webnovel

Debar

Suatu hari, aku , Rina dan Harry makan tengahari seperti biasa. Namun pada hari itu keadaan agak berlainan kerana tiada cerita klasik yang diceritakan oleh Harry seperti kebiasaan yang dilakukannya. Pada hari itu, Rani pula yang mengambil peranan Harry dengan bercerita mengenai kisah Hantu Pokok Pisang yang pernah aku ceritakan kepadanya sejurus sahaja menonton siri Incredible Tales kepada Harry. Aku hanya berpura-pura mendengar seolah-olah aku tidak pernah mendengar cerita itu. Aku tidak menyangka keganjilan itu akan disusuli pula dengan sesuatu yang mengejutkan pada malam itu.

Petang itu, tepat pada pukul enam, aku sudah bersiap sedia untuk pulang ke rumah. Akan tetapi, apabila mengenangkan hari hujan dan aku perlu meredahnya dari Multi-Purpose Building ke Masjid Jamek untuk mendapatkan tren, aku membatalkan hasratku. Aku membuat keputusan untuk bekerja sehingga pukul lapan setengah malam.

Sebaik sahaja aku habis menjalankan tugas, aku turun ke bawah dan mengambil kesempatan yang ada untuk membeli sedikit roti di sebuah kedai bakeri di Capital Square.

"Marina..." seorang lelaki menyapaku. Suaranya memang biasa aku dengar. Aku berpaling.

"Eh. Harry... buat apa di sini? Tidak pulang ke rumah lagi?" aku tidak menyangka dapat bertemu Harry semula pada hari itu.

"Saya baru sahaja hendak pulang Marina... Saya ke sini untuk membeli roti. Ada orang pesan. Marina pula?"

'Hmm... Ini pasti untuk si Norah yang sombong itu' kataku di dalam hati.

"Sama macam awak juga...."jawabku sambil tersenyum.

"Yang mana satu?"Harry menyoalku lagi.

"Yang mana satu? Maksud awak? Saya kurang faham" kataku kebingungan.

"Bahagian mana yang sama dengan saya? Baru hendak pulang atau ke sini untuk membeli roti?"

"Oh. Kedua-duanya sekali. Saya baru sahaja keluar dari pejabat dan saya ke sini untuk membeli roti. Cuma ianya untuk saya, bukan untuk orang lain" jawabku sambil tertawa.

Setelah membuat pembayaran, aku dan Harry berjalan keluar dari Capital Square. 'Hmmm... Memang banyak cakaplah lelaki yang seorang ini,' kataku di dalam hati apabila melihat Harry yang tidak henti-henti bercakap sejak berjumpa. Tetapi mungkin juga aku yang menyebabkan dia tidak mahu berhenti bercakap kerana apabila perbualan kami hendak berakhir, aku akan membuka cerita baru dan mengembalikan semula keghairahannya untuk bercerita.

"Aaaaa...!" tiba-tiba sahaja, suara jeritan seorang wanita kedengaran tidak jauh dari tempat kami. Suara jeritannya yang nyaring itu memeranjatkan kami yang sedang asyik berbual. Kami mencari arah jeritan itu. Ketika itu, kelihatan seorang wanita yang nampak begitu panik dan tidak keruan sedang berada di hadapan Multipurpose Building. Kami berdua segera mendekati wanita itu. Beberapa orang yang lalu - lalang di sana juga mula menuju ke arahnya.

"Cik. Kenapa cik?" tanya Harry.

"Ya. Kenapa cik menjerit tadi?" tanyaku pula.

"Saya okey. Saya tidak ada apa-apa. Cuma... Beg saya... dia ragut beg saya..." kata wanita itu sambil menunjuk kepada seorang lelaki yang sedang berlari menuju ke arah jalan besar.

Melihat lelaki itu, Harry melakukan sesuatu yang berada di luar jangkaanku. Dia berlari pecut mengejar lelaki itu.

"Harry!" aku berteriak kecil. Seperti wartawan yang dahagakan berita, aku cuba mengikut Harry dari belakang namun dihalang oleh wanita itu tadi. Dia memerhatikan kakiku. Cuba memberi peringatan bahawa aku sedang memakai kasut tumit tinggi bukannya flip-flop atau pun sneaker. Aku hanya memerhati dari jauh. Beberapa orang yang baru sahaja menyedari kejadian itu keluar dari bangunan Capital Square.

"Harry! Hati-hati!" jeritku. Aku risau jika ada apa-apa yang terjadi kepada Harry.

Harry memulakan aksinya dengan lompatan sederhana yang membolehkan dia menendang dari arah belakang mengenai pinggang si peragut. Lelaki itu terjatuh. Harry mengambil beg yang berada pada tangan lelaki itu. Lelaki itu bangun dan mula berlari ke arah jalan untuk melarikan diri. Harry kembali mengejarnya.

"Harry! Sudah! Biarkan sahaja dia pergi!" jeritku lagi. Namun, Harry tidak mempedulikan kata-kataku. Dia tidak berputus asa.

Di tepi jalan, kelihatan seorang lelaki sedang duduk di atas sebuah motosikal Kriss Modenas. Lelaki itu dengan segera mendekatinya dan dengan segera duduk di atas tempat duduk pembonceng motosikal itu. Harry dengan berani mendekati mereka. Namun, malang sekali kedua-duanya dengan pantas menendang Harry sehingga dia tertiarap di tepi jalan.

"Harry!" Aku dan wanita itu berlari mendapatkan Harry. Yang lain juga begitu.

"Harry! Awak okey Harry? Saya sudah beritahu tadi biarkan sahaja dia pergi tetapi awak degil!" kataku sebaik sahaja kami mendapatkan Harry. Aku segera memberitahu diriku untuk tidak meneruskan leteranku dan bertenang. Ianya bukan masa yang sesuai.

Harry perlahan-lahan menyeluk poket seluarnya, dia mengeluarkan kunci keretanya kepadaku.

"Marina... please...." katanya lemah.

'Alamak! Apa ini? Dia suruh aku pandu dia ke hospital?' aku berkata-kata di dalam hati. Baiklah, aku bukannya tidak tahu memandu. Aku memang ada lesen. Tetapi apa yang menjadi masalahnya adalah, kereta yang Harry gunakan adalah kereta manual dan sejak aku lulus ujian memandu, aku langsung tidak pernah menyentuh mana-mana kereta manual bagi tujuan pemanduan. Jadi bagaimana aku mahu memandu Harry ke hospital.

"Sa...sa... sa.. ya..." aku tergagap-gagap.

"Tidak mengapa. Biar saya bawa dia ke hospital. Lagipun, dia sudah menyelamatkan duit saya yang berjumlah RM 3000 dari peragut tadi" kata wanita itu.

'Wahai wanita yang cantik. Kau memang penyelamat keadaan. Tetapi kenapa engkau bawa sejumlah duit yang banyak ke sini? Sudah hilang akalkah?' kataku sendirian.

Di saat itu, aku juga terfikir bagaimana agaknya peragut itu boleh menduga berapa jumlah wang yang dibawa oleh wanita itu. Barangkali, peragut seperti mereka sudah ada alat pengesan semulajadi yang tertanam di dalam tubuh mereka.

Beberapa orang yang menyaksikan kejadian itu datang mengerumuni kami bertanya itu dan ini. Kami hanya menjawab apa yang patut dengan ringkas. Disebabkan tubuh Harry mempunyai keberatan sebanyak lima puluh sembilan kilogram, (anggaran aku semasa aku dan wanita itu cuba mengangkatnya) aku menyuruh mereka mengangkat Harry dan membawanya masuk ke dalam Proton Persona miliknya yang diletakkan tidak jauh dari situ. Selepas mengucapkan terima kasih dan memastikan keselesaan Harry di dalam kereta, aku dan wanita yang memperkenalkan diri sebagai Sheila itu segera menghantarnya ke hospital yang berdekatan.

*****

"Harry... Bagaimana keadaan awak?" aku pergi mendapatkan Harry sebaik sahaja dia keluar dari bilik rawatan. Sheila mengikutiku dari belakang.

"Luka sedikit di tangan. Badan sakit sedikit. Tetapi jangan risau. Saya okey. Dua tiga hari lagi, baiklah nanti" jawab Harry.

"Encik Harry. Terima kasih kerana menolong saya tadi ya."ucap Sheila.

"Sama-sama." ucap Daniel sambil tersenyum. Dia kemudian ketawa kecil.

"Kenapa Daniel?" tanyaku hairan.

"Lucu pula dengan apa yang saya buat tadi"

"Kenapa pula?"

"Sepatutnya saya sedar yang saya ini bukannya seorang superhero"

"Tiada superhero atau superhuman di dunia ini Harry. Tetapi saya perlu akui yang awak sangat berani tadi.."

"Saya pun tidak menyangka yang saya boleh jadi begitu berani tadi. Baru sekarang saya terfikir, kalaulah mereka bawa pistol atau pun pisau. Entah apa yang akan terjadi kepada saya agaknya"

"Syukur kita semua selamat. Terima kasih banyak-banyak Harry" kata Sheila.

"Sama-sama Sheila. Eh, hari pun sudah lewat. Mari saya hantar kamu berdua pulang."

"Awak hendak memandu dengan keadaan awak yang begini?" tanya Sheila.

"Jangan risau. Saya tidak ada apa-apa. Saya okey"

*****

Seminggu selepas kejadian itu, aku tidak lagi melihat Harry di Capital Square. Dia tiba-tiba sahaja hilang tanpa berita. Ini membuatkan aku tertanya-tanya dan aku tidak malu untuk mengatakan yang aku tercari-cari Harry setiap kali kami turun ke medan selera. Malang sekali, aku atau pun Rani tidak menyimpan nombor telefon Harry dan itu menyukarkan kami untuk menghubunginya. Sepanjang perkenalan pendek kami, tidak pernah pula aku, Rani atau pun Harry terfikir untuk bertukar-tukar nombor telefon. Jika diikutkan hati, ingin sahaja aku naik ke Terry Lee Publication dan mencarinya di sana. Bukanlah aku ini terhegeh-hegeh mahu berjumpa dengan Harry, tetapi manalah tahu kalau ada apa-apa yang terjadi kepadanya. Namun aku pendamkan hasratku itu kerana takut disalah ertikan.

Selama dua minggu, Harry hilang tanpa berita sehinggalah pada satu hari di mana dia muncul membawa perkhabaran yang begitu mengujakanku.

"Marina! Harry mahu jumpa awak di luar" Rani yang keluar sebentar dari pejabat memberitahuku.

"Apa?" aku bertanya seolah-olah aku tidak mendengar apa yang diberitahu oleh Rani. Aku bagaikan tidak percaya Harry yang hilang tiba-tiba sahaja muncul mencariku.

"Harry ada di luar. Dia mahu berjumpa dengan awak. Pergilah Marina. Dia sedang tungggu awak," gesa Rani.

Aku meninggalkan stesyen panggilan dan segera ke pintu utama TNS. Ketika itu, aku melihat Harry sedang berdiri sambil menekan-nekan sesuatu pada telefonnya. Apabila dia menyedari kehadiranku, dia mengukirkan sebuah senyuman.

"Hai Marina. Apa khabar?" ucap Harry kepadaku.

"Saya baik. Awak pula bagaimana?"

"Saya pun baik juga."

"Lama kita tidak nampak awak Harry. Ke mana awak menghilangkan diri?"

"Tiada ke mana-mana pun. Saya ada di atas. Saya tidak sempat turun sebab ada kerja yang perlu disiapkan" terang Harry.

"Oh begitu" aku mengangguk.

"Sebenarnya, saya ingin bertanyakan sesuatu kepada awak."

"Wah! Hendak tanya apa? Berdebar pula saya mendengarnya."

"Janganlah berdebar. Saya bukannya polis..." Harry berjenaka. "Begini, dua minggu lagi, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan berlangsung dan kami memerlukan seseorang untuk menjaga booth kami di PWTC selama sepuluh hari. Tempohari awak ada beritahu saya tentang masa kerja awak yang fleksibel bukan? Jadi, kalau tidak ada apa-apa masalah saya mahu cadangkan nama awak kepada ketua editor."

"Hmm.. Menarik bunyinya. Berapa bayarannya?"

"RM 120 untuk sehari"

"Boleh tahan" kataku sambil menganggukkan kepalaku. Aku perlu akui ianya satu jumlah yang banyak untuk tugas itu. Lebih banyak dari apa yang dibayar oleh MAPIM tahun sebelumnya kepada kawan-kawanku yang bekerja di bawah mereka pada pesta buku tahun lalu.

"Bagaimana Marina?"

"Saya setuju!"

"Bagus kalau begitu. Awak datang ke PWTC pada malam sebelum berlangsungnya pesta buku itu ya?"

"Tidak menjadi masalah. Saya akan datang nanti!" aku meyakinkan Harry dengan wajah yang berseri-seri. Ternyata, apa yang ditawarkan oleh Terry Lee Publication dan majalah Hey sangat mengujakanku. Keterujaan kerana dapat lari selama sepuluh hari dari membuat kerja-kerja kajian pemasaran di TNS tidak dapat aku bendung. 'Apakah tandanya semuanya ini?' hatiku bersoal 'hmmm... perlukah aku mencari petanda bagi setiap sesuatu yang berlaku dalam hidup aku?' aku mentertawakan diriku sendirian.

下一章