webnovel

Mengukir Batu (Bahagian 2)

編輯: EndlessFantasy Translation

Dalam Hotel Huadeli.

Bak kata Yale, "Disebabkan hari ini kita mendapat tahu bahawa Bro Ketiga pakar dalam mengukir batu, kita harus keluar meraikannya. Jom kita ke Hotel Huadeli." Dan begitu sahaja, mereka berempat menuju ke Hotel Huadeli. Sebaik sahaja mereka melangkah masuk, ramai pelajar yang berada di dalam hotel menoleh untuk memandang mereka.

Tumpuan sebilangan besar pelajar tertumpu ke arah Linley.

Dixie, Linley!

Genius yang paling menonjol di Institut Ernst. Mana-mana tempat yang mereka pergi pasti menjadi tumpuan utama orang ramai. Dari jauh, ramai pelajar mula berbisik-bisik sesama sendiri.

Keempat-empat sahabat itu sudah mengambil tempat duduk dan hidangan mereka baru saja tiba.

*Decit decit* Bebe, yang tidur bermalas-malasan sebelum ini, mengeluarkan kepala kecilnya daripada jubah Linley. Matanya yang licik dan nakal itu memerhatikan ayam panggang yang berada di atas meja. Reynolds segera menyambar ayam panggang itu dan menawarkannya kepada Bebe. "Bebe, mari sini."

"Bos Linley, saya makan ya?" Bebe segera berkata secara mental dengan Linley.

Belum Linley sempat membalas, Bebe lompat ke atas meja, menyambar ayam tersebut dan mula melahapnya. Kurang daripada sepuluh saat selepas itu, seluruh ayam panggang itu sudah dilahap oleh Tikus Bebayang yang lebih kecil daripada ayam panggang itu.

"Bro Ketiga, setiap kali saya melihat betapa lajunya Bebe makan, hati saya bergemuruh." Yale ketawa.

Selepas makan, Bebe berpaling melihat Linley. Apabila melihat tapak tangan Bebe yang berminyak, Linley berkerut.

*Decit decit*

Bebe sengaja mencicit dua kali ke arah Linley, dan kemudian memejamkan matanya sedikit menunjukkan rasa senangnya dan pada masa yang sama seluruh badannya memancarkan cahaya hitam. Aura hitam itu semakin membesar dan dalam sekelip mata, aura tersebut hilang. Kedua-dua tapak tangan dan ekor Bebe yang berminyak kini sudah bersih.

Sambil menggosok wajahnya yang kecil, Bebe menatap Linley dan mencicit sekali, sambil berkomunikasi secara mental, "Bos Linley, sudah cukup bersih?"

Linley hanya ketawa.

*Woosh* Dalam sekali kelip, Bebe masuk semula ke dalam pakaian Linley.

Kemudian, empat bersaudara itu mula berbual dan makan.

"Oh, ya, Bro Ketiga. Jika kamu berniat untuk menghantar arca kamu ke Galeri Proulx, ada beberapa perkara yang mesti kamu ingat." Yale mengingatkan Linley.

"Oh, apa yang perlu saya ingat?" soal Linley.

Linley tidak tahu satu perkara pun mengenai sistem yang perlu dilalui jika Galeri Proulx menerima arca baru.

Yale senyum. "Bagi kebanyakan ukiran, setiap artis perlu meninggalkan nama atau atau nama samaran di sudut kiri bawah arca sebagai tanda itu hasil seni kamu. Itu perkara pertama. Perkara kedua ialah apabila menghantar arca tersebut ke Galeri Proulx, ia mestilah dibalut dan dimasukkan ke dalam kotak. Ia untuk menghalang arca itu daripada rosak sewaktu dihantar ke galeri. Apabila arca yang sudah dibalut itu tiba di gudang Galeri Proulx, akan ada orang yang akan melakukan pemeriksaan ke atasnya bagi memastikan arca itu dalam keadaan baik dan mencatat maklumat terperinci tentang kamu. Lazimnya, dalam masa lebih kurang tiga hari, hasil seni kamu akan sedia untuk dipamerkan di dewan pameran biasa Galeri Proulx."

Linley mengangguk.

Meninggalkan nama pada setiap hasil seni ialah untuk menghalang orang lain daripada membuat tuntutan palsu ke atas hasil kerja mereka.

Linley juga memahami mengapa setiap arca perlu dibalut dan dimasukkan ke dalam kotak. "Sesetengah arca diukir dengan sangat teliti dan halus. Semasa proses penghantaran, berkemungkinan arca tersebut akan rosak. Jika ia dibalut dan dilapik dengan kertas dan kain, ia menjadi lebih selamat."

"Bagaimana dengan harga dan pembidaan? Bagaimana Galeri Proulx mengendalikannya?" Linley bertanya.

Sebab utama Linley mahu menyerahkan arcanya kepada Galeri Proulx ialah untuk mendapatkan wang bagi memperbaiki ekonomi keluarganya.

Yale berkata dengan gembira, "Arca-arca akan diletakkan di dewan biasa, dan mereka yang mahu membeli dibenarkan untuk meletakkan harga mengikut kemahuan mereka. Selepas sebulan, pembida tertinggi akan menerima arca tersebut dan kamu akan menerima bayarannya. Lazimnya, Galeri Proulx mengambil 1% daripada bayaran sebagai komisen transaksi dengan had sebanyak sepuluh syiling emas. Jika arca kamu dijual dengan harga melebihi seribu syiling emas, komisen yang diambil oleh galeri tetap sepuluh syiling emas."

Linley semakin faham.

"Bro Ketiga, jangan risau. Saya akan hantar beberapa orang ke Kota Fenlai untuk uruskan semuanya. Saya jamin kamu pasti akan berpuas hati." Yale senyum ke arah Linley sambil bercakap. "Jika Bro Ketiga asrama kita menghantar arca ke Galeri Proulx dan laku dijual, reputasi saya juga akan meningkat."

Di sebelahnya, George mengeluh dalam memuji. "Bro Ketiga, sekarang ini kamu pelajar gred kelima. Suatu hari nanti, tidak syak lagi kamu akan menjadi pakar ukir. Masa depan kamu tidak terbatas. Masa depan kamu pasti jauh lebih baik daripada kami bertiga."

"Pakar ukir? Jangan berguraulah." Linley mentertawakan dirinya.

Empat bersaudara itu berbual sambil makan dan minum.

"Kehidupan di Institut Ernst sangat selesa." Yale tiba-tiba mengeluh sambil meletakkan gelas wainnya. "Saya ingat lagi sewaktu saya masih kecil dan tinggal di rumah, peraturan keluarga saya sangat ketat."

Reynolds turut mencebikkan bibirnya. "Kita semua merupakan pelajar Institut Ernst. Menurut Atuk Lomu, dunia sedang huru-hara. Di dunia luar sana, banyak berlaku peperangan dan pembunuhan. Institut Ernst dilindung oleh Gereja Cahaya jadi tiada siapa yang berani membuat hal. Sebab itulah hidup kita sangat selesa. Pada masa akan datang, apabila kita keluar dan berlatih di dunia sebenar, kita akan lihat betapa kejamnya dunia."

"Tepat sekali."

Linley mengangguk dan mengeluh. "Kini saya sudah berada di gred lima. Ramai rakan sekelas saya sudah berlatih di dunia sebenar. Daripada cerita mereka, terdapat pelajar yang mati dalam pertempuran, dan ramai juga yang lumpuh serta tercedera. Tanpa pengalaman pertempuran sebenar yang melibatkan hidup dan mati, pasti sukar untuk kita berkembang."

"Kita ibarat haiwan peliharaan keluarga bangsawan. Hidup kita mungkin mudah, jauh bezanya dengan kekejaman dunia luar." George juga turut mengeluh. "Saya benar-benar menanti pertempuran berdarah antara hidup dan mati yang boleh disertai pelajar-pelajar peringkat tinggi. Gaya hidup yang mendebarkan dan mengujakan tentunya sangat merangsangkan."

George, Yale, Reynolds, dan Linley sekarang sudah meningkat remaja. Dalam hati mereka, mereka dahagakan situasi mengujakan di luar sana.

Tetapi Yale dan yang lain masih terlalu lemah. Sekiranya mereka melibatkan diri dalam pertempuran hidup dan mati sekarang, kebarangkalian mereka untuk mati ialah lebih tinggi.

"Linley, kamu sudah menjadi pelajar gred lima, bukan?" Reynolds tiba-tiba bertanya.

Yale dan George juga turut melihat ke arah Linley, mata mereka berkilauan.

Linley menarik nafas dalam dan mengangguk. "Benar. Saya kini merupakan ahli sihir tahap kelima. Saya boleh dianggap sebagai ahli sihir peringkat tinggi. Bulan Jun nanti, saya merancang untuk berpergian ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib dan kembali pada bulan Ogos." Linley sudah memutuskan lama dahulu.

"Banjaran Gunung Makhluk Ajaib?"

Yale, George dan Reynolds semuanya terasa seram sejuk.

Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, banjaran gunung yang terbesar di benua Yulan terletak kira-kira kurang seratus kilometer di timur Institut Ernst. Ramai pelajar peringkat tinggi mengembara ke sana bagi dalam memenuhi misi kedua atau ketiga latihan mereka. Tetapi kebanyakan pelajar, untuk ekspedisi latihan yang pertama, akan memilih tempat-tempat peristiwa biasa.

Sebagai contoh, mereka mungkin akan mengambil tugasan yang kurang berisiko seperti menjadi pengawal peribadi ataupun mengiringi karavan.

"Linley, kamu merancang untuk ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib sebagai ekspedisi latihan pertama kamu?" Reynolds tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya. George dan Yale juga berasa bimbang.

"Tenang saja. Saya sangat yakin."

Linley sangat yakin dengan dirinya. Sebagai seorang ahli sihir tahap kelima dan pahlawan tahap keempat, dia memiliki ketangkasan yang tinggi sebagai seorang pahlawan serta mantera 'Supersonik', gaya sihir unsur anginnya. Berdasarkan kelajuannya sekarang, apabila digabungkan dengan mantera ini, Linley boleh mencapai kelajuan pahlawan tahap keenam.

Dan yang paling penting…

Linley dapat menggunakan mantera unsur angin peringkat tinggi, "Teknik Pengapungan."

下一章