webnovel

Luar Jangkaan

Mary risau melihat tatapan Eylem. Buat malu kalau kelakuan sahabatnya itu ketahuan oleh tuan punya badan. Nasib baiklah lelaki itu seolah-olah tidak mempedulikan keadaan sekelilingnya.

Hati Mary makin risau apabila melihat wajah Eylem yang seakan-akan menaruh harapan terhadap lelaki itu ketika mereka sedang membahaskan topik itu.

Sebelum ini dia tidak pernah percaya akan cinta pandang pertama tapi bila melihat Eylem, dia tahu Eylem sudah jatuh cinta. Mary takut Eylem akan menerima nasib yang pernah dialaminya jadi dia cuba menyangkal perasaan Eylem. Tidak akan ada hasil yang baik menyimpan perasaan kepada lelaki seperti itu.

Dia tidak mahu Eylem melalui detik-detik seperti itu bahkan mungkin lebih buruk lagi. Siapa tahu? Sebab itu Mary tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh Eylem.

Dia tidak akan biarkan Eylem lalui semua itu. Cukup hanya dia saja merasai peritnya bercinta dengan lelaki yang berbeza darjat.

Mary meneruskan pekerjaannya mengelap meja. Selang beberapa meja dia melihat sepasang kekasih sedang berpelukan asmara di khalayak ramai.

Tangan si lelaki dipinggul kekasihnya sementara yang wanita tangannya berada pada dada bidang milik lelaki itu. Tubuhnya yang seksi dan menggiurkan itu sangat rapat dengan tubuh lelaki itu.

Di sisi lain, terdapat sepasang lagi kekasih yang tidak seintim seperti pasangan 'meloyakan' itu sedang duduk semeja dengan mereka. Mereka tergelak sakan mendengar jenaka daripada pasangan yang intim tersebut.

Tidak malukah mereka dengan pelangan lain yang berada dalam kafe ini? Gumam Mary. Mary ingin menegur pada mulanya tetapi ditahan dirinya daripada mencampuri urusan mereka.

Kebiasaannya tiada perkara yang baik kalau dia ikut campur tangan. Lagipula, pelangan di kafe tidak seramai waktu pagi tadi. Walaupun mata Mary naik semak melihat perilaku pasangan kekasih yang tidak tahu malu itu dia tetap bersabar.

Dia cuba mengabaikan mereka tetapi tindakan wanita yang tanpa segan silu memeluk lelaki yang bukan mahramnya, membuang tisu sesuka hati di atas lantai membuatkan diri Mary naik berang. Jika dibuang tisu tersebut di atas meja tidak apa lagi. Ini sudah berlebihan. Fikir Mary. Dia segera mendekati meja pasangan tersebut.

"Excuse me, miss. Boleh tak, buang tisu tu ditempat yang sepatutnya?" tegur Mary dengan sehemah yang mungkin sambil jarinya menunjuk ke arah tisu yang dibuang oleh wanita itu sebentar tadi.

Wajah wanita itu berubah riak. Mungkin malu ditegur seperti itu. Lelaki disebelahnya juga terkejut kerana tiba-tiba keseronokkan mereka diganggu oleh pekerja kafe seperti Mary.

"Babe, tengok tu. Pekerja kafe ni biadap dengan I. You suruhlah dia buang. Setakat tisu, apalah sangat." Rayu wanita gedik itu kepada kekasihnya itu.

Lelaki itu cuba berkata sesuatu kepada teman wanitanya itu tetapi dia seolah kalah dengan pujuk rayu kekasihnya itu. Lelaki itu menoleh ke arah Mary kembali.

"Miss, setakat tisu je. Pekerja sini boleh bersihkan," kata lelaki itu dengan nada yang sedikit angkuh.

Mary tersenyum sinis. Lelaki tak guna! Terang-terang teman wanitanya itu yang biadap suka buang sampah merata-rata. Kalau lelaki ini bersikap lebih budiman dia sendiri akan ambil sampah yang dibuang oleh teman wanitanya. Ini tidak, dua kali lima, lima kali dua sama saja perangai dua ekor ni. Harapkan muka saja cantik tapi tak ada moral. Desis hati Mary.

Sebenarnya itu perkara kecil saja tapi entahlah melihat gelagat manusia tak cukup adab menyebabkan hatinya mendidih saja.

"Hello, Mister! You all ingat kami semua ni apa? Kerja asyik nak membersihkan sampah-sampah seperti you all semua ni? Pandai guna pandai buang. Tak akan tahi sendiri nak suruh orang lain bersihkan?" Perli Mary.

Mary sengaja menekankan perkataan sampah itu kepada lelaki itu. Untuk tunjuk dirinya tidak ada rasa gentar dia memandang tepat pada wajah lelaki itu. Tidak mahu kalah dengan renungannya.

Wajah lelaki itu berubah menjadi merah padam. Rahangnya bergerak-gerak dan bibirnya terkatup rapat menahan marah. Tapi Mary tidak jamin berapa lama lagi gunung berapi itu tidak akan meletus.

Rakan lelaki yang berada semeja dengan pasangan tersebut segera bangun mendekati sahabatnya itu apabila terasa suasana semakin tegang.

"Carl, please be calm." Pujuk lelaki yang memiliki tahi lalat di dagu.

"It's okay, miss. Kami akan beredar. Kami minta maaf atas kelakuan kami." Ucapnya lagi lalu cuba menarik pasangan tersebut keluar daripada kafe itu.

"Elok sangatlah tu bawa semua sampah...." Kata-kata Mary terhenti apabila ada tangan menekup mulutnya.

Lelaki yang memiliki tahi lalat di dagu itu berpaling menghadap ke arah Mary.

"Sorry Mr. Gorgeous. Kawan saya ni mulut tak bertapis tapi dia baik hati orangnya," Sampuk Eylem dengan wajah rasa bersalah.

Cukuplah Mary membuat rakan Mr. Gorgeous marah , jangan sampai Mr. Gorgeous pula yang mengamuk mendengar kata-kata Mary. Bisik hati Eylem pula.

Lelaki itu kaku mendengar kata-kata Eylem seakan terpukau seketika.

Mata Mary mencerlung ke arah Eylem. Kurang asam punya Eylem. Detik hati Mary.

Apabila Eylem menyebut perkataan Mr. Gorgeous barulah dia perasan inilah lelaki yang menjadi kegilaan Eylem sebentar tadi. Dengan tangkas Mary menepis tangan Eylem dan cuba melontarkan kata-kata terakhirnya tetapi cepat dipotong oleh Eylem.

"Mr. Gorgeous cepat keluar dari sini sebelum kawan saya jadi seekor naga. Habis tempat ni nanti," gesa Eylem dengan nada yang serius tanpa menyedari kata-katanya itu mengundang tawa halus di bibir Mr. Gorgeous.

Mary merenung wajah Eylem. Dia tidak menyangka dirinya pula mendapat malu. Dia nampak Mr. Gorgeous tertawa halus mendengar kata-kata Eylem. Ini semua gara-gara Eylem. Kalau Eylem tidak masuk campur sudah pasti dia akan menghamburkan semua kata-kata hikmatnya.

Mary melihat Eylem menghembuskan nafas lega sementara dia pula menghembuskan nafas tidak puas hati.

"Eylem, kenapa kau halang aku tadi? Pelangan yang tak ada adab macam tu kita perlu ajar sikit supaya lepas ni mereka dah tak berani berkelakuan tak senonoh macam tu," protes Mary.

Eylem memandangnya dengan riak tidak puas hati.

"What? Sebelum ni kau biarkan je aku handle makhluk macam tu. Why now? Because of the Mr. Gorgeous kau jadi macam ni?" Tempelak Mary.

Eylem merengus geram.

"Mary! Kau sendiri cakap Mr. Gorgeous tu bukan calang-calang orang. Macam mana kalau mereka apa-apakan kau, tak pun kafe ni akan ditutup, tak pun pengurus akan menanggung pelbagai kerugian disebabkan mereka sakit hati dengan kau. Tolonglah...lepas ni kau kena berhati-hati. Kita tak selalu bernasib baik tahu?" Kata Eylem.

Eylem memandang Mary menanti respon yang positif.

"Arghh....Nonsense! Kau banyak sangat tengok drama ni." Sangkal Mary dan kemudian dia terdiam. Berfikir sejenak.

"Tapi. Ada betul juga cakap kau tu. Kemungkinan tu ada. Okay! Lepas ni aku akan lebih berhati-hati." Janji Mary. Dia mengalah dengan kata-kata Eylem. Ada benar juga kata-kata Eylem. Memikirkan sejarah cintanya yang lalu, perkara yang dikatakan oleh Eylem mungkin boleh menjadi kenyataan.

Lega dengan respon Mary, Eylem mengukirkan senyuman yang manis kepadanya.

"Good!" kata Eylem lalu menyambung kembali kerjanya yang tergendala sebentar tadi.

"Eylem, kau sedar tak kau panggil lelaki pujaan kau tu Mr. Gorgeous? Berani kau yaa...." Perli Mary sambil berjalan mengekorinya ke kaunter.

"Eh! Aku tak sedar aku panggil dia macam tu. Mesti dia rasa jengkel dengan aku. Tapi tak apalah. Kita tidak akan jumpa mereka lagi. Aku yakin lepas kejadiaan ni mereka tak akan datang sini lagi." Kata Eylem. Nadanya seperti orang yang sedang kecewa.

Mary tersenyum pahit mendengar kata-kata Eylem. Dia menepuk-nepuk bahu Eylem tanda memberi semangat kepada sahabatnya itu. Dia berasa lega sekurang-kurangnya Eylem mula menyedari realiti yang pahit itu.

下一章