webnovel

Cincin Naga Pusar (Bahagian 2)

編輯: EndlessFantasy Translation

Cincin hitam itu bergolek ke depan dan elok berhenti di hadapan pintu.

Selepas berjalan tiga langkah menghampiri pintu keluar, langkahnya terhenti. Linley dapat merasakan kakinya terpijak sesuatu yang keras.

'Semasa aku memeriksa lantai tadi, tak ada satu batu pun di sini. Tentu ia datang dari laci yang hancur tadi.' Bila teringat tentang laci yang roboh itu, Linley menjadi berang. Lalu dengan perasaan marah dia memijak 'serpihan kayu' itu.

Mengikut perkiraan Linley, jika benda keras itu ialah serpihan kayu ia akan hancur bila dipijak. Tetapi realitinya...

'Wah, kerasnya! Apa benda bawah kaki aku ni?' Benda yang dipijak Linley itu sangat kuat. Dia beralih untuk melihat dengan lebih dekat.

Dia terlihat sebuah objek berwarna hitam berbentuk seperti cincin berada di atas lantai. Cincin itu penuh dengan habuk sebab itu dia langsung tidak perasan keberadaannya.

'Oh, sebentuk cincin?' Mata tajam Linley memerhatikan objek tersebut. Dengan perasaan girang dia mengambil cincin itu lalu mengesat cincin itu pada pakaiannya yang kotor. Kemudian barulah Linley boleh melihat dengan jelas objek itu.

Cincin hitam itu diperbuat daripada bahan campuran kayu dan batu. Pada badan cincin itu terdapat satu ukiran yang kelihatan kabur.

'Cacing tanah?' Linley memerhatikan ukiran di cincin itu, ragu-ragu.

Sekali pandang, Linley merasakan alur ukiran pada cincin itu kelihatan seperti cacing tanah.

Linley ketawa sendiri. 'Seni ukir pada cincin sangat teruk. Aku pasti pengukir biasa boleh menghasilkan sesuatu yang lebih menarik. Alahai, ruginya. Cincin hitam ini tak ada sebutir berlian pun di atasnya. Apatah lagi hiasan berharga seperti kristal ajaib.'

Kebanyakan cincin dihiasi sama ada dengan berlian ataupun kristal magik.

Malangnya, cincin hitam itu diperbuat daripada sesuatu yang kelihatan seperti bahan campuran kayu dan batu. Langsung tiada bayang batu permata. Jelas sekali cincin ini tidak bernilai.

Tidak tahu mengapa, sebaik saja melihat cincin itu, Linley terus jatuh hati. Dia fikir mungkin sebab cincin itu sahajalah barang yang dijumpainya setelah bersusah-payah memeriksa manor.

'Hum... Cincin ini sangat tebal. Ia tak akan muat dipakai di jari saya. Pasti ia akan menggelongsor jatuh. Aku akan mengikatnya dengan kain sutera dan memakainya di leher,' bersinar mata Linley.

Tangan Linley yang baru berusia lapan tahun tentulah lebih kecil berbanding tangan seorang dewasa. Cincin itu tidak akan muat di jarinya.

'Baiklah, nama apa patut aku beri kepada cincin ini? Cincin Cacing Tanah? Tidak. Buruk betul bunyinya.' gumam Linley sebelum matanya tiba-tiba bersinar. 'Haha, ukiran yang meliuk-liuk ini boleh dianggap sebagai naga, bukan? Seekor naga yang melingkari cincin. Jika begitu, aku namakan cincin ini Cincin Naga Pusar!' Walaupun di sudut hatinya dia merasakan ukiran itu mirip seekor cacing tanah, Linley tetap memilih untuk menamakannya 'Cincing Naga Pusar'.

"Cincin Naga Pusar!" Linley mengangkat tinggi cincin hitam tidak berhias itu. Dia nampak sangat berpuas hati.

"Alamak, latihan hampir bermula!"

Linley baru teringat. Dia memandang pakaiannya yang kotor dipenuhi dengan habuk dan kotoran dengan cemas. Dia kelihatan seperti seorang pengemis. 'Oh, tidak…' Linley tiada masa untuk berfikir. Dia berlari keluar merentasi halaman pusaka dan terus ke bilik air.

Kedengaran bunyi deruan air.

Linley mencurahkan air pada dirinya. Kulitnya cerah dan sihat. Garisan ototnya pula sudah mula terbentuk. Inilah hasil latihannya. Di bawah deruan air, habuk-habuk di badannya mengalir turun.

Linley membersihkan diri dan memakai seragam latihan secepat mungkin

'Tali, tali….' Linley tergesa-gesa mencari bebenang untuk menggantung Cincin Naga Pusar itu. Tiba-tiba, matanya terpandang kain lap yang sudah buruk. Matanya bersinar dan dia segera menarik bebenang daripada kain lap tersebut.

Walaupun ia cuma kain lap biasa, tetapi ia sangat kuat dan tahan lama. Begitu juga dengan benangnya.

Dia segera merangkai cincin tersebut ke dalam benang itu lantas menyarungnya ke leher.

'Aku dah lambat. Ini kali pertama aku lambat!' Linley berlari keluar bagai dikejar api bergelojak. Dia memasukkan cincin itu ke dalam bajunya sambil dia berlari. Linley sangat gembira apabila berasakan kedinginan cincin itu di dadanya.

Walaupun dia sudah terlewat, dia berjaya memperolehi Cincin Naga Pusar.

Linley berasa sangat gembira.

Sepantas kilat Linley berlari keluar dari manor Baruch dan berkejar menuju kawasan latihan di barat pekan Wushan. Pada waktu ini, kebanyakan orang biasa sudah pulang ke rumah dan laluan-laluan menjadi lengang. Tetapi apabila mereka melihat kelibat Linley berlari, mereka dapat meneka sebabnya.

"Hati-hati, Tuan Muda Linley! Jangan sampai cedera!"

"Tuan Hillman sangat tegas. Saya bimbang Tuan Muda Linley akan dihukum."

Kebaikan puak Baruch terhadap golongan biasa menyebabkan mereka sangat sayang akan Linley.

'Apa hukuman Pak Cik Hillman akan beri kepada saya?' Linley masih lagi memikirkannya sambil dia berlari. Dalam keadaan begini, Linley tidak sempat untuk berbual ataupun tunduk kepada pak cik dan mak cik yang ada di situ. Tidak lama selepas itu, Linley tiba di padang latihan pekan Wushan.

Ketika itu ketiga-tiga skuad telah pun berada dalam barisan. Mendengarkan langkah kaki Linley, Hillman yang ketika itu sedang bercakap lantas mengalihkan pandangan dinginnya ke arah Linley.

Linley bergegas ke arah skuad latihan. Dia berdiri di sebelah barisan-barisan skuad tersebut. Dia begitu gementar menanti arahan Hillman.

"Hari ini kamu akan menjalani latihan berganda. Kembali kepada skuad kamu!" kata Hillman dengan tenang.

"Baik, Ttuan!" Linley menjawab ceria sambil mengangkat kepalanya.

Budak-budak yang berdiri berhampirannya menjelirkan lidah mereka. Dia hanya terlewat sedikit tetapi dikenakan latihan berganda. Hari ini, Linley pasti tidak mempunyai masa untuk pulang ke rumah dan makan malam.

Sewaktu Linley berlari-lari anak ke arah kedudukannya di dalam pasukan, tiba-tiba…

* Dentum! * Bumi bergegar perlahan dengan gerakan yang kerap. Keadannya seakan-akan seekor raksasa sedang berjalan, menyebabkan tanah bergegar dengan setiap langkahnya.

"Timur. Ia datang dari arah timur." Linley dapat melihat puncanya dengan pantas.

Bukan Linley seorang, Hillman, Roger dan Lori segera menoleh ke arah timur. Ekspresi mereka bertukar serius. Getaran tersebut semakin kuat dan jelas. Semua anak-anak muda di situ dapat merasakan getaran tersebut pastinya datang dari raksasa besar yang sedang berjalan menuju ke arah mereka.

Setiap dentuman langkah kakinya menghasilkan getaran yang cukup kuat untuk mendebarkan hati Linley.

Raksasa apakah yang menyebabkan getaran ini berlaku?

Mata Linley terbuka luas dan dia memandang ke arah timur…

下一章