haih cepatlaa selesai, tak sanggup lagi dah tengok".