webnovel

Di Masa Lalu

編輯: EndlessFantasy Translation

Huo Mian ditinggalkan berdiri keseorangan di hadapan balai polis. Angin yang bertiup menjadikan rambutnya kusut masai. Dia yang mengikat jamin Ning Zhiyuan keluar, jadi apa semua ini?

Sewaktu Mian dilema antara mengambil teksi, yang sudah tentulah sangat mahal, atau mengambil bas ke Hospital Rakyat Pertama, Audi R8 itu datang kembali, seperti kuasa ajaib. Ia mengambil masa kurang daripada lima minit untuk pergi dan datang kembali.

"Masuk."

"Bagaimana kamu kembali dengan begitu cepat? Di mana dia?"

"Dia di hotel di hadapan sana." Qin Chu menjawab.

Huo Mian kehilangan kata-kata. Kecekapan Qin Chu memang…

"Cepat, masuk."

Huo Mian berhenti berlengah-lengah, membuka pintu dan duduk di tempat duduk penumpang.

Selepas beberapa detik yang sunyi, dia bertanya perlahan-lahan, "Adakah kamu rancang semua yang berlaku hari ini?"

Tangan Qin Chu terhenti seketika pada stereng kereta. Dia memalingkan kepalanya dan memandang Huo Mian. "Kamu fikir saya yang buat ini kepada dia?"

Huo Mian tidak menjawab…

"Kamu fikir saya akan buat sesuatu yang tidak masuk akal?" Qin Chu bertanya lagi.

Huo Mian kekal diam. Tetapi Qin Chu betul. Orang sepertinya tidak akan berbuat perkara seperti ini dengan cara haram.

Tetapi, Gao Ran kelihatan seperti seseorang yang akan melakukan perkara seperti ini. Lagipun, di dalam minda Huo Mian, Gao Ran seorang lelaki yang tidak boleh duduk diam. Malah, tujuh tahun dahulu pun dia begitu.

"Kamu mungkin tidak buat, tetapi kawan kamu mungkin buat."

Sisi bibir Qin Chu menggerenyet. "Kamu fikir kapten Biro Keselamatan Awam Perbandaran Awam akan memerangkap rakyat biasa dengan menahan dan menuduh mereka kerana melazimi rumah pelacuran?"

"Dia seorang kapten sekarang?" Huo Mian terkejut. Dia tidak menyangka Gao Ran akan mampu pergi sejauh itu.

Kini apabila dia memikirkannya, tidak masuk akal untuk seorang kapten sebuah biro melakukan perkara seperti ini. Apatah lagi, setiap kali dia keluar untuk sesebuah kes, dia akan dikelilingi oleh anggota polis. Jika dia sengaja menuduh seseorang, orang lain akan bercakap mengenai hal itu. itu bukan tindakan yang bijak.

Paling penting, semasa Huo Mian mengisi borang sebentar tadi, dia teringat pesanan polis tersebut.

Polis itu berkata, "Cik, teman lelaki kamu merupakan pesalah berulang. Ini bukan kali pertama dia melanggan pelacur. Apabila kamu pulang ke rumah, kamu perlu uruskan dia."

Huo Mian sedikit terkejut dengan apa yang didengarinya. Dia tidak pernah sangka Ning Zhiyuan yang sangat lembut dan sopan, merupakan seorang pesalah berulang kerana melanggan pelacur.

Jika dia hanya berlakon pun, ini sudah melampau. Lagipun, doktor selalunya gilakan kebersihan bukan?

Bagaimana dia sanggup meniduri pelacur?

Semakin banyak Huo Mian berfikir mengenai hal itu, dia semakin tertekan. Dia memilih untuk tidak bercakap. Jadi, dia memalingkan kepalanya ke sisi untuk melihat pemandangan malam di luar.

Dia tidak pernah sangka suatu hari, dia akan duduk di dalam kereta Qin Chu sekali lagi dan berseorangan dengannya meredahi malap malam seperti tujuh tahun lalu.

Audi R8 itu mengambil masa kurang daripada 20 minit untuk menghantarnya pulang ke pangsapurinya. Tetapi, Huo Mian berasa ia seakan-akan mengambil masa beberapa jam.

Sejujurnya, dia tidak berani menghadapi Qin Chu. Walaupun dia membenci lelaki itu, Huo Mian tahu benar bahawa kadang-kadang, kebencian lahir daripada perasaan sayang.

Kalau tidak, Qin Chu sepatutnya menjadi orang asing di matanya apabila mereka bertemu lagi. Kenapa pula jantungnya perlu berdegup kencang?

"Mian." Qin Chu memanggil namanya dengan lembut.

Huo Mian memalingkan kepalanya, matanya kabur. Mungkin suasana malam yang membuatkan hatinya libang-libu.

"Macam mana keadaan kamu selama tujuh tahun ini?" Qin Chu sudah menyimpan soalan ini buat beberapa ketika. Bagaimana keadaan Huo Mian selama tujuh tahun lepas tanpa dia di sisi?

下一章