webnovel

Kitab Suci Rohani

編輯: EndlessFantasy Translation

Serentak dengan saat Bapa Reliance membuka matanya, Meng Hao mengaktifkan Jed Vorpal Kristal Darah yang kelima puluh. Kepalanya bergetar dengan hebat, dan teks tulisan suci melayang di sekitarnya. Setiap karakter tulisan suci itu memancarkan cahaya keemasan terang yang menembusi tubuhnya. Cahaya ini menenggelamkan cahaya merah darah dan meninggalkan aura keemasan yang bercahaya.

Apabila aura keemasan ini tersebar, Meng Hao mula berubah. Tasik Terasnya berpusar-pusar dengan ganas dan mula bertukar menjadi warna emas. Ketika warna air tasik itu berubah, kedengaran bunyi ngauman yang mengerikan dan mengubah seluruh tubuhnya

Tubuhnya dipenuhi dengan bunyi rekahan yang kuat. Tulangnya bertambah panjang, darah dan dagingnya semakin kuat. Dalam sekelip mata, dia menjadi semakin berkuasa, dari segi dalaman dan luaran.

Saluran Qinya kelihatan jernih seperti kristal, sepenuhnya bergabung dengan tubuh fizikalnya. Rambutnya tumbuh lebih panjang ketika dia beralih ke keadaan baru berdasarkan mnemonik dari Kitab Suci Rohani.

Lebih banyak masa berlalu, kira-kira enam jam, dan kemudian kedengaran satu lagi bunyi ledakan di dalam badan Meng Hao. Dia membuka matanya yang kini bersinar dengan cahaya keemasan.

Waktu berlalu lagi dan cahaya keemasan itu menjadi pudar. Meng Hao kelihatan teruja. Dia dapat melihat dengan jelas satu mnemonik di dalam mindanya. Mnemonic ini terpahat secara tidak sengaja ke dalam rohaninya. Dia memahami setiap baris ayat. Ini adalah... Kitab Suci Rohani.

Kalau di dunia luar keadaan ini boleh menyebabkan seseorang menyemburkan darah seperti hujan. Ini manual Pemekatan Qi yang menjadi rebutan banyak Sekta yang sanggup bertarung demi mendapatkannya. Dan kini manual ini berada didalam minda Meng Ho.

Setelah mengalami proses transformasi selama enam jam, Meng Hao masih berada di peringkat keenam Pemekatan Qi. Tetapi kaedah Pertapaannya yang baru boleh dianggap sebagai salah satu daripada tiga cara terbaik di seluruh Syurga Selatan.

Keadaan bertuah yang dimilikinya ini sesuatu yang sukar dicapai, walaupun oleh para pengikut Puak dan Sekta yang hebat.

Dengan menggunakan kaedah Pertapaan daripada manual Pemekatan Qi ini, kalau Meng Hao mampu mencapai fasa Pengukuhan Asas, maka dia pasti dapat menubuhkan Asas Sempurna. Di samping itu, kuasa rohaninya akan jauh lebih hebat daripada orang yang seangkatan dengannya. Mungkin kuasa rohaninya tidak akan menjadi yang paling kuat. Namun seiring dengan peredaran masa, kuasa itu akan perlahan-lahan berkumpul. Saat dia mencapai tahap Pengukuhan Asas, ibarat rama-rama yang muncul dari kepompong, dia akan mempunyai Asas Sempurna yang jarang dilihat di dunia!

Pada ketika ini, jika dia terserempak dengan Wang Tengfei, dia tidak akan berada dalam posisi genting seperti hari itu. Bahkan dia sekarang mampu mengendalikan sepuluh bilah pedang terbang secara serentak tanpa pedang-pedang itu menjadi kurang tangkas. Kekuatannya sudah menjadi dua kali ganda!

Dengan perasaan teruja, Meng Hao menggenggam penumbuknya. Hatinya dipenuhi keinginan yang kuat. Seketika kemudian dia menarik nafas dalam, turun dari bongkah batu dan berjalan pergi.

Pada saat ini, Bapa Reliance lebih teruja daripada Meng Hao. Selepas membuka matanya, dia dapat melihat Meng Hao, serta Chen Fan dan Xu Qing. Dia menunggu dengan sabar untuk Meng Hao menggunakan satu lagi Kristal Darah. Kemudian dalam keadaan bingung, dia menyaksikan Meng Hao tiba-tiba mencapai makrifat.

"Celaka, celaka. Aku tidak sepatutnya meletakkan medan makrifat di sini. Tidak, tidak. tidak. Kalau aku tak letakkan di sini, bagaimana aku boleh membuatkan anak-anak muda itu datang. Tapi, tapi, tapi... kenapa dia perlu mendapat makrifat dengan hanya menggunakan lima puluh Kristal Darah? Seratus biji kristal lebih baik, dua ratus. Sekurang-kurangnya tiga ratus. Kalau ada lima ratus biji Kristal Darah, aku tidak perlu terus bermeditasi di sini!" Bapa Reliance dipenuhi kesedihan. Ini harapan terbesarnya, dan dia melihat harapan ini hilang di depan matanya. Tanpa Kristal Darah untuk mengembalikan tenaganya, dia tidak dapat hidup lama. Namun dia tahu tidak ada apa yang boleh dilakukan.

"Aku tidak memberikan diriku sebarang kelebihan pada ketika itu. Aku berkurung di sini tanpa jalan keluar, dan sangat sukar untuk memancarkan suaraku ke dunia luar. Dari segi kuasa sakti pula, saat ini aku terlalu lemah untuk melakukan apa-apa. Apa nak buat? Apa nak buat? Aku mesti fikirkan sesuatu..." Wajahnya menjadi cemas saat dia menyaksikan Meng Hao bertemu dengan Xu Qing dan Chen Fan di kubur bawah tanah di atas bilik rahsia itu. Mereka berjalan menuju ke altar. Jelas sekali mereka sedang bersiap untuk pergi.

"Sekiranya aku boleh membuat semua anggota Dunia Pertapaan Negara Zhao datang ke sini, aku boleh menggunakan kuasa asas Pertapaan mereka untuk membebaskan aku dari zon meditasi ini. Jika aku boleh keluar, aku boleh menyerap daya kehidupan mereka. Kemudian aku akan berpeluang mencapai Pemisahan Keduaku." Bapa Reliance mengetap giginya. Dia memaksa tahap Pertapaannya yang lemah sehabis mungkin, lalu menampar tangan kanannya ke tanah sehingga bergema.

Pada masa yang sama, Meng Hao cuba membuat alasan mengapa dia hilang selama beberapa hari, dan mengapa tubuhnya kelihatan berbeza. Chen Fan tersenyum dan mengangguk. Xu Qing yang melihat Meng Hao tidak cedera, tidak berkata apa-apa. Mereka bertiga naik ke altar, bersiap sedia untuk berangkat.

Tiba-tiba bunyi tempikan memenuhi ruang udara, dan seluruh kubur bawah tanah itu mulai bergegar. Raut wajah mereka berubah ketika satu retakan gergasi membelah bumi di hadapan mereka dan sebuah batu besar perlahan-lahan diangkat ke atas. Selepas beberapa ketika, batu itu muncul sepenuhnya.

Ketinggiannya dianggarkan kira-kira 30 meter, karakter emas terukir di atasnya. Ini sebuah kitab suci, iaitu tidak lain tidak bukan, manual Pemekatan Qi dari Kitab Suci Rohani!

Mereka bertiga memandang dengan perasaan terkejut, terutamanya Meng Hao. Setelah semua masalah yang dilaluinya untuk mendapatkan manual Pemekatan Qi, manual itu kini berada di depannya. Dia memandang manual itu dalam keadaan bingung. Tapi setelah memeriksanya dengan lebih lanjut, ekspresi aneh muncul di wajahnya. Dua baris pertama yang diukir pada batu itu tepat, tetapi selebihnya palsu. Batu ini kelihatan penuh misteri, tetapi Meng Hao mengetahui butiran kitab suci yang sebenar, dia terus dapat mengagak kitab ini palsu.

Dia teragak-agak buat seketika tetapi tidak berkata apa-apa.

Mata Chen Fan bersinar-sinar. Dia berjalan ke hadapan untuk berdiri di bawah batu berukir itu. Xu Qing juga buat begitu. Mereka memandang batu itu untuk beberapa ketika, kemudian saling bertukar pandangan terkejut.

"Kita patut membawa batu ini bersama-sama kita," kata Xu Qing dengan perlahan, "dan biarkan Pemimpin Sekta memutuskan apa yang perlu dilakukan dengannya."

Meng Hao berkelip-kelip, kemudian dia mengangguk seolah-olah sangat bersetuju.

Melihatkan keadaan ini, Bapa Reliance ketawa. Perasaanya lebih daripada gembira.

"Ambillah, ambillah, cepat! Keluarkan dan beritahu orang seramai mungkin. Hahaha! Aku sangat pintar. Aku bimbang orang mungkin akan masuk ke sini selama aku bermeditasi, jadi aku menyiapkan batu berukir yang palsu itu. Aku juga bimbang batu ini dikenal pasti sebagai palsu jadi aku sudah menyediakan sedikit helah. Sebaik dikeluarkan dari tempat ini, batu ini akan memancarkan isyarat ke langit. Semua orang akan dapat melihat isyarat ini dari segala arah. Pada awalnya, batu ini direka untuk mendatangkan bahaya, tetapi sekarang, batu ini amat berguna pada aku. Luar biasa. Hebat! "Kegembiraan memenuhi hati Bapa Reliance, tapi tiba-tiba, matanya terbeliak.

"Kita tidak boleh bawa keluar batu ini!" kata Chen Fan dengan suara yang bermaruah. Selepas memeriksa batu itu dengan teliti, dia tekad. Chen Fan menundukkan kepalanya dan memandang Meng Hao dan Xu Qing. "Batu ini sangat penting. Kalau kita mengeluarkannya, kita akan membawa malapetaka pada Sekta. Jika orang luar mengetahui kewujudannya, hal ini boleh membawa kepada kehancuran kita. Mari kita sama-sama menggunakan kepingan jed untuk membuat salinan tulisan suci yang terukir pada batu ini. Dengan cara ini, kita boleh mengeluarkan isi kandungannya, tetapi meninggalkan batu ini di tempatnya. Inilah kaedah yang paling selamat." Wajah Chen Fan dipenuhi dengan ketulusan dan kebenaran. Apa yang dia katakan langsung tidak menunjukkan dia mementingkan diri sendiri. Dia juga mempertimbangkan keselamatan Sekta. Xu Qing mengangguk, dan Meng Hao pula sudah tentulah tidak membantah. Mereka segera menyalin isi kandungan ukiran di batu itu ke dalam cebisan jed mereka, berdiri di atas altar dan berlalu pergi.

Bapa Reliance melihat keadaan yang berlaku dengan perasaan terkejut, lalu dia melepaskan kemarahannya.

"Celaka, celaka! Aku akan menghancurkan Ketua Sekta generasi ini! Bagaimana dia boleh membiarkan seorang lelaki seperti ini masuk ke Sekta Dalaman? Dia jujur ​​dan lurus, sikap yang aku benci! Sewaktu zaman aku, semua orang di dalam Sekta ialah jahat dan licik. Ambil tulisan suci itu dan rahsiakannya, itulah tindakan pengikut sebenar Sekta aku. Tetapi kamu, si budiman yang tak guna. Kamu...kamu telah menyebabkan kematianku!! Kenapa kamu harus menghentikan mereka? Celaka! Asas Pertapaan aku! Aku, aku, aku…" Bapa Reliance sangat marah sehingga tubuhnya bergetar. Dia mengetap giginya dan tanpa mempedulikan akibatnya, dia menahan nafasnya buat seketika lalu mengeluarkan jeritan yang perlahan. Dia menampar kepalanya sendiri dan meludahkan darah. Darah itu berubah menjadi cahaya merah darah yang tidak berbentuk, yang kemudiannya mula menghantar dengungan yang bergema di seluruh ruang rahsia.

Sewaktu gemaan itu berbunyi, satu kilauan berwarna merah darah tiba-tiba meluru ke arah Meng Hao dan yang lain-lain ketika mereka meninggalkan kubur bawah tanah ini.

Sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dewan tokong utama Sekta Reliance, He Luohua dan Orang Lama Ouyang nampak mereka. Sebelum mereka sempat membuka mulut, sinaran merah darah itu ditembak. Tiada seorang yang menyedarinya.

Tiba-tiba kedengaran suara guruh, dan satu cahaya terang telah tersebar, jutaan meter ke segala arah. Cahaya itu menukarkan seluruh langit menjadi warna merah terang. Kemudian, di antara warna yang pelbagai itu, muncul satu tanda aneh.

Terdapat banyak huruf yang muncul. Kebanyakannya tidak dapat dilihat dengan jelas, tetapi ada dua aksara yang paling terang. Maksud dua aksara itu adalah…

Rohani Suci…

Tanda itu memenuhi langit dan bumi dari segala arah. Karakter-karakter tulisan suci yang beraneka bentuk itu bercahaya cerah, terutamanya dua karakter yang membawa maksud 'Kitab Suci'. Kedua-dua aksara ini terpancar ke seluruh Negara Zhao. Dalam tiga Sekta Besar Negara Zhao, semua pengikut memandang fenomena yang aneh ini dengan hairan. Garis demi garis seperti pelangi terbang dari pelbagai zon meditasi yang tertutup sewaktu beberapa Ketua Sekta memunculkan diri.

"Ini…."

" Kitab Suci Rohani!!"

"Kitab Suci Rohani telah muncul. Nampaknya kitab ini berada di Sekta Reliance. Mungkinkah...mungkinkah manual Pemekatan Qi yang bertaraf lagenda ini benar-benar wujud?"

Sepintas lalu ahli-ahli yang kuat dari beberapa Sekta hebat dari Wilayah Selatan muncul dari bermeditasi. Kemunculan Kitab Suci Rohani dan manual Pemekatan Qi ialah perkara yang menarik. Tanpa ragu-ragu, mereka meninggalkan Wilayah Selatan dan terus menuju Negeri Zhao. Mereka semua takut jika mereka tidak cukup cepat, peluang mereka akan diambil puak-puak Wilayah Selatan yang kuat, atau Sekta lain.

Angin di Wilayah Selatan telah berubah.

Garisan cahaya prismatik menembak ke arah Sekta Reliance, ketika hampir dua puluh orang ahli pertapaan dari tiga Sekta besar Negara Zhao mula mengambil tindakan. Yang paling lemah di antara mereka berada di tahap Pengukuhan Asas. Enam orang lagi di tahap Pembentukan Teras. Mereka membelah langit dengan kekuatan yang boleh menghancurkan bumi.

下一章