webnovel

Terbongkar

編輯: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng terkejut dan riak wajahnya sedikit berubah. "Mustahil!" Dia sudah membuat penyamaran, malah Su Qianci sendiri tidak mengenalinya. Bagaimana pihak pengurusan geng itu boleh tahu itu dia?

Jing Sao juga tidak pasti. "Saya cuma rasa ia berkemungkinan besar kerana itu. Apapun, balik cepat. Jika perempuan itu pulang dan lihat kamu tiada, habislah kita!"

Li Sicheng tahu perkara itu amat serius dan melihat jam kereta. Sudah pukul 7.51 malam. Hanya sembilan minit dari masa yang dijanjikan untuk bertemu isterinya. Dari kedudukannya sekarang ke jambatan Xijiang akan mengambil masa selama tujuh hingga lapan minit. Walau bagaimanapun, ia akan mengambil masa selama 20 minit untuk kembali ke rumah Tang Mengying sekarang dan lebih setengah jam jika dia dari Jambatan Xijiang.

"Bila dia akan sampai?" Disebabkan Jing Sao baru sahaja menelefon, pasti bukan dalam masa terdekat. Melainkan Tang Mengying balik tanpa memberitahu Jing Sao.

"Paling lambat 20 minit." Kenyataan Jing Sao seakan satu bom yang dilemparkan ke arahnya.

Li Sicheng berasa amat berat hati. Penantian selama empat tahun membuang segala keangkuhan dan ketegangan wajahnya. Pada masa yang sama juga, dia berasa agak terkejut. Adakah Tang Mengying sudah mula mengesyaki Jing Sao? Semuanya masih baik-baik sahaja ketika perempuan itu pergi ke trip perniagaannya. Adakah identiti Jing Sao telah terbongkar dalam masa dua hari ini? Li Sicheng mengecilkan matanya dan berfikir.

Tang Mengying ibarat senjata yang mengikut arahan pihak atasan geng itu. Dia tiada apa-apa jika bersendirian. Perkara yang teruk ialah senjata ini amat setia kepada tuannya. Jika senjata ini membuat laporan, pihak atasan tidak akan melepaskan mereka. Pihak atasan itu bukan hanya terdiri daripada Bo Xiao, tetapi seluruh ahli keluarganya. Di mata orang ramai, keluarga Bo membuat perniagaan alatan muzik dan mempunyai ramai ahli muzik yang hebat. Tetapi sebenarnya, generasi ayah Bo Xiao sudah mula mengalami kejatuhan. Kira-kira tujuh hingga lapan tahun lalu, ketua keluarga Bo sekarang iaitu ayah Bo Xiao mula terlibat dalam industri ini. Syarikat TL hanyalah sebagai penyamaran. Pelaburan wang haram yang sebenar dikawal oleh keluarga Bo.

Selama bertahun-tahun, Jing Sao telah menjadi perisik polis dalam keluarga Tang disebabkan hubungan antara Tang Zhenghao dan bos geng itu. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini barulah usahanya menampakkan hasil dan tidak lama lagi, Li Sicheng boleh menghapuskan geng itu buat selama-lamanya. Namun perkara itu tidak boleh dilakukan sekarang. Tetapi, Su Qianci sedang menunggunya. Dia ada janji temu dengan isterinya. 'Jam 8 malam, pasti datang'. 

"Cepatlah!" Jing Sao berbisik kepadanya dengan suara yang panik. "Kalau rahsia kita terbongkar, bukan sahaja semua yang kita telah lakukan selama bertahun-tahun ini akan menjadi sia-sia, malah kita juga mungkin tidak ada peluang untuk hidup! Tak kira kalau kamu mahu mati sekalipun, saya tak mahu!"

"Faham. Saya datang sekarang." Wajah Li Sicheng sangat muram. "Cuba lengahkan dia."

Dia mesti tiba di sana dalam masa 20 minit. Jika tidak, bukan sahaja apa yang mereka telah lakukan selama empat tahun akan musnah, tetapi Jing Sao juga akan berada dalam bahaya disebabkan olehnya. Li Sicheng terbayang-bayang senyuman lembut Su Qianci, pipinya yang kemerahan dan matanya yang jernih dan bersinar. Pasti datang. Hati Li Sicheng terasa pedih dan dadanya terasa sesak dengan perasaan tidak berdaya. Dia terpaksa memungkiri janji lagi…

"Maafkan saya…"

*****

Di langit yang mula gelap itu, kelihatan gumpalan awal tebal bersama kilat yang sekali-sekala memancar. Guruh kuat turut kedengaran. Sebaik sahaja guruh kuat kedua kedengaran, rintik-rintik hujan terus jatuh menimpa Su Qianci. Kesejukan yang datang tiba-tiba itu seakan membawanya kembali ke alam realiti.

下一章