webnovel

Salju yang Kesepian

編輯: EndlessFantasy Translation

Sebelum ini, Alice percaya dia sudah tiada perasaan terhadap Linley. Sungguhpun begitu, apabila dia bersemuka sendiri dengan Linley, terutamanya apabila dia melihat riak tidak percaya pada wajahnya, hati Alice terasa seperti ditusuk sembilu.

"Abang Linley." Alice memanggilnya.

Wajah Linley pucat lesi. Lama dia berdiri di situ, tergamam.

*Swish!* Si Tikus Bebayang kecil Bebe menjerit marah. Ia bertukar menjadi kelibat hitam ganas dan terus menerkam ke arah Alice dan Kalan. Walaupun Bebe memiliki kepintaran yang tinggi, ia masih lagi makhluk ajaib justeru ia masih memiliki kebuasan seekor haiwan.

Ia dapat mengesan keterkejutan dan kekecewaan dalam hati Linley. Ia ingin membalas dendam.

Badan Bebe tiba-tiba menjadi besar sekali ganda. Dalam sekelip mata, ia muncul di hadapan Kalan dan Alice. Cakar tajam Bebe bersinar dengan cahaya kejam, membuat pasangan itu terkaku. Mereka langsung tidak berpeluang untuk mengelak atau bersuara!

"Kembali!" Suara Linley tiba-tiba kedengaran.

Kelibat gelap Bebe yang hampir-hampir mengenai wajah Kalan menggeletar, kemudian terjatuh ke atas salji. Bebe berpaling dan merenung Linley. *Cit cit!* Ia memberontak. Pada masa yang sama, ia mula bertengkar secara mental dengan Linley.

Dengan perlahan-lahan tetapi tegas, Linley menggelengkan kepalanya.

Bebe melirik ke arah Alice dan Kalan dengan pandangan dingin dan kejam kemudian ia berpatah balik. Ia kembali mengecil kepada saiz asalnya dan bertukar semula menjadi bayang-bayang ganas dan melompat ke atas bahu Linley. Jika melihat rupanya yang comel, tiada siapa dapat menyangka betapa menakutkannya makhluk itu.

*Huk, huk.* Kini barulah Kalan boleh bernafas. Keringat membasahi dahinya. Dia memerhatikan Bebe yang sedang bertenggek di atas bahu Linley dalam ketakutan.

Alice merenung Linley. Dia menarik nafas dalam-dalam. "Abang Linley, saya tahu sekarang ini Abang sedang terluka. Tak sesuai untuk kita bercakap tentang ini di tengah jalan. Mari kita ke tavern berdekatan dan berbincang di sana. Okey?"

Linley mengangguk. Dia tidak langsung bercakap.

.....

Di Jalan Kesang, di dalam sebuah hotel mewah. Linley dan Alice duduk secara bertentangan. Kalan membuat keputusan yang bijak dan duduk jauh di sudut sana. Dia tidak berani untuk mendekati dan mengganggu mereka. Dia baru sahaja terselamat daripada hampir diserang Bebe. Kalan sangat takut akan Linley.

Meja itu diperbuat daripada marmar hitam yang digilap. Di atasnya terhidang dua buah cawan wain buah yang suam.

Linley dan Alice duduk berhadapan dan masing-masing senyap.

Setelah terdiam lama, Alice mengeluh kecil. "Abang Linley. Saya yang bersalah dalam hubungan ini. Selama ini, saya enggan berjumpa dengan Abang kerana saya mahu Abang bersedia secara mental. Sekurang-kurangnya, saya tak mahu kita berpisah sebagai musuh."

'Musuh?" Di dalam hatinya, Linley ketawa pahit. Akan tetapi, zahirnya dia tidak bersuara. Dia hanya diam mendengar sambil memandang Alice.

Alice meneruskan bicaranya, "Abang Linley, saya akui pada awalnya, saya suka Abang. Saya sangat menyukai Abang. Saya juga pernah membayangkan kita berkahwin dan mempunyai anak suatu hari nanti. Tetapi setelah lama bersama, saya sedar dalam banyak aspek, kita tidak sepadan."

Linley akhirnya bersuara. "Dalam banyak aspek? Alice, saya bukan sahaja menyukai kelebihan kamu, saya juga menerima kelemahan kamu. Saya percaya apabila dua orang bersama, mereka akan saling bertolak ansur dan memahami antara satu sama lain. Tiada pasangan yang sempurna tanpa dilanda masalah."

Alice menggigit bibirnya. Dengan dua tangannya, dia mengambil cawan yang berisi wain buah itu lalu menghirupnya.

"Pertama kali kita bertemu, kita berdua masih muda. Saya baru berusia 15 tahun." Alice bercakap setelah lama mendiamkan diri, menyusun bicaranya. "Di dalam hati saya, saya menganggap Abang sebagai seorang hero yang telah menyelamatkan saya. Seorang hero yang turun dari langit. Saya juga menganggap Abang sebagai bumi, langit dan seluruh dunia saya. Tapi kini saya sedar, itu bukan segalanya. Selain semua itu, keluarga juga sangat penting."

Linley terpana.

"Abang Linley sentiasa bertenaga dan bersemangat. Abang melayan saya dengan baik. Abang juga seorang yang sentiasa bekerja keras. Saya harus akui, Abang sangat sempurna. Tapi… ini sahaja tak mencukupi. Contohnya, apabila ayah saya berjudi kali ini, dia telah kehilangan beratus ribu syiling emas! Tetapi Abang Kalan hanya perlu meminta bantuan keluarganya dan masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah."

Alice melihat ke arah Linley. "Abang Linley, ini merupakan sesuatu yang Abang tak mampu lakukan. Walaupun ayah saya seorang kaki judi dan kaki botol, dia tetap ayah saya."

"Sebab itu saja?" Linley bertanya dengan perlahan.

"Tidak." Alice meneruskan. "Bukan itu saja. Saya akhirnya sedar Abang Kalan juga sentiasa melayan saya dengan baik. Dia membesar bersama saya, dan saya sudah terbiasa dengan dia. Tapi apabila bersama Abang, saya sentiasa merasakan Abang seperti diselubungi kabus. Abang bagaikan terhijab daripada penglihatan saya."

"Abang ahli sihir genius di institut ahli sihir nombor satu di benua. Pada usia 15 tahun, Abang sudah berupaya mempunyai bilik pameran sendiri di Galeri Proulx. Daripada itu saja, Abang kedengaran seperti seorang yang sempurna. Tetapi kesempurnaan itulah menghalang saya dariapda melihat Abang dengan jelas."

Suara Alice semakin rendah. "Perkara yang paling penting, kita berdua berada di tempat berbeza. Pada mulanya, saya tak berapa kisah tetapi semakin lama masa berlalu, saya menjadi penat. Saya sudah biasa mempunyai seseorang di sisi saya, seperti Abang Kalan yang sentiasa ada di sisi saya."

Selepas meluahkan semua ini, Alice terus senyap.

Linley juga turut sama senyap.

Selepas lama masa berlalu, wain pun sudah menjadi sejuk, Linley pun bersuara. "Alice, kamu masih ingat perbincangan kita? Saya pernah beritahu kamu, saya boleh tinggal bersama kamu. Tapi kamu menolak. Kamu kata kamu tak mahu mengganggu latihan saya."

"Tapi kini, kamu kata saya tak ada bersama kamu?" Senyuman perit terbit di wajah Linley.

Alice mahu menjawab tetapi tiada apa yang mampu diutarakan.

Semua yang diucapkannya hanyalah alasan.

Sambil memandang Alice, Linley meneruskan bicaranya, "Alice, kamu masih ingat kali pertama kita bermalam di hotel? Kamu kata kepada saya, jika suatu hari nanti cinta saya terhadap kamu pudar, kamu berharap saya tak akan menyembunyikannya daripada kamu. Kamu akan meninggalkan saya tanpa bantahan."

Linley menahan amarahnya, memaksa dirinya untuk bertenang. "Ketika itu, saya juga berkata jika perasaan kamu terhadap saya sudah pudar, saya juga berharap kamu akan berterus terang kepada saya dan tak menipu saya. Saya juga akan pergi tanpa bantahan."

Mata Alice mula berkaca.

"Hubungan kamu dengan Kalan bukanlah masalahnya. Tetapi saya berharap kamu tak menipu saya. Kamu menjalinkan hubungan bersama Kalan di belakang saya tanpa memberi sebarang penjelasan kepada saya. Kamu terus-menerus bermain dengan perasaan saya yang terus berharap, membiarkan saya terus menunggu kamu... Tahukah kamu apakah perasaannya menunggu seseorang seperti itu?"

Badan Linley mula menggeletar. "29 September, itu merupakan kali pertama kamu terlepas temu janji kita. Saya menunggu dari tengah malam sehinggalah hampir subuh. Setiap minit, setiap saat, perasaan saya semakin terguris. Apabila saya kembali ke sekolah, saya terfikir, adakah kerana saya telah membuat kamu marah sebelum itu? Jadi saya mahu membuatkan kamu gembira. Seperti orang bodoh, saya beli bebola kristal memori untuk merakam semua tempat di dalam institut. Saya berharap apabila kita tak bersama, apabila kamu merindui saya, kamu dapat melihat saya."

"Bersama dua bebola kristal memori ini, saya sekali lagi datang untuk bertemu dengan kamu pada pertengahan bulan Oktober. Hati saya dipenuhi dengan harapan. Tapi sekali lagi, kamu tak muncul."

"Di dalam hati saya, saya mula berasa resah. Tetapi saya tetap teguh. Sebab saya masih ingat janji kita. Saya percaya jika kamu ingin meninggalkan saya, kamu akan beritahu saya terlebih dahulu. Sebab itulah saya tetap teguh. Hujung bulan Oktober, pertengahan November, saya masih lagi pergi ke kediaman kamu. Tapi akhirnya…"

Linley berdiri, memandang Alice dengan senyuman pahit di bibirnya. "Hari ini saya datang lagi. Tapi saya bernasib baik. Kali ini, kamu tak dapat menipu saya lagi."

Air mata bergenang di mata Alice.

"Abang Linley—"

Linley membuka beg galasnya dan mengeluarkan dua buah bebola kristal memori. Sebaik sahaja dia memegangnya, Linley teringat kembali bagaimana dia pergi ke setiap pelosok sekolahnya untuk membuat rakaman. Apabila mengingatkan itu semua, dia berasa seperti orang bodoh.

"Dua bebola kristal memori ini saya bawa dari Institut Ernst ke Kota Fenlai sebanyak empat kali. Tetapi kini… ia tak lagi bermakna."

Linley memegang dua bebola kristal itu di kedua-dua belah tangannya. Kedua-dua bebola kristal itu tiba-tiba dihentak bersama…

*Derang!*

Retakan yang tidak terhitung banyaknya terhasil di permukaan setiap bebola kristal. Tangan Linley menjadi lembik dan kedua-dua bebola kristal itu terhempas ke lantai. *Derang!* Dengan bunyi yang nyaring, ia terpecah menjadi sepuluh serpihan dan berguling di atas lantai hotel. Bunyi berkecai itu kedengaran jelas dan kuat menyebabkan semua pelanggan hotel memandang ke arah mereka.

Alice tidak dapat lagi menahan tangis. Air matanya mula berjurai di wajahnya.

"Abang Linley, selepas ini, bolehkah kita masih berkawan?" Pandangannya dikaburi air mata. Alice mendongak dan memandang Linley.

Linley bangkit dan memandang Alice tetapi dia tidak menjawab soalannya. Selepas seketika, senyuman nipis terbit di wajahnya. "Alice, jika tak silap saya, kita secara rasmi berjanji temu pada 29 November tahun lepas. Hari ini juga 29 November. Sudah cukup setahun. Terima kasih. Sekurang-kurangnya kamu memberikan memori indah kepada saya."

Berpaling secara tiba-tiba, Linley keluar melalui pintu utama hotel.

Seluruh hotel itu senyap sunyi. Kalan yang sebelum ini yang duduk di sudut hujung, bergegas menuju ke arah Alice. Dia berlari dan terpijak beberapa kepingan bebola kristal memori yang sudah berkecai. Bunyi derapan bergema di seluruh hotel.

"Alice, kamu okey?" Kalan memeluk Alice untuk memujuknya.

Tetapi pada waktu itu, Alice menangis tersedu-sedan. Biarpun berada dalam pelukan Kalan, dia masih memalingkan wajahnya untuk melihat pemergian Linley. Pada masa itu, di dalam mindanya, dia mula memainkan semula setiap masa yang dihabiskan bersama dengan Linley, tetapi Alice tahu…

Dari saat ini dan seterusnya, Linley tidak lagi akan melayannya dengan begitu. Mungkin dia tidak lagi mahu bertemu dengannya.

....

Jalan Pavilion Harum dilitupi salji putih. Beberapa empingan salji masih melayang di udara.

Berjalan di Jalan Pavilion Harum, bayang-bayang Linley kelihatan sepi. Linley mendongak kepalanya ke arah langit dan membiarkan salji menyelubungi wajahnya dengan kesejukan. Kini, hatinya menggigil. Dia tidak dapat menahan dirinya daripada menggenggam dadanya dengan kuat.

Hatinya terluka. Sangat dalam.

Kesakitan itu menusuk kalbunya!

Dalam minda Linley, satu demi satu peristiwa belayar di mindanya.

Sepasang pakaian violet. Sebuah kelibat bagaikan bidadari jelita disinari rembulan.

Bersembunyi di sudut balkoni, bercakap dengannya dengan nada yang lembut.

Semasa sajli bertebaran, dia menyembunyikan wajahnya di dadanya.

Di hotel, pembaringannya yang menggoda dalam dakapannya.

....

Suatu ketika dahulu, Linley percaya dia akan bersama dengan Alice buat selamanya. Tetapi hari ini, impiannya berkecai. Dan dengan itu, hati Linley yang keras dan tidak mudah terluka turut berkecai.

*Aaaaaaaaaaaaaah!*

Berdiri di tengah-tengah Jalan Pavilion Harum, Linley tidak dapat menahan dirinya daripada melolong kesakitan. Lolongan itu kedengaran seperti lolongan seekor serigala yang terpisah daripada kawanannya. Lolongan kesepian, kepiluan. Orang ramai yang berada berhampiran memandangnya dengan riak terkejut dan dengan perlahan-lahan mereka semua mula menjauhinya.

Mereka melihatnya seolah-olah dia orang yang bodoh.

Wajahnya dibasahi dengan air mata.

Bodoh. Dia benar-benar bodoh.

Seorang bodoh yang percaya kepada janji!

*Smash!* Tiba-tiba Linley melutut kesakitan, mencengkam kuat dadanya.

Hatinya sakit. Sakit teramat seperti dia ditikam dengan jarum.

Teramat sakit sehingga tangannya juga berasa sakit. Terluka sehingga 10 jarinya terasa kebas. Linley hanya mampu mencengkam dadanya dengan tangannya. Seolah-olah itu satu-satunya cara yang mampu mengurangkan kesakitannya.

"Hahaha!"

Air mata jatuh berguguran di wajahnya. Linley tiba-tiba bangkit dan ketawa berdekah-dekah. Ketawa terkenang akan kebodohannya. Ketawa mengingatkan kenaifannya.

Pada masa ini…

Kesakitan di hatinya menyebabkan Linley mula batuk kuat sehingga dia berasa seperti dadanya ditikam dengan pisau. Tetapi Linley tetap batuk kuat sehingga dia terbaring mengerekot di atas jalan seperti seekor ulat bulu.

*Huk, huk!*

Diiringi batuk yang sangat dahsyat, darah segar memancut keluar, terpercik ke atas salji.

Melihat darah segar di atas salji, Linley tiba-tiba merasakan darahnya kelihatan seperti sekuntum mawar, mawar berdarah. Di dalam mindanya, dia teringat kembali imej setahun yang lalu, imej Alice memegang sekuntum mawar merah.

'Bayang bulan di dalam air, bunga di cermin, lelaki dalam mimpi. Akhirnya, semua itu hanyalah ilusi melayang pergi ke dalam kegelapan. Haha…' Linley mula ketawa mengilai di atas Jalan Pavilion Harum seolah-olah hanya dia saja ada di situ. Tetapi tawanya kedengaran sungguh sepi….

Doehring Cowart yang berjubah putih salji, berdiri tanpa berkata apa-apa di sisi Linley. Beliau tidak bersuara, hanya memandang Linley dalam kesayuan. Di dalam hatinya, dia mengeluh. "Oh, Linley… Walau apa pun, kamu masih seorang budak."

Tahun ini, Linley baru berusia 16 tahun.

"Bro Ketiga!"

Tiba-tiba, teriakan yang kegila-gilaan kedengaran. Yale, Reynolds dan George yang berada tidak jauh dari situ semuanya berlari. Kawasan itu tidak jauh dari Jalan Pavilion Harum dan mereka bertiga perasan akan keberadaan Linley yang sedang berdiri di tengah-tengah jalan. Apabila ternampak Linley memuntahkan darah, wajah mereka semua berubah.

"Bro Ketiga, kamu tak apa-apa?"

"Linley."

George, Yale da Reynolds bergegas memapah Linley.

Linley melihat ketiga-tiga sahabatnya. Dia menganggukkan kepala. "Saya baik-baik sahaja. Jangan bimbang tentang saya." Linley mendongak ke langit. "Dulu, saya sangat menyukai salji. Tetapi kini, saya rasakan salji sangat sepi, sangat dingin."

"Kamu semua bermalamlah di sini. Saya mahu pulang." Selepas mengucapkan sepatah dua kata, Linley melangkah ke hujung Jalan Pavilion Harum.

Yale, Reynolds dan George saling berpandangan. Mata mereka dipenuhi dengan keprihatinan dan kebimbangan. Dan kemudian, mereka bertiga mengejar Linley…

Hari itu, salji berterusan turun. Perlahan-lahan, tompokan darah berbentuk mawar diliputi salji. Kini, tiada sebarang kesan yang kelihatan.

下一章