webnovel

Siapa di Tangga Pertama?

編輯: EndlessFantasy Translation

Gunung di belakang Institut Ernst ialah tempat yang menenangkan.

Linley duduk bersila di sebelah air yang mengalir. Ditemani bunyi desiran air, dengan mudah Linley masuk ke dalam tafakur sawai, arkian semua intipati tanah dan angin yang berada hampir dengannya mula bersinar. Segalanya yang berada dalam lingkungan 10 meter di sekeliling Linley menjadi jelas pada pandangan.

Intipati tanah dan angin meresap masuk melalui seluruh anggota tubuhnya, sementara daging, tulang-temulang, dan semua organnya secara perlahan-lahan menyerap khasiat daripada intipati unsur-unsur tersebut. Biarpun perlahan, kekuatan tubuhnya terus meningkat dalam suatu kepastian.

Selain daripada itu, sejumlah besar intipati tanah dan angin yang telah ditulenkan disimpan di 'pusat tenaga' yang berada di tengah-tengah dadanya.

* Debur, debur * Air yang mengalir berdesir tanpa henti.

Di sebelahnya, Bebe, si Tikus Bebayang kecil sedang mengunyah seekor itik liar. Pemandangan tersebut sedamai sebuah lukisan, seolah-olah lukisan tersebut dizahirkan ke dunia nyata.

Walaupun keadaan di situ sangat tenang, suasana di Institut Ernst riuh-rendah. Ribuan pelajar, ahli sihir, serta orang-orang penting dari luar berkumpul di pekarangan Institut Ernst dan menyaksikan pelbagai pertempuran yang berlangsung.

Kejohanan tahunan.

Semua pelajar Institut Ernst ialah individu-individu berbakat besar yang angkuh!

Setiap satu pertempuran cukup mengagumkan untuk disaksikan. Dalam kalangan pelajar gred pertama, bebola tanah, pancaran kilat, dan bilah-bilah angin terbang ke sana ke mari. Sungguhpun begitu, pertempuran antara pelajar gred ketiga dan keempat benar-benar mengejutkan. Pelbagai mantera sokongan serta mantera serangan kawasan digunakan. Mantera seperti 'Batu Berkecai' kini menyebabkan berdozen-dozen, mencecah seratus, batu-batu besar dihempas ke kepala pihak lawan dan pancaran kilat sabung-menyabung tanpa henti.

Pelajar gred kelima dan keenam pula? Mereka lebih menakutkan.

Semua jenis mantera mengejutkan dilontarkan secara berterusan, memenuhi kawasan sekeliling dengan bunyi letupan tanpa henti. Para pelajar yang melihat bersahut-sahutan melaung apabila pertarungan semakin memuncak. Boleh dikatakan, semua pelajar institut berada di situ.

Kejohanan tahunan berlangsung selama lebih sebulan. Setiap tahun, bulan tersebut menjadi tempoh paling liar dan riuh di Institut Ernst. Sepanjang tempoh kegilaan tersebut, adakalanya Linley akan menyaksikan pertempuran pelajar gred lima dan enam. Selebih masanya digunakan untuk berlatih bersendirian.

"Kejohanan ini meletakkan syarat para peserta tidak boleh membunuh lawannya dengan sengaja. Bagaimana kejohanan seperti ini boleh dianggap sebagai sebuah pertandingan sebenar jika tangan dan kaki peserta diikat?"

Di bawah pengaruh Doehring Cowart, Linley juga mula memandang serong terhadap kejohanan tersebut.

"Linley, tugasan kamu sekarang ialah berlatih bersungguh-sungguh dan membina kekuatan kamu. Apabila kamu menjadi ahli sihir tahap kelima, kamu akan pergi ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib dan hadapi sendiri situasi antara hidup dan mati bagi mengumpul pengalaman dalam pertempuran." Doehring Cowart memujuk Linley.

Hotel Huadeli, hotel dan restoran paling mahal di Institut Ernst. Malam ini, Yale akan menjadi menjamu empat bersaudara bilik asrama 1987 dengan hidangan mewah.

Di tingkat pertama Hotel Huadeli.

Lantai hotel tersebut berkilat seperti cermin. Barisan pelayan yang cantik berdiri dengan sopan, bersedia melayan tetamu sebaik sahaja khidmat mereka diperlukan.

Terdapat ramai lelaki dan perempuan yang memakai uniform pelajar di Hotel Huadeli. Mereka yang mampu menjamu selera di hotel ini merupakan mereka yang mempunyai latar belakang ekonomi yang kukuh. Hidangan biasa di hotel itu boleh mencecah beberapa dozen syiling emas. Jika Linley datang ke situ seorang diri, dia pasti tidak mampu membayarnya.

Kejohanan tahunan baru sahaja tamat. Semua pelajar yang berada di hotel itu sedang membincangkannya. Kebanyakan mereka yang berada di situ ialah golongan anak muda tetapi terdapat sebuah meja yang diduduki empat orang kanak-kanak.

"Saya panas hati memikirkan kejohanan tahun ini. Sedikit sahaja lagi! Sedikit sahaja lagi saya layak ke separuh akhir. Sebenarnya mungkin saya mampu menjadi antara tiga pelajar terbaik." Reynolds nampak sangat tidak berpuas hati. Dia merupakan rakan paling muda antara mereka berempat dan juga yang paling berbangga diri.

Yale ketawa. "Sayang sekali. Saya tak sangka akhirnya Rand (Lan'de) yang menjadi pemenang pertama."

George tertawa kecil tetapi tidak bersuara.

George seorang yang sangat ramah dan tidak pernah menyakiti hati orang lain.

"Rand? Oh, ya. Saya pernah dengar kamu berbual tentang dia. Dia antara pelajar baru yang mempunyai daya tarikan intipati unsur serta intipati spiritual yang luar biasa, bukan?" Linley ingat nama 'Rand'

George ketawa dan mengangguk. "Benar, dialah orangnya. Dia mempunyai bakat yang besar. Malah sebelum latihan bermula, intipati spiritualnya sudah mencapai peringkat ahli sihir tahap kedua. Tahun ini dia hanya mengumpul daya sihir secukupnya. Bagi seseorang yang mempunyai kekuatan ahli sihir tahap kedua, memenangi tempat pertama dalam kejohanan pelajar gred satu bukanlah sesuatu yang sukar."

"Bergantung kepada bakat semata-mata? Dari segi bakat, adakah dia mampu menandingi Dixie, pelajar genius nombor satu institut kita?" Yale mencebikkan bibirnya. "Saya tak percaya Rand benar-benar berkebolehan. Apa yang istimewanya memenangi tempat pertama dalam kejohanan antara pelajar gred satu? Linley, kamu tak melihat sendiri keangkuhan dia apabila dinobatkan sebagai pemenang. Saya tak dapat bayangkan reaksinya jika dia menang tempat pertama dalam kejohanan pelajar gred lima atau enam pada masa akan datang."

Semakin kuat seseorang ahli sihir, semakin sukar untuk dia meningkatkan kebolehannya.

Sebab itulah majoriti pelajar di Institut Ernst ialah ahli sihir peringkat tinggi. Semakin tinggi gred seseorang, semakin sengit pertempuran antara mereka.

Reynolds mengangguk sama. "Dia pun saya tak suka. Dixie, pelajar genius nombor satu institut kita, memenangi kejohanan gred tiga. Tengoklah betapa tenangnya dia! Perbezaan antara keduanya sangat besar. Lagipun, pelajar yang paling kuat dalam gred satu bukan Rand."

"Betul. Kamu tak mengambil bahagian, Bro Ketiga. Jika kamu turut serta, hum…" Yale merengus.

Berdasarkan umur dan tahap, mereka berempat menggelar sesama mereka dengan panggilan Bro Kedua, Bro Ketiga dan seterusnya.

"Hei, apa maksud kamu?"

Linley dan Yale menoleh. Empat anak muda yang juga berada di hotel itu sedang berjalan turun dari tingkat dua. Ketua mereka, pemuda berambut perang keemasan merenung kumpulan Linley dengan pandangan dingin.

Yale berkata dengan kuat, "Oh, Rand rupanya. Apa, kamu tak dengar apa yang kami bualkan?"

Linley tidak dapat menahan dirinya daripada menghamburkan tawanya.

Yale langsung tidak takut akan syurga mahupun neraka, dia hanya mementingkan air mukanya sahaja.

"Hurm, jangan ingat saya tak dengar," Rand berkata dengan nada dingin.

Pemuda berambut perang di sebelah Rand juga menyeringai. Dengan angkuhnya dia berkata, "Rand, tak perlu bertengkar dengan empat benda tak guna ini. Buang masa saja. Reynolds, apa pandang-pandang? Apa, kamu tak puas hati dengan kekalahan kamu dalam kejohanan?"

Reynolds merenung pemuda berambut perang itu, dia tersenyum sumbing menghinanya, "Kamu fikir kamu siapa? Kamu hanya bernasib baik dapat menewaskan saya kali ini. Tak payah berlagak sangat."

Wajah pemuda berambut perang itu bertukar dingin.

George tersenyum kepada semua orang. "Rand, cukuplah. Memang salah kami kerana cakap belakang tentang kamu. Kita lupakan sahaja perkara ini."

"Tutup mulut kamu, George. Ini bukan urusan kamu." Rand memandang Yale. "Yale, kali terakhir kita bertemu di Bar Elm Harum, sikap angkuh kamu telah menaikkan darah saya. Dan sekarang, kamu berani bercakap besar di hadapan saya? Jika kamu benar-benar berkebolehan, mari kita berlawan. Ada berani?"

Sebaik sahaja selesai berkata-kata, Rand sengaja ketawa mengejek beberapa kali.

Walaupun Yale agak marah, dia sedar dia tidak sekuat lawannya itu.

Spontan banyak mata-mata yang tertumpu ke arah mereka. Ramai pelajar peringkat tinggi bangun dan memandang mereka dengan penuh tanda tanya. Jelas sekali, kedua-dua kumpulan tersebut baru berumur dalam lingkungan 10 tahun.

"Saya cam budak berambut perang muda itu. Namanya Rand. Dia menang kejohanan tahunan bagi kategori pelajar gred satu. Saya pasti suatu hari nanti, dia akan meraih beberapa pencapaian."

"Budak berambut perang di sebelahnya bernama Rickson (Rui'sen). Dia di tangga ketiga dalam kalangan pelajar gred satu. Saya kenal dia. Dari segi kekuatan, kumpulan Rand menandingi lawannya. Ini pasti menyeronokkan."

Sekumpulan ahli sihir tahap kelima dan keenam berbual sambil ketawa melihat kedua-dua kumpulan tersebut.

Apabila sedar ada mata-mata yang memerhatikannya dan memujinya sebagai pemenang tempat pertama dalam kejohanan tahunan gred satu, wajah Rand menjadi semakin angkuh. Dia memandang Linley dan rakan-rakannya yang lain dengan penuh kebencian.

"Hurm." Rand melirik ke meja di mana Linley dan yang lain sedang duduk. "Jus? Kamu semua masih minum jus? Oh, Yale, saya berasa malu bagi pihak kamu. Rakan-rakan sebilik asrama saya semuanya minum wain untuk meraikan kemenangan. Kamu semua hanya minum jus?"

Melihatkan Rand yang tiada tanda-tanda untuk beredar, Linley mula berkerut.

"Rand, kami berempat sedang makan. Pergilah kamu dari sini." Wajah Linley serius dan dia merenung mereka berempat dengan pandangan dingin.

Jika dia sedang berlatih dan diganggu oleh makhluk lain, dia pasti akan membunuh makhluk-makhluk tersebut.

"Oh, dan ini." Mata Rand bercahaya sewaktu memandang Linley. "Kenapa saya tak tahu tentang kewujudan orang seperti kamu di bilik Yale?"

Pandangan Linley semakin dingin.

Seperti arnab liar, dia menerjah ke hadapan dengan kepantasan yang menakjubkan. Mata Rand hanya sempat terbeliak. "Kamu...!" Belum sempat Rand bertindak, Linley sudah menyambar lehernya dan hanya menggunakan kekuatan fizikal, dia mengangkat Rand ke udara.

"Apa... uh, uh..." Tiada bunyi yang dapat keluar dari kerongkong Rand. Matanya dipenuhi ketakutan.

Linley memandang Rand dengan pandangan kejam. Rand yang terkedu dek ketakutan merasakan dirinya akan dibunuh pada bila-bila masa sahaja.

Pada ketika ini, Linley merasakan Darah Naga yang mengalir di dalam tubuhnya membara, menghidupkan naluri penumpah darah dalam dirinya. Dahi Linley berkerut-kerut dalam usaha menenangkan dirinya. "Ini Institut Ernst. Saya tak boleh membunuh seseorang tanpa alasan yang munasabah."

Ketiga-tiga orang pelajar yang datang bersama Rand kesemuanya terpempan dan ketakutan.

"Berambus!"

Dengan sekali hayunan tangannya, Linley menghempas Rand ke lantai, seolah-olah dia cuma beg kekacang.

下一章