The As-Syifa' War
Nur Ardiana As-Syifa’ adalah satu-satunya permata hati perempuan Ustaz Asfar dan Ustazah Masyitah. Di usia 27 tahun, dia bukan sekadar seorang pendidik yang berwibawa malah memiliki kemahiran seni silat tinggi yang jarang dimiliki orang lain selain menjadi benteng utama di Madrasah Atharun Nufus sebagai pakar perubatan Islam. Nama madrasah itu melambangkan kesan-kesan jiwa. Namun kini, jiwa dan raga Ardiana sendiri yang sedang dipertaruhkan.
“Aku tidak akan lepaskan engkau! Aku nak kau hidup dalam keadaan terseksa tanpa sujud, tanpa suara, tanpa doa. Semua kekuatan yang kau bangga itu, akan aku patahkan satu per satu!”
Atharun Nufus yang sepatutnya menjadi tempat penyembuhan, bertukar menjadi penjara halus. Di antara diam yang dipaksa dan doa yang tersekat di kerongkong, Ardiana sedar gelombang gelap mula meresap masuk, cuba menukar cahaya As-Syifa dalam dirinya menjadi kegelapan yang menghancurkan. Walaupun tubuhnya terlatih menentang serangan fizikal, musuh kali ini menyerang dari sudut yang paling sukar dicapai ke dalam sanubarinya.
“Aku akan bunuh orang yang kau sayang dan biarkan engkau hidup sebatang kara. Biar kau rasa pedihnya kehilangan walaupun kau pandai menjaga diri sendiri.”
Kini, Ardiana berdiri di persimpangan yang amat kelam. Gunakan segala ilmu dan kekuatan yang ada untuk lawan hingga ke hujung nyawa atau biarkan kegelapan menelan dirinya dan madrasah itu selamanya? Mampukah dia bertahan apabila senjata terkuatnya iaitu iman dan kekuatan diri mula dicabar hingga ke titik nadir, sebelum cahaya di Atharun Nufus terpadam buat selama-lamanya?
Pengenalan tentang Madrasah Atharun Nufus
Madrasah Atharun Nufus adalah madrasah yang pertama menerima pelajar yang mempunyai masalah rohani. Tenaga pengajarnya juga mempunyai kepakaran dalam bidang psikologi yang menjadikan institusi ini sebuah jambatan unik yang menggabungkan kekuatan wahyu dan sains jiwa dalam memulihkan insan.
Di sini, setiap zikir yang beralun bukanlah hanya sekadar hafalan tetapi terapi yang menyentuh hati yang dalam. Para guru di Madrasah ini tidak hanya melihat kepada kesalahan luaran malah mereka menyelami kesan-kesan luka yang tertinggal di dalam jiwa setiap pelajar mereka.
Bagi Ardiana, Madrasah ini adalah medan jihadnya yang paling besar. Dia sedar bahawa merawat penyakit jasmani itu mencabar. Namun, menyusun serpihan jiwa yang hancur akibat trauma dan gangguan rohani memerlukan kesabaran yang hanya boleh dipupuk melalui doa yang tidak pernah putus di antara diamnya malam.